"Suatu hari nanti mungkin namamu tak lagi membuatku menangis, namun akan tetap hidup sebagai sebahagan dari masa paling hangat dalam hidupku... Kau pergi, tidak akan kembali, melainkan pulang sebagai kenangan yang tinggal selamanya di hati."
Bayu petang bertiup perlahan, melintasi barisan batas fertigasi yang tersusun kemas. Di permatang ladang cili fertigasi yang daunnya hijau merimbun, Adi berdiri kaku. Di tangannya, tergenggam erat sebuah gajet tablet yang memaparkan pelan automasi IoT (Internet of Things) untuk sistem pengairan pintar. Sesuatu yang sangat baharu bagi dirinya. Langkah ini menuntut satu keberanian yang besar untuk seorang lelaki yang sebelum ini hanya selesa menguruskan perniagaan runcit secara konvensional di kota besar.
Dada Adi berombak kencang, dihimpit gelora nostalgia. Fikirannya ditarik jauh ke belakang, mengenang kembali seraut wajah Maya, arwah isterinya yang telah setahun pergi meninggalkan dunia ini selepas bertarung dengan penyakit kritikal. Kehilangan itu merentap segala baki bahagia yang ada. Kini, Maya hanya hadir sebagai sebuah memori; datang bertamu di kala malam sunyi, sebelum melangkah pergi meninggalkan rindu yang tidak pernah padam.
"Kalau tuhan bagi peluang sehari saja lagi... untuk aku dengar suara kau, Maya," bisik Adrian di dalam hati. Monolog batinnya sarat dengan pili yang mendalam. "Aku cuma nak beritahu yang aku dah sahut cabaran kau. Aku dah mulakan ladang cili ni untuk masa depan anak kita, Danish. Aku takkan biarkan dia hilang arah selepas ketiadaan kau."
Kenangan lalu tiba-tiba berputar di ruang mata bagaikan sebuah pita rakaman lama. Sebuah imbasan lampau yang masih segar, ketika mereka berdua duduk berbincang di balkoni apartmen mereka di pinggir ibu kota.
"Adi," panggil Maya lembut, matanya yang kian kuyu merenung tepat ke dalam anak mata suaminya. "Kita tak boleh selamanya bergantung pada kedai runcit tu je. Ekonomi sekarang tak menentu, sewa kedai makin melambung. Saya risaukan masa depan Danish kalau ditakdirkan saya dah tak ada nanti."
Adi mengusap lembut wajah isterinya yang semakin cengkung. "Sayang, janganlah fikir bukan-bukan. Semua tu kan saya boleh uruskan. Lagipun, kedai kita masih okey apa."
"Bukan macam tu," celah Maya, cuba tersenyum kecil. "Zaman dah berubah. Peluang ada dalam sektor pertanian moden. Hari tu saya ada baca pasal projek fertigasi cili komersial. Pulangannya lumayan dan permintaannya sentiasa ada kalau kita berani guna teknologi moden. Tapi... awak berani ke nak tukar bidang? Awak kan anak kota."
"Pertanian? Kerja tengah panas tu? Macam tak kena je dengan kita, Maya. Lagipun saya tak ada asas langsung pasal tanah atau tanaman ni," balas Adi pada waktu itu, agak ragu-ragu dan takut untuk keluar daripada zon selesanya.
Adi tersedar daripada lamunan panjang apabila skrin tabletnya berkelip, menandakan sistem pam baja automatik sedang berfungsi. Air matanya menitis perlahan, jatuh ke atas permukaan skrin gajet tersebut. Kehilangan rupa-rupanya sekejam ini; ia memaksa seseorang merindukan perkara-perkara ringkas yang dahulu pernah dipandang remeh.
Namun, demi melunaskan impian terakhir Maya yang dahulunya dianggap asing, Adrian mengumpul sisa kekuatan. Dia mengambil keputusan drastik untuk berpindah ke pinggir bandar, membeli sebidang tanah, dan mengusahakan ladang cili ini demi kelangsungan keluarga.
"Ayah," satu suara memecah kesunyian. Danish, anak lelakinya yang kini berusia 16 tahun, berjalan menghampiri dengan sebotol air mineral di tangan. "Orang dari agensi pertanian dah hantar e-mel. Esok pagi mereka nak datang melawat ladang kita untuk periksa gred cili merah yang sedia untuk dituai tu."
Adi berpaling, mengesat air matanya dengan hujung lengan baju sebelum mengukir senyuman buat anak tunggalnya itu. Semangatnya yang hampir luntur kini kembali menyala, seolah-olah ditiup dari kejauhan.
"Okey, Danish. Tolong jawabkan e-mel mereka, cakap ayah adaesok pagi," kata Adi dengan nada suara yang penuh tekad. "Kita pastikan projek pertama kita ni berjaya. Ayah takkan mengaku kalah. Ini janji ayah pada mama kamu."
Danish mengangguk faham dan tersenyum bangga melihat perubahan pada ayahnya. Dia tahu, walaupun ayahnya sedang bertarung dengan kesedihan yang mendalam, Adi telah memilih untuk menjadi seorang ayah yang berani demi masa depan mereka.
Senja mula melabuhkan tirainya, memancarkan warna jingga di atas hamparan pokok-pokok cili yang sedang berbuah lebat. Adi memandang ke arah langit dengan hati yang pasrah namun penuh azam. Dia akhirnya mengerti; Maya tidak akan kembali lagi secara nyata, tetapi telah pulang sebagai sebuah kenangan terindah yang menjadi sumber kekuatan untuk dia terus melangkah, selama-lamanya.
Ayahsakinah Jun 2026

Tiada ulasan:
Catat Ulasan