Khamis, Februari 26, 2026

Warkah Pelaburan: Di Sebalik Kilauan Perak dan Emas

Segalanya bermula sedekad yang lalu. Apabila isteri tercinta kembali ke rahmatullah, dunia seakan terhenti seketika. Selera untuk menjamah hidangan hilang, malah keinginan untuk berbelanja demi kesenangan diri juga kian pudar. Dalam fasa duka yang mendalam itu, saya mengalihkan tumpuan dengan menguruskan pendapatan secara lebih bermakna. Lebih separuh daripada gaji bulanan saya peruntukkan untuk pelaburan perak.

Niat saya hanya satu: menyediakan jaminan masa hadapan buat tiga orang puteri saya. Pada waktu itu, harga perak masih rendah, sekitar RM3,200 hingga RM3,400 sekilogram termasuk premium (extra kena bayar kalau nak fizikal). Saya membeli satu kilogram bagi setiap seorang anak perempuan. Selain itu, saya turut membina portfolio emas secara berperingkat melalui institusi perbankan pelaburan Kuwaiti Finance House sehingga terkumpul jumlah yang agak signifikan (Sayang sekali KFH dalam proses diambil-alih/jual lesen perniagaan & dah tak bileh tambah pembelian emas, hanya boleh jual sahaja). Bila saya berubah karier dan diberikan peluang masuk ke dunia IT, saya memulakan karier di Jabatan baharu dengan membuka akaun emas Maybank. Syukur, pelaburan minimum RM10 seminggu atau kadangkala sehari itu kini memberi pulangan melebihi 100 peratus. 

Kini ramai yang menghampiri dan mahu berbaik dengan saya, dengan alasan nak pinjam duit. Namun saya akan bertanya kepada mereka, di manakah kalian semasa saya menderita sakit, dibiarkan keseorangan, hampir diberhentikan kerja, ditinggalkan pasangan, menjadi OKU? Pesanan Ustaz Isahak Othman, ketua warden asrama kepada saya sebelum saya meninggalkan MRSM sebaik tamat SPM - Kamu akan menuai apa yang kamu semai dan dunia ini adalah ladang untuk ke akhirat.  

Sabar dalam Penantian

Pasaran komoditi ini pernah melalui fasa harga statik yang agak lama. Namun, landskap geopolitik dunia—bermula daripada konflik di Ukraine dan Palestin, dinamika kepimpinan era Trump yang pelbagai ragam tak ketentuan arah, ketegangan melibatkan Iran, sehinggalah kepada tindakan China yang giat menyimpan (stockpile) simpanan emas dan perak telah mengubah segala-galanya. Cubalah cari chanel Youtube dan baca sendiri - perak fizikal dipasaran menyusut secara drastik. Saya sendiri tak sempat nak tambah pelaburan kerana dimasukkan ke hospital. Ketika tu pada kiraan saya, perak pasti meroket. Tekaan saya tepat! Tapi saya hanya mampu tengok dari atas katil hospital. Health is wealth, too!

Kemuncaknya pada Januari tahun ini, harga perak melonjak sehingga mencecah RM17,000 sekilogram. Walaupun nilainya menggiurkan, saya tetap teguh dengan prinsip asal. Saya tidak menjualnya kerana simpanan itu adalah hak milik mutlak anak-anak saya. Mencari bar perak 100 gram di pasaran sekarang bukanlah satu tugas yang mudah. Ada satu perasaan berat untuk melepaskannya kerana sekali dijual, aset berharga itu akan hilang buat selama-lamanya. Susah nak dapatkan yang fizikal, dalam tangan dan bukan hanya turutan angka dalam akaun.

Rezeki dan Percaturan Takdir

Pertengahan tahun lalu, saya dihadapkan dengan satu persimpangan: sama ada ingin membeli lima kilogram perak atau sebidang tanah, memandangkan kedua-duanya bernilai sekitar RM29,000. Akhirnya, saya memilih hartanah sebagai aset. Tanpa disangka, menjelang Januari, 2026 nilai lima kilogram perak yang saya tidak beli itu melambung tinggi sehingga RM70,000! Walau bagaimanapun, saya reda. Sesungguhnya, rezeki itu telah ditetapkan oleh-Nya.

Hakikatnya, perak sangat diperlukan sebagai perhiasan yang terpaksa bersaing dengan industri untuk pembuatan photovoltaic cell (sell solar), bateri kenderaan EV, peralatan elektronik dan peralatan komunikasi, pusat data, satelit dan peralatan ketenteraan. 

Nak kenaikan yang stabil - beli dan simpanlah emas, nak exponential growth yang jauh melangkaui peratusan kenaikan harga emas, kena invest kat perak walaupun sikit. Perak sesuai dengan jiwa saya yang berani hidup berseorangan menghadap badai naik dan turun pasaran. Kalau harga turun menjunam anda masih boleh tenang dan tersenyum, dan harga naik mencanak esoknya masih tenang, simoan, tidak jual, bolehlah pertimbangkan melabur dalam perak. Jika anda berhati tikus, turun harga sekupang dah bising, simpanlah sahaja duit anda dalam bank! 

Saya juga ada position perak & emas dalam ETF, menunggu nilai yang sesuai untuk jual semula. Setakat ini rasa amat menyesal.... sebab cuma beli sikit dulu! 

Beli hartanah kat negeri Perak border dgn Penang pun ok juga! Tak dapat dah harga rumah sewa murah di kawasan Parit Buntaq tu!

Tanggungjawab dan Ilmu

Dalam dunia pelaburan logam berharga, pemahaman mengenai Nisbah Emas kepada Perak (GSR) adalah sangat kritikal. Selain mengejar keuntungan duniawi, kewajipan ukhrawi tetap menjadi keutamaan. Tahukah anda bahawa sebaik sahaja simpanan perak mencecah 595 gram, ia sudah wajib dikenakan zakat? Alhamdulillah, sudah 10 tahun saya konsisten menunaikan zakat perak ini. Saya pernah menulis dalam FB pengalaman ke Pusat Zakat menunaikan zakat perak - jauh bebeza dengan bayar atas talian. Macam berjumpa ahli keluarga mesranya!

Segala inspirasi dan langkah bijak ini sebenarnya berakar umbi daripada nasihat berhemah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin yang pernah saya temui ketika baginda tuanku berada di Kinokuniya, KLCC. Tempat itu ditutup khas untuk Baginda, tanpa pengetahuan saya yang duduk di atas lantai membaca buku-buku mengenai emas dan perak. Ternyata, pesanan seorang Sultan yang berilmu dan berpandangan jauh telah membimbing saya menjadi pelabur yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Baginda berpesan, invest in silver, its underrated (pada ketika itu). 

Arwah isteri saya  penah menulis dalam buku autograph beliau
 (& kawan-kawan seangkatan MRSM Jasin boleh bersaksi):

Honour your friends whether new or old,
For new are silver, old are gold.

Saya pegang kata-kata arwah sehingga ke hari ini.
AlFatihah untuk isteri tercinta, Neny Endriani bt Hj Bustamal. 
Semoga di ampuni & berada dalam pelukan rahmat Allahi.

Aamin.


Tiada ulasan: