Friday, October 31, 2008

Kisah Utusan Nabi Muhammad S.A.W. kepada Raja Rom


Selepas umrah al-Qadha', Muhammad mula menghantar utusan kepada pemerintah-pemerintah dan raja-raja pada zaman itu bagi menyampaikan Islam kepada mereka. Muhammad juga menghantar saraya kepada suku-suku Arab bagi menyampaikan Islam kepada mereka.

Muhammad berucap kepada semua sahabat, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah mengutus aku sebagai rahmat kepada semua. Janganlah kamu mengingkari aku seperti mana Hawariyun (sahabat-sahabat Nabi Isa) mengingkari Nabi Isa. Para sahabat berkata, "Bagaimana Hawariyun mengingkari Nabi Isa, wahai pesuruh Allah?" Muhammad berkata, "Nabi Isa menyeru mereka kepada era yang sedang aku seru kepada kamu semua. Orang yang Nabi Isa hantar ke tempat yang dekat, dia rela dan taat tetapi orang yang dihantar ke tempat yang jauh dia tidak sanggup dan merasa keberatan."

Sahabat bersedia menyampaikan mesej Muhammad kepada semua pemerintah dan semua manusia di dunia ini. Mereka mencadangkan kepada Muhammad supaya membuat cop kerana pemerintah dan raja-raja pada masa itu hanya melayan surat yang mempunyai cop. Muhammad membuat cop mohor pada cincin beliau yang bertulis Muhammad Rasulullah iaitu Muhammad utusan Allah. Muhammad menghantar Dihyah al-Kalbi kepada Hercules Kaisar Rom.

Pada masa itu, pusat pemerintahan Rom adalah di Konstantinopel, yang kini dikenali sebagai Istanbul Turki. Syam dan Mesir berada di bawah pemerintahannya. Hercules berada di Syam pada masa itu, selepas beliau berjaya mengalahkan tentera Parsi dalam peperangan yang besar. Kemenangan itu disebut beberapa tahun sebelum itu oleh al-Quran. Beberapa tahun sebelum itu, Rom dikalahkan oleh Parsi dalam pertempuran yang besar. Selepas itu, mereka pula mengalahkan Parsi dalam peperangan yang besar. Hercules bernazar apabila Rom dapat mengalahkan Parsi, dia melakukan haji mengikut agamanya dengan berjalan kaki dari Kostantinopel ke Baitulmaqdis di Palestin. Dengan kemenangan itu, dia menunaikan nazarnya.

Dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, dia bermimpi kerajaannya akan jatuh di tangan satu kaum yang berkhatan (iaitu yang bersunat). Apabila tiba di Baitulmaqdis, dia bertanya kepada para ulama Nasrani, "Siapa yang berkhatan di negeri mereka?" Kata ulama mereka, "Yang kami tahu hanya Yahudi yang berkhatan." Oleh itu, Hercules berazam untuk membunuh semua Yahudi yang ada di Syam. Semasa Hercules membuat persiapan bagi menghapuskan Yahudi supaya mimpinya tidak berlaku, ada seorang Arab yang mencuri ditangkap. Mereka memeriksanya dan akhirnya menelanjangkannya. Mereka mendapati lelaki Arab ini berkhatan. Mereka memberitahu Hercules bukan sahaja Yahudi yang berkhatan, tetapi orang Arab juga berkhatan hasil daripada pemeriksaan mereka ke atas pencuri tadi.

Dengan pentadbiran Allah yang maha mengetahui, ketika itu Abu Sufyan dan peniaga-peniaga dari Mekah berada di Syam.

Hercules bertanya kepada pencuri tadi, "Siapa kamu? Adakah sesuatu berlaku di tempat kamu?"

Kata lelaki itu, "Kami daripada bangsa Arab. Ada seorang lelaki daripada kalangan kami mengaku menjadi nabi."

Hercules seorang yang mengetahui ilmu kitab Nasrani. Dia tahu pada masa itu zaman kelahiran nabi. Oleh itu, dia memerintahkan orang-orangnya membawa kepadanya kaum Muhammad. Mereka mencari-cari di Syam orang-orang daripada Quraisy dan menjumpai Abu Sufyan. Mereka membawa Abu Sufyan dan pemimpin Quraisy yang bersamanya kepada Kaisar Hercules. Hercules bertanya kepada rombongan Abu Sufyan, "Siapakah di kalangan kamu yang paling dekat nasabnya dengan Muhammad?" Kata Abu Sufyan, "Akulah yang paling dekat." Dia bertemu dengan Muhammad pada datuknya yang kelima. Hercules memerintahkan rombongan ini duduk dan Abu Sufyan duduk di hadapan mereka. Dia meminta Abu Sufyan menjawab soalan-soalannya. Kalau Abu Sufyan bercakap bohong, Hercules meminta semua rombongan yang duduk di belakangnya memberi jawapan yang benar. Kata Abu Sufyan, "Demi Allah kalau aku bercakap bohong tidak ada yang membantah aku kerana kedudukanku di kalangan mereka. Tetapi aku adalah salah seorang pemimpin Quraisy. Adalah perkara yang memalukan apabila kami berbohong. Apatah lagi di hadapan orang ramai."

Hercules mula bertanya Abu Sufyan dan berlaku perbualan antara mereka.

"Bagaimana keturunannya?"

"Dia daripada keturunan yang mulia."

"Adakah ada orang sebelumnya membuat pengakuan yang serupa?"

"Tidak ada."

"Adakah ada di kalangan datuk-datuknya raja?"

"Tidak ada."

"Adakah pembesar-pembesar yang menjadi pengikutnya atau-pun daripada kalangan rakyat jelata?"

"Bahkan pengikutnya daripada kalangan rakyat jelata."

"Adakah jumlah mereka bertambah ataupun berkurang?"

"Jumlah mereka bertambah."

"Adakah ada salah seorang daripada mereka murtad daripada agamanya kerana membenci agamanya?"

"Tidak ada."

"Adakah kamu menuduh dia menipu sebelum dia membawa apa yang dibawanya sekarang?"

"Tidak."

"Apakah dia mengkhianati perjanjian?"

"Tidak, tetapi sekarang kami sedang dalam tempoh perjanjian dengannya. Kami tidak tahu kali ini adakah dia akan mengkhianati ataupun tidak."

"Aku mencari-cari lubang bagi memburukkan Muhammad, tetapi tidak ada melainkan dengan jawapan ini."

"Adakah kamu memeranginya?"

"Kami memerangi mereka."

"Bagaimana kesudahan peperangan kamu dengannya?"

"Peperangan antara kami dengan mereka silih berganti, ada kala mereka menang ada kalanya kami menang."

"Apakah yang dia perintahkan kepada kamu?"

"Dia memerintahkan kami supaya menyembah Allah Yang Esa dan melarang kami daripada mensyirikkan Allah dengan sesuatu dan memerintahkan kami meninggalkan apa yang disembah oleh ayah dan datuk-datuk kami. Dia juga memerintahkan kami mendirikan sembahyang, berkata benar, menjauhi maksiat dan menyambungkan persaudaraan."

Semua soalan ini berdasarkan ciri-ciri nabi yang diketahui di dalam kitab mereka. Hercules membuat kesimpulan bagi soal jawab ini. Kemudian, Hercules membuat kenyataan luar biasa. Katanya, "Kalaulah benar apa yang kamu sebut tadi dia akan menguasai tempat aku berdiri ini. Dia memerintah sehingga pemerintahannya tiba ke tempat ini. Sudah ada dalam pengetahuanku seorang nabi akan keluar, tetapi aku tidak menyangka daripada kalangan kamu. Kalau aku meyakininya, aku akan berjalan kepadanya dan kalau aku sudah berada di sisinya aku akan membasuh kakinya."

Selepas sahaja Abu Sufyan keluar daripada pertemuan itu, Abu Sufyan berkata kepada rombongannya, "Demi Allah, isu Muhammad ini sudah menjadi besar sehingga Hercules pun takut kepadanya."

Kata Abu Sufyan, "Semasa itu Islam sudah mula masuk ke dalam hatiku, tetapi dia belum masuk Islam lagi. Ia sudah terkesan dengan sikap Hercules tadi.

Dihyah tiba kepada Hercules selepas pertemuan Hercules dengan Abu Sufyan dan dia menyampaikan surat daripada Muhammad kepada Hercules.

Isi surat itu adalah, "Dengan nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Daripada Muhammad utusan Allah kepada Hercules pembesar Rom, Kesejahteraan kepada orang yang mengikut petunjuk. Seterusnya aku menyeru kepada kamu dengan seruan Islam. Terimalah Islam, nescaya kamu selamat. Allah akan memberi dua kali pahala kepada kamu. Kalau kamu berpaling, kamu akan menanggung dosa para petani rakyat kamu (kebanyakan rakyat Rom adalah petani). Wahai ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kita bahawa kita tidak menyembah selain Allah dan kita tidak mensyirikkannya dengan sesuatu dan janganlah sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah. Kalau mereka berpaling, katakanlah, 'Saksikanlah kami adalah orang-orang yang tunduk kepada Islam'."

Apabila diterjemahkan perutusan ini kepada Hercules, dia berasa gementar. Lebih-lebih lagi selepas pertemuannya dengan Abu Sufyan. Dia berfikir panjang kerana semua alamat kenabian ada pada Muhammad. Akhirnya, dia datang kembali kepada Dihyah. Hercules merhinta Dihyah membawa surat itu kepada Safatir Ketua Qasaiwah, ketua paderi Kristian yang ikut serta mengiringi Kaisar Hercules menunaikan haji ke Baitulmaqdis. Apabila Safatir membaca surat itu, dia juga menjadi gementar dan mula bertanya kepada Dihyah pelbagai soalan dengan terperinci. Safatir memeluk Islam di tangan Dihyah. Kemudian, Safatir mengumpulkan semua ketua paderi yang ikut dalam rombongan itu.

Safatir membacakan kepada mereka perutusan daripada Muhammad dan menerangkan kepada mereka tanda-tanda kenabian yang ada pada Muhammad. Dia juga mendatangkan dalil-dalil daripada Injil yang membuktikan kenabian Muhammad. Selepas itu, dia berkata kepada mereka, "Aku menyeru kamu semua kepada agama Islam dan aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah."

Ketua-ketua paderi rasa takut apabila berita Safatir masuk Islam diketahui oleh orang ramai dan meninggalkan agama Kristian. Mereka membunuh Safatir.

Apabila Hercules melihat Safatir dibunuh oleh ketua-ketua paderi, dia mula bingung. Kata Hercules kepada Dihyah, "Kedudukan Safatir di sisi ketua-ketua paderi lebih mulia daripada kedudukanku. Kalau mereka tidak mendengar kata-kata Safatir, mereka juga tidak mendengar kata-kataku." Selepas itu, Hercules mengumpulkan ketua-ketua paderi dan anggota penasihat kaisar serta pembesar-pembesar Kristian di istana. Dia memerintahkan pintu ditutup dan dikawal oleh tentera. Selepas semua orang hadir, barulah Herules keluar kepada mereka dari atas anjung istana. Kaisar membacakan kepada mereka perutusan Muhammad dan menyebutkan kepada mereka alamat-alamat yang ada pada mereka di dalam Injil. Kaisar juga menerangkan dalil-dalil yang membuktikan kebenaran Muhammad. Kaisar bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Dia menyeru mereka semua masuk Islam. Semua yang hadir terkejut dan masing-masing cuba melarikan diri dari istana, tetapi semua pintu sudah dikunci dan dikawal ketat oleh tentera. Kaisar memerhatikan mereka
dari atas anjung. Mereka kembali berkumpul dan bercakap kepada kaisar. Kata mereka, "Wahai kaisar, demi Allah kami tidak akan meninggalkan agama Kristian walaupun kamu membunuh kami semua."

Kaisar terpaksa memilih sama ada mahu masuk Islam ataupun tidak. Apabila dia masuk Islam, dia kehilangan takhtanya. Kaisar memilih takhtanya. Selepas itu, kaisar datang berjumpa Dihyah. Dia memberikan hadiah dan wang-wang emas kepada Muhammad. Kaisar menyuruh Dihyah memberitahu Muhammad dia memeluk Islam, tetapi terpaksa menyembunyikan keislamannya bagi mempertahankan takhtanya. Kaisar sebenar tidak Islam dia cuma berbohong kepada Dihyah. Muhammad memerintahkan semua wang pemberian kaisar itu diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Petikan dari : Biografi Muhammad bin Abdullah, Terbitan PTS Publishing. Note : Gaya bahasa yang digunakan dalam buku sirah ini sangat menarik hati. Sangat sukar untuk berhenti membacanya. Guys, trust me, please buy a copy for yourself and family.

Other information on non-muslim converting to Islam
http://mengapaislam.wordpress.com/category/masuk-islam-kesaksian/

1 comment:

Anonymous said...

salam.kisah menarik.izin copy ye, buat rujukan. terima kasih - tilmizah