Rabu, Ogos 26, 2026

ASAP UFUK UTARA

Bumi Kedah sedang merekah, bukan sahaja kerana kemarau yang menggigit petak bendang hingga ianya menjadi keras dan berpecah-pecah seperti tapak kaki gajah, tetapi ianya retak kerana bala peperangan yang mengempur dari arah utara. Di ufuk Singgora, langit tidak lagi biru; ia bertukar menjadi warna merah saga yang melecurkan pandangan, pekat dilitupi kepulan asap hitam yangmerangkak dengan rakus menelan kampung demi kampung. Bau udara bukan lagi bau lumpur sawah yang basah, melainkan bau hangit daging terbakar, bau jerami yang mendengus menjadi sisa abu, dan bau hanyir darah kering yang dibawa tiupan angin.

Di lorong-lorong berdebu Kota Sena, rakyat yang masih hidup adalah bayang-bayang bernyawa yang diratah kebuluran. Anak-anak kecil dengan perut yang membusung, kulit melekat pada tulang rusuk yang melengkung tajam, merintih tanpa suara, kotak suara mereka sudah terlalu kering untuk menderai bunyi tangisan. Wanita-wanita tua merangkak di dalam selut kering, jemari mereka yang bergetar mencakar-cakar tanah, mencari-cari sisa ubi kayu yang sudah mereput, sekadar untuk mengisi perut yang pedihnya melilit.

"Beras sudah tiada, sagu sudah habis licin, kerbau mati menjadi bangkai . Ya Allah... adakah bumi Tanah Melayu yang dihanguskan ini telah menentukan takdirnya sendiri?"

Wajah-wajah rakyat Kedah bukan lagi wajah yang mengenal arti harapan. Cengkung pipi mereka menjadi tanda kedukaan; bibir pecah berdarah pekat; mata memancarkan keraguan yang kusam. Seorang perempuan muda memeluk mayat bayinya yang sudah membiru—bayi yang mati kerana tidak menerima setitis pun air susu dari ibunya. Di tepian jalan, lelaki-lelaki dewasa terkulai lemah di bawah pohon tembusu yang gondul, mata mereka merenung kosong ke arah asap dari utara, menanti sama ada maut itu bakal tiba dalam bentuk kebuluran yang menyeksa atau bilah pedang Siam yang akan melibas leher mereka.

Di atas benteng Kota Sena, Panglima Seri Rama berdiri bagaikan patung jati tua. Jemari tangannya yang kasar menggenggam hulu keris melela sehingga sendi-sendi jarinya bertukar putih. Di bawah balutan tanjaknya, peluh dingin mengalir menembusi parut luka lama di dahi, menyengat matanya yang merah kerana tidak cukup tidur. Dari atas ketinggian benteng itu, dia tidak hanya melihat pergerakan tentera Siam, dia juga menyaksikan kehancuran martabat bangsanya sendiri.

'Siam datang bukan dengan ratusan bala tentera, tetapi dengan pasukan bergajah dan meriam yang memuntahkan api kematian. Jumlah mereka melimpah-ruah bagaikan belalang yang melahap sawah. Kalau berlawan secara dada ke dada secara terbuka, ini bukan keberanian... ini adalah korban yang sia-sia. Sun Tzu menyebut: Apabila musuh berada dalam kekuatan yang terlalu hebat, elakkan pertempuran secara berhadapan. Namun, bagaimana hendak ku arahkan pengunduran kepada rakyat yang matanya sedang merayu nyawa daripadaku?'

Suara kekacauan melonjak dari arah pintu gerbang utara. Dentuman meriam Siam memecah udara petang, bergegar menggoncang bumi. Dinding Kota Sena bergetar, menjatuhkan debu-debu halus ke atas bahu Seri Rama.

"Panglima! Benteng utara depa gempur dengan meriam!" jerit Laksamana Megat yang muncul dari balik tangga benteng, dadanya berombak kencang, mukanya terpalit jelaga hitam. "Pintu gerbang kita retak seribu! Rakyat kat kaki benteng bertempur sama sendiri, berebutkan bekalan sagu terakhir sambil lari lintang-pukang!"

Seri Rama tidak berpaling. Matanya tetap terpaku ke arah kelibat panji-panji gajah Phraya Chaiya yang mula melepasi bukit-bukit kecil di seberang sempadan. Fikirannya berputar ligat, memproses hukum perang yang terpahat di hatinya.

"Cepat bertindak, Laksamana! Jangan celaru!" potong Seri Rama, suaranya garau, menekan gundah yang menggelegak di dalam dadanya. "Kalau kita bertahan di pintu gerbang ni dengan semua tenaga kita, kita saja serah leher kat bilah pedang depa!"

"Tapi Panglima, kalau kita berundur dari benteng utara, Siam ingat kita penakut! Depa pakat sembelih rakyat nanti!" bentak Megat, tangannya sudah menggenggam meriam kecil.

"Lantak! Biar Phraya Chaiya ingat kita dah lunyai!" Seri Rama memusingkan badannya, menatap mata Megat dengan renungan yang tajam dan pekat. "Apabila mampu menyerang, kita mesti kelihatan seolah-olah tidak mampu. Apabila bergerak, kita mesti kelihatan kaku. Panggil barisan hadapan kita! Arahkan depa berundur berterabur secara kucar-kacir. Biar askar Siam nampak kita pakat lari berselerak!"

Prinsip Sun Tzu

Aplikasi Taktik Dalam Cerita

Deception & Laying Plans (Penipuan & Perancangan): "All warfare is based on deception."

Seri Rama sengaja mengarahkan tenteranya berundur secara kucar-kacir untuk menimbulkan sangkaan bahawa angkatan Kedah telah tumpas dan ketakutan.

Tiada ulasan: