Kampus Utama UIAM, Petaling Jaya, Circa 1990an
BAHAGIAN 1: BISIKAN KETAKUTAN
Di tengah-tengah dataran kampus itu, berdiri megah sebatang pokok beringin tua yang seolah-olah menjadi saksi bisu kepada peredaran zaman. Ia bukan sekadar sebatang pokok; ia adalah monumen hidup, saki-baki hutan rimba yang gagal ditawan sepenuhnya oleh arus pembangunan. Daunnya yang lebat dan menghijau gelap menaungi separuh daripada ruang dataran, manakala akar rerambutnya berjurai-jurai seperti janggut raksasa yang bergantungan dari langit. Di celah-celah dahan itu, burung-burung gagak sering bertenggek, memberikan suasana gelap, seram, dan mematikan.
Sejak sesi pengajian baharu bermula, aura pokok itu bertukar secara drastik. Ia seolah-olah diselimuti oleh bayangan kelam yang tidak dapat dijelaskan oleh logik akal. Bisikan-bisikan misteri mula menjalar dari satu blok asrama ke blok yang lain.
Bisikan itu sentiasa tentang "Dia".
“Dengar sini, aku tak berguraulah,” ujar Jenal dengan muka bimbang, suaranya parau dan bergetar. Dia melirik resah ke luar tingkap bilik asrama Abu Bakar College (SMAWP) yang tertutup rapat, seolah-olah ada mata yang sedang memerhati dari kegelapan. Malam itu sunyi, hanya dipecahkan oleh bunyi cengkerik yang mendesing tanpa henti di belukar jauh.
“Waktu hampir azan Maghrib semalam, aku ternampak kelibat dia. Dia lepak di dahan paling rendah, kakinya terjuntai-juntai. Berpakaian putih lusuh, rambut hitam panjang mengurai… tapi wajahnya, Jamali.... wajahnya… Astaghfirullah, pucat macam kapur yang dilumur pada kain putih. Matanya menyala merah darah, memandang tepat ke arah aku seolah-olah dia sedang melapah jiwaku!”
Jamali, rakan sebiliknya, mengangguk perlahan. Tangan kirinya erat menggenggam tasbih, manakala tangan kanannya memegang botol minyak wangi kasturi, cuba mengusir rasa seram yang mencengkam. “Aku faham, Nal. Minggu lepas, waktu aku balik dari Central Spine jam 2 pagi, aku terserempak dengannya di tepi kolam air pancut dekat laluan ke Bilik SRC. Dia tengah sikat rambut dengan sisir kayu yang panjang… tapi rambut dia, Nal... setiap kali sisir itu ditarik, menitis cecair merah gelap yang pekat. Sisir itu berkelumuran darah!”
Kisah-kisah sebegitu beredar pantas dalam kalangan mahasiswa tahun satu. Ia sentiasa berakhir dengan entiti yang sama: Pontianak. Makhluk itu dikatakan muncul hanya di bawah atau berhampiran pokok beringin itu, terutamanya pada malam Jumaat yang gelap, membawa seribu satu petanda ngeri—bau wangi yang manis menusuk hidung, diikuti tangisan bayi yang menyayat hati, sebelum kelibat wanita seksi muncul dari balik jejala akar tersebut.
BAHAGIAN 2: UJIAN KEANGKUHAN DAN KESEPIAN
Reza, mahasiswa tahun akhir Kuliyyah Undang-Undang yang kuat berpegang kepada prinsip login akal serta hujah saintifik, merasa muak dengan semua ‘dongeng’ ini. Namun, di sebalik keangkuhannya, Reza menyimpan satu rahsia yang pedih. Dia kesepian. Di kampus yang penuh dengan pasangan yang menjaga batas dan mahasiswi yang rata-ratanya menutup aurat dengan sempurna, Reza merasa terasing. Dia mendambakan sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang mencabar norma.
“Semua itu karut! Tak masuk akal!” herdik Reza di kafeteria, menghentam meja kayu itu dengan buku undang-undangnya. Di hadapannya, sekumpulan junior tahun satu terdiam, terpukau dengan keberanian Reza. “Pontianak? Itu cuma halusinasi. Korang ni, daripada baca buku teks, lebih gemar baca hikayat Melayu lama Tamar Jalis dan majalah Mastika mengarut tu sambil mengopi sampai ke pagi!”
“Tapi Bang Reza,” bisik Hasri Jamil, seorang junior dari Langkawi yang kelihatan pucat lesi. “Malam Selasa lepas, dia panggil nama aku! Suara mengilai tu macam datang dari dalam telinga aku. Abang tak kena kacau lagi, bolehlah cakap besar!”
Reza tersenyum sinis. Dalam fikirannya, 'gadis misteri' itu hanyalah manusia, mungkin seorang mahasiswi 'pemberontak' yang sengaja ingin mengenakan budak-budak junior yang penakut. "Aku akan tamatkan semua cerita budak-budak ni. Malam ni, aku akan ke pokok itu. Aku akan bawa ‘hadiah’ untuk hantu korang tu,” ujarnya dengan tegas. Di sudut hatinya, ada sedikit rasa teruja; dia berharap 'gadis' itu benar-benar wujud dalam bentuk manusia untuk mengisi kesepiannya.
BAHAGIAN 3: TITIK PERTEMUAN
Malam Jumaat. Langit gelap tanpa awan. Bulan purnama mengambang penuh seolah-olah sebiji mata gergasi pucat yang memandang tepat ke bumi. Degup jantung Reza mula berirama tidak menentu. Dia berjalan sendirian, jaket "IIU Mooting Team" yang dikenakannya terasa nipis di tengah angin malam yang bertiup dingin menusuk tulang.
Bau tanah basah dan dedaunan gugur memenuhi udara. Gesekan bunyi daun kering yang ditiup angin seakan-akan bunyi sesuatu yang diseret di atas lantai batu. Di telinganya, seolah-olah terngiang bait lagu kumpulan Mega yang sering diputarkan di radio:
Di dalam jaga ku tercari-cari
Di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri...
Pokok beringin itu kini kelihatan jauh lebih besar dan mengancam. Dan di sana, di celahan akar banir yang berlekuk, dia melihatnya. Kelibat seorang wanita.
Dia bukan seperti makhluk menakutkan yang disangka. Sebaliknya, dia adalah jelmaan kecantikan yang sangat ganjil. Kulitnya seputih porselin, tidak bertudung, dengan rambut berkilat seperti sutera hitam yang terurai ke paras lutut. Dia mengenakan kebaya putih lama yang nampak basah dan lusuh, menampilkan sosok badan yang seksi dan menggoda.
Reza terpaku. Rasa dingin mencucuk dari hujung kaki ke kepala. Namun, kesepiannya mengatasi rasa takut. Dia yakin ini adalah 'manusia' yang dicarinya selama ini. "Si... siapa awak ni?" soal Reza, suaranya tersekat.
“Aku... yang sentiasa kamu cari, sentiasa kamu dambakan,” jawabnya dengan hilai tawa yang merdu mendayu. “Kamu tidak takut?”
BAHAGIAN 4: KECANTIKAN YANG MENCAIR
Reza melangkah semalam mendekat, seolah-olah dipukau. Bau wangi bunga yang sangat manis menusuk hidung, membuatkan logik akalnya terbang melayang. "Awak... awaklah yang paling cantik pernah saya lihat," katanya, memaksakan keberanian. Jantungnya berdegup laju, dup-dap-dup bergema kuat.
Wanita itu mengilai kecil, bunyinya seperti sekumpulan loceng kaca yang pecah. “Pujian yang indah. Kamu mahu melihat lebih dekat?”
Tanpa menunggu jawapan, entiti itu berpusing perlahan. Kebayanya yang basah berkibar meliuk mengikut rentak tarian yang aneh. Namun, saat belakangnya menghadap Reza, segalanya berubah dalam sekelip mata. Bau wangi bunga tadi tiba-tiba digantikan dengan bau hanyir bangkai yang lama terperap. Bayangan di tanah bukan lagi bentuk wanita anggun, tetapi sesuatu yang bongkok, tidak berbentuk, dan berekor panjang.
Reza tersentak. Dia melihat ke arah kaki wanita itu, tiada kaki yang mencecah bumi! Didorong oleh ketakutan melampau, Reza menghayunkan paku besi tajam dari poketnya dan mencacaknya tepat ke tengah leher putih pucat itu.
KRAK!
Bunyi itu bukan bunyi tulang patah, tetapi bunyi kayu reput basah yang pecah. Wanita itu kaku, tetapi kepalanya perlahan-lahan berpusing 180 darjah ke belakang. Mata hitamnya kini menyala merah terang seperti bara api.
“Paku?” desisnya dengan suara yang kini serak dan berdengung seperti ribuan serangga besar yang terperangkap dalam kerongkong. “Kamu fikir kami masih takut pada paku besi? Zaman sudah berubah, sayang.”
Dari lubang paku itu, bukan darah yang mengalir, tetapi akar-akar hitam yang kecil, hidup, dan bergerak-gerak laju seperti sekumpulan cacing. Akar-akar itu menjalar keluar dengan pantas, membelit pergelangan tangan Reza sekuat-kuatnya.
Wajah cantik itu mula mencair di hadapan mata Reza. Kulit porselinnya merekah dan mengelupas, menampakkan lapisan kulit kelabu kebiruan dengan urat hijau menonjol yang berdenyut-denyut. Senyuman merah delima itu meregang menjadi garis lebar yang menakutkan, mendedahkan gigi taring yang tajam.
“Kamu cari wanita cantik untuk mengisi kesepianmu?” desisnya, nafasnya berbau tanah kubur. Dia merobek bahagian atas kebayanya dengan kuku hitam yang panjang. Di dada, di tempat yang sepatutnya terletak jantung, ada lubang lohong yang gelap. Dari dalam lubang itu, bergema tangisan bayi yang menyayat hati.
“Aku adalah sebahagian dari pokok ini. Dan pokok ini haus!” Pontianak itu membuka mulutnya luas, jauh lebih luas dari kemampuan manusia, seolah-olah sebuah jurang maut tanpa penghujung. Reza jatuh tidak sedarkan diri di situ juga.
BAHAGIAN 5: AKAR DAN TUNGGUL
Keesokan paginya, pekerja pembersihan menemui Reza terbaring di celah akar pokok beringin. Di bawahnya, ditemui sisir kayu lama yang berlumuran darah dan sisa bau busuk. Reza dikejarkan ke Hospital Universiti untuk rawatan di unit kecemasan sebelum dipindahkan ke wad psikiatri kerana mengalami gangguan jiwa yang parah.
Pihak pengurusan kampus (STAD) membuat keputusan drastik. Pokok beringin itu ditebang. Apabila mesin gergaji memakan batang utamanya, ia mengeluarkan getah pekat yang berbau aneh, manis seperti bunga namun busuk meloyakan seperti nanah. Saat batang itu tumbang, satu jeritan panjang yang amat nyaring kedengaran dari bawah tanah, memenuhi seluruh dataran.
Sejak hari itu, kelibat itu hilang. Namun, di tunggul besar yang tinggal, terpapar corak lingkaran kayu yang menyerupai wajah-wajah yang sedang menangis dalam kesakitan abadi. Cecair merah pekat terus mengalir perlahan dari tengah tunggul itu, meresap ke dalam bumi.
Sehingga hari ini, mahasiswa yang lalu di dataran itu pada malam Jumaat sering merasa seolah-olah terpijak akar-akar halus yang tiba-tiba timbul dari tanah. Dan jika mereka duduk terlalu lama di bangku batu berhampiran padang, mereka mungkin akan terdengar bisikan sayu yang datang dari bawah tanah, membisikkan nama mereka... memanggil mereka untuk mengisi kesunyian yang abadi.
TAMAT.
(C) Zaws 17 Disember 2025.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan