Di Balai Mengadap, suasana bertukar formal dan dingin. Sultan Alauddin Riayat Shah duduk di atas takhta kayu berukir yang tinggi, dikelilingi oleh pembesar utama: Tun Perak di sebelah kanan, dan kini Hang Tuah berdiri di sebelah kiri, masih merenung Amir dengan sisa syak wasangka.
Sultan adalah raja yang terkenal dengan kewaspadaan dan ketegasannya. Baginda lebih muda daripada yang dibayangkan Amir, sekitar 30-an, wajahnya tegas, matanya tajam tetapi redup, seperti seorang pemerintah yang sentiasa memikirkan keselamatan rakyatnya.
"Datuk Bendahara, bawakan orang asing itu ke hadapan," titah Sultan, suaranya dalam dan penuh wibawa.
Amir segera mengangkat sembah dengan keadaan kekok.
Ujian Pertama: Terjemahan Teks Ryukyu
Sultan memandang Amir dengan teliti. "Beta tidak akan menghukum tanpa bukti. Amir... jika benar kau penterjemah, maka buktikan."
Baginda memberi isyarat. Seorang petugas segera membawa sekeping surat yang meterai lilin hitamnya telah dibuka.
"Ini surat dari utusan Ryukyu. Kapal mereka berhenti memobon izin berlabuh di Jeti Empat. Sudah tiga hari kami tidak tahu apa maksud surat ini. Terjemahkan. Jika ia salah, tanggung sendiri akibatnya."
Hati Amir berdegup kencang. Bahasa Jepun lama? Dia menarik nafas panjang. Tulisan itu bercampur Kanji klasik dan huruf tempatan. Dengan fokus yang tinggi, Amir membongkok dan mula membaca perlahan-lahan:
"Duli Raja Melaka. Kerajaan Ryukyu menawarkan hubungan dagang yang erat, dan meminta perlindungan bagi kapal-kapal mereka menghala ke Lautan Benua Keling. Mereka juga meminta izin untuk mendirikan gudang simpanan sementara di luar Pekan Cina untuk simpanan barang dagangan, sementara menunggu perubahan tiupan angin musim tengkujuh"
Para pembesar yang hadir saling memandang. Kebimbangan mengenai keselamatan Melaka ternyata tidak berasas. Malah, tawaran hubungan dagang itu menguntungkan.
Laksamana Hang Tuah yang berdiri di sebelah kiri Sultan mendengus, mengakui kemampuan Amir. Hang Tuah sendiri mahir pelbagai bahasa. Temenggung yang pada awalnya bimbang mula merasa lega.
Sultan Alauddin tersenyum. "Baik. Sekarang, ujian kedua."
Ujian Kedua: Strategi Peperangan
Sultan mengambil sekeping surat lain yang dikirim dari Ayutthaya (Siam), yang isi kandungannya telah dibincangkan dan hanya diketahui oleh pembesar tertinggi.
"Negeri Siam baru-baru ini mengirim utusan. Mereka menuntut Melaka membayar ufti 'bunga mas'. Jika tidak dibayar, armada mereka akan datang menyerang. Apakah pandanganmu?"
Ini adalah soalan yang mematikan mengenai strategi penerangan. Jawapan yang salah akan menyebabkan Amir dihukum atau ditertawakan.
Amir menarik nafas. Dia tahu bahawa menurut sejarah, Melaka tidak pernah menyerah ataupun tunduk kepada kekuasaan Siam. Teks Stategi Peperangan Sun Tzu, bermain difikirannya:
"Those who are skilled in attack, the enemy does not know where to defend. Those who are skilled in defence, the enemy does not know where to attack"
"Tuanku," kata Amir dengan penuh yakin. "Siam tidak mahu bunga mas. Mereka sebenarnya mahu Melaka tunduk. Jika Tuanku bayar ufti, Siam akan menuntut lebih lagi. Tunjukkan kepada Siam bahawa Melaka bersedia berperang, tetapi jangan mulakan peperangan."
Tun Perak, dengan riak wajah yang tenang, bertanya, "Bagaimana mahu menunjukkan kita bersedia tanpa memulakan pertumpahan darah?"
Amir teringat kajian projek sejarahnya.
"Kerahkan Orang Laut dan armada Laksamana di Selat Melaka dan di Laut Melayu. Tetapi buat secara terbuka. Umumkan kepada rakyat bahawa Tuanku telah mengutus surat kepada Maharaja Cina meminta kapal dan bantuan bala tentera untuk menguatkan pertahanan. Siam takut kepada Cina, Tuanku. Mereka akan berfikir sepuluh kali sebelum menyerang sekutu Maharaja Cina. Tambahan pula, Maharaja Cina beragama Islam dan mempunyai bala tentera yang besar dibawah Laksamana Zheng He!"
Senyap sunyi dan suasana menjadi hening seketika.
Sultan tersenyum, Tun Perak mengangguk perlahan.
"Nasihat yang bernilai emas, orang asing," titah Sultan. "Itu adalah rancangan yang sudahpun kita laksanakan. Tetapi... bagaimana kamu tahu Maharaja China adalah jawapan kepada ancaman Siam?"
Amir tahu dia telah tergelincir, jawapannya terlalu sempurna. Terlalu terperinci. Too good to be true!
"Patik... Patik tahu bahawa Siam sentiasa takutkan 'Naga' besar di utara. Semua pedagang dunia tahu, perlindungan Negara Cina adalah kunci pertahanan Melaka."
Mata dan Catatan Nora
Amir merasa panas di lehernya. Hang Tuah masih memandangnya dengan syak wasangka yang tidak berkurangan, sebaliknya makin bertambah.
Sementara itu, Nora, yang berdiri di belakang Amir, mencatat dengan cepat, menggunakan tulisan Jawi yang sangat kemas.
"...orang asing itu bukan sahaja mampu menterjemah teks Ryukyu dengan lancar, malah tahu berkenaan rancangan Bendahara dan Laksamana tentang pertahanan Siam. Dia juga menyebut Mahaja Cina beragama Islam. Juga tiada seorang pun di Balai Menghadap yang tahu keputusan Bendahara. Strategi ilmu perangnya hebat. Dia memiliki ilmu bela diri yang telah diuji Datuk Laksamana. Syak: dia seorang Ahlul-Nujum (Ahli Nujum) atau Jin yang menyamar, serta mengetahui masa depan..."
Tun Perak berpaling kepada Amir. "Amir, kamu telah melepasi dua ujian Sultan dengan amat cemerlang. Kamu akan dibenarkan tinggal di Melaka. Tetapi akan berada di bawah penyeliaan Nora. Tugasmu adalah membaca dan menterjemah surat-surat asing di Balai Tulis. Jika kami mendapati kau berbohong, tiada lagi Melaka tempat untuk kamu tinggal."
Laksamana, masih tidak puas hati, berkata lantang, “Ampun Tuanku, biarlah dia diawasi. Kita tidak tahu ilmu apakah yang dia bawa. Ketangkasannya bukan ketangkasan pedagang.”
Sultan menjawab tenang, pandangannya mengunci mata Amir.
“Melaka makmur kerana kita bijak membezakan musuh, sahabat, dan orang yang tersesat mencari jalan. Ilmu adalah kekayaan, Amir. Pastikan kekayaan itu kekal milik Melaka.”
Baginda berpaling.
“Amir… mulai hari ini, kamu di bawah jagaan Nora. Segala gerak-geri, ilmu, dan budi bicaramu… akan ditentukan olehnya. Nora, kau adalah kuncinya", ujar Datuk Bendahara.
Sultan mengangguk. "Nora, bawa dia ke Balai Tulisan. Dan catat setiap nafasnya!"
Amir tahu. Dia tidak bebas. Dia hanyalah tebusan istana yang berguna, diawasi oleh dua pasang mata yang tajam: Laksamana yang curiga dan Jurutulis yang pintar. Inilah permulaan hubungannya dengan Nora, seorang jurutulis elit Melaka yang cermat, dengan dirinya, seorang pengembara masa yang penuh misteri, baru sahaja bermula.
No comments:
Post a Comment