Khamis, Ogos 20, 2026

Warkah Biru

Hujan gerimis mula membasahi atap zink, mencetuskan irama syahdu yang membawa ingatan melonjak jauh ke belantara waktu. Tahun-tahun yang memisahkan kami bukan sekadar lipatan jarak, tetapi jurang samudra yang begitu tebal dan sunyi.

​Aku membesar di celah-celah lorong kampus tempatan, menghirup debu kota dan membilang hari di bawah langit yang sama dengan tanah tumpah darah. Sementara dia, berada jauh di seberang laut sana—meniti musim-musim asing yang sejuk, mengutip ilmu di bawah naungan menara-menara batu yang megah. Jarak bukan sekadar ribuan batu, tetapi juga perbezaan zon waktu yang kerap kali memaksa salah seorang daripada kami berjaga hingga larut malam.

​Pada zaman itu, tiada gajet canggih yang mampu menghubungkan dua jiwa dalam lipatan saat. Yang ada hanyalah posmen bermotorsikal dan warkah-warkah bertanda gincu merah yang ditunggu dengan penuh ketabahan.

​"Abang sudah terima warkah yang adik kirim minggu lepas?" tanya adik suatu ketika dulu, sambil aku membelek helaian kertas warkah yang kian menguning, masih berbau hapak kenangan.

​Di dalam warkah itu, tulisannya rapi dan halus. Teliti. Cantik tersusun.

​"Di sini angin musim gugur mula membeku, bang," tulisnya dalam satu perenggan yang paling kuingat. 

"Tangan ini kedinginan sewaktu menukilkan baris ini, tetapi ingatan pada majlis kenduri yang abang hadiri di rumah adik dulu sentiasa hangat. Adakah hujan di sana masih sama?"

​Aku membacanya berkali-kali di bawah lampu meja asrama, seolah-olah dengan membaca tulisan tangannya, jarak samudra itu dapat mengecil menjadi sepotong meja.

​"Hujan di sini masih sama, adik," balasku dalam hati, membayangkan dialog yang tidak pernah sampai secara fizikal. 

"Cuma dinginnya berbeza. Hujan di sini basah dengan rindu, tetapi hujan di sana mungkin membawa gumpalan salji yang menguji ketahanan jiwa."

Deringan telefon awam di hujung koridor asrama memecah keheningan malam yang sunyi. Ia bukannya deringan biasa; ia adalah jeritan yang sudah seminggu kutunggu.

Sebaik sahaja namaku dipanggil oleh rakan sebilik, aku berlari pantas menuruni tangga simen, hampir tersandung kaki sendiri. Jemariku berpeluh menyambar gagang plastik merah yang dingin itu.

"Helo?", suaraku tersekat di kerongkong.

Di hujung talian, hingar-bingar satellite delay mengalun kasar sebelum suara yang amat dirindui memecah benteng jarak.

"Abang..." suaranya menggeletar, kedengaran begitu rapuh dan jauh. "Ini adik. Maafkan adik, bang. Surat adik lewat... adik demam seminggu, peperiksaan musim sejuk pula bertimbun. Adik tak sempat nak ke post office."

Mendengar bait kata itu, segala syak wasangka dan gelisah yang membakar dada dua minggu lalu lebur serta-merta. Rasa bersalah menular halus ke dalam jiwa kerana pernah meragui kesetiaan gadis itu.

"Adik... tak apa, tak apa. Abang yang patut minta maaf sebab meragui adik," balasku, menyandarkan dahi ke dinding simen yang dingin. "Adik sihat sekarang? Kenapa telefon malam-malam begini? Mahal tarifnya,...."

"Adik rindu sangat, bang. Di luar rumah salji sedang turun, sejuk sangat sampai ke tulang," luahnya sambil esakannya pecah halus di corong telefon. 

"Adik rindu. Adik cuma mahu dengar suara abang, walaupun hanya seminit dua untuk buat adik rasa hangat semula."

Aku menarik nafas panjang. Di bawah bahang malam yang melekit, dia cuba merayu kehangatan jiwaku terbang melepasi Selat Inggeris. Aku tahu kos panggilan antarabangsa menggunakan kad telefon itu amat mencekik poket gadis yang bekerja keras membasuh pinggan di kafe.

Lalu, dalam keterbatasan detik dan saat yang terus berputar mahal, aku membacakan sepotong puisi yang pernah kutulis di atas kad manila pada malam-malam dilanda keraguan—sebuah warkah lisan buat menyapu duka ghaib di hemisfera utara:

Di bawah langit yang membakar,

aku menghitung detik yang terdampar,

meragui rindu yang kau hantar,

dalam dingin musim yang mencabar.

Rupanya di sana kau kedinginan,

meniti salji tanpa pegangan,

maafkan aku yang tewas dalam syak wasangka,

sedangkan kasihmu kekal masih berharga.

Biar dipisah benua dan waktu,

suaramu di talian penawar rinduku,

biar beribu batu kita terasing,

di hati ini, namamu takkan berpaling.

Suasana di hujung talian hening seketika. Kedengaran nafasnya yang teratur, ditarik perlahan-lahan bersama sisa tangisannya yang kian reda.

"Terima kasih, bang... Puisi abang hangat sangat," bisiknya, suaranya kini kembali tenang. "Masa kita dah nak habis, kad telefon adik dah nak habis kredit."

"Jaga diri di sana. Belajar rajin-rajin," pesanku sebak.

"Abang pun sama. Adik sayang abang... tunggu adik pulang."

Talian terputus dengan bunyi tut-tut-tut yang monoton. Aku perlahan-lahan meletakkan gagang telefon. Walaupun talian sudah mati dan poket adik kini kosong, puisi yang dilayangkan sebentar tadi telah merapatkan dua benua yang jauh, menyalakan semula api harapan yang hampir padam dihembus angin musim sejuk.

​Bercinta menerusi posto adalah latihan jiwa yang paling ampuh. Setiap kali sampul surat bersetem luar negara itu hinggap di peti pos, dada berombak kencang seperti menerima khabar kemenangan. Setiap bait kata dieja dengan teliti, disimpan di bawah bantal, dan dibaca berulang kali sebelum lena bertandang. Namun, ada kalanya posto juga menjadi pembawa gelisah—apabila warkah yang dinantikan terlambat seminggu, fikiran mula melayang membayangkan pelbagai kemungkinan di benua asing itu.

​Rupanya, jarak dan masa yang direntang jauh itulah yang akhirnya membentuk garisan takdir kami hari ini. Walau warkah-warkah itu kini tidak lagi  kusimpan. Jarak seberang laut itu mungkin pernah memisahkan fizikal kami, tetapi ia juga yang menyaring sejauh mana dalamnya kasih yang pernah dipahat.




Tiada ulasan: