Ahad, Mei 31, 2026

Untuk diri sendiri

Dahulu, ketika hatiku masih hijau dan penuh kepercayaan, aku bertemu dengan seorang insan yang kukira boleh menjadi tanah subur bagi segala kehangatan yang kumiliki. Aku datang seperti angin petang yang lembut, membawa ketenangan dan curahan hati yang tulus. Bukan kerana mengharapkan balasan, tetapi kerana aku percaya bahawa kasih sayang yang sejati itu seperti hujan, ia turun bukan untuk meminta pujian, melainkan untuk menyuburkan.

Namun, semakin aku memberi, semakin dingin mereka menyambut. Aku dituduh kurang peka, kurang sempurna, kurang layak. Kata-kata mereka bagai pisau yang diasah tajam, menusuk dan melukakan. Aku diam. Aku telan segalanya bagai ubat pahit yang kononnya menyembuhkan. Malam demi malam, aku berdiri di hadapan cermin, mempersoalkan diri sendiri: “Apakah yang kurang pada dirimu, wahai hati?”

Lalu aku merobek-robek jiwaku. Aku buka jahitan luka lama yang sepatutnya sudah sembuh. Aku cuba menjadi lebih sabar. Lebih memberi. Lebih redha. Aku ubah diriku, supaya sesuai dengan acuan yang mereka mahukan. Tetapi semakin aku berubah, semakin mereka tidak puas. Kerana bukan aku yang dicari. Mereka mencari alasan untuk tidak menerima, mencari tempat untuk meletakkan luka yang mereka sendiri tidak mahu tanggung.

Setelah air mata sudah kering dan dada terasa kosong, barulah aku tersedar. Bukan aku yang perlu diperbaiki. Bukan aku yang rosak. Aku hanya seorang insan yang cuba menyembuhkan luka orang lain dengan darahku sendiri. Aku memikul beban yang bukan milikku, sementara mereka berjalan tanpa mahu memikul apa-apa.

Aku berlalu. Bukan dengan amarah yang membara, kerana aku pun pernah menyakiti hati orang lain tanpa sengaja. Aku pergi dengan diam yang penuh doa. Aku harap mereka sembuh. Bukan untukku, tetapi untuk diri mereka sendiri. Kerana jika mereka tidak sembuh, meteka akan terus menjadi duri yang menusuk siapa saja yang cuba mendekati, mencari orang lain untuk dihancurkan, supaya mereka tidak perlu menghadapi kehancuran dalam dirinya.

Kini, aku mekar dan berkembang.

Bukan kerana seseorang telah memperlakukanku dengan baik. Bukan kerana dunia tiba-tiba menjadi adil. Aku mekar kerana aku berhenti mencari kesalahan diriku dalam keengganan orang lain untuk mencintai. Aku faham sekarang, kehangatanku tidak pernah sia-sia. Hanya ada orang yang belum bersedia menerimanya. Mereka belum matang. Mereka belum siap untuk mekar, dan itu, bukan salahku.

Aku belajar bahawa ada musim untuk memberi, dan ada musim untuk menjauh. Ada musim untuk berdarah, dan ada musim untuk sembuh. Kini, aku berdiri dengan akar yang lebih dalam, daun yang lebih hijau, dan bunga yang tidak lagi bimbang terpaan angin.

Aku mekar, bukan untuk siapa-siapa. Aku mekar, kerana sudah tiba masanya.

Ayahsakinah 31 Mei 2026

Sabtu, Mei 30, 2026

Penapis Kertas Mengurangkan Kolestrol Jahat

Secara ringkasnya, kopi yang ditapis dengan kertas lebih baik untuk kesihatan jantung berbanding kopi yang tidak ditapis. Bukan biji kopinya yang menjadi masalah, tetapi dua sebatian minyak yang terkandung di dalamnya. Kedua-dua sebatian ini terperangkap oleh penapis kertas.

  1. Minyak kopi mengandungi dua jenis diterpena, iaitu cafestol dan kahweol. Kedua-dua bahan ini wujud dalam kopi yang tidak melalui proses penapisan.
  2. Diterpena tersebut menyebabkan hati kurang menyingkirkan kolestrol daripada aliran darah, paras kolestrol jahat (LDL) akan meningkat.

  3. Penapis kertas memerangkap minyak tersebut. Penapis daripada logam (seperti pada pembancuh gaya Perancis) dan kaedah merebus langsung membenarkan bahan ini terlepas ke dalam cawan.

Perbandingan Kaedah Pembancuhan (setiap 120 ml)

Kaedah Kandungan Cafestol (anggaran)

Tidak ditapis / Rebus terus - 4.4 mg

Penekan Perancis (French press) - 2.8 mg

Espreso - 1.2 mg (Ditetes dengan penapis kertas 0.08 mg)

Kesimpulan Kajian

Dalam kajian terhadap 508,747 orang Norway yang diikuti selama 20 tahun, pengguna kopi yang menggunakan penapis kertas menunjukkan kadar kematian paling rendah. Biji kopi yang sama, tetapi dengan penapis yang berbeza, memberikan kesan yang berbeza pada saluran arteri.

Oleh itu, penapis kertas ialah penyelesaian yang mudah dan berkesan.

Nota: Sumber kajian termasuk Naidoo 2011, Urgert 1997, de Roos 2000, dan Tverdal 2020.



Khamis, Mei 28, 2026

Selawat Awallin

Akhirnya hari ini ada org ajarkan teks penuh. 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ فِي الْأَوَّلِينَ

وَصَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ فِي الْآخِرِينَ

وَصَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ فِي النَّبِيِّينَ

وَصَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ فِي الْمُرْسَلِينَ

وَصَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ فِي الْمَلَإِ الْأَعْلَى إِلَى يَوْمِ الدِّينِ

Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Muhammad pada kalangan orang-orang yang terdahulu,

dan limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Muhammad pada kalangan orang-orang yang kemudian,

dan limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Muhammad pada kalangan para nabi,

dan limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Muhammad pada kalangan para rasul,

dan limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Muhammad di kalangan malaikat yang tertinggi sehingga hari kiamat.

3 kali pada waktu petang dan 3 kali pada waktu pagi, dosa-dosanya dihapus, kesalahan-kesalahannya akan hilang, sentiasa gembira, doanya akan dikabulkan, harapannya akan tercapai, dan akan dibantu melawan musuhnya.

Selasa, Mei 26, 2026

Fitnah yang memisahkan

Ahad pagi. Matahari belum lagi tegak, namun bahang di bengkel kayu Maliki sudah terasa laksana di dalam relau. Bunyi mesin ketam kayu menjerit-jerit, membelah kesunyian Kuala Sungai Baru. Habuk kayu berterbangan, hinggap di atas dahi Maliki yang lencun dengan peluh. Maliki, lelaki berumur empat puluh lapan tahun itu, tidak berhenti. Tangannya yang sasa tetapi semakin susut itu menolak papan jati dengan rakus.

Sudah tujuh tahun. Tujuh tahun sejak Zaiton, isterinya, dijemput pulang oleh Yang Maha Esa. Dan tujuh tahun jugalah, separuh daripada jiwanya direnggut pergi bukan oleh maut, tetapi oleh manusia yang berhati batu.

Maliki berhenti sejenak. Dadanya terasa sempit. Dia berpaut pada meja kerja. Dunianya berpusing. Hitam sekejap. Dia memejam mata rapat-rapat, menelan air liur yang terasa kesat. “Jangan rebah di sini, Maliki. Jangan biarkan orang nampak kau lemah,” bisik batinnya yang sudah lama hancur.

Dia kembali bekerja. Dia berlakon sihat. Di depan orang kampung, Maliki adalah lambang kerajinan. Kerja siang, kerja malam. Tapi mereka tidak tahu, setiap malam di rumahnya, Maliki rebah di atas lantai simen dapur. Kepenatan yang bukan sekadar jasad, tapi kepenatan roh yang merindui hilai tawa Muzafar, Mustakim, dan Muzamil.

Nenek Kalsom berdiri di pintu bengkel. Dia memerhati Maliki. Matanya yang tajam dapat melihat getaran pada jemari lelaki itu. Dia tahu, Maliki bukan bekerja untuk mencari kekayaan. Maliki bekerja untuk mengisi masa, membunuh rasa sepi yang memakannya hidup-hidup.

Fitnah yang Memisahkan

Nenek Kalsom melangkah masuk, mematikan suis mesin ketam yang sedang melolong. Maliki tersentak.

"Rehatlah, Maliki. Kayu tu tak lari ke mana. Tapi nyawa kau tu... kalau dah pergi, tak boleh lagi nak panggil balik," suara Nenek mendatar, tegas.

Maliki menyapu peluh dengan tuala buruk di bahunya. Dia cuba tersenyum, tapi senyum itu tawar. "Saya okay, Nek. Banyak tempahan nak kena siap ni."

"Tempahan ke, atau kau tengah lari dari bayang-bayang sendiri?" Nenek duduk di atas bangku kayu yang belum siap. 

"Tujuh tahun, Maliki. Sampai bila kau nak biar Kak Long kau tu canangkan cerita yang bukan-bukan?"

Maliki terdiam. Wajah kakak iparnya, Hamidah, terbayang di ruang mata. Hamidah, wanita yang merampas tiga anaknya sebaik sahaja jenazah Zaiton dikebumikan. Alasannya? Maliki tidak berwibawa. Maliki lelaki yang hilang punca. Maliki tak mampu jaga anak-anaknya.

Hamidah menanam racun dalam jiwa Muzafar, Mustakim, dan Muzamil. Dia memberitahu mereka bahawa ayah mereka tidak bertanggungjawab. Bahawa ayah mereka lebih pentingkan kerja daripada darah daging sendiri. Hakikatnya, setiap sen hasil titik peluh Maliki dihantar ke pintu rumah Hamidah setiap bulan, walaupun dia hanya mampu melihat anak-anaknya dari jauh, di seberang pagar yang dingin.

"Saya tak sampai hati nak tuntut di mahkamah, Nek," bisik Maliki, suaranya parau. "Budak-budak tu dah selesa di sana. Saya takut kalau saya paksa, mereka lagi benci pada saya. Biarlah... kalau itu harga yang saya kena bayar untuk mereka hidup senang."

Doa yang Tertahan

Nenek Kalsom memandang Maliki dengan pandangan yang sarat dengan simpati. "Kau terlalu baik, Maliki. Terlalu lurus sehingga orang boleh pijak kepala kau."

Maliki menunduk. Tangannya memegang sebilah pahat. "Hamidah selalu cakap saya ni tak guna. Dia canang pada orang kampung saya ni ayah yang buang anak. Anak-anak saya sendiri pun dah mula pandang saya macam orang asing. Sakitnya di sini, Nek..." dia menepuk dadanya sendiri. "Sakit sangat."

"Kau tak pernah berdoa ke supaya Tuhan balas apa yang dia buat?" tanya Nenek duga.

Maliki menggeleng pantas. Air matanya yang ditahan sejak tadi akhirnya menitis di atas habuk kayu.

"Tak, Nek. Saya tak sanggup menadah tangan memohon agar dugaan yang saya alami ini dialami juga oleh ipar saya itu. Walau apa pun, dia tetap kakak arwah isteri saya. Dia yang jaga anak-anak saya sekarang."

Maliki menarik nafas panjang, cuba menstabilkan suaranya yang bergetar.

"Anak-anak saya tetap anak-anak saya. Saya cuma fikir satu perkara saja... suatu hari nanti, jika keadaan berpusing, jika orang lain pula yang ambil anak-anak kakak ipar saya itu secara paksa... barulah dia akan tahu apa rasa pedihnya menatap dinding rumah sorang-sorang. Barulah dia akan tahu apa rasanya dipisahkan dari jantung hati sendiri. Tapi saya? Saya takkan minta Tuhan balas begitu. Saya cuma mahu anak-anak saya tahu... ayah mereka tak pernah berhenti mencintai mereka."

Monolog Nenek

Ali, Bad, dan Din berdiri di luar bengkel, mendengar perbualan itu dengan hati yang luluh. Maliki, yang mereka sangka 'orang kuat', rupanya sedang berderita luka di dalam.

Nenek Kalsom keluar dari bengkel, menghampiri anak-anak muda itu. Dia memandang ke arah Maliki yang kembali menyambung kerjanya dengan gerakan yang semakin lemah.

"Lihatlah lelaki itu," bisik Nenek Kalsom. "Dia bukan daun yang gugur. Dia bukan akar yang tersembunyi. Maliki itu laksana batang pokok yang besar di tengah hutan. Di luar nampak teguh, nampak kuat menahan panas dan hujan. Tapi sebenarnya, di dalamnya sudah hancur  berlubang dimakan anai-anai duka."

Nenek menyambung, "Anai-anai itu adalah rindu. Anai-anai itu adalah fitnah. Dia berlakon sihat supaya dunia tidak mengasihaninya, tapi setiap malam dia rebah dipukul kepenatan yang tidak berpenghujung. Maliki ini adalah contoh manusia yang memikul beban dunia di atas bahu yang sudah patah."

"Nek," celah Ali, suaranya sebak. "Kita tak boleh biar dia macam tu. Anak-anak dia kena tahu perkara sebenar."

Nenek mengangguk perlahan. "Kebenaran itu laksana air, Ali. Ia akan cari jalan untuk keluar juga akhirnya. Tapi sekarang, tugas kita bukan untuk menyerang Hamidah. Tugas kita adalah untuk menjadi penyangga kepada batang pokok yang sedang berlubang ini. Supaya bila angin besar datang nanti, dia tidak terus tumbang."

Rebah dalam Sujud

Malam itu, Maliki pulang ke rumahnya yang sunyi. Dia tidak menyalakan lampu ruang tamu. Dia terus ke dapur, mahu meneguk air. Namun, sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke ruang dapur, lututnya longgar.

Gubraaa!

Dia rebah di atas lantai simen. Dadanya berombak kencang. Mukanya pucat kebiruan. Kepenatan bekerja dari subuh hingga ke isyak akhirnya menuntut haknya. Dia terbaring lesu, matanya memandang siling rumah yang usang.

Di dalam kepalanya, dia terbayang Muzafar, Mustakim, dan Muzamil. Dia terbayang tawa mereka. Dia tidak marah pada Hamidah. Dia cuma sedih. Sedih kerana masanya semakin singkat, sedangkan anak-anaknya masih percaya dia adalah seorang lelaki yang jahat.

"Ya Allah..." bisik Maliki dalam nafas yang sesak. "Jangan ambil nyawa aku lagi. Biarlah aku sempat lihat anak-anakku sedar... bahawa aku tak pernah buang mereka. Biarlah aku... sempat jadi ayah mereka semula."

Dia memejam mata. Di luar, angin laut bertiup kencang, membawa bunyi ombak yang seolah-olah menangisi nasib si batang pokok yang sedang berlubang di dalam kesepian malam.

TAMAT
Ayahsakinah Mei 2026

Jumaat, Mei 22, 2026

The silent goodbye

One day your dad will stop calling your name,

And the house will feel strangely cold.

You’ll miss the little things he used to do,

The quiet love he never told.


He carried pressure you never could see,

While pretending everything was okay.

Even with pain hidden in his chest,

He still went to work every day.


He rose before the sun could shine,

Coffee black, no word or sign.

He fixed the roof, he changed the tire,

Built a world from his own fire.


You never saw his knees give way,

Or how he prayed for one more day.

He made your laugh his only goal,

While something heavy broke his soul.


You thought he’d always stay this strong,

Like fathers never break or fall.

But behind his tired and silent eyes,

Was a man who gave his all.


So hug your dad before time steals him,

Before regret becomes your pain.

Because when a father is gone forever,

No prayer can bring him back again.


So don't wait for a grand goodbye,

To see the tears he made you cry.

Call him now and whisper his name.

That same old love still burns the same.


One empty seat. One silent room.

One whistling kettle's lonely tune.

His worn-out shoes by the backdoor stand

A quiet map of a working man.


He wasn't perfect, but he was real.

He hid his ache to let you feel

That nothing in this world could break

The wall he built for your own sake.


Before that chair is cleared away,

Sit with him now. Let your heart say:

“I see you, Dad. I always will.”

Don't leave those words on a distant hill.


You’ll wish you knew his favorite song,

The year his own dad did him wrong.

You’ll want to ask, “Were you scared too?

When life was hard and dreams were few?”


But silence grows where voices freeze,

Between the doorways, keys, and keys.

He gave you roots, he gave you wings,

Never once complained of strings.


So ask him now. The small. The deep.

The silent cries and hurtful weep.

For one day soon, the phone won't ring

And that’s the sharpest, truest sting.


Khamis, Mei 21, 2026

Cinta Si Puitis

Senja yang Berdarah

Petang itu, alam seolah-olah sedang meratapi sesuatu yang tidak terungkap. Langit Kuala Sungai Baru berubah warna menjadi jingga kemerahan. Matahari, seolah sebuah bola api yang kian malap, mula tenggelam perlahan-lahan di sebalik Bukit Batu Lebah, meninggalkan sisa-sisa cahaya yang suram. Di pesisir pantai, ombak bertalu-talu memukul pasir dengan irama yang tidak menentu—sekali-sekali ia datang dengan ganas, kemudian surut dengan keheningan. Begitulah resah di hati Bad; tidak tenang, tidak juga karam sepenuhnya.

Angin laut bertiup sepoi-sepoi bahasa, membawa aroma garam yang masin bercampur dengan bau rumput kering di celah belukar. Burung-burung laut terbang rendah, mengepak sayap dengan lesu mencari arah pulang sebelum kegelapan malam menelan segala-galanya.

Di sebuah rumah papan yang kian uzur di celah-celah pepohon kelapa yang melambai layu, Bad duduk menyendiri di birai beranda. Lampu minyak tanah belum lagi dinyalakan. Hanya cahaya senja yang merah pekat menyuluhi wajahn cengkungnya. Di atas pangkuannya, terletak sehelai kertas yang sudah renyuk di bucu. Sebatang pensel pendek yang hampir habis matanya digenggam erat. Bibirnya terkomat-kamit, membisikkan baris-baris kata yang hanya didengari angin.

Bad sedang menenun bait puisi. Namun, ini bukan puisi tentang keindahan alam atau derita nelayan. Ini adalah puisi tentang Siti, gadis yang menjadi degup jantungnya selama bertahun-tahun tanpa sesiapa pun sedari.

Dia sudah menulis ratusan bait. Puisi tentang lengkuk senyuman Siti yang mampu memadamkan api amarah, tentang rambut Siti yang hitam berkilat ditiup angin di jeti, dan tentang sepasang mata Siti yang selalu sahaja mencari-cari sesuatu di kaki langit... sesuatu yang Bad tahu bukan miliknya. Namun, selama ini dia hanya membisu. Dia hanya berani mencintai dalam diam, membina istana kasih di atas kertas yang tidak pernah sampai ke tangan sang empunya badan.

Petang ini, suasananya berbeza. Pena batinnya menulis tentang sebuah perpisahan yang belum bermula.

Puisi: Warkah Melepaskan

“Aku tahu kau bukan untukku,
Sebab matamu sentiasa mencari yang lain,
Bukan aku yang kau dambakan,
Tapi bayangan lelaki yang mahu terbang tinggi.
Aku cuma seorang penulis puisi,
Duduk di sudut gelap, merakam dalam diam,
Menyayangimu tanpa sebarang bunyi,
Dan akhirnya... melepaskanmu dengan seulas senyuman.”

Bad meletakkan penselnya. Dia membaca baris-baris itu berulang kali. Sekali, dua kali, tiga kali. Tanpa dipinta, setitis air mata yang hangat jatuh menimpa kertas itu, memudarkan nukilan pada kalimah 'melepaskan'. Dia tidak mengesatnya. Dia biarkan duka itu menyerap masuk ke dalam serat kertas.

Rahsia yang Terburai

Jumaat pagi itu, suasana di rumah Nenek Kalsom sepatutnya tenang seperti biasa. Bad tiba paling awal, wajahnya tenang tetapi matanya kusam. Dia meletakkan sebuah buku nota berkulit perang di atas bangku kayu—buku yang mengandungi seluruh jiwanya selama bertahun-tahun. Ratusan puisi, ribuan rintihan hati.

Dia kemudian melangkah ke dapur untuk membantu Nenek membancuh kopi o pekat.

Din, tiba dengan langkah yang ceria. Dia ternampak buku nota itu terbiar sepi. Tanpa berfikir panjang, didorong oleh rasa ingin tahu dan sifat nakalnya yang belum hilang sepenuhnya, mencapai buku itu. Dia membukanya secara rawak. Sesaat, mukanya berubah. Dari riak biasa kepada terkejut, kemudian berubah menjadi satu senyuman yang penuh usikan jahat.

"Amboi, puitis betul kawan kita sorang ni!" Din bersuara lantang, terus membaca dengan nada yang sengaja didramatikkan tanpa meminta keizinan.

“Siti...
Nama mu bagaikan ombak,
Datang dan pergi, tapi selalu di hati...”

Serta-merta, suasana di beranda itu menjadi beku. Siti yang sedang menyapu sampah terhenti gerakannya, matanya terbeliak. Ali yang sedang mengunyah ubi kayu rebus hampir tersedak, matanya beralih tepat ke arah Din.

Bad meluru keluar dari dapur. Wajah kuning langsatnys bertukar pucat.

"Din... tolonglah... jangan baca lagi... bagi balik buku tu!" suara Bad bergetar, hampir merayu.

Namun Din, yang menyangka ini hanyalah gurauan ringan sesama kawan, tidak berhenti. Dia memanjat sebuah bangku, suaranya kian meninggi:

“Ali tidak tahu,
Bahawa kau menunggunya di setiap senja,
Tapi aku tahu,
Kerana aku juga menunggumu...
Tanpa kau tahu...”

Zapp! Bagaikan sebilah sembilu yang tajam menghiris terus ke hulu hati, Bad meluru dan merampas buku itu daripada genggaman Din. Seluruh tubuhnya menggeletar hebat. Mukanya merah padam menahan malu yang amat sangat,m. Dia memandang Siti yang terpaku kaku, kemudian memandang Ali yang terkedu, dan akhirnya memandang Din dengan pandangan yang sayu.

"Aku... aku..."

Bad tidak mampu menghabiskan ayatnya. Dengan buku nota yang dipeluk erat ke dada, dia berpaling dan berlari sekuat hati. Dia berlari meredah belukar kelapa, menghala lurus ke tanjung batu—tempat persembunyian bagi jiwa-jiwa yang tidak punya tempat untuk pulang.

..

.. 

..

“Aku lepaskan kau ke dalam pelukan senja yang tenang,
Bukan kerana kasihku sudah padam atau berkurang,
Tetapi kerana aku sedar dan fahami—
Bahawa kasih sejati itu tidak pernah memenjarakan.
Terbanglah kau, Siti. Terbanglah kau, Ali.

Aku tetap di sini, menjadi angin yang mendorongmu ke langit tinggi,
Bukan menjadi beban yang memberatkan kakimu di bumi.
Aku akan terus menulis,
Namun kali ini, tentang indahnya melepaskan,
Kerana aku tahu, melepaskan itu...
Adalah darjat cinta yang paling dewasa dalam kehidupan.”

Bad teringat pesan Pak Azmi, nelayan tua yang pernah berpesan kepadanya:

Indah sungguh bunga bakawali
Diusik jangan, dipetik pun jangan
Hati loba, merangkuli,
Hati kasih, melepaskan.

Itulah cinta yang paling tinggi.

Ayahsakinah, Mei 2026

Rabu, Mei 20, 2026

Bahang di Kuala Sungai Baru

BAB 6

Petang selasa itu, cuaca di Kuala Sungai Baru seperti sedang menguji sisa-sisa kesabaran yang ada dalam jasad manusia. Bahang panas terik menjalar tanpa belas, mencengkam dari ubun-ubun kepala membawa ke telapak kaki. Langit di atas hamparan Selat Melaka kelihatan membiru keputih-putihan, bersih tanpa segumpal awan pun yang sudi membias teduh. Matahari tegak berdiri, membahang garang seolah-olah enggan berganjak walau seinci dari atas bumbung rumah-rumah kampung. Angin laut mati tiba-tiba. Pelepah-pelepah kelapa tergantung lesu, kaku tanpa sedikit pun lambaian.

Di gerai kayu usang tepi jalan milik Mak Cik Timah, Siti terus mematikan diri dalam rutin hariannya. Cawan-cawan kaca dibasuh di dalam besen zink, berdenting halus meneman sunyi. Jemarinya lincah menyusun kuih-muih di atas talam. Namun, sepasang matanya yang bening tidak dapat menipu sepi; pandangan itu kerap meliar ke arah laut. Ada sesuatu yang sedang dicarinya di balik air laut yang tenang, atau mungkin, dia sedang bersiap sedia menanti sebuah takdir yang bakal menghampiri.

Mak Cik Timah—seorang wanita bertubuh gempal, berwajah bulat keibuan dengan rambut pendek ala puteri Inggeris Lady Diana, yang memutih di hujungnya, sedang sibuk menghadap kuali besar di dapur kecilnya. Asap minyak masak mengepul tebal, berbaur dengan keharuman sira gula hangus dan pisang yang sedang digoreng garing.

"Siti," ujar Mak Cik Timah dari balik asap dapur, memecah kesunyian yang agak luar biasa petang itu. "Kau ni kenapa? Sejak dari awal zohor tadi mak cik tengok kau membisu saja. Ada apa-apa yang tak kena ke, nak?"

Siti menghentikan tugasnya. Dia mengeluh halus. "Tak ada apa-apa, mak cik. Saya... saya cuma sedang berfikir."

"Fikirkan tentang apa?"

Siti tidak sempat menghabiskan ayatnya. Belum sempat bibirnya mengukir kata, dari arah jalan tar yang berbahang, kedengaran sebaris suara wanita—keras, lantang, menghancurkan keheningan petang dengan panggilan yang memekik-mekik.

"Siti! Siti! Ooo Siti! Kau ada kat dalam gerai ni, hah?"

Darah Siti tersirap. Wajahnya bertukar pucat lesi. Dia kenal benar dengan nada yang menggetarkan tiang gerai itu. Itu suara Kak Long.

Sembilu

Susuk Kak Long muncul memijak lantai gerai dengan langkah yang berat. Badannya yang besar disalut pakaian berwarna kuning terang yang menyakitkan mata pada petang yang marak itu. Raut wajahnya masam, mencuka bak cuka getah, mencerminkan hatinya yang tidak pernah tahu erti puas. Rambutnya disanggul ketat di belakang kepala, manakala sepasang matanya yang kecil merenung tajam, mencari sasaran amarahnya.

"Siti," Kak Long memulakan bicara tanpa sebarang salam, nadanya sinis menujah cuping telinga.

"Aku dengar cerita daripada budak-budak kampung, kau ni masih tak sedar diri? Masih bermimpi di siang hari nak jadi doktor?"

Siti diam membisu. Jemarinya menggenggam erat kain lap meja sehingga urat-urat tangannya kelihatan timbul.

"Jawablah! Mulut kau dah kena gam?" sergah Kak Long lagi, melangkah setapak ke hadapan. 

"Kau kena sedar diri kau tu siapa, Siti. Anak yatim piatu. Tak ada bapa, tak ada ibu. Kau boleh hidup dan menumpang makan di gerai Mak Cik Timah ni pun sebab orang kasihan, tahu tak? Lepas tu ada hati nak jadi doktor? Konon nak pakai baju putih, leher sangkut stetoskop, orang panggil kau 'doktor Siti'? Kau jangan nak bermimpi tinggi sangat, Siti. Kita ni keturunan orang miskin, sedar diri tu sikit. Nanti kalau mimpi kau tu tak kesampaian, kau yang jadi gila!"

Bunyi desiran pisang digoreng terhenti. Mak Cik Timah meletakkan senduk besinya ke tepi kuali. Dia melangkah keluar dari ceruk dapur dengan wajah yang merona merah menahan geram. Sepasang matanya merenung tajam ke arah Kak Long.

"Long," suara Mak Cik Timah mendatar namun sarat dengan amaran. "Kau kalau datang sini sekadar nak menyakitkan hati adik kau, lebih baik kau balik. Siti ni budak baik, dia tengah belajar. Dia ada hak untuk menyimpan impian!"

Kak Long melepaskan tawa sinis. 

"Hak? Eh, Mak Cik Timah! Kau tu bukan darah daging kami, tahu tak? Kau cuma orang luar yang menjaga dia sebab rasa kasihan saja. Jangan memandai nak masuk campur urusan dalaman kami adik-beradik!"

Suara kecil pemecah belenggu

Siti yang sejak tadi menundukkan kepala, tiba-tiba mengangkat wajahnya. Tiada setitik pun air mata yang tumpah di pipinya. Sepasang matanya yang selama ini layu, kini bernyala-nyala bagai bara api yang ditiup angin petang.

"Kak Long!" suara Siti lantang, memotong kata-kata kakaknya dengan ketegasan yang tidak pernah diperlihatkannya sebelum ini. 

"Saya hormat Kak Long sebagai satu-satunya kakak yang saya ada. Tapi saya takkan biarkan Kak Long menghina Mak Cik Timah begini! Mak Cik Timah yang menjaga saya sejak arwah ibu dan ayah tiada. Dia yang menyuap nasi ke mulut saya, dia yang membanting tulang mencari duit nak hantar saya ke sekolah. Kak Long? Apa yang Kak Long pernah bagi pada saya selama ni?"

Kak Long tergamam. Langkahnya tersentak ke belakang, langsung tidak menduga adiknya yang selalunya akur dan penakut itu kini berani memandang tepat ke arah matanya.

"Kau... kau dah pandai nak melawan aku sekarang, ya?" suara Kak Long meninggi, nadanya menggeletar marah akibat malu ditempelak di hadapan gerai. 

"Aku ni kakak kau! Aku yang menjaga kau masa ibu masih hidup dulu! Aku yang...!"

"Kak Long menjaga saya atau Kak Long sebenarnya mahu mengawal hidup saya?" pangkas Siti tanpa memberi peluang kakaknya membina hujah. 

"Setiap kali saya duduk menatap buku, Kak Long datang kata 'tak payah nak belajar tinggi-tinggi, hujung-hujung ke dapur juga'. Setiap kali saya bawa balik slip keputusan cemerlang, Kak Long kata 'tu semua sebab berkat doa aku, bukan sbb kau pandai'. Dan setiap kali saya jatuh atau buat silap, Kak Long adalah orang pertama yang bersorak sambil kata 'aku dah cakap, kau tu memang bodoh, tak pandai macam budak lain!"

Siti melangkah maju ke hadapan, dadanya berombak kencang menumpahkan segala noda duka yang sekian lama tersimpan.

"Kak Long tak pernah sekali pun bagi kata-kata semangat pada saya. Kak Long tak pernah kata 'Siti, aku tahu kau boleh buat'. Kak Long cuma tahu merendah-rendahkan maruah saya, mengingatkan yang saya ni anak orang miskin yang tak layak mendapat tempat di dunia ini! Kak Long... saya sayang Kak Long sebagai darah daging saya. Tapi mulai hari ini, saya takkan dengar kata-kata Kak Long lagi. Sebab setiap bait bicara yang keluar dari mulut Kak Long bukan nasihat... tapi racun!"

Wajah Kak Long bertukar merah padam. Rasa malunya bertukar menjadi amarah. Dia mengangkat tangan kanannya tinggi-tinggi, hayunan tangan itu sedia untuk dihenyak ke pipi Siti.

Akar teguh menentang Badai

Namun, hayunan tangan itu tidak mengena. Sebelum sempat Kak Long bertindak lebih jauh, susuk tubuh gempal Mak Cik Timah sudah pun meluru pantas, berdiri gagah laksana sebuah tembok batu di hadapan Siti. Senduk besi di tangan kanannya diangkat tinggi, menghalang ruang udara antara dua beradik itu.

"Long!" bentak Mak Cik Timah, suaranya memetir garang, bagai seorang srikandi, tangkas mengunci dan mematikan terus pergerakan tangan Kak Long. "Kau sentuh anak ni walau dengan hujung jari kau, kau terpaksa langkah mayat aku dulu! Aku bukan sapa-sapa dalam kampung ni, aku cuma seorang perempuan tua yang mencari rezeki dengan menjual pisang goreng di tepi jalan. Tapi aku tahu satu perkara, Long... anak ini bukan dilahirkan untuk kau pijak-pijak maruahnya!"

Mak Cik Timah menarik nafasnya yang termengah-mengah, matanya menatap lurus ke dalam anak mata Kak Long yang mulai goyah ketakutan.

"Siti ni sepatutnya menjadi kebanggaan kau! Tapi kau... kau tak pernah rasa bangga, kan? Kau sebenarnya cemburu, Long! Kau cemburu sebab kau sendiri telah gagal menjadi apa yang kau impikan dulu, dan sekarang kau mahu patahkan pula sayap adik kau sendiri supaya dia turut tersungkur di lumpur yang sama dengan kau!"

"Aku... aku tak pernah cemburu pada dia!" nafi Kak Long, suaranya mula goyah dan menggeletar.

"Kau cemburu!" bidas Mak Cik Timah tanpa belas kasihan. 

"Kau cemburu kerana Siti masih mempunyai keberanian untuk bermimpi di saat kau sendiri dah lama menyerah kalah pada takdir. Kau biarkan orang lain memijak-mijak mimpi kau dulu, dan sekarang kau busuk hati hanya tahu mengkritik, mencuri kebahagiaan daripada penderitaan orang lain! Aku bercakap ni atas dasar sebagai orang tua yang dah banyak makan garam daripada kau... sekarang, kau berambus dari gerai aku! Jangan kau berani menapak dekat dengan Siti lagi jika tujuan kau hanya mahu menuang racun!"

Monolog Alam Semesta

Tepat pada saat ketegangan memuncak, kedengaran bunyi hentakan tongkat kayu di atas simen. Nenek Kalsom muncul di hadapan gerai. Rupanya, suara pertengkaran itu sampai ke pendengarannya dari kejauhan. Dia berdiri tegak, sepasang matanya yang tajam bak helang mengunci terus susuk Kak Long.

"Long," ujar Nenek, suaranya perlahan namun mempunyai gema yang menundukkan ego manusia. "Kau balik sekarang. Nek tak ada masa nak berhujah dengan orang macam kau. Tapi Nek nak kau hadam satu perkara sebelum kau melangkah dari sini—kau itu tak ubah seperti sehelai daun yang rapuh, tidak akan pernah mampu memahami mengapa akar sanggup menderita mencengkam bumi demi sekeping tanah."

Kak Long cuba membuka mulut untuk membela diri, namun tatkala memandang wajah bengis Nenek Kalsom, berserta Mak Cik Timah yang masih bersedia dengan senduk besinya, ditambah pula dengan renungan sepasang mata Siti yang kini kelihatan begitu tenang tanpa gentar, dia tahu dia telah kalah di medan ini.

Sambil merengus kegeraman, Kak Long memusingkan badannya, melangkah meninggalkan gerai itu dengan langkah yang terkedek-kedek menahan malu. Namun, sebelum susuk tubuhnya hilang di sebalik selekoh jalan kampung, dia sempat berpaling.

"Siti! Kau ingat pesan aku ni! Suatu hari nanti kau pasti akan melutut menyesal disebabkan kedegilan kau hari ini!"

Siti berdiri tegak, suaranya tenang namun tajam menghiris angin petang, 

"Kalau saya terpaksa menyesal sekalipun di hari muka, Kak Long...sekurang-kurangnya saya menyesal kerana telah mencuba, bukannya menyesal sebab diam membatu, hanya menerima takdir dengan penuh kepahitan seperti Kak Long!"

Daun Menolak Langit

Kak Long hilang dari pandangan. Nenek Kalsom melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu di hadapan gerai. Mak Cik Timah melangkah longlai kembali ke ceruk dapurnya; tanpa disedari, beberapa titis air mata jatuh menitis ke dalam kuali minyak yang panas, berdesis halus meneman duka.

Nenek Kalsom memandang Siti, lalu memberi isyarat agar gadis itu duduk di sisinya. Suaranya berubah penuh kelembutan.

"Siti. Kau dengar kisah duka yang Nek nak sampaikan." Nenek membetulkan letak kain selendangnya.

"Orang Daun yang wujud dalam kalangan ahli keluarga sendiri... mereka itulah yang sebenarnya paling berbisa dan paling payah untuk kita hadapi. Kerana apa? Kerana mereka berkongsi darah yang sama, mengusung nama keturunan yang serupa, namun menghamburkan kata-kata yang mematikan jiwa. Mereka sering menggunakan alasan keramat... 'aku bercakap begini sebab aku sayangkan kau'. Namun hakikatnya, sayang yang mereka tawarkan adalah sejenis belenggu besi yang mahu mengurung kau!"

Nenek menarik nafas dalam-dalam, matanya memandang jauh ke kaki langit seolah-olah sedang membaca bait-bait sajak dari alam nyata.

"Kakak kau itu sehelai daun, Siti. Bukan kerana dia seorang manusia yang jahat, tidak. Dia bersikap begitu kerana dia diselimuti ketakutan yang amat sangat. Dia takut melihat kau berjaya. Kerana jika kau berjaya menggenggam gelaran doktor itu nanti, dia terpaksa berhadapan dengan cermin realiti untuk mengakui segala kegagalan hidupnya sendiri. Dia takut melihat kau terbang bebas mengapai cita-cita, kerana dia sendiri tidak pernah mempunyai sekelumit keberanian untuk mengembangkan sayapnya."

Nenek menepuk lembut bahu Siti. "Tetapi itu semua bukan masalah yang perlu kau selesaikan, Siti. Kau mesti menanam ketegasan yang hakiki dalam sanubari. Kau mesti tegas, terus menyayangi dia sebagai seorang kakak, namun kau tidak boleh tunduk kepada kehendaknya. Kau mesti tegas untuk mendengar setiap butir bicaranya, tetapi kau tidak boleh sesekali mengikut rentak jalannya. Kekal berada di sisinya sebagai keluarga, namun kau jangan biarkan dirimu tenggelam dalam lautan dukanya!"

"Nek..." suara Siti mula bergetar, ada sisa kekeliruan yang berbaki. "Bagaimana caranya untuk saya terus mengekalkan rasa sayang terhadap seorang kakak yang saban hari tidak pernah jemu meremehkan impian hidup saya?"

"Kau letakkan rasa sayang itu atas dasar dia sebagai makhluk Tuhan, Siti. Namun, jangan sesekali kau sandarkan nilai harga diri pada kata-kata yang keluar dari bibirnya! Nilai harga diri kau yang sebenar terletak di hadapan Tuhan, terletak pada setiap titisan keringat usaha kau, dan terletak pada impian ikhlas yang kau bawa. Kata-kata nista kakak kau itu sebenarnya hanyalah cermin yang memantulkan kekeruhan hatinya sendiri, bukan cermin yang menggambarkan siapa diri kau yang sebenarnya!"

Kasih Tanpa Pertalian Darah

Mak Cik Timah keluar dari dapur dengan wajah yang basah—bukan disebabkan percikan minyak panas, melainkan lencun dengan air mata yang telah lama ditahan. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah kanan Siti, lalu tanpa sebarang kata, dia menarik tubuh gadis yatim piatu itu ke dalam pelukannya. Dekapan itu begitu erat, begitu sarat dengan kehangatan seorang ibu.

"Siti..." suara Mak Cik Timah pecah di celah esakan tangisnya. "Mak cik bukan orang bijak yang pandai bersilat kata dengan ayat-ayat besar. Mak cik cuma seorang perempuan tua yang hidupnya habis di depan kuali goreng pisang ni. Tapi mak cik nak kau tahu satu perkara, Siti... mak cik sayangkan kau tak ubah seperti anak kandung mak cik sendiri. Mak cik jaga kau selama ni bukan semata-mata atas dasar rasa kasihan, tetapi kerana kau adalah seorang anak yang baik."

Mak Cik Timah mengusap lembut rambut Siti yang kusut. "Kau anak yang rajin, kau budak yang pandai, dan kau tak pernah sekali pun merungut tentang kesusahan hidup kita. Mak cik mungkin bukan yang cantik pada pandangan mata orang, mak cik bukan juga sebatang ranting yang tinggi. Tapi mak cik akan cuba sedaya upaya untuk menjadi akar yang kukuh menyokong kau. Akar mungkin bentuknya hodoh, terperangkap di dalam lumpur hitam yang kotor, tetapi sebagai sokongan yang tidak pernah lari saat ribut melanda!"

Siti akhirnya tewas. Air matanya tumpah jua, dia membalas pelukan Mak Cik Timah dengan erat. Bahunya terenjut-enjut menumpahkan segala rasa syukur yang melimpah-ruah.

"Mak cik... saya betul-betul mahu jadi doktor," rintih Siti di celah tangisnya. "Saya bukan mengejar gelaran itu kerana mahukan harta kekayaan yang melimpah, tidak. Saya mahu jadi doktor kerana saya mahu menyelamatkan manusia-manusia yang menderita sakit seperti arwah bapa saya dulu... orang yang jiwanya tercedera tetapi tidak pernah mendapat peluang untuk dirawat. Saya mahu meletakkan diri saya sebagai penawar buat luka-luka mereka, mak cik."

Mak Cik Timah menyapu air mata di pipi Siti dengan hujung jarinya. "Kau pasti akan bergelar doktor suatu hari nanti, Siti. Mak cik berjanji... Sebenarnya mak cik telah mengetepikan sebahagian wang hasil jualan pisang goreng ni, simpan sikit-sikit, biarpun jumlahnya tidak seberapa, cukup untuk membantu keperluan asas kau belajar."

Tiga pesanan Nek Kalsom

Nenek Kalsom mengetuk tongkat kayunya sekali lagi di atas lantai gerai, menarik perhatian mereka. "Siti. Sebelum matahari petang melabuhkan tirai, Nek nak kau sematkan tiga azmat ini dalam hati kau."

Nenek meluruskan jari telunjuknya. "Pertama—Hubungan kekeluargaan melalui pertalian darah adalah takdir yang tidak boleh kita pilih sejak lahir. Namun, tentang siapa manusia yang layak untuk kau pilih dan jadikan sebagai 'akar' dalam kehidupan kau... itu adalah hak mutlak yang berada di tangan kau sendiri! Kau tidak ada sebarang kewajipan rohani untuk menjadikan kakak kau sebagai akar tempat kau berpaut, kerana dia hanyalah sehelai daun yang sedang menanti masa untuk gugur. Tetapi wanita di sebelah kau ni, Mak Cik Timah—dialah akar sejati yang dikirimkan Tuhan untuk kau. Simpan susuknya rapat dalam dada kau, hargai dia. Kerana di atas muka bumi ini, manusia yang berjiwa akar amat jarang ditemui."

Nenek menunjukkan jari keduanya. "Kedua—Setiap kali manusia di sekeliling kau melemparkan kata-kata yang kau tidak akan mampu mencapai impian kau, ketahuilah... mereka sebenarnya sedang mempertontonkan had keterbatasan yang ada dalam diri mereka sendiri, bukannya had kemampuan diri kau! Jangan sesekali kau serahkan kepercayaan pada kata-kata mereka. Letakkan seluruh pergantungan kau pada kekuasaan Tuhan, dan percayalah pada setiap titisan usaha yang kau lakukan."

Jari ketiga Nenek diangkat. "Dan ketiga—Sebelum kau bersedia untuk menjadi 'akar' yang menyelamatkan nyawa manusia lain di hari muka, kau wajib terlebih dahulu menjadi akar yang kukuh untuk menegakkan diri kau sendiri! Jangan kau biarkan kata-kata racun daripada orang lain membusukkan tanah subur yang ada di dalam hati kau. Hati kau itu dicipta Tuhan khusus untuk kau menanam benih impian, bukannya tempat untuk manusia luar menyemai racun dendam."

Tekad di Bawah Lambaian Senja

Sang suria mula condong ke barat, melabuhkan tirai dengan coretan jingga keemasan yang memukau di kaki langit. Burung-burung layang-layang mula terbang rendah, bersahut-sahutan pulang menuju ke sarang di celah-celah pelepah kelapa. Suasana di gerai usang Mak Cik Timah mula diselimuti ketenangan senja yang damai.

Siti melangkah keluar, berdiri tegak di hadapan gerai kayu itu. Tangan kanannya, kemas tergenggam  buku rujukan Biologi yang sudah agak renyuk. Wajahnya tidak lagi memancarkan duka; sepasang matanya tidak lagi layu diurung resah. Ada sinar baharu yang sedang mekar di segenap raut wajahnya—sebuah ketegasan seorang manusia yang telah menemui paksi hidupnya.

Siti menarik nafasnya dalam-dalam, lalu membisikkan kata-kata tekad kepada dirinya sendiri, suaranya halus namun sarat dengan keazaman:

 "Aku adalah Siti. Anak yatim piatu yang dibesarkan di celah kemiskinan kampung. Kak Long kata aku tak layak, manusia sekampung menuduh aku gila kerana bermimpi mahu memeluk langit. Namun Tuhan belum pernah sekalipun membisikkan kata 'tidak' pada impian ini. Dan selagi gema suara-Nya tidak menghentikan langkahku, aku akan terus berjalan meredah badai menjadi akar yang paling kukuh untuk menegakkan maruah diriku sendiri. Suatu hari nanti... aku bersumpah akan menjadi akar yang paling dalam untuk menyelamatkan nyawa manusia lain!"

Senyuman akhirnya terukir di bibir Siti— berjaya memancarkan sinar kebahagiaan yang tulen dari lubuk jiwanya.

Gema Ombak di Beranda Tua

Malam pun tiba membawa kepekatan sunyi di Kuala Sungai Baru. Nenek Kalsom duduk termenung bersendirian di atas tikar mengkuangnya. Nyalaan sumbu pelita minyak tanah meliuk-liuk lembut ditiup bayu malam, memantulkan bayang-bayang tua di dinding. Bunyi desiran ombak pantai yang menghentam benteng batu bersahut-sahutan.

Nenek tersenyum sendirian, lalu berbisik perlahan, suaranya hanyut bersama kegelapan malam, "Siti... kau akhirnya telah menemui rahsia kehidupan. Kau telah berani memilih untuk berpaut pada kelihatan akar. Nek tahu jalan yang bakal kau redah lepas ni bukannya mudah... Orang-orang Daun di luar sana akan terus datang menyerang hidupmu; mereka akan melabel kau sebagai seorang adik yang sombong, menuduh kau degil, mencemuh kau sebagai manusia lupa daratan. Namun biarkanlah mereka dengan kata-kata..."

Nenek Kalsom memejamkan matanya dengan penuh takzim. "Teruskanlah melangkah tanpa perlu berpaling lagi, Siti. Kerana sifat akar yang sejati tidak pernah menagih sebarang pengesahan daripada sehelai daun yang rapuh. Akar akan kekal kuat dan kukuh mencengkam bumi. Dan bumi yang dicipta Tuhan ini... jarang mengkhianati kesetiaan akar."

Angin malam dari arah Selat Melaka bertiup kencang, menyebabkan nyalaan pelita minyak tanah itu berkelip-kelip lembut, namun api kecil itu tetap menyala terang.

TAMAT BAB 6


Jika tidak kerana guru, aku tidak mengenal Rabbku.

Ayahsakinah 
20 Mei 2026


Isnin, Mei 18, 2026

Seteguk Kopi yang Mengubah Takdir

Petang itu, Ali melangkah pulang ke kediaman bapanya di pinggiran pantai. Rumah hijau yang catnya telah pudar itu kelihatan sunyi; pintunya yang separuh terbuka seolah-olah sedang meratapi kesunyian yang berpanjangan sejak ibunya meninggal dunia.

Di ruang tamu yang suram, kelihatan susuk Pak Mail sedang duduk terhenyak di atas kerusi rotan usang. Setia dengan tabiat lamanya, televisyen dibiarkan terpadam, manakala lampu kalimantang tidak dinyalakan walau pun kegelapan malam mula menyelimuti. Beliau hanya duduk diam, sepasang matanya menatap kosong ke arah dinding papan rumah itu.

Ali melangkah masuk dengan penuh tertib. Beliau tidak terus melontarkan kata-kata. Langkahnya diatur menuju ke ceruk dapur. Ali menyalakan api dapur gas, menjerang air sehingga mendidih, lalu membancuh secawan kopi O pekat—pahit dan kurang manis, persis air tangan arwah ibunya dahulu. Air kopi itu dituang cermat ke dalam sebuah cawan seramik lama yang mempunyai sedikit retakan pada bibirnya.

Dengan penuh berhati-hati, Ali membawa cawan yang masih berasap itu ke ruang tamu, lalu meletakkannya di atas meja kopi kecil di sisi kerusi rotan ayahnya.

"Ayah..." suara Ali meluncur perlahan, bergetar menahan gelora emosi yang hebat. "Minumlah kopi ini. Ali... Ali sayangkan ayah."

Pak Mail langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tubuh tuanya kekal kaku, manakala sepasang matanya masih terpaku pada dinding papan yang suram.

Ali tidak berputus asa. Beliau mengambil keputusan untuk duduk bersila di atas lantai simen, rapat di sisi lutut ayahnya. Beliau tidak cuba memaksa bapanya berbicara; beliau hanya setia menemani kesunyian itu.

Lima minit berlalu. Sepuluh minit ruang tamu itu terus membisu. Lima belas minit suasana hanya ditemani deruan ombak di luar rumah.

Tiba-tiba, satu keajaiban kecil berlaku. Perlahan-lahan, Pak Mail mengalihkan pandangan matanya yang kusam. Beliau menatap cawan kopi yang masih berbaki asap nipis itu, kemudian pandangannya beralih melihat susuk anaknya yang sedang setia duduk melutut di atas lantai—melihat wajah Ali yang merah padam menahan takungan air mata daripada tumpah.

Lelaki tua yang patah hati itu tetap tidak membuka mulut. Namun, tangan tuanya yang dipenuhi urat-urat hijau mula bergerak perlahan. Beliau mencapai tangkai cawan seramik itu, membawanya ke bibir, lalu menghirup air kopi itu seteguk demi seteguk dengan penuh cermat.

Air mata Ali akhirnya tidak dapat dibendung lagi; ia gugur mencurah melihat pemandangan itu. "Ayah... esok pagi, Ali bancuhkan kopi lagi untuk ayah ya?"

Pak Mail tidak memberikan sebarang jawapan lisan. Namun, beliau tidak meletakkan semula cawan itu dengan kasar, dan beliau juga tidak menolak pelawaan anaknya. Dan bagi sepotong jiwa seorang bapa yang sedang hancur dilapah duka—sebuah tindakan yang tidak menolak itu sudah membawa erti yang teramat besar dalam hidupnya.

Bisikan di Balik Nyalaan Pelita

Malam kian larut membawa kepekatan yang sunyi. Nenek Kalsom duduk termenung bersendirian di beranda rumah tuanya. Nyalaan api daripada pelita minyak tanah meliuk-luk ditiup angin malam yang dingin, memercikkan cahaya kecil di atas permukaan tikar mengkuang. Beliau baru sahaja menerima khabar gembira daripada Siti—bahawa Ali telah berjaya meruntuhkan ego malam pertama ayahnya dengan secawan kopi O pahit.

Seulas senyuman lebar terukir di bibir tua Nenek—sebuah senyuman yang sarat dengan takungan air mata kesyukuran yang tidak sempat jatuh ke bumi.

Beliau berbisik perlahan, suaranya halus tenggelam dalam desiran angin malam, "Itulah titik mula sebuah penghijrahan, Ali... 

Hakikatnya, sesebuah impian yang besar itu tidak semata-mata menuntut keberanian yang luar biasa untuk terbang tinggi di langit; sebaliknya ia sering kali bermula daripada satu langkah yang paling kecil—tindakan membancuh secawan kopi, kerelaan untuk duduk berlutut di atas lantai simen, dan keberanian untuk membisikkan kalimah 'Aku sayangkan ayah'." Itulah rupa benih Orang Akar yang mula menjalar, mencengkam kuat ke dalam perut bumi.

Nenek mengetuk lantai beranda perlahan. "Dan sebatang akar... jika sentiasa disirami dengan titisan kesabaran dan keikhlasan yang luhur, dia pasti akan tumbuh subur menjadi sebuah pohon yang bugar. Pohon rendang yang mampu tegak berdiri menentang amukan ribut taufan, pohon kukuh yang boleh dijadikan tempat berpaut bagi jiwa-jiwa yang sedang lara. Dan pohon itulah... yang suatu hari nanti... akan tersenyum bangga melihat dahan mudanya terbang bebas membelah dada langit."

Nenek perlahan-lahan memejamkan matanya. Di kejauhan malam yang pekat, bunyi desiran ombak pantai terus bersahut-sahutan, manakala dari celah-celah dahan pokok, kelihatan sebiji cahaya lampu dari rumah Ali sedang menyala kecil. Biarpun kecil dan samar, namun cahaya itu tetap menyala—menandakan harapan baharu telah pun bermula.

TAMAT

Ahad, Mei 17, 2026

Tikar Mengkuang di Penghujung Petang

BAB 1: Tikar Mengkuang di Penghujung Petang

​Garam di Laut, Asam di Darat

​Petang Khamis pertengahan bulan Mei itu seolah-olah mahu membakar bumi. Bahang matahari menjalar dari ubun-ubun, merayap ke telapak kaki. Langit membiru pucat, rupa parasnya bagai bekas air rebusan ubi yang kusam. Angin yang bertiup dari arah Kuala Sungai Baru membawa aroma yang sarat—bau payau garam, hamis ikan kering di atas para, dan sesekali disulami bau tanah lembab dari kolong rumah kayu. Di pesisir pantai, ombak kecil memukul tetambak batu; bunyinya dug... dug... dug... persis rentak nadi warga tua yang kian hilang rentaknya.

​Di pinggir pantai itu, rumah-rumah papan berderet pasrah. Sebuah daripadanya tegak bertiang tinggi, mengenakan cat biru lusuh yang sudah lama dimakan usia. Tingkap kayunya terbuka separuh, seolah-olah sedang mengintai rahsia alam. Di beranda, seorang wanita uzur—Nek Kalsom, yang lebih mesra disapa Nenek Kebayan—duduk bersimpuh di atas sebidang tikar mengkuang.

​Rambutnya yang memutih disanggul kemas. Wajahnya berkerut-kerut persis kulit kayu batang pohon asam gelugur yang lama dijemur, namun matanya tetap tajam. Hitam dan bening, memancarkan sinar. Bibirnya nipis, menyimpan seribu rahsia. Apabila dia menguntum senyum, wajahnya berubah teduh; namun saat dia diam membungkam, raut wajahnya bertukar dingin. Dia mengenakan baju kurung Kedah rona gelap, kain batik sarung, dengan selendang batik tersangkut di bahu kiri. Di kakinya, terdapat parut-parut lama—bekas sengatan lipan dan derita disawah sewaktu zaman mudanya dahulu.

​Mulutnya tekun mengunyah sirih. Sesekali, cairan merah diluahkan ke dalam tempurung kelapa di sisi.

​Di hadapannya, empat anak muda duduk bersila di atas tikar. Tadi mereka galak bersenda-gurau, namun sebaik sahaja Nenek mengangkat tangan, suasana serta-merta menjadi hening.

​Suara Hati di Beranda Tua

​"Duduk elok-elok. Jangan kecoh sangat. Nek nak bercakap ni," tegur Nenek, nadanya mendatar namun penuh wibawa.

​Ali, dengan baju lusuhnya dan rambut ikal yang tidak terurus, terkebil-kebil. Bad sekadar membisu, matanya jauh menghala ke ufuk laut sambil melepaskan keluhan berat. Din, yang berpakaian jenama mahal dengan wajah yang tegang, sempat menjeling skrin telefon pintarnya. Siti pula, gadis sunti berusia 17 tahun yang berbaju sekolah lusuh tetapi rapi, duduk di penjuru sekali. Matanya tidak lepas memandang Nenek.

​"Kau orang semua ni muda lagi," suara Nenek mula kedengaran parau, seakan-akan sedang melantunkan bait lagu lama yang penuh rintihan. "Kau orang ingat kawan-kawan kamu yang ada sekarang ni akan kekal sampai ke liang lahad? Nek cakap agar kamu tidak tertipu."

​Dia meludah sirih. Puhh! Bunyinya kedengaran berat.

​"Ada tiga jenis manusia di dunia ni. Bukan Nek yang memandai reka. Alam yang mengajarkannya. Ingatlah pepatah minang “Alam takambang menjadi guru”.

​Ali mencelah, "Tiga jenis macam mana, Nek? Macam dalam filem mat salleh tu ke? Yang baik, yang jahat, dengan yang hodoh?"

​Nenek tertawa kecil. Namun, tawa itu kering. Kedengarannya bukan kerana lucu, tetapi lebih kepada sebuah sindiran terhadap kejahilan.

​"Kurang ajar betul budak ni. Tapi tak apalah, Nek maafkan. Dengar sini elok-elok."

​"Cepatlah sikit Nek, panas ni. Tak laratlah nak berpeluh kat sini," rungut Din tanpa memandang wajah tua itu.

​"Din. Letak telefon tu!" Suara Nenek tiba-tiba memetir. "Kalau kau rasa tak nak dengar, kau baliklah ke rumah besar kau tu. Tapi ingat satu perkara—rumah tu pinjaman. Nyawa kau dalam jasad tu pun juga pinjaman!"

​Din tergamam. Wajahnya merona merah, namun dia segera menyimpan telefon ke dalam saku. Siti memandang Nenek dengan penuh takzim.

​Falsafah Daun, Ranting, dan Akar

​"Tiga jenis manusia: Daun, Ranting, dan Akar."

​Angin bertiup lembut, meluruhkan pelepah kelapa kering jatuh ke pasir pantai.

​"Orang Daun—mereka ini nampak cantik. Mereka datang masa kau senang, masa kau ketawa, masa kau boleh belanja mereka makan. Tapi bila angin musibah datang melanda—bila kau sakit, bila kau jatuh miskin—mereka lari dulu. Mereka pergi, tak berpaling lagi."

​Nenek mengalih pandang ke arah Siti. Pandangannya tajam namun tersirat kasih seorang bekas guru.

​"Dengar ni, Siti. Kau tu perempuan. Hati kau mudah sangat nak sayang orang. Kau ingat kawan kau yang asyik nak meminjam nota tu betul-betul sayang kat kau? Bila gred kau jatuh nanti, ada dia datang pujuk? Tak ada, Siti. Dia akan cari orang lain yang lebih cerdik. Sebab dia itu bersifat daun. Musim hujan dia menghijau, musim kemarau dia gugur. Itulah daun."

​Siti menunduk. Kolam matanya mula digenangi air.

​"Dan kau, Ali. Kau berangan nak jadi juruterbang, kan? Kau ingat kawan-kawan yang asyik tepuk bahu kau sekarang ni akan ada bila kau gagal ujian ketahanan fizikal kelak? Mereka nak kata 'kau boleh' ke? Tidak! Mereka akan senyap seribu bahasa. Sebab mereka itu dedaunan. Daun ni amat penakut dengan angin yang mengoncangkannya."

​"Takkan semua orang macam tu, Nek?" Ali cuba membela diri, tangannya digenggam erat.

​"Betul, bukan semua. Tapi kau orang ni mentah lagi. Belum tahu membezakan kaca dengan permata. Nek bercakap sebab Nek dah lalui kesemuanya. Nek pernah merasa jadi kaya, pernah juga merasai hina jadi miskin. Nek pernah ada kawan keliling pinggang, tapi akhirnya Nek keseorangan. Masa itu, baru Nek tahu siapa yang tinggal. Banyak wayang kulit dan sandiwara."

​Suasana sepi seketika. Hanya bunyi desiran ombak dan jeritan burung camar di kejauhan.

​"Hanya seorang sahaja yang tinggal. Namanya Mak Cik Timah. Dia pun orang susah juga. Tapi dia yang paling awal menghulur tangan untuk membantu. Dia kata, 'Kak Som, mari tinggal dengan aku.' Masa tu Nek menangis semahu-mahunya. Nek peluk dia kuat-kuat. Sebab dia bukan daun. Dia itu bersifat akar."

​Ibrah daripada Salbiah dan Halimah

​Nenek menyambung kisahnya, "Dulu Nek ada dua orang kawan. Seorang namanya Salbiah. Orangnya cantik, mulut manis bergula. Suka pinjam baju Nek, suka ajak Nek besiar-siar di bandar. Nek sangka dialah sahabat sejati dunia akhirat.

​Seorang lagi namanya Halimah. Pendiam, mukanya nampak macam orang tengah marah saja. Tak pernah meminta-minta. Tapi dialah yang tolong Nek angkat air, dialah yang tolong jaga mak Nek masa tengah terlantar sakit.

​Bila Nek jatuh—ayah Nek meninggal dan tinggalkan hutang keliling pinggang—Salbiah orang pertama yang hilang. Pura-pura tak kenal bila terserempak di pasar. Tapi Halimah? Dia datang membawa beras, bawa ikan masin. Dia kata, 'Kak, masak dan makanlah dulu. Hal lain kita sama-sama fikirkan kemudian.'"

​Nenek berhenti seketika. Matanya berkaca. Dia menyapu jurai air mata dengan hujung selendangnya.

​"Itulah bezanya. Salbiah itu cuma daun, Halimah itu akar."

​Din bertanya perlahan, suaranya sedikit bergetar, "Jadi, apa pesanan Nek sebenarnya?"

​"Pesan Nek mudah saja. Jangan sesekali buat keputusan yang kekal dengan orang yang sifatnya sementara. Jangan kau kahwin dengan orang daun. Jangan kau buat kongsi niaga dengan orang ranting. Jangan kau serah hati kau bulat-bulat pada mereka yang takkan ada masa kau rebah."

​Hujan di Hati Siti

​Ali mengangkat muka, matanya kemerahan. "Tapi Nek, macam mana kita nak tahu siapa daun? Mereka nampak baik sangat, nampak ikhlas."

​"Sebab itulah kau kena uji. Bukan kau yang sengaja uji, tapi masa yang akan datang menguji. Daun gugur ditiup angin. Ranting patah bila dibebankan. Tapi akar? Akar makin mencengkam ke dalam bumi bila dilanda badai."

​Nenek memandang Siti yang sedari tadi membisu. "Siti, kau diam saja. Kau fikir apa?"

​"Nek... mak dengan ayah saya tu orang daun ke? Mereka tinggalkan saya," soal Siti dengan suara kecil yang bergetar.

​Suasana menjadi pilu. Seolah-olah ombak juga berhenti memukul pantai buat seketika. Nenek mengesot sedikit, lalu mencapai jari jemari Siti.

​"Siti, mak ayah kau bukan daun. Mereka cuma manusia biasa yang tewas dengan ketakutan. Mereka takut nak jadi ranting, apatah lagi nak jadi akar. Tapi kau, jangan jadi macam mereka. Belajarlah daripada kesilapan mereka. Itulah beza orang yang bijak dengan orang yang jahat."

​Siti akhirnya menangis teresak-esak. Nenek menariknya ke dalam pelukannya. Ali mahu mendekat untuk menenangkan, namun dihalang oleh isyarat mata Nenek yang tajam.

​"Biarkanlah dia menangis. Tangisan perempuan bukan tanda dia lemah, tapi tanda dia masih punya jiwa. Kalau dia diam tanpa suara, itu yang lebih bahaya."

​Penghujung yang Berbekas

​Mentari mula melabuhkan tirai. Rona jingga kemerahan menghias ufuk. Burung layang-layang kelihatan mulai terbang pulang ke sarang.

​"Hari dah nak gelap. Kau orang baliklah. Tapi ingat pesanan Nek: Kenalilah manusia seperti mana kau kenal pokok. Yang berdaun lebat belum tentu akan berbuah. Yang berduri kadang-kadang itulah pelindung. Tapi yang berakar—dia takkan pergi walaupun kau cuba cantas."

​"Nek, esok kami datang lagi ya?" Ali meminta kepastian.

​"Kalau nak datang, datang dengan hati yang serius. Jangan datang nak main-main. Nek tak ada masa untuk orang yang bermain-main dengan kehidupan."

​Mereka bangkit. Din menunduk malu sambil mengucapkan terima kasih. Bad sekadar mengangguk hormat, manakala Siti menyapu sisa air mata. Nenek kembali duduk di atas tikar mengkuangnya, memerhatikan langkah mereka yang kian menjauh.

​Angin petang bertiup lagi, menerbangkan dedaun kering di celah kaki anak-anak muda itu.

​Nenek berbisik sendiri, "Mana satu daun? Mana satu akar? Masa yang akan menjawab. Masa akan menentukannya."

​TAMAT BAB 1.

Q: Siapakah anda dalam kehidupan ini?