Selasa, Jun 28, 2022

Surah Al-Insan dan persoalan Pilihan

Sewaktu  kecil dulu (era 80an) penulis bersama ahli keluarga menziarahi dan menyaksikan pengakhiran kehidupan moyang perempuan penulis di Kg Teluk Penadah, Perak dan menghadiri upacara pengkebumiannya. Ketika itu sebelum balik ke kampung, penulis diberitahu, bahawa moyang boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa arab, iyelah masa tu penulis baru masuk sekolah agama rendah, dok faham apa, cuma hafal buta.

Penulis meyaksikan sendiri persediaan untuk mengkebumian, upacara mengkafan & penyediaan liang lahat. Selepas jenazah diturunkan dan kubur ditambun tanah, ahli keluarga dan orang kampung bersama-sama duduk membacakan tahlil, mendengar nasihat mengenai siksa dan juga nikmat di alam barzakh yang lama selepas itu penulis fahami sebagai talkin dan tazkirah. Talkin dan tazkirah adalah pengajaran dan bimbingan kepada manusia yang masih hidup untuk memilih menjadi manusia berguna dan beriman. Si mati masih boleh mendengar talkin namun kebolehupayaan si mati untuk mmenurut tuntunan dan nasihat yang terkandung bergantung kepada amalannya sendiri semasa hidup didunia. Yang paling menarik sekali adalah amalan membaca surah Al-Insan.

Surah Al-Insan istimewa. Ianya menjadi amalan hiasan si masjid-masjid dan surau setiap subuh jumaat. Rakaat pertama, sang imam akan membaca surah Sajadah dan akan melaksanakan sujud tilawah sementara rakaat kedua diisi dengan surah Al-Insan ini. Surah ini menceritakan tentang manusia yang diberikan kebebasan pilihan, pilihan yang baik membawa kepada kenikmatan, pilihan yang buruk membawa implikasi siksaan.

Pada permulaan asalnya, manusia  diingatkan bahawa suatu ketika dahulu dia tidak wujud.

Permulaan kehidupannya bermula dengan penciptaannya dengan gabungan air mani dan ovum, yang mana ibunya sendiri pun tidak menyedari bahawa dia telah dikandung dan tiada sesiapa yang dapat melihat sel mikroskopik kehidupan awal manusia tersebut, mampu atau berupaya mengatakan bahawa kelak dia akan menjadi seorang lelaki, yang di masa akan datang akan menjadi makhluk terbaik yang hidup di muka bumi.

Manusia juga diberikan amaran - Bermulalah ciptaan kamu dengan cara ini, Kami telah membangunkan dan membentuk kamu menjadi apa yang kamu ada pada hari ini untuk menguji dan mencuba kamu di dunia. Itulah sebabnya, tidak seperti makhluk lain, kamu diciptakan agar cerdas dan berakal dan diberikan PILIHAN untuk bersyukur atau ingkar. Sama ada anda menjadi hamba beriman yang bersyukur setelah diuji atau hamba yang ingkar, tidak beriman serta celaka pengakhirannya adalah atas pilihan anda sendiri.

PILIHAN di tangan anda. Oleh itu, pastikan pilihan anda tepat.

Sekiranya anda masih lalai, segeralah berubah. Berusahalah menjadi lebih baik. Baik di segi akhlak dan juga dari segi akademik.

 Tak mampu A atau B……. C pun dah ok. Asal jangan gagal.

Tak usahlah mempertahankan, menafikan perbuatan buruk anda. Yang menyokong anda, juga diadili serta akan mengalami nasib yang sama.

Sedarlah, orang tua anda tidak akan hidup selama-lamanya menasihati dan membimbing anda.

 

Rabu, Jun 15, 2022

Stiker Kenderaan OKU

Pelekat kenderaan OKU Negeri Selangor

Yg diperlukan:

Salinan Kad Pengenalan, Kad pengesahan rasmi OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diri sendiri atau anak di bawah tanggungan dan Lesen memandu.

Salinan geran kenderaan kegunaan OKU yang hendak didaftarkan.

1 keping gambar berukuran passport pemandu kenderaan OKU.

Borang permohonan yang telah sempurna di isi dan ditandatangani

Pelekat OKU mempunyai tempoh sah laku selama 2 tahun. Borang permohonan boleh diambil di Jabatan Kebajikan berdekatan. Penulis ambil di Seksyen 15 Shah Alam beberapa bulan yang lalu, penulis tertangguh dan tidak dapat membuat permohonan akibat masalah kesihatan. Ianya diproses secara berpusat di Bangunan MPSA Shah Alam (Tingkat 15, Bahagian Komuniti Masyarakat). Proses mendapatkan pelekat adalah sangat cepat dan mengambil masa tak sampai 5 minit.

Setiap 2 tahun design pelekat akan berbeza - ikut peredaran fesyen gamaknya.

Ada hari tu penulis memakir kenderaan di pakir OKU hospital Selayang untukk menghadiri pengesahan Dr panel SOCSO kerana ketiadaan pakir, tak tahu kenderaan perlu didaftarkan dahulu - sudahnya kena saman juga RM10.00!

Maksimum jumlah pelekat yang boleh dipohon adalah untuk dua (2) buah kenderaan. 

Penulis juga telah mendaftarkan sebuah kenderaan dengan JPJ untuk mendapatkan insentif pelepasan cukai jalan. Jadi cukai jalan tahunan kenderaan yang kena bayar cuma RM2.00 setahun hanya untuk kos membuat LKM. 

Lepas ni takdelah bimbang kereta kena saman lagi.

Terima kasih kepada Kerajaan yang prihatin dan menyediakan kemudahan kepada warga OKU.

AKU OKU.


Isnin, November 01, 2021

Memories

 Tengah kemas office, dah tak lama lagi nak bersara pilihan dan menamatlah khidmat dengan SIRIM Berhad, terjumpa pula nota ini dari seseorang akak yg dah lama takde ....selama ini tak perasan email ini, baru buka dan baca setelah beberapa tahun lamanya tersimpan...sangat terharu. Betul atau tidak, wallahuaklam.. Terima kasih kakakku. Budi baik dan nasihat kakak, saya akan kenang seumur hidup saya yang tersisa ini. 

ya kak, saya akan pilih untuk jadi baik, walaupun org perlakukan kita dengan tak baik.

En Helmi,

 You are a generous and moral (not to confuse with moralizing) person. You always work on self-improvement. You are very ambitious and have very high standards. People might think that communicating with you is difficult, but for you, it isn't easy to be who you are. You work very hard but you are not in the least selfish. You work because you want to improve the world. You have a great capacity to love people until they hurt you. But even after they do. . . you keep loving. Very few people can appreciate everything you do as well as you deserve.

Khamis, Mac 11, 2021

Ya Qawwi

Rasa inferior, tak berguna, tak dipedulikan, ya itulah aku sedari dahulu lagi.

Tenangkan hati, sedar diri. Jernihkan fikiran. Terus maju ke hadapan.

Diri ini lemah, diri ini sakit, maka pilihlah diam, agar terus tenteram.

Allahumma Ya Qawwiyu, atakawaitu bi Quwwatik, Ya Qawwiyu.



Khamis, November 14, 2019

Sempena mengenang pemergian ibumu


Untuk anak-anakku -
Jamilah, Husna, Sakinah dan AlMuqarrabin

Pucuk pauh delima batu
Batu Sembilan di tapaklah tangan
Bonda mu pulang ke negeri satu
Kekal di hati sepanjanglah zaman

Mendayung kolek menuju muara
Jala di sentap robek jaringnya
Rindu padamu, tidak terhingga
Pertemukanlah kami didalam syurga

Anak-anakku ayah berpesan
Hidup didunia senantiasalah berikhsan
Semoga meraih keampunan Tuhan
Solat lima waktu, janganlah di tinggalkan

Naik mendaki gunung nan curam
Tampak indah seluruhlah alam
Hafazlah AlQuran sehinggalah khatam
Agar menerangi hati yang kelam.

Beradab jujur sikap yang mulia
Amanah pula tanggungan semua
Tuntutlah ilmu dimanapun jua
Semoga berjaya akhirat dan dunia .

Zaws 13 Nov 2019

Rabu, Julai 31, 2019

Kepentingan Rancangan Perniagaan

Selalunya, klien akan minta lawyer sediakan perjanjian. Bak mai template agreement, and we will take it from there. Macam tu aje depa dump their work to us. Itu kata dema… iyelah, kononnya the client is always right. Wrong! Pada pandangan penulis, perangai meminta template agreement inilah antara punca kerugian yang di alami selama ini. Takde plan. Nak mampuslah tu… pergi company trip meeting sana sini, dapat jalan; makan best-best tapi proposal atau plan perniagaan tak pula disediakan. A perfect recipe for disaster. Untuk syarikat korporat pula inilah antara soalan yang utama yang akan ditanya oleh Lembaga Pengarah Syarikat di samping juga dengan sama ada dah buat market study dan due diligence pada pihak yang akan berkerjasama dengan kita… 

Meh sini penulis khabarkan kebaikan diadakan pelan perniagaan… 

Rancangan perniagaan membolehkan usahawan menganalisis semua aspek perniagaan dan menyediakan strategi yang berkesan untuk menangani ketidakpastian yang mungkin berlaku.

1. Usahawan berpeluang menilai projek yang dirancang dengan teliti

Sebarang kesilapan ketika menguruskan perniagaan dapat dikurangkan kerana rancangan perniagaan yang disediakan dijadikan sebagai garis panduan dalam hala tuju pengurusan perniagaan. 

2. Menjangka risiko dan masalah yang timbul semasa melaksanakan projek perniagaan

Risiko dan masalah yang bakal timbul dalam perniagaan seperti kekurangan modal dan pemilihan lokasi yang tidak strategik dapat dikurangkan. Semasa menyediakan rancangan perniagaan, usahawan dapat meramal risiko dan masalah serta berusaha menangani risiko dan masalah tersebut dalam dunia perniagaan sebenar. 

3. Merancang keperluan sumber perniagaan

Keperluan sumber perniagaan adalah seperti sumber manusia, sumber fizikal dan sumber pembiayaan. Perancangan yang teliti dalam merancang dan mengagihkan keperluan sumber perniagaan dapat membantu perniagaan beroperasi dengan lebih sistematik dan lebih jelas.

4. Memberi gambaran sama ada projek yang dirancang berdaya maju atau tidak 

Gambaran bahawa projek yang dijalankan berpotensi berdaya maju dapat membantu menyakinkan pihak seperti pelabur, bank dan pihak berkepentingan untuk pelaburan atau pembiayaan. 

5. Meyakinkan pihak pelabur atau bank dengan lebih berkesan.

Kemampuan perniagaan untuk menjelaskan segala hutang perniagaan dapat ditunjukkan dengan melihat kos yang terlibat dan kadar keuntungan yang diperoleh. Tanggapan positif pihak pelabur terhadap prestasi perniagaan dapat membantu perniagaan untuk memperoleh sumber kewangan yang diperlukan.

Rabu, Julai 17, 2019

Itik Gembo-gembo

Lama tak dengar lagu Abg Lan Buaya, my old senior MH. Minggu lepas masa Reunion PERAMAH (Persatuan Alumni Maahad Hamidiah) terjumpa Abg Lan tengan sibuk berkemas nak balik ... MC khas untuk majlis tersebut. Penulis menjemput Abg Lan Buaya untuk jadi icon hospital buat kerja social, hiburkan pesakit... tak sangka pulak kata idea tu sangan bagus yang di sendiri tak terfikir... dia ingat nak ke Palestine... tapi idea ni lagi baik...

Orang bertanya kenapa ko panggil dia Lan Buaya? Dia kan Lan kumpulan A to Z (rasanya mamat yang marah aku ni big fan dia kot). Sebenarnya Abg Lan sedari dulu memang tinggal di Sg Buaya, Rawang. So di kalangan gang sekolah kita panggil dia Lan Buaya sampai la ni... Libassss!!

Kumpulan AtoZ banyak memperkenalkan elemen lagi rakyat dan nasihat. Below is my interpretation of one of their songs - Itek Gembo Gembo

Itik gembo-gembo - Aye kedek-kedek
Bilo tembo - Jalan seiringe
Muka come lote - Peel biar molek

(rupa Allah dah jadikan elok dan sebaik-baik kejadian, Bersyukurlah, maka perangai perlu reflect rupa yg Allah dah bagi)

Anak muda masa kini
Tak menyedari segalanya
Apa jua yang dikatakan
Tak difikirnya kan binasa
Hingga ada yang terlupa
Siapa dirinya ooo

(Jadi siapalah engkau (dan aku juga) Kita semua hamba ALLAH. Janganlah melampaui batas... sedarlah diri tu sikit!)

Jangan pula kau sengaja
Tak Memahami - Oh berpura
Apa jua yang kau rasa -Telah kuduga
Oh semua
Hingga ada yang terlupa
Siapa dirinya ooo

Rabu, Julai 10, 2019

Sistem Operasi dan Perisian OpenSource

Zaman penulis mula membuka firma guaman secara perkongsian dengan seorang rakan, lebih 20 tahun yang lalu, kami kekurangan modal untuk membeli lesen perisian yang sah. Maklumlah – firma guaman perlulah dihormati. Perlu mematuhi undang-undang komersial dan menggunakan perisian yang asli/tulen. Tambahan pula penulis meminati bidang teknologi maklumat serta teknologi yang secara amnya memudahkan urusan kehidupan harian kita. Kena pula kami diberi kepercayaan nego beberapa perjanjian pembangunan perisian/sistem untuk sebuah GLC. Pengalaman berharga itu antara lain menjadi kunci penulis dapat menjawat tugas diorganisasi sekarang ini.

Mujur sahaja sistem operasi komputer diperolehi dengan percuma bila firma kami membeli pc. Yang perlu dicari adalah adalah perisian applikasi seperti wordprocessor dan spreadsheet yang amat memudahkan pengiraan. Kita ni orang yang jual “kata-kata” (untuk menyediakan perjanjian) bukan orang nombor!

Sejak zaman universiti lagi penulis suka mengujicuba software – yang dapat secara free. Kebanyakannya adalah trial software – boleh guna untuk tempoh yang singkat dan selepas beberapa jangkamasa, software tu expire – dah takleh gunakan lagi… klik la banyak kali pun dia tak nak start (memang direkacipta macam tu oleh programmer) untuk mendapatkan maklumbalas mengenai software tu. Ada juga software macam tu yang boleh “ditipu” dengan membelakangkan tarikh sistem “date and time”, tapi bila sambung ke internet, dah sangkut balik sebab sesetengah operating system memerlukan tarikh yang ada di seragam, else email takleh download!

Jadi way back in 1993 penulis dah pernah dengar nama Linus Tovalds (betul ke ejaan ni?) mamat yang merekacipta sistem operasi Linux yang berasaskan kepada UNIX. Berkawan dengan orang IT punya pasal penulis merelakan pc IBM Clone 386 DX milik penulis dijadikan experimen – dia pi install UNIX, X-WINDOWS, GEOS dan macam-macam software lain yang legend masa tu yang biasanya digunakan kat server. So dari situ penulis berkenalan dengan sejenis perisian yang depa panggil “OpenSource” dan “Freeware”. Sebagai bakal pengamal undang-undang kenalah baca lesen OpenSource ni… yang mengejutkan penulis masa tu sebab didapati takde sebarang warranti/jaminan langsung yang diberikan.. use as-is aje. Kalau suka, puas hati pakailah, kalau jahanam nasib komelah… maklumlah, software free, so berbeza pendekatan dari consumer law yang akan selalunya memihak kepada hak pengguna. Maka oleh sebab pada zaman tu benda ni masih baru, ramai orang takut-takut menggunakannya. Maka syarikat perisian komersial gergasi seperti Microsoft, Adobe, WordPerfect dll. berdiri megah dengan mengaut keuntungan besar.

Kemudian timbul kisah Microsoft menguatkan monopoli penguasaan dalam bidang OS dan Perisian serta web browser secara taktik kotor… (panjang kalau nak cerita kat sini). Depa bergaduh naik turun mahkamah lawan Netscape (yang business model mereka buat browser), corner the market sampai Netscape lingkup… so tak puas hati punya pasal depa “sedekahkan” or pada hemat penulis “mewaqafkan” kod sumber Netscape jadi Mozilla Foundation… yang beroperasi secara opensorce. So macam mana Microsoft nak lawan benda yang dibagi free ni? Depa kutuk tak berkualiti, tak selamat dan macam-macam isu… itulah serba sedikit or sebanyak...hahaha..

Dalam riuh rendah tu lahirlah syarikat SunMicroSystem yang mengeluarkan StarOffice (kemudian menjadi OpenOffice, then Apache OpenOffice (pecah tah berapa banyak kali) dan jadi perpecahan bermacam versi. So ikut suka hati komelah nak download OpenOffice versi yang mana, nak guna Apache Open Office ke atau nak guna LibreOffice… yang penting penggunaannya adalah percuma. Zaman dulu StarOffice punyalah crude rupanya. Sekarang LibreOffice/Apache Openoffice dah cantik dan mesra pengguna.

Dia macam ni ya…

Operating System ada yang proprietary contohnya Microsoft Windows, OS2 (IBM punya), Apple.

Ada opensource application ditulis untuk digunapakai untuk OS proprietary. Tak semestinya pc tu pakai OS Microsoft Windows 10 wajib juga guna Microsoft Office. Kalau nak, boleh juga guna OpenOffice/LibreOffice for Windows.

Beza? Tak banyak beza dari segi penggunaan. Mungkin formatting lari sikit je. Yang pasti opensource takde codebloat (fitur yang ditambah yang sebenarnya tidak diperlukan atau tidak selalu digunakan oleh pengguna). Makin lama codebloat tu makin besar sebab dari semasa ke semasa akan ada patch updates untuk membetulkan bug dalam perisian dan lama-alam makin berat dan makin slow pc kita dibuatnya - memaksa kita upgrade perkakasan pc baru. Keluar duit lagi...

Untuk perisian pejabat – bermacam jenis ada…ada untuk microsoft, linux, MacOS, Android.. kome baca dan boleh explore sendiri ya. Untuk pengguna OS Microsoft yang mahu mencuba sesuatu yang baru, penulis mencadangkan cuba Install Office applications free dan guna dalam OS Windows dulu… get the feel first ya.. kalau suka baru explore OS baru (dan probably asing).

Daun Kerabu - si daun serai,
Kalau nak tahu, cubalah try!




Tergelak penulis bila kawan-kawan dalam meeting kata apasal notebook awak ni berdesup walaupun model lama… sesungguhnya notebook ini sebenarnya adalah notebook yang arwah isteriku belikan untuk anak-anak kami, dia yang pilihkan, penulis hanya bayarkan aje, pre-owned lagi. Masa arwah sakit, notebook ni terhentak jatuh dan hard disknya rosak takleh nak boot, dah ganti hard disk tapi takleh nak install kembali OS Microsoft asal walaupun ada no lesen yang tulen sebab OEM milik Lenovo, kena call Lenovo. Tapi malang - Lenovo tak mahu layan. After about 4 years, penulis terjumpa kembali notebook ini, unloved dan berhabuk, gantikan wayar charger yang rosak dan baru ada masa nak install OS Linux (dan segala perisian pejabat yang percuma). Works like a charm since last week.

Ya Allah, seandainya celoteh dalam entry blog kali ini memberi sebarang manfaat dan kebaikan, bersaksilah kalian para pembaca bahawa hamba Allah ini mewaqafkan segala kebaikan ilmu dan pahalanya kepada arwah ibuku Zaharah ibnatul Jamilah dan arwah isteriku Neny Endriani ibnatul Suharti. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat kepada keduanya. Aamin.

Sabtu, Mei 11, 2019

Peluang bersedekah Iftar Ramadan

Assalamualaikum pengunjung blog semua.

Dalam salah satu buku yang penulis kaji ada dinyatakan kata-kata yang dinisbatkan kepada Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani:

"Aku telah meneliti semua amal saleh dan tidak ada yang mengatasi kelebihan amal memberi makan"
(Kitab Sirrul Asrar Bab pengenalan laman xxv)

Link keutamaan bersedah makanan dan minuman

Saya dapat email ini dari seorang kenalan yang bertugas di salah sebuah restoran di Wisma Central, KL yang memberi peluang untuk kita bersedekah menaja iftar untuk rumah anak yatim, orang tua dan OKU sekitar lembah kelang. Nama restoran tu:

Le Cafe Malaya,
3.01D 2nd floor,
Wisma Central, Jalan Ampang
50450 KL

(Penulis dulu pernah mempunyai firma guaman di Wisma Central, 19 tahun yang lalu... oh lamanya masa dan berlalu)
Sila rujuk kepada gambar yang dilampirkan. Bagi sesiapa yang berhasrat menaja program bersedekah iftar sempena Ramadan ini (RM5 per pax + drink) bolehlah berbuat demikian dengan bank in kepada:

Maybank 564052530771
LA FIGURA TRADE
011 5975 2799 (Nik Ainul)

"Saya sertakan lagi gambar kami hantar makanan ke lokasi sepanjang minggu ini, hari pertama di rumah tahfiz, bangi. hari kedua, di masjid klcc dimana imam besar memang memerlukan 2k pek setiap hari untuk juadah berbuka tapi kami mampu menyediakan 100+ atas kekangan bajet. hari ketiga pula di semenyih, dan hari keempat di masjid klcc. manakala hari kelima kami akan hantar di rumah orang tua di titiwangsa. kami fikirkan nak buat 3 hari je tapi ramai yang join itu yang drag sampai ke harini, setakat ni insyaallah.

Saya dah bincang dgn bos saya, bos saya tak sempat nak siapkan plan sebab hari hari ada orang nak sedekah, jadi dalam gambar ni, adalah makanan yang kiteorg siapkan dalam minggu ni, untuk minggu depan pun macam ni cuma lauk yang berbeza beza setiap hari, kiteorang pack dan terus hantar ke lokasi. kiteorang memang cari rumah tahfiz/anak yatim/rumah orang tua/oku kat sekitar kuala lumpur yang sangat daif utk kiteorg sedekahkan, jadi kalau pakcik nak, pakcik boleh suggest kan sekali dkt kiteorg kalau pakcik tahu kt mana mana rumah anak yatim/tahfiz/orang tua/oku tu di sekitar ampang atau mana mana ye ☺️basically kiteorang akan pack 100 atau lebih, tengok kepada bilangan orang di tempat yang kita nak derma. setiap hari kiteorg akan post gambar and video sebagai bukti penghantaran utk pemberi sedekah. saya harap pakcik dan kawan kawan pakcik berminat 🙆🏻 semoga pakcik dimurahkan rezeki pakcik, terima kasih.