BAB 6
Darah segar mengalir dari luka di bahu Tok Kijang, membasahi bajunya yang sudah koyak-rabak. Hujan lebat membasahi bumi yang ternoda dengan darah korban pelarian perang Musuh Bisik, yang menyeberangi Sungai Kerian untuk menyelamatkan diri ke Negeri Perak. Di tebing sungai itu, tujuh orang perajurit Siam mengepungnya dalam bentuk bulatan maut, mata mereka merah bagai serigala kelaparan.
"Lama juga kau mampu bertahan, orang tua!" jerkah seorang perajurit Siam sambil mengayunkan tombak ke arahnya. Rakan-rakannya tertawa, Tok Kijang yang diburu, kini hampir dalam gengaman mereka.
Tok Kijang tersenyum pahit, tekpi di kedua tangannya masih digenggam erat. Sasaran mata tombak ditangkis dengan tenang. Perlawanan ini berat sebelah. Namun, darah bukan hal baru baginya. Darah pembunuh upahan di Grik, darah penyerangnya semasa dia mengiringi wakil sultan di Reman, darah sepupunya yang dikhianati musuh - semuanya pernah membasahi tangannya.
"Hoi kafir!" pekiknya tiba-tiba, suaranya menggegar kawasan sekeliling.
Pekikan itu bagai membuka semangat baru dalam dirinya. Dia melonjak ke hadapan, bukan mengelak tetapi menerjah. Tekpi betina menangkis mata tombak sambil merapatkan jarak serangan, sementara tekpi jantan dihayun menghala ke rusuk perajurit pertama.
KRAK! Kedengaran bunyi tulang rusuk remuk. Perajurit Siam itu menjerit, melolong kesakitan lalu rebah.
Dua perajurit lain menyerang serentak. Tok Kijang berputar bagaikan gasing, kedua tekpinya berputar membentuk lingkaran pelindung.
"Kau ingat aku sudah tua?!" jeritnya sambil menepis serangan. "Darah Melayu dalam badan ini masih MENDIDIH!"
Dia meneruskan amukannya. Setiap langkah dan hembusan nafasnya keluar menyatu bersama semangat yang tak kunjung padam. Tiga orang lagi musuh tewas, sendi-sendi mereka patah riuk dibaham ayunan dan kuncian tekpi Tok Kijang. Sampir tekpinya bagaikan rahang buaya yang ganas mengunci gerakan mangsa.
Seorang perajurit muda Siam, tangannya menggeletar, cuba menikam curi. Tok Kijang bagai mempunyai mata di belakang kepala - tekpi betina menyentak ke belakang, mata lalat di hulu tekpi hinggap tepat di pelipis perajurit muda itu. Darah membasahi wajah perajurit itu yang terbunuh, matanya terbeliak.
"HARGAI NYAWAMU, ANAK MUDA!" Herdik Tok Kijang. "Pulanglah pada ibumu yang sedang menunggu!
Perajurit muda itu rebah, daya tempurnya musnah, tinggal nyawa-nyawa ikan.
Tiba-tiba, Awang muncul kembali. Wajahnya dibasahi percikan darah, namun keputus-asaan tergambar diwajahnya.
"Kenapa Tok Guru masih melawan? bumi Kedah sudah jatuh! Perak akan segera menyusul!"
Tok Kijang berdiri tegak, nafasnya tercungap-cungap tapi matanya seolah masih berapi-api. "Selama ada darah merah ini mengalir... selama jantung yang masih berdegup... Melayu takkan pernah TUNDUK! aku pantang menyerah".
Dia meludah ke tanah. "Awang... anak harimau yang ku pelihara... hari ini akan ku hantar kau ke alam baqa'!"
Pertarungan terakhir antara guru dan murid bermula. Kedua tekpi Tok Kijang bergerak bagaikan alunan pukulan ombak, sementara pedang krabi kembar Awang menari-nari mencari celah.
"ILMU YANG KU AJAR DULU..." Tok Kijang mengelak tetakan pedang krabi Awang sambil berkata, "HARI INI KU GUNAKAN UNTUK MENGAJARMU PELAJARAN TERAKHIR!"
Tekpi jantan mengetuk pergelangan tangan Awang. KLAK! Pedang Krabi ditangan kiri Awang terpelanting jatuh. Tangannya terkulai layu. Ayunan pedang Krabi sumbing di tangan kanan Awang tersasar.
"Bahagian pertama: HARGAI GURUMU!"
Bunga lawang tekpi betina menghentak lutut Awang. KRAK! Awang jatuh tersungkur.
"Bahagian kedua: HORMATI BUMIMU!"
Kini, Tok Kijang berdiri di atas Awang yang sudah terlantar. "Dan bahagian terakhir... JANGAN KHIANATI BANGSAMU SENDIRI!".
Tangannya mengangkat tinggi tekpi jantan, siap untuk menghujam menamatkan nyawa si pembelot. Tiba-tiba, dia terhenti. Melihat mata bekas anak muridnya yang sudah redup.
"Tapi... darah Melayu dalam dirimu... masih ku hormati," bisiknya lirih.
Dia berpaling. "Pergilah... hiduplah dalam penyesalan. Kau telah ku lumpuhkan. Hina besi kerana karat, hina manusia kerana khianat!".
Pada saat itulah, pasukan panglima Siam perut hijau yang lain, kali ini lengkap berbaju zirah, muncul dengan pedang terhunus...
This is just a teaser. Anak harimau usah dipelihara. Belalah arnab ke, kucing ke atau hamster cukuplah - Zaws
No comments:
Post a Comment