****
Saya mengajar di sekolah rendah di
tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang.
Salah
seorang murid saya setiap hari datang
lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya
bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih
bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan
sikapnya yang setiap hari datang lambat.
Pada mulanya saya hanya
memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali
anggukkan yang seolah-olah dipaksa.
Kali kedua saya memberi amaran, dia
masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya.
Kali
ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau
masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan .
Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan
harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih
tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya
bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya,
saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan
tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya
nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan
gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat
hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya.
Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid
saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna
dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah. Saya kembali ke sekolah
dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata
yang mula tergenang.
"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan
memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju
tadi?"
Dia terkejut dan wajahnya berubah. "Itu abang saya. Kami kongsi
baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang
ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya
"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan
kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"
"Mak pesan, jangan
meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang.
Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu."
Sambil menahan
airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu".
Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba
membantunya setakat yang mampu.
No comments:
Post a Comment