Ahad, November 15, 2026

Bayang-Bayang di Lorong Sepi

Cahaya malap lampu jalan di Seksyen 11, Shah Alam memantulkan bayang panjang Haris di atas jalan tar basah selepas hujan petang. Di tangannya, beg fail kulit yang sudah kusam menjadi saksi bisu kepada perjalanan hidup yang penuh dengan liku. Di usia lewat 40-an, Haris tahu erti jatuh dan bangun. Ketika syarikat yang diasaskan bersama dulu merudum akibat pengkhianatan rakan kongsi, dan rumah tangganya runtuh sewaktu akaun banknya mencecah angka sifar dan kesihatannya diuji, dunia seolah-olah menjadi gelap gelita.

Namun, yang paling menyakitkan bukanlah kegagalan itu sendiri, tetapi bisik-bisik di belakang.

"Dulu bukan main gah lagi, sekarang bankrap. Padan muka."

"Sombong sangat, kan sudah tersungkur."

Kata-kata nista itu sampai juga ke telinganya melalui pelbagai lorong gosip. Pada mulanya, darah mudanya mendidih panas. Ada rasa rendah diri (inferiority complex) yang mencengkam dada, membuatkannya hampir terkurung dalam bilik sempit selama berminggu-minggu, meratapi nasib diri yang dianggap gagal sebagai seorang lelaki, suami, dan ketua.

Tetapi malam ini, langkah Haris mantap. Siang tadi dia memperoleh anugerah khidmat cemerlang, satu pengiktirafan kepada dirinya. Dia sebenarnya tidak gagal.

Dia teringat kata-kata hatinya sewaktu memandang wajahnya dicermin pagi tadi: “Mereka yang mengata di belakang hanya berani bersuara kerana mereka duduk di zon selesa. Mereka tidak tahu beratnya cabaran yang aku hadapi dan mereka tidak ada apa-apa selain lidah yang tajam.”

Haris meneruskan langkahnya menuju ke sebuah gerai kecil di tepi jalan. Dia bukan lagi pengarah urusan yang duduk di kerusi empuk berhawa dingin, tetapi dia kini membina semula kehidupannya. Siang tadi, dia baru sahaja menyiapkan kertas kerja teknikal dan perundingan risiko keselamatan keselamatan data untuk sebuah agensi, sumber rezeki halal yang mula membina kembali empayarnya dari titik sifar.

Telefon bimbitnya bergetar di dalam poket jaket. Sebuah mesej WhatsApp masuk daripada salah seorang pengkritiknya dahulu, menyindir halus tentang perjalanan kerjayanya yang dianggap sudah tergelincir.

Haris tersenyum nipis. Dia tidak membalas. Dia tidak perlu membuang tenaga untuk berdebat dengan penonton di tepi gelanggang. Orang yang berani berada di barisan hadapan medan perjuangan selamanya berada jauh di hadapan mereka yang hanya tahu mengkritik, tetapi tak reti berusaha.

Dia melabuhkan diri duduk di kerusi plastik gerai mamak itu, memesan segelas teh halia panas. Di luar sana, angin malam Shah Alam menyapa lembut, membawa tekad yang kian membara di dada, bahawa jatuh itu bukan penamat, tetapi cara takdir mendidik seorang lelaki menjadi baja kepada kejayaan yang lebih abadi.



Tiada ulasan: