Ahad, Disember 14, 2025

Bunga di Musim Senja

Encek Ahmad seorang OKU separa penglihatan, menatap penyata pinjaman banknya. Pandangannya kosong, menembus angka-angka merah yang seolah menari dan mengejeknya.

"Celaka punya kerajaan! Sial punya bank!" ia membentak, melempar kertas itu ke meja sehingga kopi di cawannya bergegar. "Bunga bertambah RM8,000! Semua sebab moratorium tak berguna masa COVID dulu! Kononnya nak tolong rakyat, last-last aku yang kena bayar lebih. Patutlah negara tak maju-maju, pemimpin semua tak boleh pakai!" teriaknya.

Ia menyambar penyata KWSP-nya pula, mata tuanya membaca angka keramat itu: RM10,000 setelah 40 tahun bekerja. Dibahagi 20 tahun jangkaan hayat selepas bersara, hanya RM42 sebulan. "Inikah sahajakah nilai hidupku? Inikah hasil keringatku disalurkan pada sistem yang tak cekap?" bisiknya, suaranya dipenuhi racun kemarahan. Dia amat menyesal menyokong pihak yang mendesak wang KWSP bersasar.

Anaknya, Ali, yang sedang duduk di sofa, menghela napas panjang. Bukan kali pertama dia mendengar ratapan bernada pilu itu.

"Ayah," panggil Ali lembut, menutup laptopnya. "Mari saya tunjukkan sesuatu."

Encek Ahmad mendengus, "Tunjuk apa lagi? Tunjuk betapa tak bergunanya orang lain? Tunjuk betapa bodohnya aku ikut saranan menteri-menteri itu? Habis duit pencen aku nanti pun tak cukup nak bayar faedah yang mereka buat-buat baik tu bagi!"

Ali hanya tersenyum nipis. "Bukan. Saya nak tunjuk yang Ayah tak perlukan mereka. Ayah tak perlu bergantung pada orang lain untuk bahagia. Mari saya ajarkan Ayah cara nak buat duit sendiri."

Minggu-minggu pertama adalah bagai neraka. Jari-jari tua Encek Ahmad yang keras memegang cangkul dan penyapu terasa kekok menekan papan kekunci. Matanya sakit memandang skrin bercahaya. Setiap kali tersilap, ia menghentak meja dan memaki hamun, menyalahkan Ali kerana memberi tugas yang susah, menyalahkan pencipta komputer kerana tak mesra orang tua.

Tetapi, di sudut hati Encek Ahmad, bara penyesalan dan kemarahan itu perlahan-lahan bertukar menjadi api semangat. Dia bertekad. Bukan kerana dia mahu ikut cakap Ali, tetapi kerana dia mahu membuktikan yang dia masih berguna, terutamanya kepada dirinya sendiri.

Setiap pagi, ia belajar menaip, memuat naik gambar, mengurus pesanan.

Dia mulakan dengan batik warisan keluarganya. Kain-kain yang dulu hanya disimpan di dalam peti, kini difoto dan dipamerkan kepada dunia maya. Ali membantunya membuat platform niaga.

Pertama kali dapat pesanan, tangannya menggeletar bukan kerana marah, tetapi terkejut. "USD50, Ali! Dari Amerika! Lebih dari pencen sebulan ayah!"

Bulan demi bulan, perniagaannya berkembang. Dari batik, dia tambah dengan kraftangan anyaman mengkuang dan rempah ratus Alan melayu. Pelanggan dari Perancis, Jepun, bahkan Arab Saudi mula mengenali produk Malaysia melalui  platform dagang elektronik Yang beroperasi di Kuaka Terengganu.

Suatu petang yang redup, Encek Ahmad memanggil rakan-rakannya sesama pesara.

"Mari kita buat kumpulan," ajaknya, nadanya bukan lagi ratapan, tapi arahan tegas. "Kita jual bersama. Banyakkan lagi produk. Biar dunia tahu kehalusan seni kraftangan Malaysia."

Sidek, rakan karibnya, memandangnya hairan. "Amboi, Encek Ahmad. Dulu bukan main salahkan orang lain sebab hutang bertambah? Sekarang jadi 'Menteri Kraf Tangan' pula?"

Encek Ahmad tersenyum pahit. "Ya, aku marah. Aku salahkan bank, salahkan moratorium, salahkan menteri. Tapi sampai bila aku nak duduk rumah dan sumpah seranah bank? Aku rugi RM8,000 sebab bunga itu, tapi aku rugi 10 tahun hidup aku kalau aku terus membuang masa. Orang lain takkan datang dan selesaikan masalah kita."

Kini, di usia 62 tahun, Encek Ahmad bukan lagi resah dengan wang perbelanjaan RM42 sebulan. Setiap pagi, setelah pulang dari surau, dia menghadapi dunia dengan semangat baru, memeriksa pesanan dari seluruh dunia. USD10, USD20, USD100 - setiap dolar adalah bukti bahawa usia bukan penghalang, dan teknologi membuka dunia tanpa sempadan.

"Yang penting kita mula," katanya pada Sidek yang baru belajar menggunakan komputer. "Masa depan kita di tangan kita sendiri. Nak tunggu orang bagi, sampai mati pun tak akan dapat."

Dari rumah kayu sederhana itu, Encek Ahmad membuktikan bahawa usia musim senja pun boleh menuai bunga yang indah. Dan bunga itu kini harumnya bukan sahaja melenyapkan bau kekesalan lama, malah harumnya sampai ke seberang laut.

Tiada ulasan: