My thoughts actually, unfiltered.
A place to record and unload things that I stored in my memories and from the circuits of an ageing pc located somewhere in Shah Alam, Malaysia. "Kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis” - Imam Al-Ghazali
Teringat dulu masa Form 1, gigih salin nota Cikgu Rokiah bagi... jenuh sakit tangan!
1. Buapak Ketua perut (kumpulan kekerabatan secara matrilineal). Dilantik oleh:
Ahli‑ahli perut sendiri menurut adat perpatih.
Boleh disingkirkan olehAhli perut berkenaan melalui muafakat adat. Lembaga, Undang, Yang di‑Pertuan Besar atau mahkamah tiada kuasa memecat Ketua Perut. Sifat perundangan - Bidang adat sepenuhnya; dilindungi oleh Perkara XXXII Perlembagaan Negeri Sembilan.
2. Lembaga
Mereka adalah Ketua kepada satu atau beberapa perut dalam sesuatu suku. Dipilih oleh - Buapak‑buapak dalam suku berkenaan. Lembaga boleh disingkirkan oleh Buapak‑buapak dalam suku tersebut secara kolektif. Tidak boleh disingkirkan oleh Undang, Yamtuan atau pihak kerajaan Lembaga bertanggungjawab ke bawah (kepada Buapak), bukan ke atas.
3. Undang
Mereka adalah Pemerintah adat bagi empat luak utama - Sungai Ujong, Jelebu, Johol & Rembau Undang dipilih oleh: Lembaga dan pihak‑pihak adat kanan dalam luak, mengikut adat perpatih. Diiktiraf (bukan dilantik) oleh Perlembagaan (Perkara XIV)
Boleh disingkirkan hanya melalui adat luak itu sendiri (Perkara XIV(3)) (Emphasis added) -Proses bermula dan diselesaikan dalam luak -Dewan Keadilan dan Undang boleh memberi nasihat adat
Tidak boleh disingkirkan oleh: 1. Yang di‑Pertuan Besar 2. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri 3. Dewan Undangan Negeri 4. Mahkamah (larangan jelas Perkara XVI(3))
4. Yang di‑Pertuan Besar
Dipilih oleh: Keempat‑empat Undang (Perkara VII) Boleh disingkirkan / dipaksa turun takhta oleh - Para Undang (Perkara X dan XA) - Undang boleh menyingkirkan Yang di‑Pertuan Besar Yang di‑Pertuan Besar tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Undang
Ringkasan Rantaian Akauntabiliti (Menegak)
Ahli Perut
↓ menyingkirkan
Buapak
↓ menyingkirkan
Lembaga
↓ menyingkirkan (menurut adat luak)
Undang
↓ menyingkirkan / memaksa turun takhta
Yang di‑Pertuan Besar
Kuasa naik dari bawah ke atas, tetapi akauntabiliti turun dari atas ke bawah.
PRINSIP PERLEMBAGAAN TERAS
Di Negeri Sembilan, legitimasi naik daripada adat, tetapi akauntabiliti turun kepada masyarakat.
Inilah sebabnya: Undang boleh menyingkirkan Yang di‑Pertuan Besar & Yang di‑Pertuan Besar tidak boleh menyingkirkan Undang. Kuasa adat tidak boleh diserap/ambil alih oleh kerajaan negeri
Di tengah-tengah dataran kampus itu, berdiri megah sebatang pokok beringin tua. Ia bukan sekadar sebatang pokok; ia adalah monumen hidup, saki-baki hutan yang gagal ditawan pembangunan. Daunnya yang lebat menaungi separuh ruang berhampiran tempat ia tumbuh subur dan merimbun. Manakala akar rerambutnya, berjurai-jurai seperti janggut raksasa yang bergantungan, adalah tempat burung gagak berlindung sekaligus tempat agak gelap, seram serta menakutkan. Sejak sessi prngajian baharu bermula, aura pokok itu bertukar, seolah diselimuti bayangan kelam dan bisikan yang sukar diberi erti.
Bisikan itu sentiasa tentang Dia.
“Dengar sini, aku tak berguraulah,” ujar Jenal dengan muka bimbang, suaranya parau, melirik resah ke luar tingkap bilik asrama Abu Bakar College yang tertutup rapat. Malam itu terasa sunyi, sesekali keheningan malam itu dipecahkan oleh bunyi cengkerik yang berdesing tanpa henti di belukar jauh.
“Waktu dekat azan Maghrib semalam aku ternampak kelibat dia. Dia lepak di dahan paling rendah. Berpakaian putih lusuh, rambut hitam panjang mengurai… tapi wajahnya, Jamali.... wajahnya… Astaghfirullah, pucat macam kapur yang dilumur pada kain putih, dan mata dia… menyala merah darah. Dia tak bergerak, macam patung, tapi dia tenung aku!”, ujar Jenal dengan suara ketakutan.
Jamali, rakannya dormnya mengangguk perlahan, tangan kirinya erat menggenggam tasbih, manakala tangan kanannya memegang botol minyak wangi kasturi.
“Aku faham, Nal. Minggu lepas, waktu balik dari Central Spine jam 2 pagi, aku terserempak dia, gila seksi. Di tepi kolam air pancut dekat laluan ke Bilik SRC. Dia tengah sikat rambut dengan sisir kayu yang panjang… tapi rambut dia, Nal. Rambut dia menitiskan cecair merah gelap, pekat. Sisir tu berkelumuran darah!"
Kisah-kisah seperti itu beredar di kalangan mahasiswa tahun satu sessi akademik tahun itu. Ia sentiasa berakhir dengan entiti yang sama: Pontianak. Makhluk itu dikatakan muncul hanya di bawah atau berhampiran pokok beringin itu, terutamanya pada malam Jumaat yang gelap, membawa seribu satu petanda ngeri. Ada yang melaporkan terdengar tangisan bayi yang menyayat hati, seolah terlalu dekat tetapi tak jumpa punca suara itu. Kemudian, tiba-tiba, bau wangi yang manis menusuk hidung, diikuti satu detik sunyi yang mematikan, sebelum kelibat wanita seksi dengan senyuman manis tetapi menyeramkan muncul dari balik jejala akar pokok tersebut.
Rasa seram sejuk menjalar perlahan, mencengkam belakang tengkuk setiap mahasiswa yang mendengar kisah legenda ini.
BAHAGIAN 2: KEANGKUHAN
Reza, mahasiswa tahun akhir Kuliyyah Undang-Undang yang kuat berpegang kepada prinsip saintifik dan logik akal, merasa muak dengan semua ‘dongeng’ ini.
“Semua tu karut! Tak masuk di akal!” herdiknya di kafeteria, di hadapan sekumpulan siswa junior tahun 1 yang mendiamkan diri, terpukau dengan keberanian (atau keangkuhan) Reza.
“Pontianak? Itu cuma halusinasi yang datang sebab korang semua ... instead of reading law books, gemar baca hikayat Melayu lama Tamar Jalis & Mastika mengarut tu...sambil mengopi sampai ke pagi!”
“Tapi Bang Reza,” bisik seorang junior asal Langkawi, bernama Hasri Jamil, yang benar-benar kelihatan pucat lesi.
“Malam Selasa lepas, aku nampak benda tu… dia siap panggil nama aku! Suara mengilai tu macam datang dari dalam telinga aku, …Hang dak kena kacau lagi mana la hang tau!”.
“Aku akan tamatkan semua cerita karut budak-budak ni,” Reza menepuk meja kayu itu keras-keras, tekadnya membara.
“Malam ni, aku akan ke pokok itu. Aku akan bawa ‘hadiah’ untuk hantu tu.” ujarnya dengan tegas.
BAHAGIAN 3: PERTEMUAN
Malam Jumaat. Langit yang gelap tidak berawan. Bulan purnama mengambang penuh, seolah-olah sebiji mata gergasi pucat yang memandang tepat ke bumi, menyaksikan kegelapan dan kebodohan manusia.
Degup jantung Reza mulai berirama tak menentu.
Dia berjalan sendirian, jaket "IIU Mooting Team" yang dikenakan nya terasa nipis di tengah angin malam yang bertiup dingin menusuk ke tulang. Deru angin yang melalui dataran padang bola membawa bersamanya bau tanah basah dan dedaunan yang gugur. Gesekan bunyi daun kering yang ditiup angin seakan-akan sesuatu yang diseret di atas lantai batu.
Pokok beringin itu kini kelihatan seolah-olah jauh lebih besar, lebih mengancam. Bayangannya yang hitam pekat, meliuk-liuk dipukul cahaya bulan, kelihatan seperti seekor binatang buas yang siap untuk menerkam mangsanya.
Dan di sana. Di celahan akar banir yang berlekuk dan bergerutu, dia melihatnya. Kelibat seorang wanita.
Dia bukan seperti makhluk yang menakutkan seperti yang Reza jangkakan. Sebaliknya, dia adalah jelmaan kecantikan yang sangat ganjil. Kulitnya seputih porselin, tetapi tidak memantulkan cahaya, ianya seperti wajah ayu yang sudah lama dilitupi debu atau bedak make-up. Matanya, hitam pekat tanpa sebarang kilauan, kelihatan memukau, dan bibirnya berwarna merah delima yang terlalu terang untuk seorang yang bernyawa. Dia mengenakan kebaya putih lama yang nampak basah dan lusuh, menampilkan sosok badan yang seksi manakala rambutnya yang panjang terurai ke paras lutut, berkilat seperti sutera hitam.
Dia tersenyum.
“Akhirnya, ada anak muda yang berani,” suaranya berderai, sejuk, merdu mendayu seperti bunyi air yang mengalir di batu sungai kecil.
Reza terpaku. Rasa dingin mencucuk dari hujung kaki hingga ke kepala. Seram sejuk itu bukan lagi khabar angin, ia adalah realiti yang kini dialaminya sendiri seolah darahnya membeku di urat nadinya.
“Ss…siapa awak ini?” soal Reza, suaranya tersekat. Logiknya, yang siang tadi tampak gah umpama seorang pahlawan melayu sejati, kini terasa kecut, lemah dan rapuh.
“Aku......yang sentiasa kamu cari, sentiasa kamu dambakan,” jawabnya dengan hilai tawa, senyuman manis itu tidak beranjak.
“Kamu tidak takut?”
BAHAGIAN 4: KECANTIKAN
Reza teringat kembali semua cerita kawan-kawannya. Makhluk ini sombong namun suka dipuji, ia adalah cara untuk menundukkannya.
“Awak… awaklah yang paling cantik pernah saya lihat,” katanya, memaksakan keberanian.
Jantungnya berdegup laju, DUP-DAP-DUP bergema kuat di telinganya, seolah-olahsebuag gendang yang dipalu dalam kegelapan malam berangin itu. Hakikat sebenarnya, ketika itu, Reza langsung tidak dapat mengingati walau satu ayat pun daripada koleksi ayat ruqyah dan pendinding diri yang pernah dipelajarinya daripada Ustaz Haron Din.
Wanita itu mengilai kecil. Bunyinya kedengaran seperti sekumpulan loceng kaca yang pecah. “Pujian yang indah. Kamu mahu melihat lebih dekat?”
Tanpa menunggu jawapan, entiti itu berdiri. Gerakannya lancar, tidak seperti manusia. Dia berpusing perlahan, kebayanya yang basah berkibar meliuk mengikut rentak tarian yang aneh...seluruh tubuh entiti itu seolah seperti melayang ditiup angin.. amat seksi dan menggoda.
Satu… dua… Reza mengira. Badannya dibasahi peluh. Makhluk itu berputar.
Saat belakangnya yang diselubungi kain putih menghadap Reza, saat rambut hitamnya menutupi leher dipertontonkan, segalanya berubah. Bau wangi bunga itu tiba-tiba digantikan dengan bau hanyir, sebusuk bangkai yang lama terperap. Bayangan di tanah bukan lagi bentuk wanita anggun, tetapi sesuatu yang bengkok, tidak berbentuk, dan berekor panjang.
Ini masanya.
Reza tidak menunggu lagi. Dengan satu gerakan pantas yang didorong oleh ketakutan yang melampau, dia menghayunkan paku besi tajam itu dan mencangkukkannya ke tengah-tengah leher putih pucat di hadapannya.
KRAK!
Bunyi itu bukan bunyi tulang patah, tetapi bunyi kayu reput basah yang pecah.
Wanita itu berhenti serta-merta. Tubuhnya kaku, tetapi kepalanya, perlahan-lahan, berpusing 180 darjah ke belakang. Senyuman manis itu masih utuh, terpahat pada wajah seramnya. Mata hitamnya kini menyala seolah terbakar, bersinar merah terang seperti puntung api di malam yang gelap.
“Paku?” desisnya sambil hilai tawanya pecah, suaranya kini bukan lagi merdu, tetapi serak dan berdengung, seperti ribuan serangga besar yang terperangkap dalam kerongkongnya.
“Kamu fikir kami masih takut pada paku besi? Zaman sudah berubah, sayang.”
Dari lubang yang dikorek paku itu, bukan darah merah pekat yang mengalir, tetapi akar-akar hitam yang kecil, hidup, dan bergerak-gerak laju seperti sekumpulan cacing. Akar-akar itu menjalar keluar dengan pantas, membelit pergelangan tangan Reza sekuat-kuatnya.
Reza menjerit, mencuba melepaskan diri, tapi akar-akar itu terlalu kuat, menariknya semakin dekat ke wajah wanita atau entiti itu.
Wajah cantik itu mulai mencair di hadapan mata Reza, seperti lilin yang diletak di atas api. Kulit porselin merekah dan mengelupas, menampakkan lapisan di bawahnya: kulit kelabu kebiru-biruan dengan urat hijau menonjol yang berdenyut-denyut. Senyuman merah delima itu meregang menjadi garis lebar yang menakutkan, mendedahkan gigi taring yang panjang, tajam, dan jarang.
“Kamu cari wanita cantik?” desisnya, nafasnya berbau tanah kubur dan nisan lama.
“Kita tunjukkan… kecantikan asli kita.”
Dengan kuku hitam panjang seperti cakar, dia merobek bahagian atas kebayanya. Di dada, di tempat yang sepatutnya terletak jantung, ada lubang lohong yang gelap, hitam. Dari dalam lubang itu, bergema bunyi yang membuat Reza muntah di situ juga, tangisan bayi yang terseksa dan parau.
“Kamu… dan semua yang seperti kamu… datang dengan paku, dengan azimat, dengan tangkal,” kata Pontianak itu, mendekatkan wajah sebenarnya ke muka Reza. “Tapi kamu lupa. Aku adalah sebahagian dari pokok ini. Dan pokok ini haus.”
Pontianak itu membuka mulutnya luas, jauh lebih luas dari apa yang manusia mampu buat. Kegelapan di dalamnya seolah-olah jurang maut tanpa berpenghujung. Reza jatuh tak sedarkan diri.
BAHAGIAN 5: AKAR DAN TUNGGUL
Keesokan paginya, pekerja kebersihan kampus menemui Reza terbaring di akar pokok beringin. Di bawahnya, ditemui sisir kayu lama, berkelumuran kesan merah gelap dan sisa bau sebusuk bangkai. Reza dikejarkan ke Hospital Universiti untuk mendapatkan rawatan diunit keemasan.
Ketakutan di kalangan mahasiswa mencapai tahap genting. Kelas petang dan malam hampir kosong. Setelah beberapa ‘insiden’ yang tidak didokumentasikan, pihak pengurusan kampus membuat keputusan drastik.
Pada suatu pagi, bunyi bising yang memekakkan telinga memecah kesunyian dataran. Mesin gergaji besar serta lori kren muncul. Pekerja kontraktor luar, telah menebang pokok beringin itu.
Dahan-dahan besar jatuh satu per satu dengan bunyi yang menggeletar, seolah-olah seekor raksasa sedang disembelih. Setiap potongan pokok itu mengeluarkan getah pekat, yang berbau aneh—manis seperti bunga, namun masam, hancing seperti nanah.
Apabila batang utama pokok itu akhirnya tumbang, satu jeritan panjang, bergema seperti suara wanita ditikam, kedengaran memenuhi seluruh dataran. Jeritan itu datang dari dalam tanah.
Entiti itu tidak kelihatan lagi sejak pokok itu ditebang, dan Reza mengalami gangguan jiwa. Syukurlah dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku kepada dirinya pada malam itu.
Namun, di tunggul besar yang tinggal, terpapar lingkaran-lingkaran kayu yang aneh. Ia bukan lingkaran biasa. Coraknya aneh... seperti wajah-wajah yang sedang menangis dalam kesakitan abadi. Dan dari tengah tunggul itu, mengalir perlahan-lahan cecair merah pekat, meresap terus ke dalam bumi yang haus.
Sejak hari itu, entiti itu hilang. Tetapi pada malam-malam tertentu, terutamanya pada malam Jumaat, mahasiswa yang lalu di dataran itu kadang-kadang akan terasa seolah terpijak akar-akar halus yang tiba-tiba timbul dari tanah.
Dan jika mereka duduk terlalu lama di bangku batu berhampiran kawasan padang dataran dan gelanggang tenis berhampiran, mereka mungkin akan terdengar bisikan sayu, datang sayup dari bawah bumi, memanggil-mangil, membisikkan nama-nama, mereka.
Bayangkan ...Negara kita ni semua org gemar makan coklat....kenapa harga coklat (diesel) kita susah sangat nak turun walaupun berita kata peperangan dah reda atau Selat Hormuz dah dibuka semula.
Ada "Kos Tersembunyi" yang besar di tengah lautan yang kita jarang nampak. Mari kita tengok satu-persatu:
1. Kita Tak Guna Kapal Sendiri Semata-mata
Ramai ingat kita ada Petronas, jadi kita guna kapal kita sendiri. Hakikatnya: Kita terpaksa Sewa (charter) kapal tangki dari negara luar sebab kapal kita tak cukup untuk angkut semua minyak. Kome tak percaya ke CEO MISC tu adik junior dok 1 dorm dengan penulis masa kat MRSM dulu?
Sewa kapal & Kos bersihkan petroleum mentah ni harganya ikut Dollar Amerika (PetroDollar). Kalau duit kita jatuh, harga sewa jadi makin mahal. Tak kira Selat Hormuz buka atau tutup, sewa tetap kena bayar. Yang sebenarnya nak rebut dan Rompak minyak Iran dan kesemua negara lain tu si Zionist dan Amerika yang mula-mula cari pasal. Cer kaji kenapa Iran tak mahu guna Dollar Amerika, tapi guna Yuan China atau Negara BRICKS nak gunakan matawang lain.
2. Kos Cari Gali Macam Main "Judi" yang Mahal
Ingat senang ke nak cari minyak? Petronas kena keluar modal berbilion ringgit sebelum setitik minyak pun keluar:
Beli Blok: Kita kena bayar hak untuk gali di kawasan laut tertentu. Bukan percuma, kena beli lesen untuk dapatkan hak mencarigali kat blok (kawasan) tu..
Ujian Seismic: Kena guna mesin canggih untuk "scan" bawah dasar laut nak tengok ada minyak atau tidak. Mesin ni mahal gila!
Dah Gali, Minyak Tak Ada! Ini yang paling pedih. Kadang-kadang dah habis berbilion ringgit, dah tebuk lubang punya dalam, rupa-rupanya minyak tak ada atau tak cukup banyak untuk dijual (tak viable). Duit yang hangus tu tetap kena kira sebagai kerugian dalam perniagaan.
Pelantar minyak kat tengah laut tu kena jaga keselamatannya 24 jam. Risiko lanun...Dan macam-macam faktor keselamatan. Laut pun ganas juga, bukannya dapat angin situ sepoi-sepoi bahasa...Besi kalau kena air masin cepat karat. Kos nak baiki dan cat pelindung besi pelantar tu bukan macam cat rumah kita, kosnya berjuta-juta.
Gaji Pekerja:
Orang yang kerja kat tengah laut tu pakar-pakar belaka. Risiko nyawa tinggi, jadi gaji mereka pun kena tinggi.
Insurans:
Kerja ni bahaya. Kalau pelantar meletup atau minyak tumpah, habis negara! Jadi, kos insurans untuk setiap projek cari gali ni sangatlah mahal.
4. Kenapa Semua Ini Buat Harga Coklat Tinggi?
Semua kos kat atas ni (Sewa kapal + Kos Gali + Rugi cari minyak tak jumpa + Gaji + Insurans) dipanggil Kos Operasi.
Apabila kita nak jual coklat (diesel), kita tak boleh jual ikut harga "koko" (minyak mentah) semata-mata. Kita kena campur sekali semua kos tadi untuk bayar balik hutang modal yang dah keluar.
Logik Mudah:
Macam kita jual nasi lemak. Walaupun harga beras turun sikit, tapi kalau sewa kedai naik, harga plastik bungkus naik, dan upah pekerja naik... kita tetap tak boleh turunkan harga nasi lemak tu. Kalau turunkan juga, kita bangkrup/lingkup.
5. Kenapa Kerajaan Tak Boleh "Tolong" Macam Dulu?
Sebab:
Duit Tabung dah lama kena sakau. Had Kerajaan untuk berhutang tinggal berapa je. Simpanan yang sepatutnya guna untuk "cover" kos-kos ni dah hilang "dikerjakan" orang lama.
Projek Tiris: Duit banyak habis kat projek yang tak jadi, jadi Kerajaan tak ada lagi duit lebih nak tolong bayarkan kos-kos operasi Petronas ni bagi pihak rakyat.
Kesimpulannya:
Harga coklat susah nak turun sebab kos nak hasilkan coklat tu memang mahal. Dari laut dalam sampai ke tangki stesen minyak, banyak "mulut" yang kena bagi makan (sewa kapal, gaji pekerja, insurans).
Dulu kita tak rasa sebab Kerajaan tolong bayarkan separuh guna duit simpanan negara. Sekarang simpanan dah nak kering, jadi kita terpaksa hadapi harga sebenar.
Kerajaan sekarang cuma ada satu pilihan: Bagi duit bantuan terus ke tangan rakyat supaya rakyat boleh beli coklat tu, bukannya bagi subsidi kat minyak yang akhirnya akan masuk poket penyeludup dan orang kaya!
Balik-balik orang yg memimpin negara sekarang yang disalahkan. Tukang sakau yg dah lama kenyang tetap disanjung org bodoh yang senang ditipu. Itu pun siap doakan lagi agar orang yang banyak berusaha keras untuk membina Negara Dan betulkan halatuju negara diturunkan cepat, takut siapa yang jadi PM selepas ni tak boleh dapat gaji!...weh...tak enjoy la macam ni... 😆
Pasti komplen harga cekelat negara jiran dapat lagi murah... cuba check, kualiti negara jiran pakai, sama ke dengan apa yang kita guna? Hakikatnya negara jiran tu lagi perit... tambah lagi hutang. Depa terpaksa... negara kita masih lagi cuba bertahan, tapi ramai yang tak bersyukur. Ingat tukar PM terus settle masalah... apa kome ingat macam sakit gigi, cabut gigi terus baik? Sakit kepala? Potong kepala, terus sihat?