Thursday, December 03, 2015

Budaya buruk sangka dan penyebaran kepalsuan



Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
(Surah Al-Isra' :36)

Ramai yang memberi alasan bahawa mereka mengikut dan mengiyakan sahaja berita yang disebarkan (tanpa perlu usul periksa kebenaran/kesahihan) berita dan maklumat yang diperolehi dan  menyebarkannya pula karena menganggap perkara itu kecil sedangkan perlakuan itu jauh menyimpang dari apa yang dianjurkan Islam. "Alah, itu benda kecik aje, adatlah kita jadi macam ni  manalah kita tahu" sedangkan tatacara bercakap, nada suara yang tinggi, kenyataan yang dibuat dihadapan khalayak ramai, perlakuan dan tindakan orang yang mempercayai berita palsu itu sangat jelas menunjukkan seolah-olah bahawa itulah kisah sebenarnya yang berlaku. Yang menghairankan sekali, ada juga ramai orang yang bersekongkol seolah-olah maklumat palsu itu adalah perkara yang sahih. Malang sekali nasib mereka ini. Sudahlah jahil, disesatkan dan turut sama menyesatkan orang lain.

Sumber yang sahih dan mengetahui dengan tepat berita sebenar, bukannya tidak ada, wujud jelas dihadapan mata, atau boleh disahkan dengan panggilan telefon kepada pihak yang menyimpan rekod yang sah, namun malang sekali, tidak mahu pula didengar dan dipercayai kerana kerakusan hawa nafsu dan ketamakan, sudah menguasai diri.
 
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah Al-Hujurat:6)

Ayat di atas ditujukan khas kepada orang-orang yang beriman. Amat berbeza sekali perilaku orang beriman dengan kelakuan orang yang fasik. Orang yang mempunyai iman akan tunduk patuh kepada apa yang diperintahkan Allah. Sekiranya mereka TIDAK BERIMAN, ya dipersilakan, tak ada masalah jika anda langgar sahaja perintah Allah ini. Maka, fikirkanlah balik perbuatan dan perlakuan anda tanpa mengira lapisan umur sama ada tua atau muda - apakah iman anda telah tercabut? dan sudahkan anda bertaubat dan seterusnya memohon ampun dan maaf kepada orang yang dizalimi?

Setiap dari kita seharusnya bercita-cita untuk mati sebagai seorang muslim yang baik dan mengamalkan agamanya dalam kesemua aspek kehidupan dan kematiannya. Apabila jenazah kita diturunkan ke liang lahat dan dikuburkan, persoalan yang akan ditanya oleh malaikat tidak ada yang berkaitan dengan warna kulit, bangsa, keturunan, suku, darjah kemuliaan, kesetiaan mengikut dan mempertahankan adat dan sebagainya. Kalau nak pertahankan semua tu, mati esok kalian cubalah tanyakan kepada 2 malaikat tu.... "Bahawasanya aku dulu masa kat dunia bangga sangat sangat dengan pangkat, harta, gelaran, bangsa dan adat yang aku bernati-matian pertahankan, apasal pula takde nak tanya!!?"


Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). (Surah An-Nur:11)

Sekiranya berita dusta juga yang masih mahu dipertahankan, silakan. Sesungguhnya penulis berlepas diri dari fitnah ini dan hanya boleh mengingatkan anda agar kembali ke jalan yang benar. Hidayah milik Allah, bukan ditangan penulis.

Kelak anda jawablah beramai-ramai di depan Mizan Allah yang Maha Adil. Kebatilan tidak dapat ditegakkan dengan satu lagi kebatilan. Cukuplah penulis memilih untuk mendiamkan diri selagi mana bukti sahih tukasan anda itu tidak dapat dizahirkan.

(Nota: Seingat penulis, Asbabul Nuzul surah An-Nur adalah kerana peristiwa fitnah kepada Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.a., kesan dosa dan siksa akibat perbuatan fitnah tetap sama dalam apa jua keadaan. Ya sedangkan isteri Nabi S.A.W. pun diuji dengan fitnah, apatah lagi kita orang biasa).

No comments: