Monday, April 14, 2025

SURAT TERBUKA SEORANG ANAK NEGERI PAHANG

Kepada yang berkenaan,
Pemimpin negeri dan pewaris kuasa, dan
kepada mereka yang bermain di atas papan catur negeri dan tanah kami,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Hamba menulis sebagai rakyat biasa anak jati Negeri Pahang - negeri yang diasaskan di atas darah, keringat dan air mata para pahlawan. Negeri yang tidak pernah tunduk kepada sebarang bentuk penjajahan, baik berbaju kot, bersongkok politik mahupun berserban palsu.

Arwah ayahanda hamba, dua kali menabur bakti kepada negeri ini di bawah pemerintahan nenda dan ayahanda AlSultan yang ada sekarang. Maka, cinta dan taat hamba kepada negeri ini bukan baharu ditanam seperti pokok durian polibag sang musang durhaka perintah raja. Ia tertanam sejak dalam buaian  dibesarkan dengan kisah Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan Tok Gajah. Tokoh-tokoh ini bukan sekadar nama dalam buku sejarah, tetapi darah yang mengalir dalam tubuh hamba hingga ke hari ini. Hamba juga membesar dan sempat melihat sendiri kasihnya Almarhum baginda Sultan Ahmadshah yang seringkali berada di barisan paling hadapan di zon bahaya, meredah air dan lumpur banjir tahap hapus kepala, demi menghulurkan bantuan kepada rakyat. Kasihnya baginda tak bersyarat, keberanian baginda bukan sandiwara. Sifat yang sama juga ada pada Sultan kita sekarang ini.

Namun, hamba kesal melihat dengan mata yang terbuka, telinga yang tajam, dan hati yang luka. Bumi Darul Makmur ini dinodai atas nama pembangunan. Hutan balak diperkosa, digondolkan, galian berharga seperti emas dirampas, maruah digadai, agama dipermain. Rumah-rumah ibadah haram dibina secara semborono, tanpa izin negeri, tanpa restu umat. Semua ini berlaku dengan izin siapa? Atas dasar apa? Dan atas kepala siapa mereka berani mencabar hukum dan susila?

Lebih hiba lagi hati ini apabila melihat video dan mendengar jeritan serta ratapan saudara Muslim dibunuh dengan kejam saban hari oleh dajal Zionis di bumi tanah wakaf umat Islam di Palestin. Tidak cukupkah tangisan itu menjadi peringatan? Jangan sampai kami bangun menajamkan keris. Kan kau ketahui — rasa syukur itu pun boleh menangis apabila sabar dihina, dan maruah diinjak. Api dalam sekam ini jangan ditiup angin derhaka.

Jangan kalian lupa seruan panglima Islam Khalid ibn AlWalid di tepi Sungai Dajilah dahulu, ketika tentera Islam yang kecil bilangannya berdiri berhadapan dengan ribuan tentera Rum yang gagah dan lengkap bersenjata. Lalu panglima Khalid berkata: “Mereka berperang untuk hidup kerana takutkan mati, sedang kita berperang kerana rindukan syahid.” Maka menanglah mereka yang hidup untuk mati — bukan yang berperang untuk hidup. Jangan nanti kami kembali membisikkan seruan itu ke telinga anak-anak kami yang kini sedang dipinggirkan, dihina, dan ditindas dalam tanah air sendiri.

Hamba tegaskan - kami tidak rela. Kami tidak merestui penjajahan dalam bentuk apa pun, tidak dari luar, tidak juga dari dalam. Tidak dari tangan asing, mahupun dari lidah-lidah pihak yang tidak kenal malu. Kami tidak akan berdiam diri melihat bumi Pahang dan juga negara kita Malaysia, dicemari pengkhianatan dan muka-muka berminyak yang berselindung di balik senyuman palsu dan koridor kuasa.

Ya, kami ini majoritinya orang kecil-kecil. Tapi kami ramai dan dalam ramainya kami ini, ada yang terpelajar, ada yang bijak pandai, ada yang tahu membaca antara garis perlembagaan dan celah undang-undang. Tiupan angin kecil jangan kalian pandang sepi, kerana ia mampu berkembang menjadi badai yang tidak tertepis. Jangan kalian fikir kami hanya mampu mengadu dan merintih di media sosial sahaja. Atau kalian yang menyalah guna kuasa mahu kami cabar, bersilat di mahkamah melalui writ mandamus dan certiorari? Jangan cuba uji had sabar kami kerana apabila amanah dikhianati, kebobrokan jelek pihak pentadbiran juga mampu kami gugat secara sah.

Kepada pemimpin yang masih punya iman dan maruah - hamba seru: bangkitlah. Hamba mohon dengan penuh kasih akan negeri ini, agar jangan dijual agama demi undi. Jangan dikorbankan tanah demi laba. Jangan kau gadai air muka rakyat demi tamak haloba. Amanah itu bukan pusaka - ia beban yang akan ditimbang di Mahsyar.

Aki Mat Kilau pernah berpesan: "Lawan musuh yang ramai macam makan bubur panas – mula dari tepi, jangan terus ke tengah." Kami tidak lupa pesanan itu. Dan kami tahu, bila tiba waktunya, kami akan bangkit - bukan dengan retorik, tapi dengan kesatuan darah dan sumpah warisan.

Hamba menulis bukan kerana benci, tetapi kerana cinta. Bukan kerana amarah semata, tetapi kerana sayang yang kian direntap. Maka sebelum langit murka dan bumi berbicara, dengarlah suara kami semua, anak Negeri Pahang, tidak akan membiarkan agamanya dihina, tanahnya digadai, dan sejarahnya dilupakan.

Yang benar,

K/P -06- Anak Negeri Pahang
Yang tidak rela tanahnya tergadai,
agamanya dicabar,
dan sejarahnya dihina.

Nota:

Jika seseorang melaporkan pembinaan haram atau kebun yang diteroka secara haram, tetapi pihak yang melapor pula dikenakan tindakan, 3 jenis writ boleh dipohon di mahkamah untuk lindungi haknya:

  1. Writ Prohibition – untuk halang pihak berkuasa daripada terus ambil tindakan salah terhadap si pelapor.

  2. Writ Certiorari – untuk membatalkan tindakan salah yang sudah dikenakan, contohnya jika pelapor sudah digantung tugas, ditukar atau dikenakan denda.

  3. Writ Mandamus – untuk paksa pihak berkuasa bertindak dengan betul, contohnya ambil tindakan terhadap binaan haram, bukan terhadap pelapor.

Pihak yang membuat laporan tidak sepatutnya jadi mangsa. Writ-writ ini jamin pelapor dilindungi, dan pihak berkuasa buat kerja ikut undang-undang.

No comments: