Thursday, December 10, 2015

Menempa Kata Meruntuhkan Gunung

Seorang pertapa sedang duduk mengatur tenaga dalamnya di atas sebuah batu sambil memerhatikan keadaan sekeliling sebuah kolam air. Sudah sepurnama dia berkhalwat mengasingkan diri mencari ilham makrifat untuk mengasah dan meninggikan lagi ilmu persilatannya untuk menyempurnakan  hikmat terbaru diciptanya iaitu jurus hikmat "Menempa Kata Meruntuhkan Gunung". 

Sedang Sang Pertapa itu berehat, dia terlihat dua ekor katak terjatuh ke dalam lubang yang amat dalam. Lubang tersebut letaknya tersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran dengan kolam air itu. Nampaknya amat sukar untuk melepaskan diri dari malapetaka malang yang bakal menimpa dua ekor katak tersebut. Kedua duanya berusaha dengan memerah setiap kudrat mereka untuk keluar dari lubang gelap yang amat dalam itu. Melihatkan kehilangan dua orang anggotanya, kumpulan katak-katak yang diketuai oleh permaisuri katak bersaiz XXXL, yang menerajui pelbagai lapisan dan jenis katak, tua, muda dan pelbagai warna masing-masing berteriak-teriak menjerit-jerit dengan suara yang parau sambil terkinja-kinja melompat disekeliling kolam. Mereka beramai-ramai melaksanakan hikmat "Mati segan, hidup tak mahu" atas arahan permaisuri katak, sambil mengejek serta mencerca kedua-dua ekor katak malang tadi dan menyatakan bahawa tak perlulah kalian berusaha lagi. Patuhilah dan jangan melawan adat. Pada mereka, adalah lebih afdal sekiranya kedua-dua ekor katak malang itu dapat menerima sahaja takdir mati katak, keadaan kematian yang penuh penghormatan sesuai menurut adat bangsa spesis katak.

Salah seekor katak malang tersebut yang amat tertekan kerana mendengar cercaan dan cemuhan kumpulan katak-katak merasa lemah, sakit hati dan amat merana keadaannya. Dia berusaha untuk mengerah kudrat tenaga yang tersisa agar dapat keluar dari situasi bahaya tersebut. Namun akhirnya akibat sakit hati, sedih, syahdu, pilu dan sendu yang teramat sangat, tidak bisa terkata kepedihannya, dalam masa tidak sampai sehari, akhirnya katak malang itu diam membisu dan akhirnya tidak berupaya bergerak. Telinganya telah tepu dengan kata-kata nista, cercaan dan penghinaan warga katak diluar sana. Tercapailah impian emas Benson and Hedges seantero warga katak-katak diluar lubang yang amat mahukan saudara mereka mencapai status mati katak. Itulah yang mereka hajati selama ini. Itulah yang mahu dilihat agar segera terjadi. Tak usahlah berusaha lagi, teriak mereka dengan angkuh, sombong lagi bongkak.

Katak seekor lagi juga mengalami tekanan, kepenatan dan keletihan yang amat sangat. Namun dia tetap gigih berusaha, mengerah setiap kudrat tenaga untuk meloncat keluar dari lubang dalam tersebut. Tiap kali melompat, dia akan jatuh ke dalam lubang semula dan menderita kesakitan tubuh badan, namun digagahkannya semula agar ikhtiarnya tetap dapat diteruskan. Akhirnya setelah hampir 7 hari terperangkap dan hampir kebuluran, salah satu percubaannya untuk menerobos keluar dari lubang yang amat dalam tersebut telah berjaya. Maka dengan berkat usaha gigihnya, terselamatlah katak tersebut dari kematian ala "mati katak".

Permaisuri katak berang, amat tidak berpuas hati dan indak menerimo kejadian tersebut. Pada hematnya kejadian aneh ini melanggar adat tradisi nenek moyang leluhur katak dan mengancam kedudukannya.  Dia dengan tegas dan dengan suara yang keras mengarahkan agar sikatak yang terselamat itu masuk mengadapnya di istana kolam, namun setiap arahannya atau apajua arahan yang disampaikan melalui sida-sida permaisuri katak dan juga herdikan sumbang kuncu-kuncu bala tentera ketumbukan komando permaisuri katak itu seolah tidak dihiraukan langsung.

Setelah diteliti oleh sang nujum katak, ternyatalah katak yang terselamat itu sebenarnya tidak mempunyai deria pendengaran sejak dilahirkan. Apajua kata nista, cercaan penghinaan dan tuduhan tak berasas yang dilemparkan kepadanya semasa dia menjadi tawanan secara tidak sengaja di lubang yang amat dalam tersebut, bukan sahaja tidak dapat didengarinya, tetapi juga katak pekak itu dengan suci hati tidak mengetahui realiti bahawa keseluruhan warga katak mahukan anugerah mati katak dikurniakan kepadanya dan rakannya yang telah .... err... mati katak itu.

"Biasanya badak, tapi inilah pertama kali aku bertemu katak pekak", gumam Sang Pertapa kehairanan.

Dari pemerhatian sang pertapa, fahamlah dia bahawa salah satu cara dia boleh meninggikan ilmu persilatannya agar selamat dan tidak dianaiya baik oleh musuh, rakan taulan atau saudara mara sendiri adalah melalui ilmu memekakkan diri seperti yang telah ditunjukkan oleh katak pekak itu. Setelah beberapa lama, pertapa tersebut berjaya mencipta dan melaksanakan sendiri buah jurus dan tari persilatan tertinggi yang amat misteri tersebut.

Sang Pertapa itu muncul dihadapan penulis seraya berkata "Nak, yang manakah pilihanmu? Mau mencontohi katak pertama yang mati dengan amat tragis? Atau kau mahu meneruskan kehidupan dengan aman tenteram?".

"Tok Pertapa, apakah nama jurus terhebat tok itu?" soalku kaget, Jurus Menempa Kata Meruntuhkan Gunung yang ku latih, terganggu caca merba akibat kemunculan tok guruku, Sang Pertapa secara  tidak disangka-sangka. 

Sang Pertapa tersenyum lalu menjawab, "Nak, itulah buah penamat tingkat tertinggi “Biar Mati Adat, Jangan Mati Katak”, lalu Sang Pertapa dan penulis pun bersatu dalam silauan cahaya, sekonyong-konyong ghaib dalam kepekatan malam, disambut dengan bunyi dengkang bersahut-sahutan, saentaro warga kolam, meninggalkan pembaca blog seorang diri.

No comments: