Mei 1867
Bulan purnama mengambang penuh di ufuk langit Pasir Salak, menyinari gelanggang yang dikelilingi rumpun buluh.
Tuan Harper, wakil kompeni Inggeris dari Pulau Pinang, berdiri gagah dengan pedang Sheffield-nya. Namun yang menghadapinya bukan Tok Kijang, tetapi Andak, anak murid paling tua, dengan sepasang tekpi di tangannya
Di tepi gelanggang, Tok Kijang duduk bersila, matanya tajam memerhatikan keadaan. Harper datang dengan menaiki sebuah kapal wap yang berlabuh di pekan kecil Teluk Mak Intan. Dia datang meninjau kawasan pendalaman sepanjang Sungai Perak mencari lokasi yang sesuai untuk membina logi dan gudang sementara untuk menyimpan bijih timah, sebelum dibawa pulang ke negaranya.
Bijih timah baharu dijumpai di Lukut dan kompeni Inggeris percaya terdapat banyak lagi deposit bijih yang belum diterokai.
"Hanya anak murid?" ejek Harper. "Di mana gurumu itu? Takutkah dia?" Harper yang sombong itu tidak mengenali Tok Kijang. Dia datang untuk menduga ilmu bela diri penduduk tempatan.
Andak tegang, tapi suara Tok Kijang yang tenang sampai ke telinganya. "Andak, ingatlah - dalam gelanggang, maruah kita dipertaruhkan, bukan sekadar nyawa."
Pusingan Pertama: Ujian Awal
Harper melonjak, pedang menyambar. KLINGGG! Andak menahan hentaman, tapi tangannya bergetar.
"Kukuhkan kuda-kudamu!" pimpin Tok Kijang. "Tapak kaki mencengkam bumi seperti akar pokok buluh!"
Andak mengatur semula kedudukannya, kakinya semakin rendang dan stabil.
Pusingan Kedua: Menahan Diri
Harper menikam lurus. Andak hampir tersilap langkah, tapi suara Tok Kijang membimbingnya. "Jangan melawan kekuatan dengan kekuatan, Andak! Gunakan tanduk tekpimu untuk menyendal senjata lawan!"
Andak menyilangkan tekpi, mengalihkan pedang itu dengan gerakan pantas. SWISH! Pedang itu meleset ke sisi.
"Bagus!" puji Tok Kijang. "Sampir yang berbentuk tanduk kerbau - untuk mengait dan mengalih, senjata lawan, bukan menahan serangan keras."
Pusingan Ketiga: Membaca Gerakan
Harper mula marah, pedangnya berputar liar. Andak kelihatan gugup.
"Andak, tenang!" teriak Tok Kijang. "Baca gerak kakinya! Pedang itu berat - dia akan kehabisan tenaga dan penat sendiri!"
Andak mula mengatur nafas, matanya memerhati setiap gerakan Harper. Seperti yang diramalkan, Harper mulai tercungap-cungap, menahan libasan tekpi Andak yang datang bagaikan hujan.
"Masanya tiba, Andak!" pimpin Tok Kijang. "Tekpi jantan mengunci, tekpi betina yang lebih berat menyerang dengan hentakan! Ingat pelajaran kita!"
Andak bergerak pantas. Tekpi jantan yang tirus mengait pedang, tekpi betina menekan pergelangan tangan Harper.
KRAAK! Bunyi tulang retak.
KLANGGG! Pedang Sheffield jatuh ke tanah. Harper tertirap kesakitan.
Andak mengambil pedang itu, menoleh kepada Tok Kijang untuk arahan.
"Pedang itu milik kita sekarang!" tegas Tok Kijang. "Bawa kepada Sultan sebagai bukti Inggeris boleh dikalahkan!"
Harper menjerit kesakitan, tangannya cedera dalaman, kakinya terseliuh dan terpaksa dipapah pengawalnya menaiki sampan ke arah hilir ke kapalnya untuk kembali ke Pulau Pinang.
Pengajaran
Selepas musuh pergi, malam itu Tok Kijang memanggil Andak dan anak murid yang lain. Ramai murid-murid baru datang dari kampung berdekatan untuk mempelajari ilmu bela diri setelah mendengar orang putih berbadan besar dapat dikalahkan Dan juga untuk melihat pedang berat milik pedagang eropah dengan mata kepala mereka sendiri.
"Andak, tunjukkan tekpimu kepada mereka," kata Tok Kijang.
Andak mengangkat tekpi. "Inilah bunga lawang," katanya sambil menunjukkan hulu tekpi. "Untuk menghentak titik lemah musuh. Ianya umpama tukul, bukan sekadar hiasan."
Tok Kijang menambah, "Dan telur di tengah ini - ia memudahkan putaran, membolehkan kita bertukar gengaman ketika bertarung.
Andak menunjukkan pedang Harper, "Setiap rampasan perang adalah amanat. Ianya adalah amaran kepada Inggeris - jangan mempermainkan orang Melayu. Pedang ini akan kita persembahkan kepada Sultan sebagai tanda kesetiaan kita."
Ramai mengangumi kebetanian Andak. Tekpinya hanya berukuran selengan jika dibandingkan dengan pedang panjang yang dihadapinya.
Tok Kijang bangga. "Hari ini, Andak bukan sekadar menang bertarung. Dia sudah memahami erti sebenar menjadi pendekar Melayu."
Malam itu, di bawah sinaran bulan purnama, Andak membuktikan bahawa ilmu warisan Tok Kijang akan terus hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan