Jumaat, Ogos 07, 2026

Meniti Sisa Waktu

Jari-jemari Osman yang gementar menekan kekunci telefon bimbitnya. Cahaya skrin menyilaukan pandangan matanya yang kian kabur. Di dalam ruang tamu rumah teres yang sepi itu, suara cengkerik di luar seolah-olah mengejek kesepian yang menghenyak dadanya.

Dia menarik nafas panjang, namun dadanya terasa sempit. Tubuhnya yang dahulunya tegap kini hanyalah sekeping bayang-bayang yang dimakan usia dan penyakit. Mengingati kata-kata doktor tempoh hari, bibirnya mengukir senyum tawar.

“Encik Osman, strok yang menyerang hari itu ialah amaran daripada tubuh Encik. Encik perlu berehat sepenuhnya. Janganlah bekerja keras lagi. Jantung dan pembuluh darah Encik tidak mampu menampung tekanan yang lebih.”

Berehat? Osman memejamkan mata. Mana mungkin dia berehat apabila bayang-bayang masa hadapan masih belum selesai ditata? Di hadapan anak-anaknya, Osman tetap berpura-pura sihat. Dia menaikkan bahunya, melangkahkan kaki dengan gagah, bergerak pantas dan menyembunyikan getar tangan di dalam poket seluarnya. Dia tidak mahu kelihatan lemah, walaupun urat serta sendi tubuhnya menjerit meminta belas.

Namun, tentangan anak-anaknya lebih menyakitkan daripada serangan strok itu sendiri.

Imbas Kembali

“Ayah dah tua, buat apa nak kahwin lagi? Cukuplah ada kami!” bentak Azman, anak sulungnya, tiga bulan yang lalu. Suaranya bergema di ruang tamu yang sama.

“Betul kata Abang Long, ayah. Orang luar hanya nak harta ayah sahaja. Lagipun, apa kata saudara-mara nanti? Tak malu ke?” tambah Suhaila, anak bongsunya tanpa sedikit pun menimbang rasa.

Osman hanya terdiam ketika itu. Dia menundukkan kepala, membiarkan celaan anak-anak yang dibesarkannya dengan titik peluh sendiri hinggap di telinga. Mereka tidak tahu betapa dinding rumah ini terlalu dingin pada waktu malam. Mereka tidak tahu betapa sepinya sebuah jiwa apabila kesakitan menyerang tanpa ada sepasang tangan yang sudi menuntun tangannya.

‘Kalian tidak pernah faham,’ bisik hati kecil Osman. ‘Kalian ada kehidupan sendiri, ada pasangan, ada kerjaya. Sedangkan aku di sini, menghitung hari yang kian singkat dalam kesakitan yang membakar.’ getus hatinya sambil mengesat air mata. 

Osman kembali menatap skrin telefonnya. Gambar wajah arwah isterinya dan kemudian wanita itu, yang menyinari sisa-sisa hidupnya yang malap, terpapar halus. Wanita itu tahu segala kekurangannya, tahu tentang penyakitnya, malah tahu tentang tentangan keras anak-anaknya. Namun, wanita itu kekal setia di sisinya, menerima segala takdir dengan ketenangan yang menakjubkan.

“Masa terlalu suntuk, tetapi engkau masih di sini, menungguku,” gumam Osman perlahan.

Dengan tangan yang masih tergetar-getar akibat kesan strok, dia mula menaip sebuah warkah ringkas. Dia merapikan teks tersebut mengikut bahasa yang paling indah, menyalurkan seluruh keazaman dan rasa penyesalannya, serta janjinya yang tidak pernah padam.

Untuk seseorang,

Aku telah menuliskan namamu di dalam relung hatiku yang paling dalam, dan menyebutmu dalam setiap doa yang kupanjatkan ke hadrat Ilahi. Engkau ialah sisa harapan yang selalu ingin kujaga, meskipun jarak, waktu, dan pelbagai halangan masih memisahkan kita.

Bagiku, kehadiranmu ialah ketenangan yang tidak boleh digantikan oleh apa-apa jua di dunia ini. Senyumanmu menjadi semangat dalam setiap langkahku yang kian lesu, wajahmu selalu hadir dalam setiap anganku, dan suaramu ialah penawar rindu yang sentiasa ingin kudengar apabila kesepian dan kesakitan ini datang menyerang.

Aku merindukanmu dengan doa yang tidak pernah putus. Wahai penyejuk mataku dan calon pendamping hidupku, terima kasih kerana sudi menerima diriku yang serba kekurangan ini, walaupun engkau tahu masa yang kita ada sangat suntuk.

Percayalah, aku tidak pernah menyerah. Aku sedang menantikan masa yang paling sesuai untuk datang meminangmu secara mutlak. Walau apa jua badai dan tentangan yang mendatang, aku akan terus berusaha untuk menyatukan ikatan kita.

Semoga Allah menjaga hatimu, mempertemukan kita pada waktu terbaik, dan mengikat kisah ini dalam ikatan pernikahan yang penuh dengan keberkahan.



Tiada ulasan: