KOTA YANG HILANG
Bab 2
Tali kasar mengikat pergelangan tangan Amir, namun pengawal yang mengiringinya tidak kelihatan berniat mencederakannya, mereka cuma berjaga-jaga terhadap orang asing yang muncul entah dari mana.
Mereka menyusuri laluan pelabuhan.
Amir terpegun; walaupun zaman ini hanya wujud dalam buku sejarah, pemandangan yang terbentang di hadapannya hidup seperti lukisan 3 dimensi yang bergerak, namun dengan bunyi, rasa dan bau yang nyata. Nak kata aku dalam set filem purba...macam tak masuk dek akal, getus hati Amir, keliru.
Kapal jong berlabuh rapat, penuh dengan karung lada hitam yang berbau pedas, kayu gaharu yang mahal, kulit penyu, jongkong timah, emas dan perak, kapur barus dari Andalas dan kendi seramik dari benua cina. Orang-orang Pasai, Gujerat, Jawa, Ryukyu, dan Arab berkumpul sambil menawar harga barang dagangan. Suara dalam pelbagai bahasa bercampu-baur, seolah-olah seluruh dunia bertemu di satu titik memggunakan Bahasa Melayu, merupakan satu orkestra hiruk-pikuk perdagangan.
Seorang pengawal bawahan Datuk Shahbandar bersuara, suaranya tenggelam sedikit dalam bunyi ketukan tukul membaiki geladak kapal.
“Jangan jeling sana sini macam hamba jakun! Datuk Bendahara tak suka orang asing datang ke Melaka secara rahsia.”
Amir hanya mengangguk.
Tetapi jauh di sudut hati, dia tahu dia sedang menyaksikan Melaka pada puncak era kegemilangannya.
Gerbang Kota Melaka
Gerbang besar Kota Melaka tersergam indah dengan ukiran awan larat dan ukiran harimau mengaum. Dibuat daripada teknologi tanah liat yang dipadatkan. Dua Meriam "Rentaka" yang diperbuat daripada besi keluli (atau mungkin besi cetak) dipacak indah di kiri kanan pintu, dijaga oleh lima hulubalang lengkap berbaju zirah ringan. Mereka berdenjatakan terakol, berkeris dan memakai baju rantai nipis di bawah baju sikap mereka, sesuai dengan iklim Melaka yang panas.
Tatkala rombongan mereka menghampiri, seorang ketua pengawal, berbadan gempal, sarat dengan parut lama, mengangkat tangan, menahan kemaraan mereka.
“Berhenti! Siapakah orang asing ini?”
“Kami temui orang ini terdampar di pantai tanpa kapal, ketua!” jawab pengawal yang mengiring Amir.
“Pakaiannya aneh. Bercakap Melayu, tapi gayanya… seperti orang tidak pernah kenal dunia ini.”
Ketua pengawal memerhati Amir dari kepala ke kaki. Dia menyentuh kain sintetik pakaian Amir dengan hujung jarinya, kehairanan.
“Kau pedagang? Perisik Siam? Tukang sihir dari Borneo?”
“A-ampun tuan,” Amir menunduk, lututnya terasa lemah. “Hamba cuma seorang penterjemah… yang tersesat di negeri ini”
“Penterjemah, katanya…” Ketua pengawal mendengus, tidak percaya.
“Datuk Bendahara Tun Perak akan menilai halnya. Bawa dia masuk melalui Balai Keadilan. Dia akan tahu nasibnya di bawah Undang-Undang Melaka.”
Amir tersentak.
Tun Perak! Nama yang hanya dibaca di buku sekolah, tokoh besar, arkitek keagungan Melaka, yang dahulunya penghulu Kelang. Pahlawan yang menangkis serangan Siam dan hakim yang paling adil pada zamannya
Kini, Amir akan berhadapan dengannya.
Bab 2 tamat.
No comments:
Post a Comment