Selasa, Jun 02, 2026

Falsafah Duri

Petang itu, taman permainan di pinggir kawasan perumahan elit di Damansara itu lengang. Rumput-rumput liar mula tumbuh mencanak di celah rekahan simen, sisa hujan tengah hari tadi masih bertakung di lekuk gelongsor plastik. Sebuah buaian besi yang mula dimamah karat menjadi saksi bisu kepada keriuhan kanak-kanak yang kini lebih betah berkurung dengan gajet di dalam rumah.

“Jom kita main buaian,” ajak Hakimi kepada anak-anaknya.

Husna dan Abin terus berlari keriangan. Si ayah berjalan perlahan di belakang. Matanya menerawang ke kelompok semak di tepi tiang buaian. Dia kenal benar rumpun-rumpun itu, daunnya kecil tersusun rapi, batangnya dipenuhi duri halus yang hampir tidak kelihatan. Sudah bertahun-tahun dia tidak melihat pokok semalu. Sejak zaman sekolah asrama penuh, kemudian terbang ke Australia untuk meraih ijazah sarjana undang-undang, dan kini bergelar konsultan di pusat kota, kewujudan tumbuhan ini seolah-olah terpadam dari memori.

“Eh, hati-hati!” Hakimi menegur apabila buaian mula berayun laju.

“Aduh!” Husna menjerit tiba-tiba.

“Kenapa, sayang?”

“Ini, terkena pokok berduri ini. Pedih rasanya, Ayah!” Husna menunjukkan jari telunjuknya. Tiada darah, tetapi cukup pedih untuk membuat wajahnya berkerut.

Hakimi menghampiri. “Itulah dia pokok semalu. Cuba kamu tengok ni.”

Hakimi menyentuh daun itu dengan hujung telunjuknya. Dalam sekelip mata, helaian daun yang tadinya terbuka luas terus menguncup, terkulai rapat seolah-olah merunduk mahu menyembunyikan diri.

“Abin, Mari tengok ni!” Husna memanggil adiknya.

Abin yang baru berhenti menghayun buaian segera datang menerpa. Matanya membulat. “Eh, dia boleh tutup sendiri!”

“Ayah, kenapa daun dia tertutup bila kita sentuh?” tanya Husna.

“Sebab itu mekanisme pertahanan dirinya,” jawab Hakimi perlahan. “Dia tahu bila ada gangguan, dia mesti lindungi bahagian yang lembut. Dia 'mengecilkan' diri supaya pemangsa fikir dia sudah layu dan tidak sedap dimakan.”

Hakimi tersenyum. Memorinya melayang ke makmal Biologi di MRSM puluhan tahun yang lalu. Dia teringat Cikgu Normah, guru biologi yang sentiasa menghubungkan fakta sains dengan realiti sosial.

Flashback, Makmal Biologi MRSM Jasin, 35 tahun yang lalu:

“Perhatikan spesimen Mimosa pudica ini,” ujar Cikgu Normah sambil membetulkan letak cermin matanya. Beliau seorang wanita korporat yang memilih untuk beralih ke bidang pendidikan, sentiasa kemas dengan kemeja putih dan gaya bicara yang tajam namun penuh dengan hikmah.

“Siapa tahu kenapa dia menguncup?”.

Azlina mengangkat tangannya. “Tindak balas seismonasti, cikgu.”

“Secara teknikalnya, ya,” Cikgu Normah mengangguk. “Tetapi secara falsafahnya, ini adalah tentang menjaga jarak dan juga sempadan. Pokok ini tidak ada racun untuk membunuh, tidak ada cara lain untuk melawan. Jadi, dia menggunakan 'ruang' sebagai perisai. Dia menutup akses.”

Hakimi terpaku. Pokok kecil itu mengajarnya sesuatu yang tidak tertulis dalam buku teks undang-undang yang bakal dipelajarinya kelak: bahawa melindungi diri bukanlah tanda kelemahan diri, tetapi satu bentuk kebijaksanaan strategik.

“Hakimi, apa yang awak sedang menungkan?” tegur Cikgu Normah.

“Cikgu, pokok ini macam memiliki prinsip harga diri. Bukan semua benda boleh disentuh atau ditunjukkan secara terbuka. Ada bahagian yang kita perlu simpan khas hanya untuk diri sendiri atau orang yang layak.”

Beberapa orang rakan sekelas ketawa kecil, namun Cikgu Normah memberikan senyuman penuh bermakna. “Tepat sekali. Malu dalam konteks ini bukan bermaksud pengecut. Ia bermaksud mempunyai 'standard'. Dan ingat, semalu ada duri, umpama wanita melayu zaman dahulu yang bersenjatakan cucuk sanggul, lawi ayam ataupun kerambit kecil untuk membela maruah. Itu amaran bahawa setiap tindakan menceroboh privasi orang lain ada harganya yang perlu dibayar.” ujar guru bijaksana itu.

“Ayah! Ayah lamun apa tu?” suara Abin mengejutkannya.

Hakimi tersentak. “Tak ada apa. Ayah cuma teringat zaman ayah bersekolah dulu.”

“Ceritalah lagi!” rayu Husna.

“Nanti kita cerita. Sekarang Ayah nak tanya Abin. Kalau pokok ni dah tutup, tapi ada orang nak pegang atau rentap juga, apa akan terjadi?”

Abin berfikir sejenak. “Dia akan terkena durilah. Sakit.”

“Betul. Tangan orang tu akan luka. Walaupun nampak lembut, semalu ada cara untuk 'membalas' pencerobohan ruang.”

Hakimi memandang tepat ke mata anak lelakinya. Suaranya kini lebih serius. “Sama juga dengan manusia, Abin. Kita kena hormat sempadan orang lain. Jangan jadi orang yang bersikap suka memaksa atau menekan-nekan orang lain, faham?”

Abin menarik tangannya yang tadi seolah-olah mahu menggenggam batang pokok itu. Dia mengangguk perlahan. Husna pula masih asyik menyentuh daun yang lain, memerhati dengan penuh minat setiap kali daun itu mengatup. Bagi Husna, ia keajaiban alam. Bagi Hakimi, itu adalah pendidikan awal tentang autonomi tubuh.

Di kota yang serba pantas seperti Shah Alam, Hakimi sering melihat batasan maruah menjadi kabur di sebalik skrin telefon. Like dan followers sering kali menuntut seseorang untuk 'membuka' segala-galanya sehingga tiada lagi ruang privasi yang tersisa.

“Ayah, jom kita balik! Abin lapar,” ajak si anak.

Hakimi bangkit dari bangkunya. “Dah nak senja pun. Marilah balik, kita singgah beli makanan di kafe depan tu.”

Hakimi menunjuk ke arah rumpun semalu. Tanpa disentuh, daun-daun itu mula menguncup sendiri mengikut irama waktu yang kian gelap.

“Lihat tu. Bila hari makin gelap, dia tertutup sendiri tanpa perlu dipaksa. Dia tahu bila masanya untuk berehat dan menjaga diri.”

Husna dan Abin mengikut langkah ayah mereka menuju ke kereta. Di dalam hati, Hakimi berharap anak perempuannya akan membesar dengan prinsip pokok semalu, mempunyai keanggunan untuk menjaga diri dan memiliki ilmu sebagai duri untuk mempertahankan maruah. Dan buat Abin, Hakimi berharap anak itu membesar sebagai lelaki yang tahu menghormati setiap 'kuncupan' daun yang ditemuinya.

Azan menandakan waktu Maghrib tiba mula berkumandang. Taman permainan itu kembali sunyi. Cahaya lampu jalan mulai terpasang, membiarkan pokok semalu itu tenggelam dalam pelukan malam yang selamat.

 Ayahsakinah, 02 Jun 2026.




Tiada ulasan: