Rabu, Disember 17, 2025

Muafakat Keluarga

“Dua ratus lima puluh ribu ringgit, Mat!”

Suara Nasir bagai petir di siang hari. Mat dan isterinya, Salwa, hanya mampu saling memandang. Warga kampung di Dewan Orang Ramai Batu Kikir itu juga terdiam. Salwa menggenggam tangan Mat dengan erat.

“Itu angka terakhir untuk tanah sawit kamu tu,” lanjut Nasir, seorang perunding hartanah dari bandar. “Kalau jual sekarang, tunai masuk. Boleh dah beli rumah teres kat bandar dan hidup selesa.”

Mat melihat ke luar tingkap. Pandangannya tertumpu pada sebidang tanah warisan ayahnya. Tanah itu terletak bersebelahan sebatang sungai kecil yang jernih, jadi pengairan tak pernah jadi masalah. Ianya sangat strategik, di tengah-tengah ladang besar sebuah syarikat. Selama ini, syarikat itu menyewanya dengan harga yang amat murah, hasil perjanjian lama ayah Mat yang tak berpendidikan tinggi.

“Kami fikirlah dulu, Nasir,” kata Mat perlahan.

“Fikir apa lagi? Duit tu boleh ubah hidup korang!” desak Nasir.

Di perjalanan pulang, Salwa memecah kesunyian. “Mat, duit tu… kita mampu hantar Adam belajar jadi jurutera macam dia impikan. Boleh baiki rumah yang bocor tu. Boleh…”

“Aku tahu,” potong Mat. Hatinya bergolak. Tawaran itu memang menggiurkan. Tapi hatinya terasa berat. Peninggalan ayahnya bukan sekadar tanah kosong. Di tepi sungai itu masih ada beberapa batang pokok durian tua yang ayahnya tanam dulu. Dahulunya, ayah pernah mengusahakan ternakan kambing Farrel, Boer, jamnapari, kambing Katjang, dan biri-biri di situ. Bahkan, dia sendiri dan adiknya, Din, pernah mencuba nasib menanam tebu di tanah itu sebelum adiknya berpindah ke bandar. Setiap jengkal tanah itu menyimpan memori bersama ahli keluarga.

Malam itu, selepas solat Isyak, Mat duduk di serambi. Dia memandang ladangnya. Pokok kelapa sawitnya jarang dan tidak subur, berbeza dengan pokok durian ayahnya yang masih teguh. Tanah itulah yang memberi mereka makan, walaupun sekadar cukup.

“Ayah dulu pesan,” bisik Mat pada dirinya sendiri. “Jaga tanah ni. Sungai ada, pokok dah ada, pengalaman ternak dan tanam pun kita ada. Jangan jadi orang yang lupa daratan.”

Salwa menghampirinya, meletakkan secawan teh di sisinya. “Kita ikhtiar dan berdoa, Mat. Minta petunjuk.”

Mereka berdoa. Tapi dalam doa itu, Mat tidak terus meminta keputusan. Dia mulakan dengan, “Alhamdulillah Ya Allah, atas tanah, sungai, dan pokok durian peninggalan ayah ini. Alhamdulillah, atas pengalaman ternak ayah dulu yang ajar kami erti usaha. Alhamdulillah, atas rezeki air yang tak pernah kering…keluarga ini tidak berpecah”.

Esoknya, dengan hati yang tenang, Mat pergi ke tanah itu. Dia duduk di bawah pokok durian yang paling rendang, dekat dengan pusara ayahnya. Dia bercakap-cakap, seolah-olah ayahnya masih ada. Dia mengucapkan rasa syukur kerana memiliki semua aset semula jadi ini.

Tiba-tiba, dia terpandang kawasan berhampiran sungai, berdekatan dengan bekas kandang kambing ayahnya dulu. Tanah di situ kelihatan sangat gelap dan gembur. Dia teringat kata-kata ayah, "Tanah bekas ternak tu biasanya subur, Mat."

Dia ambil segenggam tanah, dan pergi menemui Pak Usop, petani tua jirannya itu.

“Pak Usop, tanah ni… dari kawasan bekas kandang ternakan ayah dulu.”

Pak Usop memeriksa, mencium, dan menggosok tanah itu. Matanya bersinar. “Mat! Tanah ni sangat subur! Kaya dengan nutrient hasil baja semula jadi dari ternakan dulu. Sempurna untuk tanam buah-buahan premium. Kelapa MD2, atau pun durian Duri Hitam pun boleh!”

Petua Pak Usop itu seperti sinaran cahaya. Modal? Masih jadi halangan.

Mat pulang dengan idea yang lebih konkrit. Dia kongsikan dengan Salwa. “Apa kata kita tak jadi jual. Kita hidupkan semula apa yang ayah dah mulakan. Kita ada sungai untuk pengairan, tanah subur bekas ternakan, dan pokok durian sebagai aset. Kita boleh cuba gabungkan tanaman dan ternakan semula, secara kecil-kecilan.”

Salwa tersenyum, membuka balang simpanan mereka. “Kita guna duit ni sebagai modal permulaan. Kita ada pengalaman tengok ayah urus ternak dulu, kan?”

Mereka mula dengan membersihkan tanah, baikkan semula bekas kandang, dan beli beberapa ekor kambing katjang sebagai permulaan. Di kawasan tanah subur bekas ternakan itu, mereka tanam anak benih kelapa MD2 dan sedikit pokok durian klon. Setiap hari, kerja dimulakan dengan ucapan syukur kepada Allah.

“Alhamdulillah, sungai masih mengalir untuk minuman ternakan dan keperluan tanaman kita.”

“Alhamdulillah,ada peninggalan ayah untuk kita.”

Kehidupan tetap sederhana. Tapi, sikap syukur mereka tidak berubah.

Suatu petang, Encik Fikri, wakil syarikat besar jiran, datang.

“Encik Mat, saya perhatikan encik dan ahli keluarga aktif hiduplah tanah ini. Yang menarik, encik gunakan kaedah integrasi tanaman dan ternakan, dan ada sumber air tetap.”

Mat mengangguk, hatinya berdebar.

“Kami ada cadangan untuk berkerjasama. Kami ingin jadikan sebahagian tanah encik sebagai ‘model ladang integrasi’ untuk kajian dan pelancongan agro kami. Kami bantu dari segi teknologi veterinar dan pertanian. Encik uruskan operasi harian. Kami kongsi keuntungan.”

“Tapi… kenapa pilih kami?” tanya Mat masih tidak percaya.

Encik Fikri menunjuk ke arah sungai dan pokok durian tua. “Tanah ini ada character, Encik Mat. Ada sejarah, ada asas yang kukuh. Lebih penting, semangat encik dan ahli keluarga yang bersyukur dan tidak mudah menjual warisan, itu yang kami cari. Ujian tanah kami juga sahkan kesuburan luar biasa di kawasan bekas ternakan itu.”

Perjanjian dimeterai. Dalam masa beberapa tahun, ladang itu menjadi contoh kejayaan usahawan tani. Hasil durian dari pokok-pokok tua ayahnya menjadi terkenal, dan ternakan mereka berkembang, bukan sahaja mereka menternak kambing, mereka juga menerokai ternakan arnab pedaging dan juga rusa, yang kalis penyakit, jauh lebih mudah untuk dibela. Tak lupa juga usaha membela ikan haruan dalam kanvas, cetusan idea adiknya, Faris.

Pada satu majlis di ladang, Mat berucap dengan penuh rasa syukur.

“Orang mungkin lihat kami bertuah. Tapi rezeki bertambah bila kami bersyukur dengan apa yang ayah tinggalkan: sungai yang tak pernah kering, pokok durian yang masih berbuah, tanah subur bekas ternakan, dan pengalaman yang diajarnya. Kami cuma meneruskan dan mensyukuri asas yang sudah ada.”

Dia memandang Salwa dan Adam, yang kini seorang jurutera pertanian, dengan bangga. “Allah tambahkan nikmat bila kita lihat dan syukuri setiap ‘biji benih’ yang Dia telah tanam dalam hidup kita, walau kelihatan kecil. Rezeki sebenar datang bila syukur kita makin menyuburkannya.”

Di tepi sungai yang masih mengalir jernih, di bawah naungan pokok durian peninggalan ayahnya, Mat tersenyum. Ladangnya yang dahulu dipandang sepi, kini dipenuhi gelak tawa, hasil buah-buahan, dan ternakan yang sihat. Semuanya berpunca dari satu biji benih yang paling hebat: rasa syukur atas rezeki Yang Allah kurniakan kepada mereka.

Tiada ulasan: