Wednesday, October 14, 2009

Tragedi Kapal Nabi Yunus

Keadaan semakin genting. Air laut yang dijulang ombak yang menggunung tinggi berwarna hitam pekat likat dan biru gelap semakin mengganas. Sekali sekala kelihatan pancaran kilat sabung-menyambung yang suara guruhnya tidak lagi kedengaran dek kerasnya deruan angin. Taufan kini semakin mendekatkan diri  dengan kedudukan kami. Beberapa puing-puing pusaran air deras yang menakutkan tampak bergegar dengan keras sekejap meliuk ke kiri dan sekejap meliuk ke kanan diudara semakin mendekati kapal kerdil kami yang semakin beroleng-oleng dengan amat keras sekali seumpama kertas dilanda air hujan dan diterpa badai... anak kapal yang berada dalam lingkungan bulatan cuba dengan susah payah, memanaskan diri dengan berdakap-dakapan. Kami menatap satu persatu wajah anak-anak kapal yang masing-masing diwajah mereka,  membayangkan kekhuatiran yang teramat sangat. Ada yang berdoa, ada yang menangis dan berteriak-teriak. Masing-masing menyedari bahawa kebarangkalian untuk selamat dari musibah yang bakal melanda sebentar sahaja lagi amatlah tipis. 

Bot penyelamat kecil yang tinggal hanya dua buah yang cuba diturunkan dengan jerih payah para kelasi yang kelihatan terhoyong hayang tampaknya tidak akan berupaya menampung keseluruhan anak kapal serta penumpang yang kebanyakannya mengalami kecederaan akibat letupan engin yang mengakibatkan kematian keseluruhan kelasi yang bertugas di ruangan engin. Kapal yang dirundung malang yang tak berhujung ini kini telah hilang  keseluruhan kuasanya dan seolah-olah mustahil untuk dapat dikemudikan lagi.

Anak kapal "ESQ165 MCB 007" telah dengan sebeberapa adil yang mungkin memberikan kami tatacaranya untuk menentukan siapakah yang akan terus tinggal berada di atas kapal. Ternyata bahawa kapal yang kami naiki tidak berupaya menampung beban yang banyak - sudah habis segala barangan yang membebani kapal dinaikkan dengan susah payah dari perut kapal ke atas geladak yang basah dilanda badai. Kini, tiada lagi yang masih tersisa kecuali semuanya telah dicampakkan ke laut yang sekejap-sekejap kelihatan putih diselaputi buih-buih yang dicurah oleh ombak yang menggila mengunung tinggi. Sekali-sekala kami akan tersungkur jatuh akibat kerasnya pukulan ombak dan tiupan badai, cuba sedaya upaya untuk menstabilkan kedudukan. Dari jauh kelihatan berbalam-balam, sebuah ombak yang paling tinggi menghampiri kami dengan kecepatan yang amat dahsyat...

Kedengaran para penumpang berdoa bermunajat kepada Allah "Ya Rabbi, Ya Rabbi, Salimna" (Tuhan kami, selamatkanlah kami ini). Ya Rabbi, kami bertaubat kepada mu..... Dalam keadaan tangis inilah kami saling mengundi sesama kami, siapakah yang akan dapat diselamatkan. Hanya kepada Allah sahaja tempat kami merayu dan meletakkan harapan. Tidak teringat lagi difikiran kami tentang kebesaran pangkat dan harta. Masing-masing kini membayangkan maut yang telah jelas tampak dihadapan mata.

Sejuk dingin membeku menyucuk sehingga ke tulang sumsum. Terdengar suara rintihan dan sekali sekala azan berkumandang. Rakanku Akmal dengan sejak dari tadi berulang-ulang melaungkan azan mengagungkan kebesaran Allah, kini beliau sudah tidak dapat bersuara lagi. Tugasnya itu diganti dengan seorang anak muda yang baru ku kenali bernama Firdaus yang duduk bersebelahan denganku. Beliau masih muda dan belum bernikah. Kami telah diberikan beberapa peralatan untuk membuang undi, habis sahaja peralatan yang diberikan, maka itulah tandanya bahawa seseorang itu harus mengorbankan diri mereka, terjun ke dalam laut yang buas bergelora. Hanya seorang sahaja yang perlu dipilih, untuk terus berada dengan anak-anak kapal - mudah-mudahan kapal yang telah rosak teruk ini masih berupaya diselamatkan melalui pengorbanan yang tidak dapat tidak mesti dilakukan. Hanya seorang sahaja yang akan dipilih untuk meneruskan kehidupan dan memikul amanah sebagai wakil mereka yang terpaksa mengorbankan diri. Masing-masing mengharapkan bahawa insan yang akan dipilih untuk diselamatkan itu adalah dirinya...

Dalam cabutan undi kali pertama, Firdaus memberikan undinya kepada ku walaupun tetap ku tolak, kerana memikirkan beliau masih muda, mempunyai tenaga dan potensi untuk digembelengkan, dan mungkin bisa saja dia bertahan menghadapi musibah ini hingga ke saat akhir, tambahan pula beliau belum berkesempatan untuk bernikah. Aku memikirkan, sekurang-kurangnya aku punya 3 orang anak yang mungkin dapat mendoakan aku apabila aku meninggalkan dunia yang fana ini. Tetapi Firdaus masih berkeras. "Abang Mie, terimalah pengorbanan saya ini, abang masih mempunyai tanggungjawab yang belum selesai, saya tidak, saya masih bujang dan belum ada tanggungan ..." tetap ku tolakkan undinya kembali kepadanya. "Tapi kamu masih punya masa depan yang panjang, kehidupan sebenarmu masih belum bermula"... Tidak bang, ambilah undi saya..."

Lalu dengan berat hati aku mengambil kayu undinya, terasa air panas deras membasahi kedua pipiku yang sedari tadi telah lama kesejukan. Terbayang diruang mataku wajah-wajah orang yang ku  sayangi, ketiga-tiga anak perempuanku, Jamilah, Husna dan Sakinah, isteriku dan kedua orangtuaku. Ku dakap erat Firdaus, yang baru sahaja tadi memberikan harapan kehidupannya kepada ku... aku tidak tahu sama ada tepat pilihan yang dibuat oleh Firdaus kepadaku... amat berat rasanya tanggungjawab yang harus ku pikul untuk meneruskan kehidupan sebagai khalifatullah hanya untuk mendapat kesempatan untuk menyelamatkan diri dari bencana ini....


"Ayoh, segera selesaikan proses undian kalian.. kita kesuntukan masa!!!" teriak Kapten Ary, badannya yang basah lencun dibasahi  percikan air laut bercampur keringat, menggunakan hailer dari anjung geladak kapal agar arahannya didengari oleh kesemua yang ada. Kami kemudiannya menyedari bahawa air laut kini telah melepasi dek tingkat pertama kapal malang yang kini kandas ditengah laut. 
(bersambung) 

No comments: