Isnin, Disember 22, 2025

Janji

Di sini aku berdiri. Bukan sebagai pengemis, tapi sebagai ahli arkeologi mencari jejak tamadun cinta yang runtuh.

Kau bertanya di mana jejak itu  menghilang?

Ia tidak hilang. Ia tenggelam di dalam diam yang kau laung-laungkan. Setiap senyapmu, diammu adalah satu paluan gendang. Setiap pandangan sinismu adalah tali kecapi yang putus. Aku ingat nadanya. Aku masih boleh mencipta lirik di dalam kepalaku. Tapi suaraku kini hanya gema di gua yang sepi.

Kau kata aku bertepuk sebelah tangan.

Ah. Benar juga. Sebab sebelah tanganmu sudah tidak lagi menepuk udara yang sama. Ia sudah sibuk memegang kunci membelenggui setiap ruang yang pernah dinamakan ‘kita’.

Aku tidak menangis. Aku hanya mampu mengira.

Mengira berapa banyak ruang yang sudah bertukar menjadi sempadan. Padahal dulu, antara kita cuma ada tirai angin. Boleh ditiup lalu. Boleh diterpa masuk.

Sekarang, yang tinggal hanyalah peta buta. Hatiku masih di koordinat lamamu, tapi koordinat itu sudah berubah. Tanpa isyarat. Aku tiba di lokasi yang salah, memegang kompas yang jarumnya berputar-putar, mencari utara yang sudah kau namakan semula.

Jadi, benarkah tiada lagi ruang kita?

Mungkin ada. Tapi mungkin ruang itu sudah kau isi dengan versi lain tentang aku. Versi yang lebih mudah untuk disimpan, diketepikan atau dilupakan.

Aku mahu pulang ke negara kita yang dulu. Yang kita nyanyikan temanya walaupun nadanya sumbang, ianya tulus.

Tapi liriknya sudah senyap. Tinggal bibirku yang masih terkumat-kamit, menghafal lirik yang mungkin kau sudah ubah.

Di sini aku berhenti di perbatasan kenangan. Aku letakkan semua eko nyanyian. Biar ia kekal di zon senyap ini.

Akhirnya aku fahami: cinta yang perlu diperjuangkan, bukanlah rumah untuk ditinggali. Ia hanya lorong persinggahan. Dan aku sudah lelah berdiri di lorong samar yang lampunya sudah kau padamkan.

Aku belajar berdiri sendiri. Walau tanah ini kering dan tandus, sekurang-kurangnya, aku boleh menepuk dua belah tanganku. Dan bunyinya, walaupun sendu dan sayu, adalah irama milikku.

Irama yang tidak meminta izin untuk berdiri. Irama yang tidak perlu dicari ruangnya. Kita yang hilang itu, adalah fosil yang indah dalam hidupku.

Tiada ulasan: