Gelora Lautan
Laksamana Francisco de Noronha berdiri tegak di anjungan, jubah baldu gelapnya dilambai angin kencang lautan Atlantik. Tahun 1533. Kapal Galion beliau, Bom Jesus, berlayar dengan tekad yang lebih besar daripada saiznya. Di hatinya, dia mengulang iktar yang membakar semangat setiap pelayar Portugis: Deus, Ouro, e Glória - Tuhan, Emas, dan Kemuliaan.
"Kapten Duarte," panggil Francisco, berpaling kepada Kapten Duarte Coelho yang sedang memeriksa haluan. "Pastikan jongkong timah itu kekal kering. Ia bukan sekadar kargo, ia adalah bakalan peluru untuk meriam kita di India dan Melaka. Dan gading gajah di Ruang Tiga belas, adakah ia selamat?"
Duarte memberi tabik hormat. "Semua selamat, Laksamana. Lebih seratus batang gading, semuanya gred tertinggi dari Sofala. Ia akan diukir di Cochin oleh tukang-tukang mahir kita, menjadi salib, arca para santo, dan ukiran mewah untuk menghias istana Raja."
Misi Bom Jesus adalah tiga serangkai: Pertama, membawa kekayaan dan bekalan penting ke Goa dan Cochin di India, pusat Empayar Portugis di Timur. Kedua, menyertai rancangan strategik untuk menyekat perdagangan rempah dari Mesir. Ketiga, dan yang paling penting, menjadi pelapis kekuatan untuk armada yang akan mempertahankan Melaka.
"Laksamana," Duarte menyambung, nadanya menjadi serius. "Apabila kita melepasi Laut Merah... adakah kita masih meneruskan arahan untuk mengganggu laluan jemaah haji?"
Francisco merenung ufuk dilangit yang biru pekat. "Ya, Duarte. Ia adalah kehendak Raja. Kita bukan hanya berdagang, kita sedang mengisolasi orang Arab itu dari sumber kekayaan dan kerohanian mereka. Ganggu setiap kapal yang membawa jemaah haji, rampas harta mereka, sebar rasa takut. Ini adalah Guerra Santa (Perang Suci). Setiap tindakan yang menyusahkan laluan ke tanah wuci mereka adalah kemenangan bagi Kristus, dan kemenangan bagi monopoli rempah kita."
Pelayaran awal penuh dengan ketegasan dan keganasan. Mereka singgah di pesisir Timur Afrika, menguatkan armada mereka dan menguruskan penjualan gading. Sewaktu melintasi Laut Arab, Bom Jesus berjaya memintas dua buah kapal kecil yang disangka membawa pedagang Arab, tetapi sebaliknya membawa jemaah Haji. Pertempuran singkat yang kejam berlaku, dan kargo kecil serta perhiasan jemaah dirampas, sebelum kapal-kapal malang itu dibiarkan hanyut.
"Lihatlah ini, Laksamana," seorang kelasi menyerahkan bungkusan kain sutera berisi syiling perak lama. "Harta rampasan kita."
"Bagus," kata Francisco dingin. "Sediakan diri untuk ke India. Dari sana, kita akan bergerak ke Timur Jauh, ke permata yang kita idamkan, Melaka."
Selepas meninggalkan Laut Arab, nasib Bom Jesus berubah secara drastik. Kapal itu bergerak terlalu jauh ke selatan, terpisah dari laluan yang selamat. Mereka terperangkap dalam sistem angin yang tidak menentu.
"Kita tersasar jauh!" teriak ahli navigasi. "Kompas gila, Laksamana! Kita di selatan, terlalu hampir dengan Garis Khatulistiwa!"
Ombak ganas, yang tiada dalam rekod pelayaran biasa, mula membadai. Francisco sedar, mereka dihanyutkan ke kawasan yang belum dipetakan.
"Kita perlu kurangkan berat!" arah Francisco, tetapi sudah terlambat.
Layar kapal itu menjerit dibadai angin, diserang gelombang besar yang mendorongnya ke daratan. Dengan satu hempasan yang dahsyat, Bom Jesus melanggar beting pantai Namibia yang sunyi, pecah, dan mula karam.
Saat-saat akhir adalah kekacauan. Syiling emas yang dimaksudkan untuk penaklukan Melaka jatuh ke dasar, jongkong timah yang sepatutnya menjadi peluru meriam terbenam, dan gading-gading gajah yang diamanahkan untuk ukiran suci terhumban ke dalam air.
Francisco de Noronha, melihat kapalnya pecah, jatuh berlutut. Impiannya untuk mencapai India, mengukir salib dari gading, mengacau jemaah haji, dan menawan Melaka, lenyap bersama air laut.
"Glória... ," bisiknya, suaranya ditelan oleh deruan ombak. Dengan masa, angin padang pasir menolak pasir halus yan bergerak ke arah bangkai kapal, menimbusnya untuk empat setengah abad.
Tahun 2008.
Di kawasan gurun terpencil itu, Dr. Lena Schmidt menggali dengan berhati-hati. Apabila longgokan gading gajah ditemui, terpelihara dengan keadaan luar biasa, salah seorang pekerja bertanya, "Mengapa mereka membawa begitu banyak gading? Untuk apa?"
Lena tersenyum, mengelap debu dari syiling tembaga Jerman. "Mereka bukan hanya berdagang, mereka membina empayar. Gading ini untuk seni dan agama. Syiling ini untuk peperangan. Kapal ini datang membawa 'God, Gold, and Glory'. Tetapi semuanya telah hilang."
Di situ, di bawah lapisan pasir gurun yang tebal, tersembunyi jauh dari Laut Merah dan jauh dari Melaka, bersemadi sisa-sisa Bom Jesus, saksi bisu kepada kezaliman penjajah Portugis dan cita-cita yang tidak tercapai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan