Ahad, Mei 31, 2026

Untuk diri sendiri

Dahulu, ketika hatiku masih hijau dan penuh kepercayaan, aku bertemu dengan seorang insan yang kukira boleh menjadi tanah subur bagi segala kehangatan yang kumiliki. Aku datang seperti angin petang yang lembut, membawa ketenangan dan curahan hati yang tulus. Bukan kerana mengharapkan balasan, tetapi kerana aku percaya bahawa kasih sayang yang sejati itu seperti hujan, ia turun bukan untuk meminta pujian, melainkan untuk menyuburkan.

Namun, semakin aku memberi, semakin dingin mereka menyambut. Aku dituduh kurang peka, kurang sempurna, kurang layak. Kata-kata mereka bagai pisau yang diasah tajam, menusuk dan melukakan. Aku diam. Aku telan segalanya bagai ubat pahit yang kononnya menyembuhkan. Malam demi malam, aku berdiri di hadapan cermin, mempersoalkan diri sendiri: “Apakah yang kurang pada dirimu, wahai hati?”

Lalu aku merobek-robek jiwaku. Aku buka jahitan luka lama yang sepatutnya sudah sembuh. Aku cuba menjadi lebih sabar. Lebih memberi. Lebih redha. Aku ubah diriku, supaya sesuai dengan acuan yang mereka mahukan. Tetapi semakin aku berubah, semakin mereka tidak puas. Kerana bukan aku yang dicari. Mereka mencari alasan untuk tidak menerima, mencari tempat untuk meletakkan luka yang mereka sendiri tidak mahu tanggung.

Setelah air mata sudah kering dan dada terasa kosong, barulah aku tersedar. Bukan aku yang perlu diperbaiki. Bukan aku yang rosak. Aku hanya seorang insan yang cuba menyembuhkan luka orang lain dengan darahku sendiri. Aku memikul beban yang bukan milikku, sementara mereka berjalan tanpa mahu memikul apa-apa.

Aku berlalu. Bukan dengan amarah yang membara, kerana aku pun pernah menyakiti hati orang lain tanpa sengaja. Aku pergi dengan diam yang penuh doa. Aku harap mereka sembuh. Bukan untukku, tetapi untuk diri mereka sendiri. Kerana jika mereka tidak sembuh, meteka akan terus menjadi duri yang menusuk siapa saja yang cuba mendekati, mencari orang lain untuk dihancurkan, supaya mereka tidak perlu menghadapi kehancuran dalam dirinya.

Kini, aku mekar dan berkembang.

Bukan kerana seseorang telah memperlakukanku dengan baik. Bukan kerana dunia tiba-tiba menjadi adil. Aku mekar kerana aku berhenti mencari kesalahan diriku dalam keengganan orang lain untuk mencintai. Aku faham sekarang, kehangatanku tidak pernah sia-sia. Hanya ada orang yang belum bersedia menerimanya. Mereka belum matang. Mereka belum siap untuk mekar, dan itu, bukan salahku.

Aku belajar bahawa ada musim untuk memberi, dan ada musim untuk menjauh. Ada musim untuk berdarah, dan ada musim untuk sembuh. Kini, aku berdiri dengan akar yang lebih dalam, daun yang lebih hijau, dan bunga yang tidak lagi bimbang terpaan angin.

Aku mekar, bukan untuk siapa-siapa. Aku mekar, kerana sudah tiba masanya.

Ayahsakinah 31 Mei 2026

Tiada ulasan: