Thursday, December 04, 2025

Bab 3 Syak Wasangka Datuk Laksamana

Pergelangan tangan Amir telah dilepaskan ikatannya, tetapi dia kini dikawal rapi oleh dua pengawal istana, yang kelihatan seperti hulubalang elit dengan keris tersisip kemas pada ikatan pinggang mereka. Nora, jurutulis peribadi yang ditugaskan oleh Datuk Bendahara Tun Perak, berjalan di belakang Amir, buku catatannya yang diisi dengan daun lontar dipegang kemas. Gadis itu tidak senyum, anak matanya tidak pernah lari dari tugas, sopan tetapi tajam seperti bilah keris yang terhunus.

Mereka menyusuri kawasan yang lebih tinggi di kota, berjalan menuju ke arah kawasan Istana. Jalan-jalan di sini lebih bersih, diteduhi pokok-pokok merbau yang rendang, dan rumah-rumah pembesar dibina lebih besar dan dihiasi ukiran yang halus. Dari kejauhan, kelihatan sebuah Masjid Raya Negeri Melaka Yang tesergam Indah nun di atas bukit.

Amir kehairanan, seingatnya tidak wujud masjid di atas bukit di zamannya. Memorinya bergoncang. Bukankah di atas bukit itu nanti akan dibina gereja St. Paul? fikirannya kusut.

Tiba-tiba, paluan gendang perang berbunyi dari arah pelabuhan yang memecah keheningan, bukan bunyi perayaan, tetapi bunyi kepulangan armada empayar Melaka.

"Laksamana pulang dari ekspedisi Jemaja dan Bentan," bisik salah seorang hulubalang, riak wajahnya bercampur rasa bangga dan kelegaan.

Pertembungan di Gerbang Istana

Nora mendesak Amir berjalan lebih cepat, tetapi lorong menuju istana mulai sesak. Orang ramai, daripada penjaja jalanan hinggalah pegawai kerajaan, berebut-rebut ingin melihat kelibat wira mereka.

Kemudian, muncul sebuah barisan perajurit tentera laut yang kelihatan letih tetapi bangga.

Di hadapan sekali adalah Laksamana Hang Tuah.

Beliau menunggang kuda berwarna putih yang gagah, pakaian baju sikapnya dan tanjaknya pancawarna. Laksamana itu bukan seorang pemuda seperti yang sering diceritakan dalam hikayat; dia seorang lelaki matang dengan pengalaman berpuluh tahun berhadapan pengganas lanun di laut dan juga musuh kerajaan Melaka. Matanya tajam, terbiasa mengimbas ancaman di ufuk laut.

Kerisnya yang terkenal, Taming Sari, tersisip di pinggang. Keris panjang Sempena Melaka, Sundang berjasa itu terikat kemas dibahunya.

Ketika rombongan Amir cuba melintas di hadapan rombongan Laksamana untuk masuk ke gerbang istana, kuda Hang Tuah tiba-tiba tersentak.

Hang Tuah serta-merta menghentikan kuda itu. Matanya yang tajam jatuh tepat ke atas Amir. Mata itu tidak melihat kepada pakaian Amir yang aneh; namun dapat merasakan auranya—sesuatu yang asing, yang tidak sepatutnya berada di kawasan Istana Melaka.

Laksamana itu mengangkat tangan, menghentikan seluruh perarakan di belakangnya.

"Siapa gerangan orang ini?" Suara Hang Tuah keras dan menguasai, mengatasi keriuhan orang ramai. "Bawa orang ini ke tepi. Istana bukan tempat orang asing berjalan sesuka hati."

Hulubalang pengiring Amir segera memberi hormat. "Ampun, Datuk Laksamana. Dia ini tetamu Datuk Bendahara, seorang penyerjemah, sedang dibawa menghadap Sultan."

"Tetamu Bendahara?" Hang Tuah mendengus sinis. "Bendahara sedang sibuk mengurus negara. Aku baru pulang dari laut. Aku kenal bau pengkhianat, namun orang ini berbau pelik. Mungkin dia perisik Majapahit. Atau lebih buruk—peramal syaitan yang membawa syirik ke tanah Melaka." Berikan aku kerisnya!"

Permintaan itu datang secara tiba-tiba, dan semua orang terdiam.

"Dia tidak membawa keris, Datuk Laksamana," kata hulubalang itu dengan rasa gementar.

"Dia tidak membawa keris?" Hang Tuah memandang Amir dengan pandangan yang meremehkan. "Seorang lelaki Melayu tidak membawa keris pengenalan diri dan asal usul. Ini sudah cukup aneh. Ilmu boleh dipelajari, tetapi ini menyalahi aturan kita".

Hang Tuah kemudian melompat turun dari kudanya. Dia melangkah ke hadapan Amir. Dalam jarak sedekat itu, Amir terasa seperti seekor tikus berhadapan dengan harimau lapar.

"Kau kata kau ini penterjemah?" tanya Hang Tuah. "Negeri yang tidak terdapat di dalam peta?"

Amir cuba menunduk hormat, cuba mengingati semula bahasa Melayu klasik. "Hamba bermohon ampun, Laksamana. Hamba datang dari jauh, tidak berniat jahat."

Hang Tuah mengerutkan dahi. "Lidahmu licik. Baik. Jika kau orang berilmu, buktikan."

Hang Tuah menghampiri Amir, pandangannya menguji. Dia tiba-tiba menjentik bahu Amir dengan jari yang keras. "Engkau bukan hulubalang. Kau juga bukan pedagang. Kau ini apa? Berikan aku nama kapal yang membawa kau. Sekarang!"

Amir tahu dia tidak boleh berbohong. "Hamba... tidak datang dengan kapal, Laksamana."

Hang Tuah tidak berkata apa-apa. Dia hanya tersenyum tipis. Kemudian, tanpa amaran, dia melangkah ke hadapan dan memberikan satu hentakan pantas dengan tangan kanannya, tepat ke arah ulu hati Amir, satu ujian yang kejam.

Amir secara refleks menampar dan mengesampingkan belakang siku Hang Tuah sebelum tangan kasar wira itu sempat mencecah dadanya. Serangan itu tersasar. Pelajaran asas Buah Pertama Seni Silat Cekak, seni bela diri yang tidak disempat dikhatamnya semasa belajar di universiti, muncul tiba-tiba.

Hang Tuah terkejut, dia tertolak ke samping oleh tenaganya sendiri. Pukulan itu jika gagal ditangkis sepatutnya menjatuhkan seorang yang bukan pahlawan. Para hulubalang yang menyaksikan kejadian itu tercengang.

"Bagus," komen Hang Tuah, nada sinisnya kini bercampur dengan rasa kagum yang tidak disangka. Dia kemudian melangkah pergi, membiarkan Amir bernafas kencang, kesal kerana dia hanya mengetahui gerakan asas. Dia tak sempat mempelajari buah jatuhan, apatah lagi memahami gerakan Buah Potong dek selalu ponteng kelas!

"Masuklah, wahai orang asing. Kau sudah melepasi ujian seorang Laksamana. Mari kita lihat bagaimana kau melepasi ujian seorang Sultan."

Bab 3 tamat.

No comments: