Friday, November 21, 2025

Jalan Pengampunan

Senja mulai menjenguk langit Teluk Intan ketika jemaah berduyun-duyun menuju Musolla Al-Hidayah. Di beranda musolla yang sederhana itu, Haji Johor sudah menunggu dengan kitab Tafsir Al-Suyuthi terbuka di pangkuannya. Wajahnya yang bersih itu selalu bersinar ketika tiba waktu pengajian agama yang dikelolainya.

"Mari silakan duduk," sambutnya ramah sambil mengatur posisi kopiahnya.

Aku, sebagai seorang anak muda yang baru pulang dari kota, duduk di barisan saf paling belakang. Hati ini masih dipenuhi rasa bersalah atas dosa-dosa yang menumpuk selama di perantauan.

Haji Johor memulai dengan bacaan Al-Fatihah yang merdu, suaranya yang dalam bergema di sudut-sudut musolla yang sederhana itu. Kemudian dia membuka kitab rujukannya

"Hari ini," ujarnya dengan loghat daerah Negeri Perak dialek Rawa yang kental, "kita belajar pasal faedah besar dari Kitab Imam Suyuthi. Ulama' kata: Siapa buat dosa, hukumannya boleh dielak dengan sepuluh cara..."

Telingaku langsung terpaku. Hati yang tadinya berat mulai berdetak penuh pengharapan.

Jalan Pertama: Taubat yang Diterima

Haji Johor membaca ayat kitab Arab dengan fasih, lalu menerjemahkannya: "Pertama: Dia bertaubat, lalu taubatnya diterima." 

Matanya yang bersinar memandang ke arah kami satu persatu. "Taubat ni bukan cakap 'aku bertaubat' je, kena tinggalkan dosa tu, menyesal sungguh-sungguh! Tak mahu ulangi lagi."

Seorang jemaah tua mengeluh, "Tapi Haji, kadang-kadang kita ulang balik dosa yang sama..."

Haji Johor tersenyum sabar. "Allah tu Maha Penerima Taubat! Macam anak kecil jatuh bangun belajar jalan bertatih. Ibubapa tak pernah bosan nak pimpin tangan anaknya. Allah lebih penyayang dari ibubapa!"

Jalan Kedua hingga Kelima: Ampunan Tak Terduga

Dia melanjutkan dengan jalan kedua: istighfar, dan ketiga: amal soleh yang menghapus dosa. "Setiap ucapan 'Astaghfirullah' yang ikhlas tu macam kain putih yang bersihkan noda di hati," katanya.

Ketika sampai pada penjelasan tentang bala dunia dan siksa kubur, suaranya menjadi lembut. 

"Kena demam, kena tipu, duit hilang - semua ni boleh jadi penghapus dosa kalau kita sabar".

Aku termanggu keseorangan, menarik nafas dalam-dalam. Selama ini selalu mengeluh ketika dapat ujian, tidak tahu itu pun boleh menjadi pembersih dosa, seandainya bersabar! Ah! Rugi aku ini!

Jalan persaudaraan

Haji Johor melanjutkan dengan suara mengharukan. "Saudara seiman yang doakan kita, itu jalan keenam. Sebab tu pentingnya kita jaga silaturahim!"

Seorang jemaah bertanya, "Kalau kita sorang-sorang, takde kawan, macamana Haji?"

"Allah maha adil," jawab Haji Johor sambil tersenyum.

"Jalan ketujuh: Allah kurniakan pahala dari amal perbuatan orang lain. Anak soleh yang baca Quran untuk mak bapak, sedekah jariah - semua ni sampai kat kita dalam kubur!"

Puncak Pengampunan

Ketika sampai pada tiga jalan terakhir, suara Haji Johor bergetar penuh perasaan. "Ketakutan di padang mahsyar, syafaat Nabi Muhammad, dan yang terhebat - rahmat Tuhan!"

Dia berhenti sejenak, matanya berkaca-kaca.

"Kalau semua cara dah habis, masih ada rahmat Allah! Lautan dosa kita tu, kalau dibandingkan dengan rahmat Allah, macam setitik air dalam lautan yang amat luas!".

Kata-kata itu menusuk kalbuku. Air mata mulai mengalir tanpa dibendung. Selama ini aku selalu merasa dosaku terlalu besar untuk diampuni.

Epilog: Senja yang Menenangkan

Setelah pengajian tamat, aku menghampiri Haji Johor yang sedang menyusun rapi kitab-kitabnya.

"Tok," suaraku terketarmemulakan bicara, "saya rasa dosa saya terlalu banyak..."

