Wednesday, January 20, 2010

Karya Pujangga Nusantara (Bahagian 2)


Empat bulan dia dalam penjara, kerap kali bila petang dia termenung seorang dirinya, memikir-mikirkan nasib sewaktu mudanya, memikirkan dan menyesali keadaan yang sudah lama lampau, bagaimana dia keluar dari rumahnya, bagaimana dia meninggalkan anak, dan bagaimana pula dia terpaksa menjadi perempuan lacur. Semasa dia masih bebas, dapatlah kesusahan itu diubatinya, iaitu dengan minum minuman keras, sekarang di penjara tidak ada itu lagi, maka kesusahannya pun tidak ada ubatnya. Sebab itu badannya kian lama kian lemah, rambutnya telah putih seluruhnya. Cuma satu perkara sahaja yang diharapkannya, iaitu mati atau dihukum dengan hukuman gantung sebab membunuh orang; tetapi sebelum hukuman itu dijatuhkan, diberi izin juga hendaknya dia oleh Allah untuk mencium kening anaknya, Sofyan!

Tentu sahaja cita-cita demikian tidak akan dapat! Masakan seorang Master yang berpangkat tinggi, akan sudi dicium keningnya oleh seorang pelacur dan seorang perempuan yang kejam, satu sampah pelembahan!

Dia tahu bahawa dia seorang berdosa, sebab itu dia bertekun dipenjara meminta ampun atas dosa-dosanya yang tidak termuat lagi dalam tiap-tiap helai bulunya, tetapi dia akan meminta ampun terus, di dalam permohonan ampunnya itu, dimohonkannya juga, bahawa sebelum dia menutup mata, dapat hendaknya dia mencium kening anaknya!

Tiba-tiba pintu penjara terbuka, tukang kunci memberitahu bahawa seorang Master yang ditentukan oleh Mahkamah untuk membela kesnya datang hendak mene-mui dia. Mula-mula dia acuh tak acuh sahaja, mengapa maka dia akan dibela, padahal dia memang seorang yang salah, yang telah mencari-cari pintu mati sekian lama, sekarang setelah pintu itu terdapat akan ditutupkan pula. Dia pandang kedatangan Master itu lain tidak hanya akan menambah azab seksanya jua. Dia pun dibawalah ke kamar untuk menerima tetamu, di sana didapatinya Master itu telah duduk. Baru sahaja wajah Sofyan dilihatnya, dia terkejut dan pucat, lemah seluruh sendi anggotanya. Dia kenal akan anaknya, walaupun anak itu tidak kenal akan dia. Hampir pula timbul nafsu seorang ibu yang sekian lama bercerai dengan anak, hampir keluar jerit yang seni dari mulutnya, untunglah itu masih dapat ditahannya.

"Tidak perlu tuan membuang masa untuk saya seorang perempuan hina, tua dan kebencian orang. Pembunuhan itu memang terjadi, dan sayalah pembunuhnya. Biarkanlah saya, Master muda, biarkanlah saya dengan untung saya, jangan tuan menghabiskan waktu untuk seorang yang tidak terkenal seperti saya ini!"

Lama sekali Sofyan membujuk mencumbu perempuan itu, dia tidak mahu memberitahu sebabnya dia menjadi pembunuh, tidak diberi tahunya siapakah orang lain yang dicintainya itu, yang hendak dicelakakan oleh Wirja.

"Baiklah," kata Sofyan, "kalau engkau tidak sudi memberitahukan siapa-siapa orang baik-baik yang bersangkutan dalam perkara ini, saya pun tidak hendak memaksa. Tetapi saya mesti bela engkau, hai perempuan tua!"

"Mengapa tuan sekeras itu? Bukankah boleh tuan serahkan sahaja perkara ini kepada lain orang?"

"Tidak, saya yang mesti membela. Tadi saya sangka saya berhadapan dengan seorang perempuan hina-dina, tetapi setelah saya ada di sini, dapatlah saya buktikan, bahawa di dalam badanmu yang dipandang hina dan rendah ini, masih tersimpan suatu hati yang mulia, hati emas. Sebab itu, saya akan bela engkau seperti membela ibuku sendiri, hai perempuan tua!"
"Apakah tuan Master tidak beribu lagi?" tanya Mariah dan tangannya mulai gementar.
Dengan perasaan terharu Sofyan menjawab: "Ibuku tak ada lagi, sudah meninggal sewaktu aku masih berumur tujuh tahun."

Terpecak air mata perempuan itu mendengarkan ucapan Sofyan: "Ibuku sudah meninggal" maka dengan perasaan yang sangat terharu dan menghela nafas dia berkata:
"Baiklah.-.kalau demikian, belalah saya Master, tolonglah saya. Anggaplah diri saya seperti ibu tuan, kalau sekiranya itu tidak terlalu membawa tuan turun ke bawah!"

Di dalam keadaan yang sangat terharu, ibu dan anak itu bercerai, kelak akan bertemu hanya di hadapan meja hijau sahaja. Dengan langkah yang perlahan sekali Sofyan menuju rumah tunangnya, memberitahukan hal yang sedih itu!

"Kasihan..." ujar Emi, apabila mendengar berita dari tunangnya. Kalau demikian, jika perkara ini dibuka, saya pun akan turut hadir melihat. Saya akan saksikan bagaimana caranya engkau membela perempuan yang malang itu. Moga-moga pembelaanmu menang dan dia bebas!"

"Kalau perempuan itu bebas, Emi! Saya percaya dia akan bertaubat! Biar dia tinggal bersama kita, kerana dari raut mukanya kelihatan bahawa asalnya dari orang baik-baik, yang dipaksa oleh peruntungan, sampai bernasib demikian rupa...

No comments: