Di pejabat dua puluh tingkat itu, Azlyna dari Jabatan Audit dan Kamal dari Jabatan Kewangan hanya dipisahkan oleh sebuah koridor sepanjang lima puluh meter dan satu set peraturan etika tingkah laku yang tidak tertulis. Mereka bertemu setiap minggu dalam mesyuarat, duduk bertentangan, hanya berkongsi pandangan, buah fikiran dan isi kandungan kertas kerja yang kaku.
Pukul 8.28 pagi. Isnin.
Pintu lif terbuka. Seperti yang dijadualkan oleh takdir yang tidak disengajakan, mereka melangkah masuk ke dalam lif dengan serentak.
“Selamat pagi, Cik Azlyna,” ujar Kamal sambil menekan butang tingkat dua puluh. Suaranya tenang, namun ada sedikit garau yang tertahan. Kamal sedikit terlewat pagi itu dek kesesakan jalan.
“Selamat pagi, En. Kamal,” balas Azlyna.
Dia memberikan senyuman kecil, senyuman 'standard' yang dia berikan kepada semua rakan sekerja, namun di dalam hatinya, dia tahu senyuman itu sedikit lebih satu detik daripada biasa.
Lif mula bergerak. Dalam kerangka logam yang sempit itu, kesunyian mula menjadi berat.
(Monolog Azlyna: "Kenapa aku rasa lif ini naik terlalu perlahan hari ini? Aku boleh dengar bunyi nafasnya. Harum wangian 'sandalwood' itu... masih sama seperti setahun yang lalu. Adakah dia tahu aku perasan?")
Azlyna memandang pantulan Kamal di dinding lif yang berkilat. Dia melihat Kamal meluruskan tali lehernya. Tiba-tiba, minda Azlyna melayang ke belakang, ke sebuah memori yang sering dia cuba kuburkan, namun gagal.
Enam bulan yang lalu - Hujan turun amat lebat ketika dia sampai di lobi pejabat pada pukul 8 malam. Azlyna sedang bergelut dengan payungnya yang tersangkut di pintu keluar. Kamal, yang secara kebetulan lalu berhampiran datang menghulurkan bantuan. Tanpa sengaja, jari mereka bersentuhan pada pemegang payung itu. Hanya sesaat, namun cukup untuk membuatkan Azlyna tersentak dan menarik tangannya dengan drastik sehingga fail Kamal yang dikepit di ketiaknya terjatuh ke atas lantai yang digenangi air Hujan.
Azlyna masih ingat betapa merah wajahnya ketika itu. Dia rasa sangat kerdil dan malu.
"Maaf, saya... saya tak sengaja," gagapnya sebelum bergerak sepantas lipas kudung melarikan diri ke arah tempat letak kereta, meninggalkan Kamal yang terpinga-pinga mengutip failnya yang kini sedikit basah.
Kembali ke masa sekarang.
Kamal, yang sedar Azlyna sedang memerhatikannya melalui pantulan dinding, sengaja berdehem kecil. Azlyna segera melarikan pandangan, pura-pura memeriksa kukunya. Dia rasa malu yang sama kembali menjalar ke pipi. Adakah Kamal masih ingat kejadian payung itu? Atau adakah hanya dia yang berlebih-lebihan?
(Monolog Kamal: "Dia masih tak berani pandang aku secara terus. Adakah dia masih malu pasal kejadian hujan itu? Aku cuma nak cakap yang aku dah keringkan fail dia malam itu, tapi aku takut itu akan melampaui batas profesional kami.")
Ding! Pintu terbuka di tingkat dua puluh.
Realiti pejabat menyapa dengan bunyi telefon dan mesin fotostat. Mereka melangkah keluar. Kamal ke kiri, Azlyna ke kanan. Satu anggukan ringkas sebagai tanda perpisahan.
Cinta mereka tidak hidup dalam kata-kata. Ia hidup dalam cara Kamal menyiapkan laporan kewangan dua hari lebih awal kerana tahu minggu audit Azlyna akan bermula, semata-mata mahu mengurangkan beban kerja wanita itu. Ia hidup dalam cara Azlyna memilih ayat yang paling lembut dalam laporan auditnya supaya integriti jabatan Kamal tidak tercalar.
Kadang-kadang, ketika hujan lebat di luar, Azlyna akan berdiri di sebalik pintu kaca jabatannya, memandang ke arah sayap Kewangan. Dia dapat melihat siluet Kamal yang masih tekun di meja.
(Monolog Nadia: "Kita adalah dua garisan selari. Dekat, sangat dekat... tapi tak pernah bersilang. Dan mungkin, itu lebih baik. Biarlah rasa malu dan rindu ini tersimpan dalam fail sulit yang tidak akan pernah dibuka oleh sesiapa.")
Petang itu, mereka turun lagi dalam lif yang sama. Masih senyap. Hanya bunyi penghawa dingin yang berdesir, seolah-olah saksi bisu kepada sebuah rahsia hati yang paling selamat di seluruh bangunan itu.
“Selamat petang, En. Kamal,” sapa Azlyna saat mereka sampai di lobi.
“Selamat petang, Cik Azlyna. Jumpa lagi di mesyuarat esok.”
Mereka berjalan ke arah yang berbeza. Tidak ada tolehan kembali. Di dalam kereta masing-masing, ada satu helaan nafas panjang yang dilepaskan. Sebuah senyuman nipis terukir. Ia adalah sejenis cinta yang paling bersih, cinta yang tidak memerlukan pemilikan, hanya penghormatan yang mendalam di sebalik dinding etika yang mereka berdua patuhi secara suci.
Di sebalik wajah serius mereka, tersimpan satu rahsia yang hanya diketahui oleh mereka berdua—rahsia yang bermula di sebuah resort di Janda Baik, tiga bulan yang lalu.
Pukul 8.28 pagi. Selasa.
"Selamat pagi, Cik Azlyna,” ujar Kamal sambil menekan butang tingkat dua puluh.
“Selamat pagi, En. Kamal,” ujar Azlyna.
Lif mula bergerak. Di dalam ruang sempit itu, Azlyna memandang pantulan Kamal di dinding besi. Hatinya tiba-tiba dipicu oleh satu ingatan—memori malam terakhir team building Kumpulan Operasi Syarikat tempoh hari, ketika mereka duduk di tepi unggun api, jauh daripada suasana hiruk-piruk timbunan fail dan laporan.
Suasana malam itu santai. Sesi suai kenal memaksa mereka melepaskan gelaran jawatan. Azlyna masih ingat betapa dia cuba menjauhkan diri daripada kumpulan staf lelaki, namun takdir meletakkannya duduk bersebelahan dan satu kumpulan dengan Kamal.
"En. Kamal orang utara juga ke? Bunyi macam loghat utagha," Nadia memberanikan diri bertanya.
"Saya? Ya, saya berasal dari Bandar Baharu, Kedah. Hujung negeri," jawab Kamal sambil tersenyum nipis.
Mata Azlyna membulat. "Bandar Baharu? Saya dok kat kawasan Pekan Parit Buntar. Kita... kita ni berjiran rupanya?", gumam Azlyna.
Kamal tergelak kecil, satu bunyi yang jarang sekali didengar di pejabat. "Dekat ya amat, Cik Azlyna! Seberang jambatan saja. Saya selalu ke pekan Parit Buntar cari makan. Tak sangka, rupa-rupanya orang yang selalu 'tekan' saya kaw-kaw dalam mesyuarat audit ni rupanya orang kampung sebelah!"
Azlyna merasa mukanya membahang panas. Malu. Ada satu rasa aneh yang menjalar—rasa akrab yang datang secara tiba-tiba. Rupa-rupanya, mereka membesar dengan pemandangan bendang yang sama, merasai angin dari Selat Melaka yang sama, dan mungkin pernah berselisih di pasar malam yang sama tanpa disedari.
Malam itu, mereka bercerita tentang sempadan tiga buah negeri—Kedah, Perak, dan Pulau Pinang, yang hanya dipisahkan oleh Sungai Kerian sebagai sempadan. Namun, sebaik sahaja mata mereka bertembung lama, Azlyna segera melarikan pandangan. Dia malu kerana rahsia lokasi kampungnya kini sudah terbongkar, dan lebih malu kerana dia mula menyukai cara Kamal menyebut nama tempat asalnya.
Kembali ke masa sekarang.
Lif melepasi tingkat sepuluh. Azlyna tunduk, memerhatikan hujung kasutnya.
(Monolog Azlyna: "Bandar Baharu dan Parit Buntaq. Dekat sangat. Tapi di sini, antara sayap Audit dan sayap Kewangan, kenapa rasa jaraknya macam beribu batu? Kenapa setiap kali aku nampak dia, aku rasa macam budak sekolah yang tertangkap kantoi menyimpan perasaan?")
Kamal pula berdiri tegak, namun tangannya yang memegang tablet kelihatan sedikit kaku.
(Monolog Kamal: "Tiap kali aku balik kampung, aku akan lalu depan Menara Jam. Aku tertanya-tanya yang mana satu rumah dia. Tapi di pejabat ini, aku kena pura-pura tak tahu apa-apa. Aku kena jaga tembok pemisah ini untuk dia, dan juga untuk diriku.")
Mereka masing-masing tertarik, namun darjat profesionalisme menjadi benteng yang paling kukuh. Rasa malu itu bukan kerana benci, tetapi kerana mereka tahu, sekali benteng itu runtuh, tidak ada jalan pulang lagi!
Ding! Tingkat dua puluh.
Pintu terbuka. Cahaya lampu kalimantang koridor pejabat menyambut mereka. Kamal melangkah keluar dahulu, kemudian berhenti seketika untuk menahan pintu lif untuk Azlyna.
“Terima kasih,” bisik Azlyna, cukup perlahan.
“Sama-sama,” balas Kamal, suaranya sedikit lembut daripada biasa.
Mereka berpecah. Azlyna ke kanan, Kamal ke kiri. Di koridor yang panjang itu, mereka kembali menjadi 'En. Kamal' dan 'Cik Azlyna'. Namun di dalam hati masing-masing, ada jambatan baru yang menghubungkan Bandar Baharu dan Parit Buntar - sebuah jambatan hati yang tidak akan pernah dilalui oleh sesiapa pun, kecuali dalam diam dan iringan doa.
Cinta mereka adalah cinta yang paling selamat. Ia tidak perlu diceritakan di pantry, tidak perlu diusik oleh rakan sekerja. Ia cukup sekadar tahu bahawa di seberang koridor itu, ada seseorang yang berkongsi rasa serta memahami bau tanah dan angin kampung yang hampir sama.
Petang nanti, mereka berdua mungkin akan bertemu lagi di lif yang sama, dan kitaran "malu tapi mahu" itu akan bermula lagi, tersimpan rapi di sebalik pakaian korporat yang digosok kemas dan pas kerja/kad akses syarikat yang terkalung di leher.
(C) Ayahsakinah 25 Januari 2026
Bersambung.. 😊
Tiada ulasan:
Catat Ulasan