Memaparkan catatan dengan label Karya Pujangga Nusantara; keadilan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karya Pujangga Nusantara; keadilan. Papar semua catatan

Rabu, Januari 20, 2010

Karya Pujangga Nusantara (Bahagian 2)


Empat bulan dia dalam penjara, kerap kali bila petang dia termenung seorang dirinya, memikir-mikirkan nasib sewaktu mudanya, memikirkan dan menyesali keadaan yang sudah lama lampau, bagaimana dia keluar dari rumahnya, bagaimana dia meninggalkan anak, dan bagaimana pula dia terpaksa menjadi perempuan lacur. Semasa dia masih bebas, dapatlah kesusahan itu diubatinya, iaitu dengan minum minuman keras, sekarang di penjara tidak ada itu lagi, maka kesusahannya pun tidak ada ubatnya. Sebab itu badannya kian lama kian lemah, rambutnya telah putih seluruhnya. Cuma satu perkara sahaja yang diharapkannya, iaitu mati atau dihukum dengan hukuman gantung sebab membunuh orang; tetapi sebelum hukuman itu dijatuhkan, diberi izin juga hendaknya dia oleh Allah untuk mencium kening anaknya, Sofyan!

Tentu sahaja cita-cita demikian tidak akan dapat! Masakan seorang Master yang berpangkat tinggi, akan sudi dicium keningnya oleh seorang pelacur dan seorang perempuan yang kejam, satu sampah pelembahan!

Dia tahu bahawa dia seorang berdosa, sebab itu dia bertekun dipenjara meminta ampun atas dosa-dosanya yang tidak termuat lagi dalam tiap-tiap helai bulunya, tetapi dia akan meminta ampun terus, di dalam permohonan ampunnya itu, dimohonkannya juga, bahawa sebelum dia menutup mata, dapat hendaknya dia mencium kening anaknya!

Tiba-tiba pintu penjara terbuka, tukang kunci memberitahu bahawa seorang Master yang ditentukan oleh Mahkamah untuk membela kesnya datang hendak mene-mui dia. Mula-mula dia acuh tak acuh sahaja, mengapa maka dia akan dibela, padahal dia memang seorang yang salah, yang telah mencari-cari pintu mati sekian lama, sekarang setelah pintu itu terdapat akan ditutupkan pula. Dia pandang kedatangan Master itu lain tidak hanya akan menambah azab seksanya jua. Dia pun dibawalah ke kamar untuk menerima tetamu, di sana didapatinya Master itu telah duduk. Baru sahaja wajah Sofyan dilihatnya, dia terkejut dan pucat, lemah seluruh sendi anggotanya. Dia kenal akan anaknya, walaupun anak itu tidak kenal akan dia. Hampir pula timbul nafsu seorang ibu yang sekian lama bercerai dengan anak, hampir keluar jerit yang seni dari mulutnya, untunglah itu masih dapat ditahannya.

"Tidak perlu tuan membuang masa untuk saya seorang perempuan hina, tua dan kebencian orang. Pembunuhan itu memang terjadi, dan sayalah pembunuhnya. Biarkanlah saya, Master muda, biarkanlah saya dengan untung saya, jangan tuan menghabiskan waktu untuk seorang yang tidak terkenal seperti saya ini!"

Lama sekali Sofyan membujuk mencumbu perempuan itu, dia tidak mahu memberitahu sebabnya dia menjadi pembunuh, tidak diberi tahunya siapakah orang lain yang dicintainya itu, yang hendak dicelakakan oleh Wirja.

"Baiklah," kata Sofyan, "kalau engkau tidak sudi memberitahukan siapa-siapa orang baik-baik yang bersangkutan dalam perkara ini, saya pun tidak hendak memaksa. Tetapi saya mesti bela engkau, hai perempuan tua!"

"Mengapa tuan sekeras itu? Bukankah boleh tuan serahkan sahaja perkara ini kepada lain orang?"

"Tidak, saya yang mesti membela. Tadi saya sangka saya berhadapan dengan seorang perempuan hina-dina, tetapi setelah saya ada di sini, dapatlah saya buktikan, bahawa di dalam badanmu yang dipandang hina dan rendah ini, masih tersimpan suatu hati yang mulia, hati emas. Sebab itu, saya akan bela engkau seperti membela ibuku sendiri, hai perempuan tua!"
"Apakah tuan Master tidak beribu lagi?" tanya Mariah dan tangannya mulai gementar.
Dengan perasaan terharu Sofyan menjawab: "Ibuku tak ada lagi, sudah meninggal sewaktu aku masih berumur tujuh tahun."

Terpecak air mata perempuan itu mendengarkan ucapan Sofyan: "Ibuku sudah meninggal" maka dengan perasaan yang sangat terharu dan menghela nafas dia berkata:
"Baiklah.-.kalau demikian, belalah saya Master, tolonglah saya. Anggaplah diri saya seperti ibu tuan, kalau sekiranya itu tidak terlalu membawa tuan turun ke bawah!"

Di dalam keadaan yang sangat terharu, ibu dan anak itu bercerai, kelak akan bertemu hanya di hadapan meja hijau sahaja. Dengan langkah yang perlahan sekali Sofyan menuju rumah tunangnya, memberitahukan hal yang sedih itu!

"Kasihan..." ujar Emi, apabila mendengar berita dari tunangnya. Kalau demikian, jika perkara ini dibuka, saya pun akan turut hadir melihat. Saya akan saksikan bagaimana caranya engkau membela perempuan yang malang itu. Moga-moga pembelaanmu menang dan dia bebas!"

"Kalau perempuan itu bebas, Emi! Saya percaya dia akan bertaubat! Biar dia tinggal bersama kita, kerana dari raut mukanya kelihatan bahawa asalnya dari orang baik-baik, yang dipaksa oleh peruntungan, sampai bernasib demikian rupa...

Jumaat, Januari 15, 2010

Karya Pujangga Nusantara

Dibawah ini adalah excerpts dari sebuah karya agung milik seorang Pujangga Nusantara yang disegani ramai. Penulis sendiri dibesarkan dengan membaca banyak karangan Tafsir AlQuran yang dikarang oleh pujangga besar ini. Amat sayang sekali, anak-anak muda kini lebih mengenali penulis dari negara Barat sedangkan di dunia sebelah sini, kita mempunyai penulis yang berkaliber dan tulisan mereka tidak kurang hebatnya. Secara kebetulan juga karya ini mengingatkan penulis blog ini kepada beberapa kes yang pernah dikendalikan beliau saat masih bergelar peguambela dan peguamcara dulu.

Kenalkah anda siapkah Pujangga Nusantara yang dimaksudkan ini? Kalau tak salah penulis blog, situasi drama dalam mahkamah yang disajikan dibawah ini pernah diadaptasikan didalam sebuah filem - pelakon utama dalam filem tersebut kalau tak salah adalah Andy Lau Tat Wah! Tajuk filemnya... penulis blog sudah lupaaaa.... (maklumlah...banyak sangat tengok filem zaman muda-muda dulu) anyway, enjoy the story below. Sekiranya anda mahukan sambungan kisahnya (tak panjang aje lagi) anda boleh emailkan kepada saya - kalau letak semua, ianya bukan lagi satu situasi "fair use".


Ayahanda!


Dengan tiba-tiba sahaja Mahkamah telah menyerahkan suatu perkara sulit supaya anakanda bela. Seorang perempuan lacur telah membunuh lelaki muda dalam satu rumah hina. Sudah empat bulan perempuan itu dalam tahanan dan seminggu lagi kesnya akan dibuka. Keputusan Mahkamah memilih anakanda jadi pembelanya, mesti anakanda terima, pertama sebagai suatu kewajipan dari seorang lepasan sekolah hakim, kedua moga-moga kalau kes ini menang, boleh menjadi tangga bagi kenaikan anakanda, meskipun kemesuman perkara ini kadang-kadang memundurkan hati anakanda untuk membelanya. Tetapi demikianlah kami wahai ayahanda; seorang doktor mesti tahan membedah seorang yang sakit, walaupun penyakit itu penyakit raja singa sekali pun; seorang insinyur (sarjana teknikal) harus menyabung nyawa menyelidiki rimba belukar melihat hasil rimba itu; maka seorang master pun demikian juga, dia mesti membela kebenaran, meringankan hukuman orang yang kena hukuman berat, bahkan mengusahakan supaya seorang yang teraniaya lepas daripada tuduhan.

Ayahandaku,

Sudah beberapa bulan anakanda membuka pejabat, sudah banyak anakanda memberi nasihat kepada orang, terutama berhubung dengan hartabenda, hutang piutang dan lain-lain, tetapi baru sekarang yang permulaan sekali membela seorang yang dituduh membunuh orang lain.

Hebat sekali perkara ini, ayahku! Seketika Mahkamah memutuskan bahawa perempuan itu mesti anakanda bela, anakanda telah pergi ke penjara menemui perempuan lacur itu, menyatakan kepadanya bahawa kesnya anakanda yang akan membelanya. Apabila melihat muka anakanda dia pucat, tak tentu apa yang disebutnya, agaknya lantaran takut hukuman yang sedang mengancam dirinya. Tetapi beberapa saat kemudian dia dapat menenangkan nafasnya lalu anakanda katakan: "Hai perempuan tua, kesmu hampir dibicarakan, Mahkamah telah memutuskan bahawa kes ini akan saya bela. Moga-moga dengan pertolongan saya, dapatlah engkau terlepas daripada tuduhan ini."

Lama perempuan itu termenung, anakanda perhatikan raut mukanya, hairan ayahku! Mengapa manusia dalam sesaat sahaja boleh menjadi orang yang sangat kejam, bertukar tabiatnya menjadi tabiat seekor binatang. Tetapi apabila telah reda nafsunya dan dia sedar, dia tenang kembali. Demikian juga perempuan itu, kalau bukanlah bukti-bukti yang cukup menunjukkan bahawa memang dia seorang pembunuh, tidaklah makan di akal bahawa dia akan sekejam itu. Raut mukanya, meskipun telah berkedut, masih dapat menunjukkan bahawa perempuan itu asal orang baik-baik juga. Dia menekur ke bumi ketika anakanda katakan bahawa kedatangan anakanda hendak menyiapkan pertahanan untuk dirinya.

Setelah beberapa saat kemudian, diangkatnya kepalanya, air matanya mengalir: "Tuan Master," katanya - "Tidak perlu tuan bersusah payah untuk membela saya, kerana saya memang bersalah, memang saya bunuh orang itu, kerana memang dia seorang jahat, yang bermaksud jahat, kepada beberapa orang yang saya cintai!"

Anakanda ingat, bahawa Wirja yang terbunuh itu musuh anakanda, kalau demikian bukan sahaja anakanda yang hendak dibinasakannya, ada pula rupanya orang lain, orang yang dicintai oleh perempuan tua itu. Lalu anakanda tanyakan: "Siapakah orang-orang itu, supaya keterangan bisa dicukupkan di hadapan hakim?"
"Itu tuan Master tidak perlu tahu!"
"Kalau saya tidak tahu, urusan di muka hakim men¬jadi sulit, "jawab anakanda.
"Tidak akan sulit, tuan Master Kerana saya bukan tidak mengaku bahawa saya yang jadi pembunuhnya. Orang lain, orang-orang yang terhormat, tidak usah terbawa-bawa namanya dalam perkara ini. Apalagi saya seorang perempuan hina, kehilangan saya dalam masyarakat, masih belum akan merugikan, tetapi membawa keuntungan yang besar!"

Hairan dan kasihan anakanda mendengar jawapan perempuan itu. Tidak anakanda sangka bahawa ada perempuan lacur yang berhati emas demikian rupa atau agaknya telah menyesal di atas perbuatan-perbuatan di zaman mudanya, sehingga hendak menebus dosa di waktu tuanya, entah bagaimana wallahu a'lam!

Kes ini seminggu lagi akan dibuka. Meskipun perempuan itu mengaku menjadi pembunuh, maka perasaan perikemanusiaan, yang mengatasi perasaan kewajipan, memaksa anakanda untuk membela dia, kerana sejak bertemu dengan perempuan tua itu, hati anakanda sangat belas kasihan kepadanya. Maka harapan anakanda yang sangat, supaya ayah dapat datang ke Jakarta untuk menyaksikan kes ini dibicarakan. Kalau dapat, bawa jugalah bapa Haji Abdul Halim. Untuk lebih cepat, ada baiknya ayahanda dan bapa Haji Abdul Halim datang dengan kapal udara sahaja.

Lain dari itu, Emi sihat sahaja, ayahanda Raden Suta pun demikianpula. Malah mereka meminta agar selama ayahanda dan bapa berada di Jakarta, tinggal sahaja dirumahnya. Kalau permintaan mereka keras tentu tidak dapat dibantah.

Wassalam
anakanda Sofyan

Demikianlah bunyi surat yang dikirimkan oleh Sofyan kepada ayahnya sehari selepas dia kembali dari penjara itu. Sebagaimana ditulisnya dalam surat, hatinya hairan mengapa perempuan tua itu demikian halnya.