Monday, March 22, 2010

Pesta Makanan Lazat

Alangkah bahagia dan makmurnya kehidupan di negara kita Malaysia - setiap kali musim perayaan, betapa banyaknya majlis rumah terbuka diadakan tanpa mengira tempat, dari rumah orang persendirian, dewan orang ramai, balai raya hinggakan di hotel-hotel ternama. Tak kurang juga apabila musim cuti sekolah, saban minggu juga terdapat banyak undangan majlis perkahwinan.. kadangkala jemputan undangan kenduri perkahwinan bertindan-tindan banyaknya! Juadah hidangan yang bermacam-macam jenis dan rasa dapat dinikmati bersama. Ada juga tuan rumah yang bersikap tetap menjemput makan "second round" walaupun para tetamu telah kekenyangan! Dan lebuh buruk lagi - apabila Bulan Ramadhan yang mulia diibaratkan sebagai Pesta! Ya - itulah hakikatnya.

Apakah tradisi dan budaya seperti ini baik dan elok untuk diamalkan?

Apakah tujuan kita diutuskan ke dunia ini adalah untuk makan - dalam ertikata kita hidup ini untuk makan? Atau apakah sebenarnya, kita dianjurkan makan, untuk meneruskan kehidupan agar kita dapat memberikan khidmat yang dituntut sebagai Khalifah Allah dimuka bumi ini?.

Kita ini makan untuk hidup atau kita makan untuk mengisi "tembolok naga" kita?

Adakah makan secara berlebih-lebihan merupakan nikmat atau sebenarnya satu ujian kepada kita?

Makan secara berlebihan sudah pastinya membahayakan kesihatan.

Jauh berjalan, luas juga pemandangan.. dah bermacam-macam jenis juadah makanan yang pernah penulis nikmati. Untuk menjawab soalan yang pernah ditujukan kepada penulis - mengenai makanan apa yang penulis gemari - kalau setakat Nasi Kapau (Nasi padang asli) serta berapa puluh hidang lauk pauknya, dah berapa banyak kali sapu (tak terkira banyaknya), western food, chinese food, japanese, arab, turkish... tak payah ceritalah... memang penulis sukakan variety. Janji halal aje. Tapi sedarkah kita apa yang kita amalkan ini sebenarnya tidak mencerminkan kita ini sebagai orang yang beragama Islam waima ummat Nabi Muhammad S.A.W.? Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama (termasuk diri penulis sendiri) merenung dan mengambil iktibar kisah Nabi Muhammad S.A.W yang berikut ini:

Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim, Khatib, Ibnu Asakir dan Ibnun-Najjar dari Abu Hurairah ra. dia berkata: Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW ketika dia sedang bersembahyang duduk, maka aku pun bertanya kepadanya: Ya Rasulullah! Mengapa aku melihatmu bersembahyang duduk, apakah engkau sakit? jawab beliau: Aku lapar, wahai Abu Hurairah! Mendengar jawaban beliau itu, aku terus menangis sedih melihatkan keadaan beliau itu. Beliau merasa kasihan melihat aku menangis, lalu berkata: Wahai Abu Hurairah! jangan menangis, karena beratnyapenghisaban nanti di hari kiamat tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar di dunia jika dia menjaga dirinya di kehidupan dunia.
(Kanzul Ummal 4:41)


Dengan jujur, tulus ikhlas marilah kita muhasabah diri kita sendiri:

Berapa kalikah dalam sehari kita makan?

Makanan yang kita nikmati itu, berapakah pula nilai harganya?

Amat lazat dan sedapkah rasanya?

Pernahkah kita mengundang anak yatim atau orang miskin bersama-sama menikmati sedapnya kualiti makanan yang kita nikmati itu?

Mampukah orang kebanyakan, tanpa bantuan, membeli makan yang kita nikmati tersebut?

Apakah nilai zakat fitrah yang kita keluarkan (menurut apa yang ditetapkan oleh majlis agama negeri mastautin kita) benar-benar menyamai nilai beras berkualiti tinggi yang kita nikmati selama ini?

Apakah kita sebagai anak, tatkala menikmati juadah makanan kita, pernah teringat dan bertanya-tanya, apakah makanan yang dinikmati oleh ibubapaku saat aku menikmati juadah ini?

Pernahkah didalam majlis, kita mengambil makanan beraneka jenis secara berlebihan dan tidak mampu untuk menghabiskannya - maka berlaku pembaziran!

Maka marilah kita bersama-sama merenungi Ayat Allah dalam Surah Al Maa'un:1-7:
1. Tahukah kamu orang yang mendustakan agama?
2. Itulah orang-orang yang telah mengherdik anak yatim
3. Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.
4. Maka celakalah bagi orang yang sholat.
5. Iaitu orang yang lalai dari sholatnya,
6. Orang yang telah berbuat riya.
7. Dan enggan menolong dengan barang yang berguna.

No comments: