Rabu, Disember 31, 2025

A untuk Dewa-Dewa

Telefon di genggamanku terasa dingin, sejuknya meresap hingga ke tulang. Aku mendapat Berita melalui pesanan suara mengenai kepulangan Daddy ke negeri abadi Yang merentap tangkai jantungku. Aku ketika itu bertugas sebagai peguam bela di Bandar Melaka.

Dalam keheningan pagi yang menyesakkan itu fikiranku menerawang jauh, merentas waktu ke sebuah memori yang kusimpan kemas dalam kotak kenangan, kali pertama aku menjejakkan kaki ke rumahnya di Kampung Paya Datuk, Alor Gajah.

Gema di Paya Datuk

Aku masih ingat betapa hangatnya sambutan keluarga di sana. Rumah itu bukan sekadar bangunan separa kayu, tetapi sebuah gedung ilmu yang hidup.  Aku mengkagumi barisan terjemahan dan tafsir AlQurannya dan di meja makan itu kami berkumpul sebagai sebuah keluarga besar. Bau asam pedas Melaka yang menyengat selera, kuih serimuka serta lempeng kelapa yang aku gemari, bersatu dengan tawa ria yang memecah kesunyian kampung.

Malam itu, majlis doa selamat diadakan. Kebetulan juga bersempena dengan tarikh ulangtahunju, alunan zikir memenuhi setiap sudut ruang, seolah-olah memberkati setiap butir bicara Daddy. Waktu itu, Daddy Yang rambutnya telah memutih adalah puncak kekuatan. Dia tersenyum melihatku menghadap manuskrip tesisnya universitinya yang tebal dan rumit. “Boleh mi menafsirkan makna di sebalik tulisan lama ini?” bisiknya.

Aku menyebut nama-nama besar—Shahnon Ahmad, Arena Wati, Keris Mas, Tongkat Warrant. Daddy mengangguk. Anggukan yang berat, sebuah pengiktirafan yang kemudiannya menjadi beban amanah. “Baca,” katanya dengan nada mengarah. “Baca, membaca, membaca, membaca, dan terus membaca. Barulah kamu layak menulis...dan seterusnya menjadi penulis”.

Neny dan Api Semangat

Pengalaman itu sering kuceritakan kepada arwah isteriku, Neny. Aku masih ingat riak wajahnya yang terdiam, seakan terpukau mengagumi sosok tua yang mustahil dapat ditemuinya itu. "Susah nak cari orang macam Daddy sekarang," bisik Neny perlahan.

Neny adalah saksi kepada kerinduan dan kekagumanku pada Daddy. Dialah yang menjadi api membakar semangat dalam perjuanganku.

"Kejarlah cita-cita mi untuk jadi penulis," pesannya berkali-kali. Atas dorongan kuat daripadanya juga, aku akhirnya melangkah kaki mengambil pengajian bersijil Terjemahan di ITBN sehingga tamat. Dia mahu aku merealisasikan firasat Daddy terhadapku -  ketajaman mata hati, adalah syarat utama untuk menulis.

Hole-in-One dan Sindiran Pedas

Fikiranku terus menerawang kepada majikan pertama ku, seorang peguam korporat Melayu yang unik, Encik Kadir. Beliau seorang yang sangat percaya kepada kekuatan minda dan imaginasi. Encik Kadir begitu taksub dengan golf.

Kadangkala, walaupun dia berada di dalam pejabat di hadapan staf, mindanya seolah-olah sudah berada di padang golf hijau yang luas. Dia akan merapatkan kakinya, menggenggam 'kayu golf' imaginasi, dan membuat hayunan tangan yang sempurna. Selepas pukulan dibuat, dia akan meletakkan tangan di dahi, seolah-olah memberikan tabik sambil matanya mengekori arah ke mana bola imaginasi yang dipukulnya pergi. Kami serta para staf firma itu, terpaksa menahan tawa melihat gelagat itu, namun kami hormat, kerana lelaki inilah yang pernah mencatatkan rekod hole-in-one yang sebenar! Semuanya bermula dengan imaginasi.

Namun, Encik Kadir juga seorang guru yang tegas. Pernah sekali, aku tidak bersedia untuk menghadiri mesyuarat penstrukturan semula sebuah bank komersial. Aku gagal membaca kesemua laporan kewangan dan sejarah bank tertua di Malaysia itu. Di hadapan staf bawahanku, Encik Kadir berdiri dan menyanyi:

"Baca - baca olehmu... Membaca buku menimba ilmu... Maju - majulah BANGSAku - Mari membaca!"

Lagu itu adalah sindiran yang paling pedas. Ia merobek egoku, menyedarkan aku bahawa tanpa membaca, aku hanyalah seorang pahlawan tanpa senjata.

Sisa-Sisa Pejuang di USJ

Momen itu membawa aku kembali kepada pertemuan terakhir dengan Daddy di Restoran Endang, USJ. Daddy yang dahulunya boleh berdiri tegap di Kg Paya Datuk, kini hanyalah sisa-sisa pejuang yang dimamah usia. Dia yang masih gigih menjadi guru tuisyen, kelihatan sangat uzur.

Aku melihatnya berjalan dengan langkah yang tersekat-sekat. Matanya yang dahulunya tajam menembus naskhah buku dan makalah kini kabur dan berkabut. Dia melihatku dalam samar, namun senyuman 'seribu pertanyaan' itu tetap ada. Dia tidak mengeluh tentang sakitnya, kerana bagi Daddy, kata-kata terlalu suci untuk digunakan bagi merintih derita peribadi.

Skema Para Dewa

Kini, kerusi didalam mindaku kosong. Daddy telah pergi, Neny juga telah tiada, dan zaman menjadi peguam korporat dibawah bimbing Encik Kadir telah lama berlalu. Aku hanya ditemani wasiat 'skema penilaian' Daddy: 

“A untuk dewa-dewa. 

B untuk saya. 

C… layaknya milik kalian semua.”

Beberapa lama masa berlalu....akhirnya aku dapat mengeti erti skema permarkahan yang disampaikan oleh Daddy:

'A' adalah kesempurnaan milik Yang Maha Kuasa. Tiada cacat cela.

'B' adalah untuk manusia yang berusaha seperti dirinya. 

Manakala 'C' adalah ruang untuk generasi anak muda yang masih belajar.

Monolog di Hujung Malam

Aku duduk di depan skrin komputer. Beban yang kurasakan kini terasa berganda. Bukan sekadar menyambung perjuangan Daddy, tetapi juga menunaikan janji kepada Neny dan membuktikan bahawa sindiran Encik Kadir telah membentuk aku menjadi manusia yang berilmu adalah tersasar.

Bagaimana untuk menulis dalam dunia yang pantas ini, Daddy?

Dalam kesunyian malam, aku mula membaca semula. Membaca nukilan Dan catatan lama, membaca naskhah terjemahanku, dan membaca kisah dan sejarah dunia. Aku teringat, Daddy  tidak pernah meminta aku menulis seperti seorang dewa, dengan penuh kesempurnaan. Dia hanya berpesan agar aku tetap bersedia. Dia meminta aku terus membaca tanpa henti. Kerana andai kata membaca itu adalah akar, maka menulis hanyalah dahan yang tumbuh daripadanya.

Aku masih berusaha untuk layak mendapat ‘B’ seperti apa yang Daddy sarankan. Tetapi hari ini, dengan ijazah undang-undang serta sijil terjemahan di tangan, perbagai ilmu mengenai sistem kewangan dan teknologi terkini, semangat Neny di jiwa, dan bayangan hayunan golf Encik Kadir di minda, aku tetap merasakan diriku tetap kerdil..sekadar ‘C’ yang setia kepada perintah: Baca. Doakanlah agar aku berjaya serta dimudahkan segala urusan!

Aku menulis, kerana aku ada. Dengan menulis, aku berbakti.

Tiada ulasan: