Anjung rumah kayu itu sepi, diselimuti bau tanah basah selepas hujan petang. Di atas pangkin yang sudah agak lekang pakunya, Pak Yusuf duduk bersila. Jarinya yang berkedut dan kasar, dicalit minyak angin, mengurut perlahan betisnya yang dingin diserang sejuk malam. Di sisinya, ada sebuah pelita minyak tanah yang menjadi teman setia setiap kali bekalan elektrik di kampung pedalaman itu terputus.
Ikmal, anak mudanya yang baru setahun mencicip asam garam kehidupan di kota besar, duduk membatu di penjuru pangkin. Wajahnya keruh. Ada mendung yang lebih gelap daripada awan petang berarak di kelopak matanya. Jiwa mudanya bergelora, dipalu rasa tidak puas hati, kecewa, dan amarah yang meluap-luap terhadap ketidakadilan di tempat kerja.
"Mal dah tak tahan, ayah," luah Ikmal, nadanya bergetar, menahan sebak yang sedia pecah.
"Dia cuma pengurus. Tetapi lagaknya macam dia yang memiliki syarikat ini. Dia herdik Mal depan orang ramai, macam Mal ini hamba. Dia nampak begitu besar, begitu berkuasa, ayah. Mal rasa kerdil. Rasa macam mahu hempas sahaja kerusi di mukanya, kemudian letak jawatan!"
Pak Yusuf tidak segera menyahut. Seorang tua yang sarat dengan kearifan lokal tidak akan membalas amarah, melainkan dengan takungan budi yang tenang. Pak Yusuf mencapai mancis api. Dengan satu goresan. Cahaya kemerahan memercik, lalu sumbu pelita yang tadinya mati, kini menyala kecil.
Serta-merta, sebuah bayang gergasi terpancar di dinding. Bayang itu kelihatan meliuk-liuk, memanjang, dan menggergasi, seolah-olah mahu menelan tubuh Pak Yusuf dan Ikmal sekali gus.
"Lihat bayang itu, Mal," ujarPak Yusuf perlahan, matanya merenung liuk-liuk hitam di dinding. "Besar, bukan? Nampak gagah. Seolah-olah dia boleh merobohkan dinding papan kita ini dengan sekali jentik."
Ikmal memandang bayang itu, kemudian memandang ayahnya, dahi anak muda itu berkerut. Dia tidak faham mengapa dalam saat jiwanya sedang ranum dengan amarah, ayahnya mahu berbicara tentang bayang-bayang.
Pak Yusuf tersenyum nipis. Pandangannya tidak lagi di anjung, tetapi melayang menerobos dimensi waktu, kembali ke zaman mudanya di estet getah tiga puluh tahun yang lampau.
"Dahulu, semasa ayah seusia kamu, ada seorang mandur bernama Hamid. Dia digeruni semua orang. Badannya tegap, suaranya seperti guntur, dan dia rapat dengan pengurus estet berbangsa asing. Sesiapa yang tidak sebulu dengannya, akan dipastikan tiada bahagian susu getah yang baik untuk ditoreh keesokan harinya."
Pak Yusuf bercerita, nadanya mendatar namun penuh berisi.
"Ayah pernah dicabar oleh Hamid di kedai kopi. Dia menuduh ayah mencuri kawasannya. Dia berdiri di depan ayah, bayangnya menutup seluruh meja kopi. Ayah rasa kerdil, Mal. Rasa darah muda mendidih di dada. Tangan ayah sudah menggenggam pisau toreh di pinggang. Ikutkan hati yang panas, mahu sahaja ayah robek dadanya."
"Lalu, apa ayah buat?" celas Ikmal, terpancing oleh gelora cerita lama.
"Ayah ingat pesan arwah datuk kamu," Pak Yusuf menoleh, memandang tepat ke dalam anak mata Ikmal.
"Sabar itu bukan bermakna kita kalah. Sabar itu adalah seni mengumpul kekuatan tanpa disedari lawan.
Ayah menarik nafas. Ayah tunduk, ayah ambil jag air, ayah tuang ke cawannya yang kosong, lalu ayah beredar tanpa kata. Orang kampung kata ayah penakut. Hamid ketawa besar, berasa dirinya semakin kebal dan tidak tersentuh.
"Tetapi itu tidak adil, ayah! Orang begitu akan terus membuli kita!" tingkah Ikmal, tidak berpuas hati.
Pak Yusuf memotong bicara anaknya dengan isyarat tangan yang lembut. "Tunggulah dahulu, Mal. Kesabaran itu sifatnya bertali arus, ia bukan kerja sehari dua."
Ikmal tertunduk semula. Di dalam sudut hatinya, dia bermonolog: Ayah tidak faham. Zaman ayah zaman estet. Zaman aku zaman korporat. Orang yang memegang kuasa boleh memusnahkan kerjaya aku dengan satu e-mel. Pengurus aku itu, setiap kali dia berjalan masuk ke pejabat, semua orang tunduk. Dia ketawa mengejek hasil kerja aku. Dia kelihatan begitu besar, untouchable. Bagaimana aku boleh bersabar apabila maruah aku dipijak-pijak seperti debu di jalanan?
Namun, Ikmal juga sedar, ayahnya tidak pernah silap dalam membaca membaca watak manusia. Ayahnya ialah seorang lelaki yang telah menempuh ratusan badai, tetapi wajahnya tetap jernih tanpa parut dendam.
Pak Yusuf bergerak sedikit. Dia merenung sumbu pelita minyak tanah yang sedang menari-nari ditiup angin malam yang lolos di celah dinding.
"Mal, kamu tahu mengapa bayang-bayang di dinding itu nampak begitu besar dan menakutkan?" tanya Pak Yusuf.
"Sebab cahaya pelita ini kecil, dan kedudukan kita dekat dengan cahaya," jawab Ikmal, sekadar menggunakan logik akal.
"Benar. Tetapi ada satu lagi rahsia bayang-bayang," ujar Pak Yusuf.
"Bayang-bayang itu, dia kelihatan berkuasa. Dia boleh melompat tinggi, dia boleh menertawakan pelita ini kerana pelita ini kecil dan tidak bermaya. Dia sombong dengan saiznya yang gergasi."
Pak Yusuf perlahan-lahan mendekatkan tapak tangannya yang besar ke atas corong kaca pelita. Dia tidak menyentuhnya, sekadar menghalang oksigen.
"Tetapi hakikatnya, Mal... bayang-bayang itu tidak pernah kuat. Dia tidak punya kuasa pun. Dia sebenarnya sedang meminjam cahaya daripada pelita yang kecil ini untuk wujud. Tanpa perhatian yang kita berikan kepada pelita ini, tanpa jarak yang kita sediakan, bayang-bayang itu tiada apa-apa."
Zass! Pak Yusuf meniup pelita itu dengan sekali hembusan yang tenang.
Anjung rumah serta-merta menjadi gelap gelita. Hanya cahaya bulan yang samar-samar menembusi dedaun pohon rambutan di luar.
"Lihat," suara Pak Yusuf kedengaran di dalam kegelapan, dalam dan bertenaga. "Ke mana perginya gergasi yang menakutkan tadi? Ke mana perginya bayang-bayang yang kelihatan tidak boleh disentuh itu? Sebaik sahaja pelita dimatikan, dia lenyap. Dia hilang bersama kesombongannya."
Ikmal terdiam. Kegelapan itu tiba-tiba terasa begitu sunyi, membenarkan kata-kata ayahnya meresap masuk ke dalam ruang mindanya yang paling dalam.
Pak Yusuf menyalakan semula pelita dengan goresan mancis kedua. Cahaya kembali membelah malam. Bayang-bayang itu muncul semula, tetapi kali ini, Ikmal tidak lagi melihatnya sebagai sesuatu yang menakutkan. Ia hanyalah sekadar coretan hitam yang bergantung sepenuhnya pada kewujudan api.
"Manusia seperti pengurus kamu itu, Mal," kata Pak Yusuf sambil membetulkan duduknya, "mereka kelihatan besar hanya kerana kamu memberi mereka tenaga. Kamu memberi mereka ketakutan kamu, kamu memberi mereka perhatian kamu, dan kamu memberi mereka kuasa untuk menyakitkan hati kamu. Kamu menjadi pelita yang membesarkan bayang-bayang mereka."
"Bagaimana aku mahu memadamkan 'pelita' itu, ayah? Mal terpaksa bekerja dengannya setiap hari," tanya Ikmal, suaranya kini lunak, tiada lagi nada tinggi yang melengking.
"Padamkan pelita itu dalam hatimu, Mal. Itulah namanya hidup bersabar," ulas Pak Yusuf mendalam. "Sabar bukan bermaksud kamu menyerah kalah. Sabar itu adalah apabila kamu melihat herdikannya, kamu tidak memasukkannya ke dalam jiwa. Kamu kekal tenang, kamu lakukan tugasmu dengan terbaik, dan kamu tidak memberikan sekelumit pun emosimu untuk 'membesarkan' bayang-bayangnya."
Pak Yusuf menyambung kisah Hamid yang terputus tadi. "Kamu tahu apa jadi pada Hamid di estet dahulu? Dia ingat dia besar. Dia memijak ramai orang kerana orang takut dengannya. Tetapi apabila semua penoreh mula bersabar, tidak lagi melayan provokasinya, dan membuat kerja masing-masing dengan cekap, pengaruh Hamid mula pudar. Pihak pengurusan akhirnya sedar dia hanyalah tin kosong yang menyalak kuat. Apabila pengurus asing itu ditukarkan, Hamid kehilangan 'cahayanya'. Dia bersorangan, melutut meminta maaf kepada orang-orang yang pernah dizaliminya sebelum dia pencen dalam kehinaan."
Malam semakin larut. Bunyi cengkerik di luar rumah saling bersahutan, mengiringi fasa pemikiran Ikmal yang kian matang. Dia memandang tapak tangannya sendiri. Dia membayangkan pengurusnya di pejabat.
*Ya, fikir Ikmal dalam monolognya. Selama ini aku yang menyebabkan Encik Jamil nampak begitu berkuasa. Setiap kali dia menjerit, aku menggigil. Setiap kali dia menyindir, aku balik ke rumah dengan dendam. Aku yang memberi tenaga kepada bayang-bayangnya untuk membesar dan menghempap kebahagiaan aku.
"Hidup ini, Mal, umpama sebuah pelayaran di laut yang penuh gelora," tambah Pak Yusuf, menutup bicaranya dengan pesanan.
"Orang yang tidak sabar akan terjun ke dalam laut setiap kali ombak datang, akhirnya mereka lemas sendiri. Tetapi orang yang bersabar akan memegang kemudi dengan kukuh, membiarkan ombak itu berlalu, kerana mereka tahu, tiada ombak yang kekal selamanya."
Ikmal menarik nafas panjang. Udara malam yang sejuk terasa menyegarkan dadanya yang tadi sesak. Kerusuhan di wajahnya beransur-ansur hilang, diganti dengan satu tekad baharu. Tekad seorang anak muda yang telah menerima mutiara ilmu daripada seorang ayah.
"Terima kasih, ayah," kata Ikmal, sebaris senyuman mula terukir di bibirnya. "Esok, Mak akan kembali ke pejabat. Tetapi kali ini, aku tidak akan membawa ketakutan lagi. Aku akan biarkan dia menjerit pada bayang-bayangnya sendiri."
Pak Yusuf sekadar mengangguk, matanya bersinar bangga. Di bawah cahaya pelita minyak tanah yang kecil itu, kedua-dua beranak itu duduk berbual tentang masa depan, manakala bayang-bayang di dinding terus meliuk-liuk, kelihatan besar, namun hakikatnya, langsung tidak bertenaga. Dan kegelapan malam itu terasa sangat mendamaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan