Jumaat, Februari 13, 2026

Bintang Penjaga Sempadan


Bab 4: Keringat di Kebun Sayur

Di kebun sayur dan kebun durian yang diteroka secara haram, Raub, kawasan itu bukan sekadar tanah pertanian. Ia adalah lumpur hitam yang menghisap tenaga. Aroma sayur kubis dan sawi yang segar bercampur dengan bau peluh masam dan ketakutan yang hanyir. Ketakutan. Itulah bau yang paling pekat aku hidu setiap pagi sebelum matahari sempat memanjat bukit. Aku adalah seorang PATI.

Aku bekerja dari subuh sampai ke lewat senja. Subuh. Senja. Tangan aku kasar. Kasar dan berparut. Kuku aku hitam. Hitam dikotori tanah. Tanah ni bukan tanah aku, tapi aku yang bagi dia makan. Aku bagi dia keringat. Setiap timun dan strawberi yang aku petik adalah sebutir peluru untuk ‘payung’ kami. Kalau aku berhenti, payung tu akan tutup. Dan bila payung tu tutup, langit akan runtuh menimpa kepala aku. Runtuh!

Malam itu, Tuan Kamarul datang tidak dengan senyuman. Dia datang dengan kasut berat dan lampu suluh yang menyilaukan mata. Kami semua lari bertempiaran seperti tikus tanah. Pak Darman, yang kakinya sudah sembab, tidak sempat lari. Dia tersungkur, mukanya mencium tanah lembab, jatuh  tepat di hadapan kasut Tuan Kamarul.

“Tolong, Tuan... Tolonglah saya Tuan. Saya sudah bayar untuk bulan ini. Saya sudah serahkan semuanya pada abang kawasan,” rayu Pak Darman, suaranya pecah, air matanya menitik jatuh atas kasut Tuan Kamarul yang berkilat.

Tuan Kamarul diam. Dia menghisap rokok, asapnya berkepul-kepul menampar muka Pak Darman. Dia memandang Pak Darman dengan pandangan yang kosong, seolah-olah melihat ulat sampah.

"Tuan... kenapa tangkap saya? Kita kan sudah ada perjanjian?" Pak Darman terus merayu.

Tuan Kamarul mencangkung. Dia mendekatkan wajahnya ke telinga Pak Darman. Suaranya perlahan, tapi tajam macam sembilu.

"Kamu ini bukan tak tahu kaedah hidup di sini" Kamarul menyindir.

"Di negaramu juga sama. Tapi di negaraku ini, ada satu kata-kata hikmat yang kami pegang sampai mati. Aku pelajari daripada bangsamu juga semasa di Bandung awal tahun lepas."

Dia berhenti sejenak, tersenyum sinis.

"Jika bisa dipersulitkan... yach... mengapa mau dipermudahkan?"

Pak Darman tergamam. Lidahnya kelu. Tuan Kamarul bangun, mengibas debu pada seluarnya.

"Kalau semua benda mudah, perut aku lapar, Man. Mesin ini tetap kena terus berputar. Malam ni, kau jadi statistik. Bulan depan, kawan kau pula. Itu hukumnya," kata Kamarul sambil memberi isyarat kepada anggotanya untuk menggari Pak Darman.

Gari besi itu berbunyi klik. Satu bunyi yang paling ngeri bagi kami. Pak Darman dibawa pergi dalam gelap malam, meninggalkan satu lohong besar dalam jiwa kami yang masih tinggal. Kami yang dilepaskan bukan kerana sifat ihsan, tetapi kerana kami masih punya tenaga untuk mengumpul 'wang penghargaan' bagi pusingan seterusnya.

Aku melihat dari balik rimbunan buluh. Aku melihat bintang di bahu Tuan Kamarul itu bersinar di bawah cahaya bulan, tapi sinarnya dingin.

Dingin dan mematikan.


 

Tiada ulasan: