Petang itu, ketika mereka masih berada di Balai Tulisan, seorang utusan dari Pasai tiba dengan tergesa-gesa. Dia membawa dua helai surat, satu bermeterai rasmi lilin merah jambu, satu lagi tanpa meterai.
Setelah menyerahkan surat rasmi untuk Bendahara, utusan itu terus menghampiri Nora dan berkata dengan suara rendah namun jelas:
"Surat peribadi ini untuk tuan hamba, dari Datuk Temenggung. Beliau berpesan: jagalah diri baik-baik, Dhia. Urusan dengan orang laut di perairan Tungkal semakin meruncing. Beliau ingin tuan hamba berhati-hati dengan orang asing yang kini berada di bawah jagaan Cik."
Utusan itu menunduk hormat, bukan sekadar hormat untuk jurutulis biasa, tetapi penuh penghormatan untuk seseorang yang berdarah bangsawan.
Nora atau Dhia, cepat-cepat mengambil surat itu, tetapi riak panik yang singkat melintas di wajahnya. Namun Amir sudah mendengar segalanya.
Setelah utusan itu beredar, udara di Balai Tulisan terasa lebih berat daripada biasa.
"Cik bukan sekadar jurutulis," bisik Amir, memecah kesunyian yang tegang. "Utusan itu memanggil cik Dhia. Dan menyebut Temenggung. Mengenai urusan di Tungkal - wilayah yang berada di bawah pengawasan langsung Temenggung."
Nora menatap Amir. Topeng neutralnya retak. Dia menarik nafas dalam-dalam.
"Hamba adalah Dhia Puteri, adinda kepada Temenggung Seri Maharaja," akhirnya dia mengaku, suaranya rendah tetapi jelas.
"'Nora" hanyalah nama samaran yang hamba gunakan di Balai Tulisan dan kepada orang kebanyakan. Atas perintah Bendahara sendiri."
Dia berdiri, berjalan mendekati tingkap, lalu berpaling menghadap Amir.
"Kekanda hamba adalah Datuk Temenggung, ketua keselamatan dalaman kota dan sistem perisikan Melaka. Sekiranya pedagang asing atau utusan musuh mengetahui saudara perempuan Temenggung terlibat secara langsung dalam menterjemah surat rasmi dan risikan..." dia menjeda, matanya tajam, "Hamba akan menjadi sasaran. Bukan sahaja bahaya peribadi, tetapi boleh menjejaskan seluruh rangkaian perisikan negara."
Amir mengangguk perlahan, kini memahami. "Jadi 'Nora' adalah lapisan perlindungan."
"Tepat," Dhia mengiyakan. "Sebagai 'Nora', hamba boleh bergerak bebas di pelabuhan dan pasar tanpa menarik perhatian, berkumpul maklumat, menjadi mata-telinga Bendahara tanpa menimbulkan syak wasangka. Hanya Datuk Bendahara Tun Perak, Sultan, dan beberapa pembesar terdekat sahaja yang tahu identiti sebenar hamba."
Dia mendekati Amir, matanya tajam seperti keris yang baru diasah.
"Dan sekarang, Tuan Amir tahu rahsia yang boleh membahayakan nyawa hamba dan operasi istana. Jika maklumat ini bocor..." nadanya turun menjadi bisikan yang berbahaya, "hamba tidak perlu menunggu titah Sultan. Hamba sendiri akan pastikan mulut yang bocor itu terus terkunci."
PERSEMBAHAN MAKAN MALAM DAN AMARAN TERSIRAT
Malam itu, Dhia, masih dengan identiti 'Nora' di hadapan orang lain, membawa makanan ke rumah sederhana yang dikawal rapi, tempat Amir ditempatkan. Ikan siakap bakar dengan sambal belacan yang pedas menyengat, nasi beras pulut, dan sayur keladi, semuanya dihidangkan dalam piring tembikar buatan tempatan.
"Makanlah," katanya, meletakkan hidangan. "Tenaga dan ketajaman fikiran tuan diperlukan esok. Lebih banyak surat dari pedagang Bharat yang berdagang daun teh dan mutiara perlu diterjemah."
Amir memandang makanan, lalu ke wajah Dhia yang kini dilihatnya dengan cara baru. "Terima kasih, Cik Dhia," katanya dengan sengaja menggunakan nama sebenarnya dengan lembut.
Dhia tidak membetulkannya. Itu adalah pengakuan senyap.
"Adakah cik juga akan mencatat cara hamba mengunyah?" tanya Amir separuh bergurau.
"Ya," jawabnya tanpa ragu-ragu. "Lebih daripada itu, hamba di sini kerana tuan adalah teka-teki paling mengelirukan yang pernah beta temui. Jika tuan menghilang, hamba yang akan menanggung akibatnya—bukan sekadar sebagai jurutulis, tetapi sebagai adinda Temenggung yang gagal menjaga amanah."
Udara antara mereka bergetar dengan ketegangan yang berlapis-lapis.
"Mengapa Bendahara memilih cik untuk tugas sepenting ini?" tanya Amir.
"Kerana darah hulubalang mengalir dalam urat hamba," jawab Dhia tanpa gentar. "Hamba diajar membaca tulisan asing, tetapi juga diajar ilmu perikatan dan cara menggunakan senjata. Hamba tahu bila masa untuk mencatat, dan bila masa untuk menghunus senjata. Dan..." dia mendekat sedikit, suaranya lebih rendah, "hamba adalah satu-satunya di istana yang rangkaian perisikannya seluas rangkaian kekanda hamba. Setiap pedagang, setiap nakhoda, setiap pegawai rendah, mereka adalah mata dan telinga hamba."
Amir kini benar-benar faham. Dhia bukan sekadar jurutulis, dia adalah sistem perisikan yang tersusun...kalau zaman modern, setanding dengan CIA atau KGB.
"Jadi, hamba diawasi oleh ketua perisikan istana yang berselindung di sebalik nama 'Nora'," Amir tersenyum sinis. Wow!
Dhia membalas senyuman itu, senyuman ikhlas pertama yang benar-benar sampai ke hatinya, tetapi ia penuh dengan amaran yang tidak terucap.
"Anggaplah begitu. Selagi tuan membawa ilmu yang berguna untuk Melaka, kita akan baik-baik sahaja. Tapi ingat," bisiknya, suaranya seperti gesekan bilah keris pada sarungnya, "Tuan pastinya pernah lihat gaya ikatan tengkolok kekanda hamba dan Datuk Laksamana?"
"Ikatan 'Pancung Tak Bertanya'," Amir mengingat kembali pengajian busana melayunya dahulu.
"Betul. Dan hamba telah diajarkan cara mengikatnya sejak usia sepuluh tahun. Ayahanda hamba berkata: 'Dhia, kadang-kadang, untuk melindungi raja dan negara, kita perlu bertindak sebelum soalan diajukan.'"
Dia berpaling untuk pergi, lalu berhenti di ambang pintu.
"Selamat malam, Tuan Amir. Dan ingat - rahsia yang kita kongsi sekarang adalah rahsia yang mengikat kita. Ia boleh menyelamatkan ... atau membenamkan kita."
Pintu ditutup. Amir ditinggalkan sendirian dengan makanan yang semakin sejuk dan realiti baru: dia bukan sekadar diawasi oleh seorang jurutulis, tetapi oleh adinda perempuan ketua perisikan Melaka, seorang wanita yang mengetahui banyak perkara, dan yang pasti akan melakukan apa sahaja untuk melindungi kerajaan, keluarganya, dan rahsianya sendiri.
Di luar, kota Melaka bersiap untuk istirehat malam dengan azan Maghrib berkumandang dari Masjid Raya, diikuti dengan bunyi gendang nobat dari istana menyambut waktu senja.
Dalam bilik yang sederhana itu, pakatan kerjasama terbentuk, didirikan di atas rahsia bersama dan ancaman musuh yang bakal muncul, di tengah-tengah keagungan era Kesultanan Melayu Melaka yang sedang menikmati puncak kegemilangan yang bakal berhadapan badai yang terbit di ufuk barat.


