Selasa, Februari 17, 2026

QARIB I : Sangat Dekat

Karim duduk di kerusi roda, memandang sawah di hadapan rumahnya. Sawah itu dulu dia yang tanam padi. Dia yang cangkul. Dia yang tabur baja. Kaki dia pijak lumpur sawah sejak umur tujuh tahun. Sekarang, kaki tu tak mampu lagi.

Dua tahun lepas, doktor cakap saraf tunjangnya yang bermasalah. Dia diserang angin ahmar. Operation dah buat. Tapi jalan masih sukar. Boleh bertatih sikit-sikit dengan tongkat, tapi kebanyakan masa terpaksa guna kerusi roda.

Di meja tepi tingkap, berbaris karung-karung kecil berisi ubat. Macam-macam jenama. Warna-warni. Pagi petang, Karim akan telan ubat macam makan nasi. Sebelum tidur pun ada.

"Ikhtiar," kata doktor. "Kena makan ubat selalu."

"Ikhtiar," kata Karim pada diri sendiri. "Allah suruh berikhtiar."

Tapi kadang-kadang, bila termenung seorang diri, dia tertanya. Bila ubat dah banyak mana ditelan - bila hospital dah berpuluh kali dikunjungi. Bila doktor pakar pun dah geleng kepala. Apa lagi?

Karim tengok orang lalu lalang di luar pagar. Budak-budak bermain kejar-kejar. Makcik-makcik menjual kuih. Pakcik-pakcik naik motorsikal pegi kedai kopi. Semua berlalu macam biasa. Hidup berjalan seperti selalu.

Tapi bagi Karim, hidup dah berubah.

Dia tak boleh lagi turun ke sawah. Tak boleh lagi bermain bola dengan anak buah. Tak boleh lagi solat berjemaah di surau sebab nak ke surau pun kena naik kerusi roda, tanjakan pula tak ada.

Dia pasrah. Atau dia fikir dia pasrah.

Tapi dalam hati, ada satu sudut yang masih meronta. Satu suara kecil yang masih bertanya: Kenapa aku? Kenapa jadi kat aku? Aku tak pernah makan hak orang. Aku sembahyang lima waktu. Aku puasa. Aku  bersedekah. Tapi kenapa aku dapat ujian berat macam ni?

Hari ni, hari pertama Ramadhan. Hatinya sayu.

Dia dah niat puasa malam tadi. Sahur dengan lauk seadanya. Tapi sekarang, tengahari terik, lapar mula terasa. Haus pun datang. Karim tak boleh puasa penuh sebab sakit, tapi dia tetap nak puasa. Doktor cakap tak apa, asal makan ubat dengan tetap.

"Tapi ubat dapat banyak mana pun," fikir Karim, "Hanya Allah juga yang sembuhkan."

Dia ingat kata-kata arwah mak. Mak dia selalu cakap, "Ubat tu asbab, Rim. Yang menyembuhkan Allah. Macam kapal terbang. Kapal terbang bawak kita ke Mekah, tapi yang sampai kan kita ke sana, Allah jua."

Karim tersenyum pahit. Mak dah lama tak ada. Tapi pesan-pesan dia masih melekat.

Dia tengok karung ubat kat meja tu. Warna-warni. Besar kecil. Dia tahu jadual makan: pagi dua biji, tengahari satu, petang dua, malam satu. Kadang dia rasa dirinya seolah macam kilang. Kilang telan ubat. Tapi tiba-tiba, terlintas satu ayat dalam kepala.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ 

Ayat tu selalu dia baca masa tadarus Ramadhan dulu-dulu. Tapi entah kenapa, kali ini datang balik. Macam ada yang bisik dekat telinga.

Karim pejam mata. Cuba hayati.
Qarib. Dekat. Allah dekat.

Bukan dekat macam orang duduk sebelah kita. Tapi dekat dalam ilmu. Dekat dalam dengar. Dekat dalam tahu.

Selama dua tahun sakit, Karim rasa macam dia duduk sorang. Kawan-kawan datang ziarah mula-mula dulu. Tapi lama-lama, makin jarang. Masing-masing sibuk dengan hidup. Faham. Dia faham. Tapi kesunyian tetap terasa.

Tapi kalau Allah dekat, kenapa dia kesunyian.

Mungkin bukan Allah yang jauh. Mungkin dia yang membina dinding pemisah. Dinding kecewa. Dinding amarah. Dinding mempertikai,  bertanya kenapa? Dinding tu tebal, sampai dia tak rasa kewujudan Allah yang selama ini ada.

Karim memandang ke arah langit. Awan kelihatan bergerak perlahan.

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

"Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, '(Ya Tuhanku), sungguh, aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Maha Penyayang di antara para penyayang.'"
(Surah Al-Anbiya': 83)

"Ya Allah," bisiknya, "kalau sakit ni adalah penghapus dosa, aku redha. Tapi berilah aku kekuatan untuk terus bersujud padaMu."

Dia tak sedar, air matanya meleleh di pipi.

Malam tu, lepas Isyak dan terawih, Karim duduk seorang diri di beranda rumah. Kerusi rodanya diparkir tepi pintu. Angin malam sepoi-sepoi bahasa. Bulan Ramadhan baru masuk hari pertama, tapi langit dah mula menampakkan perubahan.

Karim buka telefon pintarnya, dia terjumpa satu video pendek. Seorang ustaz bercerita tentang sakit dan doa. Ustaz tu berkata, "Kadang-kadang Allah bagi kita sakit, bukan sebab Dia benci. Tapi sebab Dia rindu. Dia nak dengar suara kita merintih tengah malam. Dia nak tengok kita sujud lama-lama. Sebab masa kita sihat, kita sibuk. Masa kita kaya, kita lupa."

Video pendek je. Tapi cukup buat Karim terdiam lama.

"Allah rindu," bisik hatinya.

Perkataan tu tak pernah terlintas. Selama ni dia fikir sakit ni ujian. Sakit ni bala. Sakit ni hukuman. Tapi tak pernah dia fikir sakit ni mungkin tanda Allah rindu nak dengar rintihan dan suara dia.

Selama dua tahun, dia banyak berdoa. Tapi doa yang merungut. Doa yang bertanya. Doa yang minta lekas sembuh. Jarang sangat dia berdoa dengan pasrah. Jarang sangat dia berdoa untuk redha. Jarang sangat dia berdoa bersyukur atas sakit dan ujian yang diberi.

Mungkin sakit ni sebenarnya ubat. Bukan ubat untuk badan. Tapi ubat untuk hati. Ubat untuk ingat. Ubat untuk dekat.

Dia teringat kawan-kawan yang sihat. Sibuk ke sana sini. Kadang-kadang terlepas solat. Kadang-kadang lupa baca AlQuran. Kadang-kadang bertuhankan duit dan pangkat.

Dia? Tak boleh ke mana-mana. Tetap duduk di rumah. Tapi sembahyang tak pernah tinggal. Baca Quran makin banyak. Doa makin panjang. Mungkin ini cara Allah tarik dia dekat.

"Ya Allah," bisiknya lagi, "kalau sakit ni cara Engkau nak aku dekat denganMu, maka aku redha. Tapi jangan tinggalkan aku. Jangan biar aku rasa sunyi."

Angin malam bertambah sejuk. Tapi Karim rasa lain malam ni. Ada kehangatan di dada. Bukan panas demam. Macam ada sesuatu yang bersinar di dalam kegelapan.

Karim teringat hadis yang pernah dia baca. Nabi kata, doa tu ibadah. Doa tu sesuatu yang mulia kat sisi Allah. Bukan setakat meminta. Tapi pengakuan hamba pada Tuan. Pengakuan kita lemah, Dia kuat. Kita fakir, Dia kaya. Kita hina, Dia mulia.

Selama ni Karim malu nak berdoa sangat. Rasa tak layak. Rasa banyak dosa. Tapi lepas baca pasal Allah dekat, dia faham. Allah tak tengok dosa waktu kita doa. Allah tengok hati yang kembali. Kembali kepada Nya.

Macam anak kecil jatuh, bila dia jatuh dan menangis, mak ayah akan angkat dan peluk. Takkan mak ayah kata, "Kau lari tadi, sekarang jatuh, padan muka kau." Tak. Mak ayah akan terus peluk.

Allah Maha Penyayang.

Karim memandang karung ubatnya. Kali ni, bukan sebagai beban. Tapi sebagai ikhtiar. Sebagai usaha. Dan dia tahu, di sebalik ikhtiar tu, ada Yang Maha Menyembuhkan.

"Asy-Syafi," bisiknya.

Nama Allah tu dia baca dalam doa memohon kesembuhan. Tapi kali ni, dia sebut dengan rasa dan  keyakinan Yang menyembuhkan, hanya Dia.

Malam tu, Karim tidur dengan senyuman. Kali pertama dalam dua tahun, dia tidur dengan hati yang tenang. Bukan sebab sakitnya hilang. Tapi sebab dia rasa, dia tidak keseorangan. Ada yang dekat. Sangat dekat. QARIB.

Tiada ulasan: