Khas untuk anakanda Muhammad Al Amin & Isteri.
Malam beranjak senyap di ambang jendela kayu bertingkap kain renda. Angin Ogos yang membawa aroma embun jernih berhembus lembut, membelai langsir nipis di bilik pengantin yang masih berbau keharuman bunga rampai. Di situ, di atas sajadah terbentang yang baru sahaja menyaksikan solat dua rakaat sunat kesyukuran, Muhammad duduk bertafakur. Di hadapannya, Ika, isteri yang baru disahkan ikatan ijab dan kabulnya pada 1 Ogos 2026 sedang merapikan lipatan kain telekungnya dengan jemari yang masih berbekas ukiran inai merah.
Muhammad merenung seraut wajah yang kini sah menjadi perhiasan hidupnya. Tiada gelora dongeng dalam dada, melainkan rasa keinsafan yang mendalam tentang makna sebuah kebersamaan. Dia menggamit Ika mendekat, membiarkan jemari lembut itu berada dalam genggaman tangannya yang bergaris kesat.
“Ika,” bisik Muhammad, nadanya sarat dengan getar keikhlasan yang dalam. “Hari ini kita menyatukan dua takdir di bawah naungan rahmat-Nya. Namun, aku mahu engkau tahu sesuatu sebelum jalan panjang ini kita tuju bersama.”
Ika mengangkat wajahnya. Matanya yang bening menatap anak mata Muhammad, mencari jawapan kepada sebuah gelora rasa yang tersembunyi di balik ketenangan suaminya.
“Aku sangat berharap engkau tetap memilih untuk bertahan apabila mula mengenali diriku yang sebenar. Hal ini demikian kerana seiring dengan berlalunya waktu, engkau akan melihat bahawa aku juga mempunyai banyak kekurangan, sifat yang mungkin tidak engkau sukai, serta kesilapan yang tidak pernah sengaja aku tonjolkan.”
Lampu hiasan di sudut bilik memancarkan sinar keemasan, membiarkan keheningan antara mereka menjadi ruang penyampaian rasa yang paling jujur. Ina tidak menyampai kata dengan terburu-buru. Dia merasai setiap ungkapan suaminya - bukan sebagai amaran, melainkan sebagai sebuah ketulusan jiwa yang terdedah tanpa dinding keangkuhan.
Muhammad mengeluh kecil, lalu menyambung bicaranya sambil merenung lembut ke dalam matanya:
“Aku tidak meminta engkau mencintaiku kerana aku sempurna. Aku cuma berharap, apabila segala kekuranganku mula kelihatan, engkau tidak menganggapnya sebagai alasan untuk pergi, sebaliknya sebagai sebahagian daripada diriku yang layak untuk diterima. Kerana aku juga akan belajar menerima setiap kekuranganmu dengan hati yang sama.”
Air mata Ika menitis perlahan, membasahi pipinya yang mulus. Bukan kerana duka, melainkan kerana tersentuh oleh keindahan jiwa seorang lelaki yang tidak menawarkan impian pelangi tanpa hujan, tetapi menawarkan kesediaan untuk bersama-sama meredah taufan. Ina menggenggam jemari Muhammad lebih erat, menyalurkan kehangatan jiwanya sendiri.
“Kanda,” suara Ika perlahan namun bergetar penuh tekad, “cinta yang kusimpan sejak awal bukannya untuk mencari kesempurnaan manusia, tetapi untuk mencari reda-Nya dalam mengemudi kehidupan yang sarat luka dan bahagia.”
Muhammad tersenyum tipis. Dia menyapu titisan air mata di pipi isterinya dengan ibu jari, lalu mengucapkan kalimat penutup yang menjadi pasak ikatan mereka mulai malam itu:
“Tiada hubungan yang mampu bertahan disebabkan kedua-duanya sempurna. Sesebuah hubungan bertahan kerana kedua-duanya saling menerima, saling memperbaiki, dan tetap memilih antara satu sama lain, meskipun kenyataan tidak sentiasa seindah harapan. Semoga jika takdir benar-benar menyatukan kita, kita dapat menjadi tempat berteduh yang saling menguatkan, bukannya tempat untuk saling meninggalkan.”
Di luar, sang bayu Ogos berbisik mesra membelai dedaunan malam. Pada tarikh 1 Ogos 2026 itu, tidak sekadar dua jasad yang diijabkandengan rukun dan syarat, tetapi dua jiwa telah bersumpah untuk menjadikan bahtera rumahtangga mereka sebagai tiang tempat berteduh—sebuah rumah yang dibina bukan atas batu marmar kesempurnaan, tetapi atas pasak saling memaafkan dan menguatkan.
Ayahsakinah
Pantai Dermaga (Port Dickson).
Jgn lupa pesan Pak Long ya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan