Rabu, Jun 03, 2026

Ertinya budi

Bumi sedang meradang. Sudah berbulan-bulan langit membatu, enggan menitiskan walau setitik rahmat. Tanah di kampung itu merekah seribu, membentuk parut-parut dalam yang hodoh. Rumput-rumput mati berdiri, kuning, kering dan garing. Dalam bahang yang membakar itu, tanah menjadi sekeras besi. Maka, apabila ajal menjemput, kematian bukan lagi sekadar duka, tetapi satu bala yang menyeksakan.

Siapa yang mampu membelah dada bumi yang membatu itu?

Hanya si Molok, si kura-kura yang jalannya lembap, tetapi memiliki sepuluh jari sekeras keluli. Molok adalah sang penggali tanah yang setia. Dia tidak meminta banyak. Cukup sekadar upah bafu mengalas perut, tanda budi seorang hamba. Dia menggali dengan tertib, seolah-olah setiap liang yang dicangkulnya adalah sebuah istana abadi untuk sang mati.

Namun, di celah-celah debu kekeringan itu, ada Anjing. Anjing yang perutnya buncit dengan hasil tipu daya. Anjing yang matanya sentiasa meliar mencari peluang untuk membodohkan kawan. Dia kaya. Duitnya bertimbun hasil memerah keringat lembu, kambing, kerbau dan babi. Baginya, kejujuran adalah sampah dan budi adalah kelemahan.

"Aku cerdik!" Anjing sering melolong di depan cermin. "Dunia ini milik si penipu. Siapa hidup jujur, dia pasti hancur!"

Satu pagi yang kelabu, ajal singgah di rumah Anjing. mak Anjing, yang sudah lama uzur, sakit gila babi, akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Anjing panik. Bukan kerana rindu, tetapi kerana bau busuk bangkai mula menghimpit hidungnya di tengah cuaca panas yang gila ini.

"Molok! Panggil Molok!" arah Anjing kepada utusannya.

Molok datang. Tanpa banyak bicara, kura-kura itu membenamkan jarinya ke tanah yang membatu. Berjam-jam dia bergelut dengan kerasnya bumi hingga kukunya berdarah. Akhirnya, sebuah liang yang sempurna siap digali. Mak Anjing selamat ditanam.

Setelah tanah dikambus, Mbe berdiri diam. Dia memandang Anjing, menunggu haknya. Namun, Anjing hanya mencebik.

“Bodohnya kau", bisik hati kecil Anjing yang hitam. “Emak aku sudah di dalam tanah. Kau nak buat apa sekarang? Nak gali balik? Pergi mampus dengan upah kau!”.

Anjing berpaling dan masuk ke rumah tanpa sepatah kata. Molok tetap tenang. Tidak ada kemarahan pada wajahnya yang berkedut itu. Dia hanya diam namun tersenyum tawar, sebuah senyuman yang lebih menakutkan daripada amarah.

"Ada ubi, ada batas, ada lori ada bas, wahai Anjing," gumam Molok perlahan, hampir seperti bisikan angin.

"Apa kau cakap?" Anjing menjerit dari jendela.

"Ada lori ada bas" ulang Molok sebelum berlalu pergi, hilang di sebalik debu jalanan dan kepekatan malam.

Malam itu, Anjing tidak dapat melelapkan mata. Kata-kata Mbe terngiang-ngiang seperti dengung langau. Dia teringat pesanan emaknya dulu tentang hutang budi. Dia teringat bapanya yang masih hidup, yang sedang duduk termenung di sudut rumah. Anjing cuba mengusir perasaan itu dengan menghitung kepingan emasnya, namun bau tanah yang kering tetap menusuk hidungnya.

Seminggu berlalu. Langit masih degil. Dan ajal, sekali lagi, mengetuk pintu rumah Anjing. Kali ini, bapanya pula yang kaku.

Anjing melolong. Dia memanggil semua utusan. "Cari Molok! Bawa dia ke sini! Aku akan bayar sepuluh kali ganda! Aku nak bapak aku ditanam dengan emas!"

Utusan berlari ke rumah Molok. Tetapi Molok hanya duduk di muka pintu, tenang mengunyah ubi rebus.

"Molok, Anjing panggil. Bapanya mati. Dia nak bayar tinggi!"

Molok berhenti mengunyah. Dia memandang langit yang masih membatu. "Beritahu Anjing... aku tak datang. Ada lori, ada bas."

Apabila jawapan itu sampai ke telinga Anjing, dia menjadi gila. Dia berlari ke rumah Molok, menghempas pintu kayu yang usang itu.

"KURA-KURA CELAKA! APA MAKSUD KAU? CAKAP!  RUMAH AKU DAH MULA BERBAU!"

Molok mengangkat wajahnya. Matanya yang sayu kini tajam menikam anak mata Anjing.

"Setiap penggali tahu bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Dan apabila ajal datang di musim kering begini, hanya penggali yang tahu cara memujuk tanah. Tetapi apabila budi dibalas tahi, penggali ada satu hak yang paling besar."

Molok berhenti seketika. Suasana menjadi sunyi sepi.

"Hak untuk berkata 'Tidak'. Dan sekarang, Anjing... biarlah bapak kau membusuk di atas sana. Biarlah dia menjadi makanan lalat. Kerana tanah ini tidak akan terbuka untuk orang yang lupa ertinya budi."

Anjing terduduk. Dia memandang tangannya sendiri yang halus dan lembut. Dia cuba menggali tanah dengan kuku jarinya, tetapi tanah itu tetap keras seumpama dendam yang tidak berkesudahan.

Molok masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Anjing tetap di situ, menangis di tengah panas terik, sementara di rumahnya, bangkai bapanya mula menjadi sebahagian daripada bau busuk dunia yang penuh tipu daya.

Tanah tetap membatu, penggali tidak kembali.



Tiada ulasan: