Monday, July 25, 2011

Pesanan dari keluarga Presiden SIRIM

(Hari ini, pulang sahaja ke pejabat daripada menghadiri sebuah bengkel perundangan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sebuah tugas istimewa telah sedia menunggu...penulis berasa amat terharu apabila diamanahkan dengan tugas menulis kata-kata amanat ahli keluarga Allahyarham Pak Ya).

Assalamualaikum wrt wbt

Kepada semua anggota kerja SIRIM Berhad dan anak syarikatnya (dan juga orang perseorangan yang mengenali Allahyarham).

Sebagaimana yang tuan-puan sedia maklum, Presiden & Ketua Eksekutif SIRIM Berhad yang kita kasihi telah pulang ke Rahmatullah baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, wakil keluarga Allahyarham ada menyampaikan beberapa amanat dan pesanan kepada anggota kerja seperti berikut -
Ahli keluarga Allahyarham menyusun sepuluh jari, untuk dan bagi pihak diri Allahyarham, dengan rendah diri:
  1. memohon keampunan dan kemaafan daripada keseluruhan anggota kerja/tuan-puan sekalian sekiranya dan jika semasa hayat beliau, Allahyarham ada tersalah dan silap dalam pergaulan seharian Allahyarham semasa bertugas di SIRIM Berhad. Maka haraplah dapat diampunkan segala kesalahan dan kesilapan Allahyarham;

  2. sekiranya Allayarham ada termakan atau terminum, amat besarlah harapan keluarga Allahyarham agar ianya dapat dihalalkan;

  3. seandainya tuan dan puan, anggota kerja SIRIM ada memberikan apa jua bentuk pinjaman kepada Allayarham atau sekiranya Allahyarham ada terhutang wang ringgit, barangan atau perkhidmatan, harap dapat datang dan membuat tuntutan terus kepada ahli keluarga Allahyarham; dan

  4. seterusnya ahli keluarga Allahyarham mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga diatas lawatan dan ziarah yang dilakukan oleh anggota kerja dan orang persorangan/sahabat handai/ kenalan dll kepada Allahyarham semasa Allahyarham terlantar sakit.
Pertolongan yang anggotakerja berikan dan bantuan kesemua pihak dalam melancarkan pengurusan jenazah Allahyarham didahului dengan ucapan terima kasih. Allah jualah yang mengumpulkan kita dan kepada Allah jua kita semua akan dikembalikan. Semoga dengan usaha ini, ruh Allahyarham dapat bersemadi dengan tenang, dihindari daripada azab kubur, dicucuri rahmat serta ditempatkan didalam jannah bersama-sama dengan ruh para anbia, shuhada’, siddiqin serta solihin. Amin.

No comments: