Selasa, Disember 23, 2025

Rahsia di Bilik Sultan

Bau kapur barus dan wangian menusuk hidung setiap kali aku melangkah masuk ke ruang itu. Tapi aku sudah biasa. Sudah tiga puluh tujuh hari aku mematuhi perintah Tuanku Permaisuri, Shajar al-Durr.

“Jagalah rahsia ini seperti kau menjaga nyawamu sendiri, Qasim.”

Itu kata-kata terakhir yang diarahkan kepada aku, ketua sida-sida istana, sebelum pintu bilik tidur Sultan ditutup rapat untuk selama-lamanya. Aku masih ingat bayangan wanita itu di sebalik tabir, suaranya tenang bagai tasik malam, tetapi mengandungi kekuatan yang mampu mematahkan pedang.

“Sultan hanya sakit dan perlukan rehat.”

Aku mengangguk. Lalu bermulalah satu lakonan yang menguji keimanan.

Aku masih membawa dulang sarapan setiap pagi. Nasi mandy dengan lauk kambing panggang, kesukaan Tuanku Sultan. Aku ketuk pintu tiga kali, masuk, dan keluar semula dengan dulang yang sama kosong. Semua orang melihat. Semua orang percaya Sultan masih hidup, masih berselera. Tentera di barisan depan tersenyum lega.

Yang mereka tidak tahu, makanan itu aku berikan kepada kucing-kucing istana yang kurus. Mereka makan sisa-sisa ‘hidangan Sultan’ dengan lahap.

Yang paling sukar adalah menguruskan dokumen negara. Aku duduk di meja kecil di luar bilik Tuanku Sultan, menyalin tulisan di atas kertas... kenaikan pangkat, perintah bekalan, dan surat-surat rasmi lain. Di sebelah aku, Permaisuri duduk dengan tegak. Tangan beliaulah yang sebenarnya menulis. Tulisan beliau mirip tulisan Sultan sehingga aku sendiri hampir tertipu.

“Cop mohor di sini, Qasim,” bisik beliau suatu petang, wajahnya pucat diliputi keletihan tetapi matanya tajam seperti helang.

Aku mencap mohor diraja di atas surat perlantikan panglima muda Baibars. Surat itu akan mengubah nasib peperangan. Aku dapat rasakan getaran di udara, getaran sejarah yang sedang ditulis oleh seorang wanita dari balik dinding yang menutupi jenazah suaminya.

Suatu malam, ketika angin dari Sungai Nil berbisik pilu, aku terdengar suara teresak-esak dari dalam bilik. Aku terduduk di luar, hati bagai dicengkam. Itu suara Permaisuri. Beliau menangis. Barulah aku sedar, selama ini belia menyimpannya untuk waktu yang tepat, untuk ruang yang sunyi, di hadapan suami yang tidak akan lagi mampu membalas bicaranya.

Seminggu kemudian, khabar kemenangan besar di Al-Mansurah sampai ke istana. Raja Perancis ditawan! Sorak kegembiraan memecah kesunyian. Tentera pulang dengan megah.

Hanya aku dan beberapa orang yang tahu, kemenangan ini dibeli dengan harga mahal sebuah rahsia besar dan air mata yang disembunyikan.

Esoknya, Permaisuri memanggil semua wazir dan panglima ke balairong seri. Wajahnya tenang, bercahaya dengan kemenangan, tetapi aku dapat melihat lingkaran hitam halus di bawah matanya.

“Kamu semua telah berjuang dengan gagah berani,” suaranya lantang, jelas. “Atas nama Sultan As-Salih Ayyub, kami ucapkan terima kasih.”

Lalu beliau diam sejenak. Nafas semua orang tertahan.

“Kini, setelah kemenangan berpihak kepada kita, setelah negara selamat…” suaranya sayup seketika, sebelum kembali tegas, “adalah hakikat yang harus kami sampaikan. Sultan As-Salih Ayyub… telah kembali ke rahmatullah, sebulan sebelum pertempuran bermula.”

Diam yang memekakkan telinga menyusul. Mereka terkejut. Lalu, satu persatu, kepala mereka tunduk. Bukan kerana kecewa, tetapi kerana hormat. Mereka mengerti. Mereka faham pengorbanan di balik kemenangan itu.

Aku memandang Permaisuri Shajar al-Durr dari sudut balairong. Badannya kelihatan kecil di atas singgahsana yang besar, tetapi semangatnya mengisi seluruh ruang.

Seorang wanita yang menyembunyikan kesedihan demi menyelamatkan sebuah kerajaan. Seorang permaisuri yang mengorbankan haknya untuk meratap demi kemenangan umat.

Dan aku, Qasim, hanyalah seorang penjaga rahsia. Tetapi pada malam itu, sebelum aku tidur, aku berbisik kepada bulan purnama:

“Aku bangga menjadi saksi kepada sejarah yang ditulis oleh pohon mutiara dengan dakwat yang dicampur air mata dan keberanian.”

Tiada ulasan: