Kampus Utama UIAM, Petaling Jaya, circa 1990
BAHAGIAN 1: BISIKAN
Di tengah-tengah dataran kampus itu, berdiri megah sebatang pokok beringin tua. Ia bukan sekadar sebatang pokok; ia adalah monumen hidup, saki-baki hutan yang gagal ditawan pembangunan. Daunnya yang lebat menaungi separuh ruang berhampiran tempat ia tumbuh subur dan merimbun. Manakala akar rerambutnya, berjurai-jurai seperti janggut raksasa yang bergantungan, adalah tempat burung gagak berlindung sekaligus tempat agak gelap, seram serta menakutkan. Sejak sessi prngajian baharu bermula, aura pokok itu bertukar, seolah diselimuti bayangan kelam dan bisikan yang sukar diberi erti.
Bisikan itu sentiasa tentang Dia.
“Dengar sini, aku tak berguraulah,” ujar Jenal dengan muka bimbang, suaranya parau, melirik resah ke luar tingkap bilik asrama Abu Bakar College yang tertutup rapat. Malam itu terasa sunyi, sesekali keheningan malam itu dipecahkan oleh bunyi cengkerik yang berdesing tanpa henti di belukar jauh.
“Waktu dekat azan Maghrib semalam aku ternampak kelibat dia. Dia lepak di dahan paling rendah. Berpakaian putih lusuh, rambut hitam panjang mengurai… tapi wajahnya, Jamali.... wajahnya… Astaghfirullah, pucat macam kapur yang dilumur pada kain putih, dan mata dia… menyala merah darah. Dia tak bergerak, macam patung, tapi dia tenung aku!”, ujar Jenal dengan suara ketakutan.
Jamali, rakannya dormnya mengangguk perlahan, tangan kirinya erat menggenggam tasbih, manakala tangan kanannya memegang botol minyak wangi kasturi.
“Aku faham, Nal. Minggu lepas, waktu balik dari Central Spine jam 2 pagi, aku terserempak dia, gila seksi. Di tepi kolam air pancut dekat laluan ke Bilik SRC. Dia tengah sikat rambut dengan sisir kayu yang panjang… tapi rambut dia, Nal. Rambut dia menitiskan cecair merah gelap, pekat. Sisir tu berkelumuran darah!"
Kisah-kisah seperti itu beredar di kalangan mahasiswa tahun satu sessi akademik tahun itu. Ia sentiasa berakhir dengan entiti yang sama: Pontianak. Makhluk itu dikatakan muncul hanya di bawah atau berhampiran pokok beringin itu, terutamanya pada malam Jumaat yang gelap, membawa seribu satu petanda ngeri. Ada yang melaporkan terdengar tangisan bayi yang menyayat hati, seolah terlalu dekat tetapi tak jumpa punca suara itu. Kemudian, tiba-tiba, bau wangi yang manis menusuk hidung, diikuti satu detik sunyi yang mematikan, sebelum kelibat wanita seksi dengan senyuman manis tetapi menyeramkan muncul dari balik jejala akar pokok tersebut.
Rasa seram sejuk menjalar perlahan, mencengkam belakang tengkuk setiap mahasiswa yang mendengar kisah legenda ini.
BAHAGIAN 2: KEANGKUHAN
Reza, mahasiswa tahun akhir Kuliyyah Undang-Undang yang kuat berpegang kepada prinsip saintifik dan logik akal, merasa muak dengan semua ‘dongeng’ ini.
“Semua tu karut! Tak masuk di akal!” herdiknya di kafeteria, di hadapan sekumpulan siswa junior tahun 1 yang mendiamkan diri, terpukau dengan keberanian (atau keangkuhan) Reza.
“Pontianak? Itu cuma halusinasi yang datang sebab korang semua ... instead of reading law books, gemar baca hikayat Melayu lama Tamar Jalis & Mastika mengarut tu...sambil mengopi sampai ke pagi!”
“Tapi Bang Reza,” bisik seorang junior asal Langkawi, bernama Hasri Jamil, yang benar-benar kelihatan pucat lesi.
“Malam Selasa lepas, aku nampak benda tu… dia siap panggil nama aku! Suara mengilai tu macam datang dari dalam telinga aku, …Hang dak kena kacau lagi mana la hang tau!”.
“Aku akan tamatkan semua cerita karut budak-budak ni,” Reza menepuk meja kayu itu keras-keras, tekadnya membara.
“Malam ni, aku akan ke pokok itu. Aku akan bawa ‘hadiah’ untuk hantu tu.” ujarnya dengan tegas.
BAHAGIAN 3: PERTEMUAN
Malam Jumaat. Langit yang gelap tidak berawan. Bulan purnama mengambang penuh, seolah-olah sebiji mata gergasi pucat yang memandang tepat ke bumi, menyaksikan kegelapan dan kebodohan manusia.
Degup jantung Reza mulai berirama tak menentu.
Dia berjalan sendirian, jaket "IIU Mooting Team" yang dikenakan nya terasa nipis di tengah angin malam yang bertiup dingin menusuk ke tulang. Deru angin yang melalui dataran padang bola membawa bersamanya bau tanah basah dan dedaunan yang gugur. Gesekan bunyi daun kering yang ditiup angin seakan-akan sesuatu yang diseret di atas lantai batu.
Pokok beringin itu kini kelihatan seolah-olah jauh lebih besar, lebih mengancam. Bayangannya yang hitam pekat, meliuk-liuk dipukul cahaya bulan, kelihatan seperti seekor binatang buas yang siap untuk menerkam mangsanya.
Dan di sana. Di celahan akar banir yang berlekuk dan bergerutu, dia melihatnya. Kelibat seorang wanita.
Dia bukan seperti makhluk yang menakutkan seperti yang Reza jangkakan. Sebaliknya, dia adalah jelmaan kecantikan yang sangat ganjil. Kulitnya seputih porselin, tetapi tidak memantulkan cahaya, ianya seperti wajah ayu yang sudah lama dilitupi debu atau bedak make-up. Matanya, hitam pekat tanpa sebarang kilauan, kelihatan memukau, dan bibirnya berwarna merah delima yang terlalu terang untuk seorang yang bernyawa. Dia mengenakan kebaya putih lama yang nampak basah dan lusuh, menampilkan sosok badan yang seksi manakala rambutnya yang panjang terurai ke paras lutut, berkilat seperti sutera hitam.
Dia tersenyum.
“Akhirnya, ada anak muda yang berani,” suaranya berderai, sejuk, merdu mendayu seperti bunyi air yang mengalir di batu sungai kecil.
Reza terpaku. Rasa dingin mencucuk dari hujung kaki hingga ke kepala. Seram sejuk itu bukan lagi khabar angin, ia adalah realiti yang kini dialaminya sendiri seolah darahnya membeku di urat nadinya.
“Ss…siapa awak ini?” soal Reza, suaranya tersekat. Logiknya, yang siang tadi tampak gah umpama seorang pahlawan melayu sejati, kini terasa kecut, lemah dan rapuh.
“Aku......yang sentiasa kamu cari, sentiasa kamu dambakan,” jawabnya dengan hilai tawa, senyuman manis itu tidak beranjak.
“Kamu tidak takut?”
BAHAGIAN 4: KECANTIKAN
Reza teringat kembali semua cerita kawan-kawannya. Makhluk ini sombong namun suka dipuji, ia adalah cara untuk menundukkannya.
“Awak… awaklah yang paling cantik pernah saya lihat,” katanya, memaksakan keberanian.
Jantungnya berdegup laju, DUP-DAP-DUP bergema kuat di telinganya, seolah-olahsebuag gendang yang dipalu dalam kegelapan malam berangin itu. Hakikat sebenarnya, ketika itu, Reza langsung tidak dapat mengingati walau satu ayat pun daripada koleksi ayat ruqyah dan pendinding diri yang pernah dipelajarinya daripada Ustaz Haron Din.
Wanita itu mengilai kecil. Bunyinya kedengaran seperti sekumpulan loceng kaca yang pecah. “Pujian yang indah. Kamu mahu melihat lebih dekat?”
Tanpa menunggu jawapan, entiti itu berdiri. Gerakannya lancar, tidak seperti manusia. Dia berpusing perlahan, kebayanya yang basah berkibar meliuk mengikut rentak tarian yang aneh...seluruh tubuh entiti itu seolah seperti melayang ditiup angin.. amat seksi dan menggoda.
Satu… dua… Reza mengira. Badannya dibasahi peluh. Makhluk itu berputar.
Saat belakangnya yang diselubungi kain putih menghadap Reza, saat rambut hitamnya menutupi leher dipertontonkan, segalanya berubah. Bau wangi bunga itu tiba-tiba digantikan dengan bau hanyir, sebusuk bangkai yang lama terperap. Bayangan di tanah bukan lagi bentuk wanita anggun, tetapi sesuatu yang bengkok, tidak berbentuk, dan berekor panjang.
Ini masanya.
Reza tidak menunggu lagi. Dengan satu gerakan pantas yang didorong oleh ketakutan yang melampau, dia menghayunkan paku besi tajam itu dan mencangkukkannya ke tengah-tengah leher putih pucat di hadapannya.
KRAK!
Bunyi itu bukan bunyi tulang patah, tetapi bunyi kayu reput basah yang pecah.
Wanita itu berhenti serta-merta. Tubuhnya kaku, tetapi kepalanya, perlahan-lahan, berpusing 180 darjah ke belakang. Senyuman manis itu masih utuh, terpahat pada wajah seramnya. Mata hitamnya kini menyala seolah terbakar, bersinar merah terang seperti puntung api di malam yang gelap.
“Paku?” desisnya sambil hilai tawanya pecah, suaranya kini bukan lagi merdu, tetapi serak dan berdengung, seperti ribuan serangga besar yang terperangkap dalam kerongkongnya.
“Kamu fikir kami masih takut pada paku besi? Zaman sudah berubah, sayang.”
Dari lubang yang dikorek paku itu, bukan darah merah pekat yang mengalir, tetapi akar-akar hitam yang kecil, hidup, dan bergerak-gerak laju seperti sekumpulan cacing. Akar-akar itu menjalar keluar dengan pantas, membelit pergelangan tangan Reza sekuat-kuatnya.
Reza menjerit, mencuba melepaskan diri, tapi akar-akar itu terlalu kuat, menariknya semakin dekat ke wajah wanita atau entiti itu.
Wajah cantik itu mulai mencair di hadapan mata Reza, seperti lilin yang diletak di atas api. Kulit porselin merekah dan mengelupas, menampakkan lapisan di bawahnya: kulit kelabu kebiru-biruan dengan urat hijau menonjol yang berdenyut-denyut. Senyuman merah delima itu meregang menjadi garis lebar yang menakutkan, mendedahkan gigi taring yang panjang, tajam, dan jarang.
“Kamu cari wanita cantik?” desisnya, nafasnya berbau tanah kubur dan nisan lama.
“Kita tunjukkan… kecantikan asli kita.”
Dengan kuku hitam panjang seperti cakar, dia merobek bahagian atas kebayanya. Di dada, di tempat yang sepatutnya terletak jantung, ada lubang lohong yang gelap, hitam. Dari dalam lubang itu, bergema bunyi yang membuat Reza muntah di situ juga, tangisan bayi yang terseksa dan parau.
“Kamu… dan semua yang seperti kamu… datang dengan paku, dengan azimat, dengan tangkal,” kata Pontianak itu, mendekatkan wajah sebenarnya ke muka Reza. “Tapi kamu lupa. Aku adalah sebahagian dari pokok ini. Dan pokok ini haus.”
Pontianak itu membuka mulutnya luas, jauh lebih luas dari apa yang manusia mampu buat. Kegelapan di dalamnya seolah-olah jurang maut tanpa berpenghujung. Reza jatuh tak sedarkan diri.
BAHAGIAN 5: AKAR DAN TUNGGUL
Keesokan paginya, pekerja kebersihan kampus menemui Reza terbaring di akar pokok beringin. Di bawahnya, ditemui sisir kayu lama, berkelumuran kesan merah gelap dan sisa bau sebusuk bangkai. Reza dikejarkan ke Hospital Universiti untuk mendapatkan rawatan diunit keemasan.
Ketakutan di kalangan mahasiswa mencapai tahap genting. Kelas petang dan malam hampir kosong. Setelah beberapa ‘insiden’ yang tidak didokumentasikan, pihak pengurusan kampus membuat keputusan drastik.
Pada suatu pagi, bunyi bising yang memekakkan telinga memecah kesunyian dataran. Mesin gergaji besar serta lori kren muncul. Pekerja kontraktor luar, telah menebang pokok beringin itu.
Dahan-dahan besar jatuh satu per satu dengan bunyi yang menggeletar, seolah-olah seekor raksasa sedang disembelih. Setiap potongan pokok itu mengeluarkan getah pekat, yang berbau aneh—manis seperti bunga, namun masam, hancing seperti nanah.
Apabila batang utama pokok itu akhirnya tumbang, satu jeritan panjang, bergema seperti suara wanita ditikam, kedengaran memenuhi seluruh dataran. Jeritan itu datang dari dalam tanah.
Entiti itu tidak kelihatan lagi sejak pokok itu ditebang, dan Reza mengalami gangguan jiwa. Syukurlah dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku kepada dirinya pada malam itu.
Namun, di tunggul besar yang tinggal, terpapar lingkaran-lingkaran kayu yang aneh. Ia bukan lingkaran biasa. Coraknya aneh... seperti wajah-wajah yang sedang menangis dalam kesakitan abadi. Dan dari tengah tunggul itu, mengalir perlahan-lahan cecair merah pekat, meresap terus ke dalam bumi yang haus.
Sejak hari itu, entiti itu hilang. Tetapi pada malam-malam tertentu, terutamanya pada malam Jumaat, mahasiswa yang lalu di dataran itu kadang-kadang akan terasa seolah terpijak akar-akar halus yang tiba-tiba timbul dari tanah.
Dan jika mereka duduk terlalu lama di bangku batu berhampiran kawasan padang dataran dan gelanggang tenis berhampiran, mereka mungkin akan terdengar bisikan sayu, datang sayup dari bawah bumi, memanggil-mangil, membisikkan nama-nama, mereka.
Tamat.
(C) Zaws @ayahsakinah 17 Disember 2025.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan