Ahad, Julai 12, 2026

HITAM PUTIH

Langkah kaki Kiah tidak lagi mengheret debu, tetapi mengheret dendam dan ketakutan yang menggelegak. Dia meredah jalan pekan tanpa memedulikan lori sawit yang membunyikan hon bingit. Kain bajunya yang basah lencun oleh peluh masin melekat pada belakang badannya yang membongkok. Muka tua Kiah merah padam, bukan lagi kerana bahang matahari pukul sebelas yang membakar kulit, tetapi kerana darah kemarahan yang meluap-luap dari dadanya.

Pintu kaca kedai rmas itu dirempuh kasar. Loceng kecil di atas pintu berdenting nyaring, memecah kesunyian ruang pameran yang tersergam mewah dengan lampu-lampu kristal yang memantulkan kilau kuning tiruan.

"Saya nak emas saya!"

Suara Kiah melengking tinggi, pecah di kerongkongnya yang kering kelat. Dia meluru ke kaunter marmar hitam yang berkilat. Tangan tuanya yang menggeletar hebat menghentam permukaan meja, menyebabkan resit renyuk di genggamannya terdampar bagai bangkai.

Di sebalik kaunter, duduk lelaki muda itu. Masih pemuda yang sama. Masih dengan baju Melayu teluk belanga kain kapas putih suci yang tidak berkedut, seolah-olah dia tidak pernah disentuh oleh dosa keduniaan. Songkok hitamnya terletak kemas. Melihat kedatangan Kiah yang meluap-luap, senyuman alim pada bibir nipisnya tidak padam, cuma matanya yang menatap Kiah dengan pandangan yang dingin dan berkira-kira.

"Sabar, Makcik. Mengucap. Bawa bertenang," kata pemuda itu, suaranya teratur, langsung tidak bergetar. Dia merapikan lengan bajunya dengan gerakan yang cukup tertib.

"Jangan suruh aku sabar! Pegawai Ar-Rahnu kata nama aku tak ada! Emas pusaka mak aku tak ada atas nama aku! Kau kata kontrak enam bulan dah habis, pulangkan emas aku balik! Pulangkan!" Air mata Kiah mula pecah, mengalir mengikut alur kedutan pipinya. Seluruh badannya menggigil bagai sehelai daun kering ditiup ribut.

Lelaki muda itu menarik nafas panjang, melepasnya perlahan seolah-olah dia sedang menghadapi seorang anak kecil yang sedang meracau. Dia membongkok sedikit, merapatkan wajahnya ke cermin pemisah.

"Makcik, ikut fasal kontrak, ini tempoh matang pasaran. Kami sudah nyatakan sebelum ini—perniagaan ada pasang surutnya. Jika dalam pusingan modal ini syarikat mengalami kerugian akibat kejatuhan harga pasaran emas dunia, maka pulangan modal dan pemulangan aset tertakluk kepada kecairan syarikat. Sekarang perniagaan sedang rugi, Makcik. Harga emas dunia menjunam. Syarikat tak boleh pulangkan emas fizikal itu sekarang."

"Tapi janji kau dulu bukan macam ni! Kau kata enam bulan emas aku tetap ada! Kau sumpah demi Allah depan aku!" Kiah menjerit, dadanya berombak kencang, tangannya mencengkam jeriji besi kaunter seolah-olah mahu meruntuhkannya.

Lelaki itu menjelirkan lidah tipisnya, membasahi bibir. Senyumannya bertukar menjadi senyuman seorang peguam yang telah memenangi hujah sebelum perbicaraan bermula. Dia menyeluk laci, mengeluarkan sehelai salinan kertas putih yang mengandungi tanda tangan Kiah. Kertas yang dahulu dianggap Kiah sebagai tiket keluar dari kemiskinan.

"Sini, Makcik. Tengok betul-betul. Baca terma kecil di bahagian bawah, Klausa Dua Perenggan Tiga," jari telunjuk pemuda itu yang bersih dan berkuku rapi mengetuk-ngetuk sebaris tulisan rumi yang teramat halus, tersorok di sebalik istilah Arab yang gah. 

"Di sini tertulis: 'Pelabur bersetuju melepaskan hak tuntutan fizikal sekiranya berlaku kekangan likuiditi luaran, dan syarikat tidak wajib memulangkan prinsipal dalam bentuk asal.' Makcik sendiri yang tandatangan kertas ni. Makcik sendiri yang akui akad Wakalah bil Mudharabah ini patuh syariah. Ini dokumen sah di sisi undang-undang."

"Aku tak faham ayat-ayat syaitan tu! Aku tak sekolah! Kau yang kata halal, kau yang kata emas aku selamat!" Kiah meraung, suaranya serak basah. Matanya merenung kertas itu dengan rasa benci yang tidak terperi. Tanda tangan herot-berotnya di situ kini kelihatan seperti seekor ulat bulu hitam yang sedang memakan dirinya sendiri.

Lelaki muda itu menegakkan semula badannya. Wajah alimnya bertukar menjadi sekeping topeng lilin yang keras dan hitam. Tiada lagi kelembutan. Yang tinggal hanyalah ketegasan kontrak yang kejam.

"Kami tidak paksa Makcik. Makcik yang datang menyerah diri, setuju dengan terma, dan ambil duit bulanan selama lima bulan. Kalau Makcik terus buat kecoh dan menjerit-jerit di kedai kami, kami tidak teragak-agak untuk panggil polis atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam dan mencemarkan nama baik syarikat. Sila keluar, Makcik."

Kata-kata itu dilemparkan tepat ke muka Kiah bagai seketul batu hitam yang berat. Kiah ternganga, lidahnya kelu. Hitam. Segalanya kembali hitam di matanya, lebih hitam daripada malam di pagi buta ketika dia menyerahkan rantai itu.

Tiada ulasan: