Thursday, October 17, 2024

Berjaya dengan ilmu dan pengalaman, bukan dengan duit

Sembang kari sekumpulan budak-budak lepasan sekolah baru nak up, selalunya deme lepak kat kawasan gerai minuman Seksyen 2 Shah Alam, bersembang kosong tak buat apa. Diorang cakap, “Aku dah penat belajar dan dah nak mula kerja, tapi aku tak nak jadi pekerja je; apa gunanya belajar kemahiran atau profesion ni kalau aku tak jalankan bisnes sendiri?”

"Kau ada modal nak mula?"soal Apit.

"Takde, tapi aku akan dapat." jawab Jongos.

"Macam mana kau nak dapat modal?" Kamil ikut menerjah.

"Aku ada satu rahsia; aku ada makcik tua yang kaya, dia tengah sakit, dr kata dah takde harapan dan akan meninggal tak lama lagi; tapi kalau makcik aku liat nak mati, aku harap dapatlah jumpa orang tua kaya yang sanggup ambik aku sebagai anak angkat dia, pinjamkan aku beberapa ribu untuk mulakan bisnes. Kalaulah aku dapat modal, aku pasti boleh berjaya.", gumam si Jongos dengan senyuman menyeringai, perasan kacak, optimis sambil menghembus kepulan asap sambil jari jemari kanannya mengepit sebatang rokok murahan.

Pak Uda yang tengah sibuk membancuh teh ais ketawa besar mendengarkan kelentong si Jongos. Tegas Pak Uda,”Beranganlah ko sampai kiamat...Mana ada jalan pintas? Kesilapan besar korang, percaya kita boleh berjaya dengan duit pinjam. Ko tak nampak ke susahnya aku kumpul seribu  ringgit pertama aku, daripada berjuta-juta yang datang lepas tu."

Satu gerai dipenuhi gelak hilai ketawa... “Alah Pak Uda.. dapat juta-juta pun tukaran duit rupiah bila balik ke Belitung!”, tukas si Jongos. Rupa-rupanya Pak Uda dan keluarganya berasal dari Indonesia, lebih tepatnya Pulau Belitung di Sumatera Selatan yang majoritinya didiami etnik melayu dan pulau yang indah permai itu menjadi terkenal akibat filem Laskar Pelangi, yang ditayangkan beberapa tahun yang lalu.

“Lainlah citernya kalau jadi scammer atau jual benda terlarang...kaya..tapi tak nak la, tak halal”, gumam di Kamil sambil menghirup air sirap yang hanya tinggal ketulan ais yang mencair.

Jelas Pak Uda lagu, “Kita fokus yang halal… namun, ada duit pun, haram tak berguna kalau kau tak tahu nilainya. Bagilah kat budak, duit dua puluh ribu dan suruh dia buat bisnes, besar kemungkinan tak sampai setahun dah bungkus terbongkang madam bukuh kasap, hilang pangkal, hujunhg pun lesap! Macam beli tiket loteri; menang hadiah besar, “senang dapat, senang jugak hilang.”, Pak Uda berfalsafah.  

“Orang muda tak reti menilai duit tu; takde benda yang berbaloi kecuali ia datang dengan usaha. Percayalah ...Tanpa berkorban masa, tenaga dan jimat-cermat, sabar dan terus berusaha, kalau kau mula dengan modal yang kau tak usaha, mustahil kau akan berjaya kumpul kekayaan!”, gumam Pak Uda dengan jujur.

Pak Uda menyambung lagi, ”Kamu ni, daripada “tunggu orang mati bagi harta”, patut segera bangkit buat kerja, sebab takde orang kaya yang suka sesaja nak mati cepat. 9 daripada 10 orang kaya kat negara kita sekarang ni, mulakan hidup diorang sebagai budak miskin, dengan semangat kuat, rajin, sabar, berjimat dan tabiat yang baik. Diorang bergerak perlahan-lahan, buat duit sendiri dan simpan; dan ini adalah cara terbaik nak jadi kaya”.

“Takde jalan pintas untuk belajar, dan aku boleh kata, benda ni juga sama untuk kekayaan”, Pak Uda mengakhiri ceramahnya, sambil bergegas pergi menghantar minuman ke meja pelanggan yang dah beriri bercekak pinggang, geram kerana minuman yang dipesan lambat sampai!

Penutup

Jangan expect nak jadi kaya itu mudah,
tapi dengan rajin dan usaha,
insyaAllah kita boleh kumpul rezeki dengan cara yang berkat

Zaws 2024

No comments: