Showing posts with label Malaikat maut; kematian; tetamu terakhir; suratan amalan. Show all posts
Showing posts with label Malaikat maut; kematian; tetamu terakhir; suratan amalan. Show all posts

Saturday, August 13, 2011

Benarkah amalan kita selama ini ikhlas?

Nak cakap amat senang, bila nak buat payah! Itulah jawapanku kepada pertanyaan yang diajukan. Seseorang itu perlu diuji terlebih dahulu, baharulah dia boleh tahu, sama ada dia lulus atau gagal.

Jika amal seseorang itu tidak ikhlas - apakah kesannya? - huh, sia-sia, tak dikira sebagai amal soleh. Habis tu macam mana nak mencapai tahap ikhlas tu, bro? Kita selama ini menyangkakan kita telah menyediakan amalan soleh sebagai bekalan, tetapi apakah kita yakin amalan kita itu diterima atau sebaliknya tertolak dan dicampakkan ke muka kita kembali kerana tiada mempunyai apa-apa nilai!!!

Sedangkan Iblis telah bersumpah dihadapan Allah untuk sedaya upaya memperdayakan anak cucu Adam - yang terselamat hanyalah orang yang Ikhlas. Marilah kita fikirkan dan timbang sendiri, selama aku hidup ini, benar-benarkah amalanku telah ikhlas kerana Allah sepertimana yang kita ikrarkan dalam doa Iftitah yang dibaca dalam Solat. Berapa banyak rakaat solat kita yang tidak khusyuk dan tidak dihadiri hati yang memahami apa yang kita bicarakan di hadapan Allah?

Berapa ramai dermawan hanya pada mata orang sahaja dermawannya sedangkan amalan tersebut tidak dikira disisi Allah kerana ada motif lain, seperti menunjuk-nunjuk, inginkan tawaran Projek, mahukan kenaikan pangkat dan sebagainya. Kalaupun niat dah betul, tapi ada tambahan seperti seseorang berniat puasa ramadan kerana mematuhi suruhan agama, namun dihati kecilnya ada "niat sampingan" oh... aku selama ni susah nak diet, boleh tumpang sekaki ataupun kalau aku berpuasa dapat jimat sikit perbelanjaan.... memang tak salah, tapi kalau ikut apa yang aku belajar, niat sampingan kita akan mengurangkan balasan pahala yang sepatutnya diperolehi.... so SUSAH sebenarnya untuk menjadi hamba Allah yang ikhlas. Kata ustaz, rebutlah peluang doa mustajab dibulan Ramadan ini ketika berbuka atau bersahur - doakan diri kita masing-masing dapat ikhlas dalam apa jua aktiviti yang kita lakukan. Kalau nafsi-nafsi sorang-sorang, mementingkan diri sendiri sedangkan rakan-rakan kita yang lain tak diselamatkan, apakah kita juga akan turut terselamat? Fikir-fikirkanlah.

Thursday, March 24, 2011

MENYAMBUT TETAMU TERAKHIR

Tahukah siapa tetamu terakhir yang akan mengunjungi kita? Tahukah anda tujuan ia menziarahi dan menemui kita? Apakah hajatnya? Ketahuilah! Ia tidak datang kerana mahukan hartamu atau kerana mahu menikmati hidangan lazat yang selalu kau perolehi setiap hari, dia datang tidak kerana untuk meminta bantuan darimu untuk membayarkan hutangnya atau meminta sokongan politik untuk projek yang mahu diusahakannya atau meminta bantuanmu untuk perkara yang tidak dapat diselesaikannya.

Tetamu itu datang untuk melaksanakan satu urusan yang amat penting yang engkau telah ditetapkan mempunyai kaitan dengannya. Seluruh penduduk langit dan bumi walau berkerjasama untuk menghalang misi tetamu ini nescaya akan gagal segala usaha mereka. Walau anda tinggal dalam benteng atau kubu yang serba canggih dan dikawal dengan alat pertahanan dan pengawalan yang ketat tidak akan dapat menahan kedatangan tetamu ini.

Ia datang tanpa memerlukan apa-apa izin, kebenaran atau perlu temujanji, tanpa undangan - tidak kira sama ada kamu sedang menikmati waktu lapang atau waktu sibuk, masa kamu masih kaya atau dalam kesusahan, masa kamu sihat ataupun sedang sakit, samaada kamu sedang bermusafir dinegara orang atau sedang berehat didalam rumahmu. Tetamu ini memiliki hati yang teguh dan tidak akan terpengaruh dengan rayuan tangismu atau boleh diberikan rasuah/sogokan untuk menangguhkan tugasnya untuk memberikan kesempatan masa bagimu. Tiada alasan boleh diterima oleh tetamu ini walau selogik akal sekalipun kononnya kamu memerlukan masa untuk menilai semula kehidupanmu dan agar kamu dapat membuka lembaran baru untuk memperbaiki catatan kehidupan dalam hidupmu. Padanya seluruh harta bendamu tidak bernilai apa-apa disisinya.

Ia hanya menginginkan dirimu saja, bukan orang lain! Ia mahui kesemuanya bukan separuh badanmu! Ia ingin membinasakanmu! Ia ingin kematian dan mencabut nyawamu! Menghancurkan raga dan mematikan tubuhmu! Dia lah malaikat maut!!!

Tahukah anda bahawa kunjungan Malaikat Maut merupakan sesuatu yang pasti? Tahukah Anda bahawa kita semua menjadi musafir di tempat ini? Sang musafir hampir mencapai tujuannya dan mengekang kendaraannya untuk berhenti dihujung destinasi? Tahukah Anda bahawa pusingan kehidupan hampir akan terhenti dan kenderaan usia sudah mendekati persinggahan terakhirnya? Sebahagian orang soleh mendengar tangisan seseorang atas kematian temannya, lalu ia berkata dalam hatinya, "Aneh, kenapa ada kaum yang akan menjadi musafir menangisi musafir lain yang sudah sampai ke tempat tinggalnya?"

Tahukah Anda bahawa kunjungan Malaikat Maut kepadamu akan mengakhiri hidupmu? Menyudahi aktivitimu? Dan menutup lembaran-lembaran amalmu? Setelah kunjungannya itu, kita tidak akan dapat lagi melakukan satu kebaikan pun. Tidak dapat melakukan solat sunat dua raka’at. Tidak dapat membaca satu ayat pun dari kitabNya. Tidak dapat bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, beristighfar walaupun sekali. Tidak dapat berpuasa walaupun sehari. Tak upaya lagi untuk bersedekah meskipun sedikit. Tidak dapat melakukan haji dan umrah walaupun mempunyai banyak wang dan persiapan. Tidak dapat berbuat baik kepada kerabat atau pun tetangga. Suratan amalmu sudah berakhir dan engkau hanya menunggu perhitungan dan pembalasan atas kebaikan atau keburukanmu!!

Oleh itu, mana persiapanmu untuk menemui Malaikat Maut? Mana persiapanmu untuk alam kubur ketika menghadapi pertanyaan, ketika di Padang Mahsyar, ketika hari Hisab, ketika ditimbang di Neraca Keadilan Ilahi (Mizan), ketika diperlihatkan lembaran amal, ketika melintasi Sirat dan berdiri di hadapan Allah Al-Jabbar?

Bermuhasabahlah ke atas dirimu di saat masa lapangmu, fikirkanlah betapa cepat akan berakhirnya masa hidupmu, bekerjalah dengan sungguh-sungguh di masa lapangmu untuk masa sulit dan keperluanmu, renungkanlah -

pernahkah kita menyakiti hati dan perasaan orang lain?

pernahkah kita menganaiyai orang lain demi mementingkan kejayaan dan kesenangan diri kita sendiri?

Sedarkah segala tindakan kita akan dicatat di lembaran amal?

Di mana perginya janji-janji yang pernah kita buat yang tidak ditunaikan?

Di mana harta benda yang telah kita kumpulkan?

Untuk apa ianya dibelanjakan?

Apakah yang dapat menyelamatkan kita dari cubaan dan huru-hara itu?

Apakah kelak anak-anak yang kita didik mampu untuk mengirimkan bingkisan hadiah kepada kita, apabila kita berada didalam kubur kelak?

Apakah kau yakin dan pasti bahawa semua amal baik mu selama hidupmu ini diterima Allah - atau ada antaranya yang tertolak???


Jawablah pertanyaan-pertanyaan ini dengan jujur....semoga Allah memberikan rahmat dan keampunan untuk para pembaca dan penulis.

Tuesday, September 29, 2009

Contoh Surat Wasiat & Pesanan terakhir seorang Muslim

Beberapa orang teman telah menemuiku untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang soal wasiat & harta pusaka. Diperturunkan contoh wasiat untuk kegunaan kalian semua.

Pertamanya ku mohon ampun dan kemaafan dari kalian semua seandainya ada salah dan silap dariku. Kemaafan yang tidak terhingga sekiranya aku gagal menunaikan tanggungjawabku terhadap kalian semua, sebagai suami/ibu, sebagai anak, sebagai abang/kakak, sebagai adik, sebagai bapa kepada kalian semua.

Wahai anak-anak, isteri/suami dan keluarga yang ku kasihi sekalian.

Dengarlah baik-baik pesanan dariku ini.

Sekarang tiada lagi keinginan yang kuimpikan melainkan secebis doa dan sedekah dari kalian semua yang masih hidup. Lebih-lebih lagi doa dari anak-anak yang ku kasihi sekelian kerana itulah antara amalan yang berupaya menyelamatkan daku dipersemadian ini.

Aku juga berpesan kepada kalian semua agar bertaqwalah pada ALLAH, Rabb yang mencipta kita semua. Dialah juga yang akan mematikan kita nanti. Kerjakan solat dan taatilah ALLAH s.w.t. di mana saja kalian berada. Tinggalkan kejahatan dan kemaksiatan kerana ia bukan sahaja dimurkai ALLAH tetapi dibenci juga oleh manusia.

Ingatlah, sekali kalian meninggalkan solat dan kewajipan yang lain serta melakukan kemaksiatan pada Allah, dikala itu aku juga terseksa di persemadian.

Sedikit harta yang kutinggalkan, jangan sampai kalian bersengketa dan berpecah hati. Langsaikanlah segala hutang piutangku, terhadap ALLAH s.w.t. dan sesama manusia. Ikutlah wasiat aku dalam pembahagian yang telah ku amanahkan.

Ketaatan kalian terhadap semua pesananku adalah kegembiraan bagiku sekaligus merupakan satu hadiah istimewa dari kalian semua. Tetapi seandainya syaitan menguasai hati kalian dengan ketamakan terhadap harta peninggalanku, sehingga pesananku ini tidak lagi diendahkan maka kembalilah kepada hukum ALLAH.

Alangkah gembiranya aku bila harta yang telah kalian miliki itu digunakan sedikit untuk kebajikan dan bersedekah bagi pihak diriku. Janganlah kalian gunakan harta pusaka peninggalan ku ini untuk berbuat maksiat. Kelak, aku juga akan terseksa.

Kepada isteriku/suamiku. Jagalah anak-anak ku dengan didikan agama. Mudah-mudahan ia akan menyejukkan daku dipersemadian.

Kepada anak-anak. Jagalah ibumu/bapamu baik-baik. Jangan sakiti hatinya. Jangan durhaka kepadanya. Muliakanlah dia kerana tiada makhluk di dunia ini yang wajar dimuliakan kecuali kedua ibubapa.

Akhirnya kuharapkan sudilah kiranya dikirimkan setiap hari kepadaku, doa seikhlas hati dari kalian. Dekatkan diri kalian pada ALLAH. Jangan tinggalkan solat dan jagalah aurat kalian. Dampingilah rumah ALLAH.

Semoga kita tidak terpisah di akhirat nanti dan agar dapat kita bertemu di dalam syurga. Amin.

Pesanan dari ku :


1.

2.
3. [ isikan dengan pesanan pewasiat]
4.

5.

*Nota : Wasiat hanya sah setakat 1/3 nilai keseluruhan harta simati. Penerima wasiat bukanlah seorang yang berhak kepada harta simati melalui faraid. Sebutkan nama pelaksana wasiat dengan khusus. Segala hutang simati mestilah dibayar sebelum 1/3 nilai keseluruhan harta diperolehi.