Dia memandangku dengan padangan kasih sayang, tangannya yang berurat menepuk bahuku. "Allah sediakan sepuluh jalan pengampunan, kita cuma perlukan satu langkah - taubat yang ikhlas. Mulai malam ini, bertaubatlah."

Dalam Sahih al-Bukhari:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ  " إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ الرَّحْمَةَ يَوْمَ خَلَقَهَا مِائَةَ رَحْمَةٍ، فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعًا وَتِسْعِينَ رَحْمَةً، وَأَرْسَلَ فِي خَلْقِهِ كُلِّهِمْ رَحْمَةً وَاحِدَةً، فَلَوْ يَعْلَمُ الْكَافِرُ بِكُلِّ الَّذِي عِنْدَ اللَّهِ مِنَ الرَّحْمَةِ لَمْ يَيْأَسْ مِنَ الْجَنَّةِ، وَلَوْ يَعْلَمُ الْمُؤْمِنُ بِكُلِّ الَّذِي عِنْدَ اللَّهِ مِنَ الْعَذَابِ لَمْ يَأْمَنْ مِنَ النَّارِ 

Daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu, aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya Allah telah menciptakan rahmat. Pada hari Dia menciptakannya, Dia menjadikannya sebanyak 100 rahmat. Dia menyimpan di sisiNya 99 rahmat. Dia hantar kepada semua makhluknya 1 rahmat. Seandainya orang kafir tahu tentang semua rahmat yang ada di sisi Allah, mereka tidak akan berputus asa daripada memasuki syurga. Seandainya orang beriman tahu semua azab yang ada di sisi Allah, dia tidak akan berasa selamat daripada neraka. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, hadis no: 6469].

Dalam Sahih Muslim:

Daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

 جَعَلَ اللَّهُ الرَّحْمَةَ مِائَةَ جُزْءٍ فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ وَأَنْزَلَ فِي الأَرْضِ جُزْءًا وَاحِدًا فَمِنْ ذَلِكَ الْجُزْءِ تَتَرَاحَمُ الْخَلاَئِقُ حَتَّى تَرْفَعَ الدَّابَّةُ حَافِرَهَا عَنْ وَلَدِهَا خَشْيَةَ أَنْ تُصِيبَهُ

Allah telah menjadikan rahmat sebanyak 100 bahagian. Dia menyimpan di sisiNya sebanyak 99 rahmat dan menurunkan ke muka bumi 1 bahagian daripada rahmat itu. Disebabkan 1 bahagian daripada rahmat itu, makhluk-makhluk saling berkasih sayang sehinggakan haiwan mengangkat kakinya daripada anaknya kerana takut akan terpijaknya. [Sahih Muslim, Kitab at-Taubah, hadis no: 2752]

Tok Johar menyambung "Rahmat Allah sangat luas. Inilah yang dimaksudkan dengan nama Allah ar-Rahman di mana rahmatnya di dunia itu meluas kepada semua makhluk termasuk orang yang kafir dan haiwan serta tumbuh-tumbuhan dan makhluk yang lain".

Beliau menambah "Bayangkan...Apa yang ada di dunia ini hanyalah 1% daripada keseluruhan rahmat yang Allah miliki. 99% lagi berada di hari Akhirat. Itulah sebabnya bila seorang Muslim meninggal dunia, kita sebut "pulang ke Rahmatullah".

Pesan Tok Johar bermain dalam benak hatiku..."Dengan 1% rahmat itu pun kita sudah hidup bahagia dan senang di dunia, bayangkan bagaimana jika di akhirat kelak kehidupan yang mendapat 99% rahmat Allah" ujar Tok Johar menutup bicara.

Aku berjalan pulang di bawah langit berbintang, hati terasa ringan untuk pertama kalinya setelah bertahun-tahun. Senja di Teluk Intan itu menyaksikan lahirnya sebuah harapan baru - bahwa rahmat Allah memang tak terbatas, seperti samudera tak bertepi.

Di kejauhan, suara azan Isya' mulai berkumandang dilangit jingga, mengajak semua hamba yang untuk kembali kepada Yang Maha Pengampun. Dan malam itu, untuk pertama kalinya, aku bersujud dengan hati yang penuh keyakinan akan rahmat-Nya yang tak pernah putus.

Tamat.

Kisah ini adalah imaginasi penulis, Tn Guru Hj Mohd Johar @ Johor Al-Rawa adalah nenda penulis. Hamba bukanlah pendakwah, namun InsyaAllah mampu memggunakan akal dan kreativiti anugerah Illahi untuk menyampaikan Ilmu yang bermanfaat.

No comments: