Wajah Mei Lin yang tidak pernah kelihatan tergesa-gesa memberi kesan pada pandangan pertama, tetapi sukar dilupakan pada pandangan kedua. Kulitnya cerah, lembut dan licin tanpa cacat cela, seperti seramik halus yang ditempa oleh tukang ternama. Tulang pipinya tinggi, memberikan garis wajahnya satu keanggunan yang tegas, tetapi bibirnya pula lembut, sedikit melentik di sudut, seolah-olah sentiasa menyimpan senyuman yang tidak pernah terlerai sepenuhnya.
Matanya sepet memanjang, gelap seperti malam tanpa bulan, tetapi bila cahaya lampu menyentuhnya, terselit di dalamnya kilauan seperti embun di hujung daun — rasa ingin tahu yang tidak pernah padam. Keningnya lurus dan tegas, memberi kesan seorang yang berfikiran sendiri, tidak mudah tunduk pada pendapat orang lain. Dan apabila dia ketawa — sesuatu yang jarang berlaku, seluruh wajahnya seakan terbuka, seperti bunga mekar di depan orang ramai.
Itulah wajah yang tertanam dalam ingatan Ahmad selepas majlis makan malam itu — bukan kerana kecantikannya semata-mata, tetapi kerana di sebalik wajah yang tenang itu, dia dapat melihat sesuatu yang bergelora, seperti laut yang kelihatan tenang di permukaan tetapi menyimpan arus deras di dasarnya.
Seminggu selepas majlis itu, takdir — atau mungkin rancangan halus Tan Sri Wong sendiri, mempertemukan mereka semula. Ahmad diminta hadir ke pejabat keluarga Wong untuk membentangkan lakaran awal menara itu, dan Mei Lin, yang turut membantu menguruskan bahagian reka bentuk dalaman syarikat bapanya, turut hadir dalam mesyuarat itu.
Selepas mesyuarat tamat dan semua orang beransur pulang, Mei Lin terhenti di pintu, memerhatikan Ahmad yang masih membetulkan lakaran-lakarannya di atas meja.
"Awak tidak guna perisian komputer sepenuhnya," katanya tiba-tiba. "Saya perasan awak masih melukis dengan tangan."
Ahmad tersenyum, sedikit tersipu kerana diperhatikan. "Komputer boleh buat garisan yang tepat. Tetapi tangan manusia.. tangan boleh buat garisan yang jujur. Kadang-kadang saya hendak reka bentuk yang ada kesilapan kecil, sebab kesilapan itulah yang membuatkan sesuatu itu, tidak kaki dan nampak manusiawi."
Mei Lin melangkah masuk semula ke dalam bilik, duduk di kerusi bertentangan dengannya. "Saya suka cara awak fikir," katanya jujur, tanpa berselindung. "Kebanyakan orang yang saya kenal fikir tentang untung rugi sahaja. Awak fikir tentang jiwa benda - aesthetics."
"Dan awak?" Ahmad bertanya. "Apa yang Cik Mei Lin fikirkan?"
Mei Lin diam seketika, matanya merenung ke luar tingkap, ke arah bandar yang mula diselubungi lampu malam. "Saya belajar seni bina di London dulu," katanya perlahan. "Tetapi ayah panggil saya pulang untuk uruskan bahagian pelaburan syarikat. Saya... saya rindu melukis. Saya rindu masa saya boleh cipta sesuatu tanpa perlu fikirkan keuntungan."
"Kenapa tidak sambung buat apa yang awak suka?"
Mei Lin ketawa kecil, ketawa yang menyembunyikan rasa hatinya. "Sebab saya anak tunggal Tan Sri Wong. Dan dalam keluarga saya, impian peribadi selalu mesti mengalah kepada tanggungjawab keluarga." Dia berhenti sebentar, lalu menambah dengan nada yang lebih tegas, "Tetapi itu tidak bermakna saya setuju dengan semua perkara yang ibu saya mahukan untuk saya."
Ahmad memerhati wanita di hadapannya itu dengan pandangan baru. Di sinilah dia — anak seorang taikun, dibesarkan dalam istana kaca dan kemewahan — tetapi jiwanya dengan sengap memberontak terhadap sangkar yang dibina untuk melindunginya.
"Ibu awak mahu awak kahwin dengan orang dalam kalangan sendiri?" Ahmad bertanya, cuba menduga.
Mei Lin mengangguk, sedikit resah. "Ibu saya sentiasa berkata, darah mesti serasi darah, tradisi mesti diteruskan. Dia sudah ada beberapa calon dalam fikirannya... anak-anak taukeh besar, semuanya sesuai dari segi 'status'." Dia menyebut perkataan status dengan nada sinis. "Tetapi saya bukan barang daganyan yang boleh dipadankan begitu sahaja."
Ahmad terdiam, menghormati kekuatan yang tersirat dalam kata-kata wanita itu. Dalam dunia yang mengukur manusia berdasarkan keturunan dan kekayaan, Mei Lin cuba mencari ruang untuk menjadi dirinya sendiri — sama seperti Ahmad, yang cuba mencari ruang dalam dunia arkitek yang sering mengukur seni berdasarkan keuntungan semata.
Pada saat itu, tanpa disedari oleh kedua-duanya, satu titik pertemuan telah terbentuk — bukan kerana cinta pandang pertama yang cetek, tetapi kerana dua jiwa yang sama-sama letih memikul harapan orang lain, dan buat pertama kalinya, masing-masing menemui seseorang yang benar-benar ahu mendengar.
"Kalau begitu," kata Ahmad perlahan, menukar topik, memecah kesunyian, "apa kata kita bertukar-tukar lakaran? Saya tunjuk awak reka bentuk saya, awak tunjuk saya lukisan awak dari London."
Mei Lin merenung Ahmad, dan buat kali pertama malam itu, senyumannya benar-benar terlerai sepenuhnya — bukan senyuman sopan seorang puteri taikun, tetapi senyuman jujur seorang wanita yang baru sahaja menemui seseorang yang melihatnya sebagai manusia, bukan sekadar nama keluarga.
"Boleh," katanya. "Tetapi janji tau, awak jangan kritik lakaran saya teruk-teruk sangat."
"Saya janji," balas Ahmad, tersenyum. "Seni tidak pernah salah. Cuma jujur atau tidak."
Dan di tingkat lapan belas bangunan itu, ketika bandar raya mula bermandi cahaya malam, dua jiwa yang datang dari dunia yang berbeza mula menemui titik persamaan yang tidak pernah mereka sangka wujud — sebuah bahasa yang tidak memerlukan keturunan atau kekayaan untuk difahami: kejujuran bahasa seni, dan bahasa hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan