Sabtu, Februari 14, 2026

Lanun Digital

BAB 1: SURAT DARI LEMBAH HITAM

Angin petang di Kuala Lumpur tidak pernah sejuk. Di tingkat tujuh, Encik Karim memegang sehelai kertas. Putih bersih, tetapi isinya hitam sepekat jelaga. Nama syarikatnya terpampang bersebelahan dengan perkataan PELANGGARAN HAK CIPTA.

"Adobe..." bisiknya. Nama itu bukan lagi perisian yang sakti, ia adalah algojo yang sedang menghayun kapak untuk memancung reputasi syarikatnya yang dibina sejak sepuluh tahun yang lalu.

BAB 2: DI BAWAH BAYANG-BAYANG

Karim meraba meja kayu jati di depannya. Meja ini adalah saksi yang dia bermula dari bawah. Kini, di atas meja ini, sebuah firma guaman antarabangsa sedang menelanjangi rahsia syarikatnya. Alamat MAC, koordinat GPS, nama anggota kerja - semuanya dikesan serta dinyatakan dengan jelas. Dia merasa seperti seorang pencuri yang tertangkap basah di tengah pekan, sedangkan orang ramai kesemuanya memandang dengan perasaan jijik.

BAB 3: PESAN AYAH DI TEBING SUNGAI PERAK

(Flashback)
Air Sungai Perak mengalir lesu. Karim ketika itu berumur 8 tahun duduk di pangkuan ayahnya.
"Karim," suara ayahnya garau, "tanah ini adalah amanah. Jangan sesekali kau selitkan hak orang dalam guni kita. Walau sebiji paid, ia akan membusukkan seluruh hasil mu. Ingat itu."

Karim tersedak. Di kota ini, dia tidak mencuri padi, dia mencuri "kod" perisian komputer. Apakah bezanya?

BAB 4: NAFSU YANG MEMBISIK

(Monolog Dalaman)
Dia teringat setahun lalu. "Jimat kos, Encik Karim," kata staf IT-nya, Man. "Hanya muat turun crack. Projek siap, klien bayar, kita untung besar."

Karim tergoda. Nafsu mahu cepat kaya, mahu nampak hebat di mata pesaing. Dia membiarkan syaitan belaannya berumah dan bermaharajalela di dalam pelayan komputer syarikatnya. Sekarang, syaitan itu datang menuntut hutang. Hutang darah dan keuntungan syarikatnya.

BAB 5: MARUAH YANG TERCALAR

Bagaimana kalau berita ini tersebar? Klien-klien besar akan lari. Dia akan dipanggil "Pencuri HartaIntelek". Malu! Malu yang amat sangat. Seolah-olah dia berbogel di tengah-tengah bangunan kaca ini. Dia mahu lari balik ke kampung, tetapi duri dan ranjau sudah terpacak di setiap langkah. Dia sudah terkepung!

BAB 6: DATANGNYA SANG PENEBUS MARUAH

Hassan datang lewat petang. Langkahnya tenang seperti seorang petani yang sudah biasa dengan musim kemarau.

"Ini bukan masanya untuk bersedih, Karim," kata Hassan. Matanya tajam. "Kita sudah langgar hukum alam digital. Sekarang, kita kena bertaubat secara teknikal. Taubat!"

BAB 7: PROTOKOL PPPP: MEMAGAR LADANG

Hassan membentangkan kertas kerja. Protokol Pematuhan Perisian dan Perolehan (PPPP).
"Syarikat ini perlukan pagar, Karim. Bukan pagar kayu, tapi pagar disiplin. Tiada lagi Shadow IT. Sesiapa yang membawa masuk 'perisian haram' ke dalam gudang ini, dia akan dibuang kerja serta-merta."

BAB 8: MONOLOG PEKERJA: ANTARA CEPAT DAN BERKAT

Man, ketua Jabatan IT, tunduk. Di dalam hatinya bergelora. Aku fikir aku bijak. Aku fikir aku bantu syarikat jimat ribuan ringgit. Rupanya aku sedang menggali kubur untuk kita semua. Keberkatan itu rupanya bukan pada angka di bank, tapi pada bersihnya cara kita mencari rezeki.

BAB 9: JALAN YANG SATU, PINTU YANG LURUS

"Mulai hari ini," suara Hassan bergema di bilik mesyuarat, "segala perisian mesti melalui Pintu Satu. Isi borang PPPP-01. Biar lambat asalkan selamat. Biar mahal asalkan halal."

Tiada lagi kakitangan yang boleh menjadi 'tuhan' di komputer sendiri. Hak admin kini terhad hanya untuk Jabatan IT.

BAB 10: LESEN YANG SAH

Hassan mengajar Karim cara berunding. "Minta lesen percubaan. Biar vendor tahu kita jujur. Biar sistem yang kunci sendiri bila tamat tempoh. Kita jangan jadi penipu yang memanjangkan umur perisian secara haram."

BAB 11: MEMUGAR LALANG DI DALAM CAKERA KERAS

Operasi pembersihan bermula. Karim melihat stafnya memadam perisian haram itu satu demi satu. Rasanya seperti mencabut lalang yang sudah berakar umbi di dalam hati. Pedih, tetapi perlu.

BAB 12: RITUAL PEMBERSIHAN: MENGHALAU HANTU DIGITAL

Tembok api (firewall) dipasang. Laman-laman sesawang 'gelap' disekat. Setiap pagi, sistem akan mengimbas. Jika ada bau-bau perisian haram, penggera akan berbunyi. "Kita pasang perangkap, Karim," ujar Hassan.

BAB 13: SAMAN YANG MEMUDAR

Surat balasan dihantar. Syarikat mengakui kesilapan. Mereka membayar true-up. Duit yang disimpan untuk bonus, habis digunakan untuk membayar 'dosa' lama. Karim reda. Lebih baik poket kosong daripada jiwa yang diseksa rasa bersalah, ancaman penjara atau lebih teruk lagi....terpaksa menamatkan operasi syarikat, nasib anggota kerja bagai telur dihujung tanduk.

BAB 14: AUDIT PERISIAN

Tiga bulan berlalu. Audit dijalankan. Keputusannya: Bersih. Tiada lagi perisian bayangan. Kakitangan kini bekerja dengan tenang. Tiada lagi ketakutan setiap kali ada emel masuk dari luar. Syarikat kini berdiri di atas landasan yang betul.

BAB 15: CAHAYA

Karim berdiri di balkoni. Dia teringat lagi kata ayahnya: "Kalau ladangmu penuh ranjau, jangan salahkan tanah. Salahkan cara kau bertani."
Kini, dia telah berusaha dengan cara yang betul. Cahaya matahari petang yang memantul di kaca tingkap terasa sejuk dan jernih. Dia tahu, walaupun jalannya sukar, amanah yang dijaga akan membawa berkat yang kekal abadi.

PENGAJARAN

Integriti Digital: 
Kejayaan yang dibina atas penipuan (perisian warez) adalah sebuah impian palsu yang akan runtuh bila-bila masa.

Amanah Pemimpin: 
Pemimpin bertanggungjawab memastikan setiap inci operasi syarikat adalah patuh syariah dan undang-undang.

Disiplin dan Sistem: 
Niat baik tidak cukup tanpa sistem (seperti PPPP) untuk mengawal nafsu manusia yang mahukan jalan pintas.

Keberkatan Rezeki: 
Rezeki yang sedikit tetapi berkat lebih baik daripada projek jutaan ringgit yang dihantui saman dan rasa malu.

Tiada ulasan: