Langit senja di Pantai Irama mula menyadur warna tembaga bercampur lembayung petang. Puputan bayu Laut China Selatan membawa bau hamis masin yang akrab, mengusik lembut pelepah nyiur yang lembut melentur dan hujung telekung Aishah yang sedang melabuh punggung di benteng konkrit itu sementara dia menunggu azan maghrib dilaungkan oleh muazin surau berdekatan.
Nama Bachok bukan sekadar titik pada peta buat dirinya; ia adalah teras kehidupannya. Setelah lima tahun bergelumang dengan degup kota raya dan menjejak langkah di negara asing, Aishah pulang ke tanah air, membawa sekeping hati yang sarat dengan persoalan tentang haluan diri.
Di hadapannya, buih-buih putih pecah di bibir pantai, seakan-akan berbisik tentang rahsia lama. Ingatannya menerawang ke zaman kanak-kanak. Dahulu, di sinilah dia menjadi bayang-bayang ayahnya. Ke mana ayahnya pergi, dia akan ikut menemani.
"Aishah, pakat mari tulong Ayah sikit. Jange duk tengok jah, berasa nyo berat ni!" laung Ayah di celah deruan angin dan bunyi ombak.
Aishah berlari anak ke gigi air, kakinya tenggelam dalam pasir yang basah. Dia memegang hujung tali pukat yang kasar, cuba menarik dengan kudrat kecilnya.
"Ayah, bakpo kito keno tarik pukat ni gak? Penat la Aishah," rungutnya sambil mengelap peluh dengan lengan bajunya.
Ayah tertawa kecil, tangannya yang sasa dan hitam legam dek panas mentari terus menarik pukat dengan rentak yang tenang.
"Sabar la mek wey. Laut ni luas, tapi dio takkan beri hasil kalau kito tak sabar. Keno pandai baco arus. Kalau pukat kito hanyut ko lain, kito keno tarik ikut caro dio."
"Kalau air deras lagu ni, tak hile ko ikan kito, Yah?" tanya Aishah lagi, matanya bulat memerhati gelora air.
"Sapa kata hile? Air tu sentiaso cari jalan nok sapa ko pantai. Biar ko dio nok mari ikut mano pun, hujung-hujung sapa jugok. Saing la denga arus, jange lawan denga nafsu. Barulah perut kito kenyang, hati kito pun teney," ujar Ayah sambil tersenyum, menampakkan barisan gigi yang jarang. Hasil tangkapan hari itu mencukupi untuk menyara keluarga kecil mereka. Ada masanya hasil tidak mencukupi dek keadaan laut bergelora bila tengkujuh menjelma.
Kenangan itu membawa Aishah ke satu detik penting, saat dia menggenggam slip keputusan SPMnya yang cemerlang. Dia masih ingat riak bangga pada wajah Ayah walaupun lelaki itu hanya berseluar katok dan berbaju pagoda yang lencun dek peluh.
"Ayah... Aishah bulah pegi oversea. Pegi jauh, Yah," bisiknya waktu itu.
Ayah menepuk bahunya lembut. "Pegi la mek. Cari ilmu sapa ko hujung dunio pun takpo. Tapi jange lupo, bakpo jauh pun pkito gi, kito keno tahu 'peta' kito sendiri. Jange pakat ikut jah telunjuk ore, keno ado pendirian. Ingat pesan Ayah, air laut tu cari jalan sapa ko pantai ikut caro dio sendiri."
Kini, di bangku simen yang sama, Aishah menyedari kebenaran kata-kata itu. Di luar negara, dia terlalu sibuk mengikut peta orang lain, peta tuntutan kerjaya dan piawaian kejayaan korporat yang kaku. Roadmap dan framework perniagaan. Dia merasa penat bukan kerana kehilangan arah, tetapi kerana dia lupa cara untuk "bersaing dengan arus" jiwanya sendiri.
Seekor anak ketam merangkak di atas pasir, meninggalkan jejak berliku sebelum hilang di celah akar pokok rhu. Jejak itu tidak lurus, namun ianya tepat bagi sang ketam.
Aishah bangkit dan membetulkan telekungnya. Hatinya yang dahulu ibarat perahu tersangkut di beting pasir, kini mula berlayar mengikut arus nurani. Dia tidak lagi memerlukan peta yang penuh bersimpang siur. Dia adalah anak Bachok yang tahu ke mana air membawanya pulang.
Kembara yang ditentukan untukmu, itulah satu-satunya peta yang perlu kau hayati. Nikmatilah perjalanan yang memang dinanti-nantikan oleh dirimu sendiri.
Glosari Loghat:
Pakat mari: Mari bersama-sama.
Jange duk tengok jah: Jangan hanya melihat.
Berasa nyo berat: Terasa berat (imbuhan 'nyo' sebagai penegas).
Bakpo kito keno tarik: Mengapa kita kena tarik.
Mek wey: Panggilan manja untuk anak perempuan di Kelantan.
Sapa ko: Sampai ke.
Saing: Berkawan/selari/ikut serta.
Teney: Tenang.
(C) Ayahsakinah Januari 2026
Tiada ulasan:
Catat Ulasan