Isnin, Ogos 17, 2026

Hakodate on my mind

Angin dingin dari Selat Tsugaru menusuk hingga ke tulang, namun bongkok tubuh tua Hiroshi tetap setia memaut stereng teksi di pinggir Lapangan Terbang Hakodate. Rambutnya yang memutih sepenuhnya tampak sedikit serabai, mencerminkan kepenatan yang teramat sangat setelah memerah tenaga saban hari. Di cermin sisi, kelihatan susut pipinya yang dimakan usia, memantulkan bayang-bayang perjalanan hidup yang panjang.

Di luar balai ketibaan tadi, keadaan gamat seketika. Pemandu-pemandu teksi lain yang ditemui semuanya menggeleng kepala—perbualan kami ibarat itik bercakap dengan ayam. Mujur ada Hiroshi. Satu-satunya pemandu yang fasih berbahasa Inggeris dengan tatabahasa yang teratur, sebuah fenomena luar biasa di bumi Sakura yang warganya terkenal agak enggan bertutur bahasa asing.

Namun di sebalik kelancaran bicaranya, terselit raut keletihan yang amat sangat pada raut wajah senja itu. Di Jepun, melihat kelibat warga emas bertulang bongkok menyusun kotak di pasar raya atau memandu teksi pada usia lewat 70-an bukanlah asing. Ia sebuah realiti yang bisu.

Lalu, fikiran aku menerawang ke tanah air sendiri, di mana bayang-bayang itu kini kian menghampiri.

“If you have EPF savings, it doesn't guarantee a peaceful life, my friend,” keluh Hiroshi perlahan dalam bahasa Inggerisnya yang tenang tetapi parau, seakan meratap nasib warga tua di mana-mana jua. “Money gets drained, people get abandoned. Do you think free welfare homes are just sitting empty waiting for us?”

“Is it really that hard to get a place?” duga aku sambil membetulkan duduk di sebelah anak lelakiku, Muqarrabin. Dia kelihatan mengantuk selepas kami menempuh tiga penerbangan berasingan yang amat melelahkan—dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, mendarat di Taipei, sebelum akhirnya melintasi awan dan Fuji san menuju ke Hakodate. Pengembaraan jauh ini aku gagahi demi menghadiri majlis graduasi anak perempuanku, Husna, yang menuntut ilmu di Hokkaido University of Education.

Hiroshi ketawa kecil, ketawa yang sarat dengan kekecewaan. “You have to wait for someone to pass away first! Long queues outside the door. If you have no children or relatives, do you think nieces or nephews will stretch out a hand? People barely care for their own parents, let alone an old, penniless uncle.”

Meter teksi melonjak rapat ke angka 2,000 yen sebaik sahaja kenderaan itu berhenti lembut di hadapan sebuah homestay moden. Jaraknya hanya sekitar 80 meter dari Menara Goryokaku yang meliuk megah ke langit. Di sekeliling menara, Taman Goryokaku terbentang indah bagai hamparan kanvas—pepohon sakura bergoyang lembut ditiup angin senja, merimbun segar dengan kelopak-kelopak yang menanti masa untuk gugur.

Tepat di belakang homestay, papan tanda 7-Eleven menyala terang. Kehadiran kedai serbaneka itu bagaikan rahmat kecil, memudahkan aku dan Muqarrabin mendapatkan bekalan bahan mentah untuk menyediakan juadah berbuka dan sahur. Di bumi utara ini, cabaran berpuasa terasa begitu tebal apabila jarak masa antara Isyak dan Subuh hanyalah sekitar tiga jam.

Aku melangkah keluar, menyerahkan tambang sambil memerhati jemari tua Hiroshi yang terketar-ketar mengira wang kembalian. Sunyi menyelimuti malam Hakodate. Takdir tidak pernah salah menenun riwayat—bujang atau berkeluarga, itu urusan takdir. Namun, mengabaikan perancangan masa depan adalah kesilapan diri sendiri. Kehidupan warga tua memerlukan susunan sistemik; kewangan yang tersusun, aset yang terpelihara, serta kesihatan yang digenggam kemas sebelum senja melabuhkan tirainya.

Bunga-bunga bangsa, jangan terbuai dalam mimpi indah usia muda, kerana waktu tidak pernah menunggu yang leka, dan senja yang dingin tidak pernah memilih mangsa.

Kehidupan tidak memberi ruang pada keangkuhan. Tanpa perancangan yang kukuh dan hubungan sesama manusia yang ikhlas, hari tua hanya menjadi sebuah pentas kesendirian yang menagih simpati di lorong-lorong takdir yang gelap.

Tiada ulasan: