Tuesday, August 23, 2016

Draf Surat Kemalangan



Draf Surat Perihal Kemalangan     

Terima kasih di atas usaha tuan Nangka Al-Debab dan kuncu-kuncu laksanakan sebagai penaung persatuan lanun setempat membuat pungutan derma kilat secara ihsan penduduk setempat yang prihatin kepada anak saya yang menjadi mangsa kemalangan didalam kawasan taman perumahan  Kg Lipas Laut pada [                          ].

Fikiran dan emosi saya ketika ini sebagai seorang ibu amat terganggu dan hiba melihat anak yang mengerang menahan kesakitan dan memikirkan masa depannya yang ketinggalan pelajaran kerana tidak dapat menghadiri sekolah seperti anak-anak orang lain dan dinasihati agar bercuti selama [………] bulan lamanya. Sekalipun anak saya kelak dibenarkan ke sekolah, saya sendiri yang terpaksa mengorbankan masa untuk keluar dari tempat kerja untuk urusan menghantar dan menjemputnya ke sekolah kerana keadaannya yang tidak dapat menaiki bas, dan tidak dapat menggunakan kerusi roda kerana kesukaran naik-turun tangga di sekolah.

Anak saya amat meminati bidang sukan dan ko-kurrikulum dan kecederaan yang dialaminya menjejaskan masa depannya bergerak cergas dalam bidang yang dia minati. Doktor yang merawat tidak dapat memberikan sebarang jaminan setelah anak saya sembuh, beliau dapat kembali pulih seperti sediakala. Pihak hospital juga tidak dapat menolak kemungkinan komplikasi dimasa hadapan atau keadaan pesakit terpaksa bergantung kepada ubat dan rawatan susulan dari masa ke semasa sepanjang hayatnya.

Buat masa ini kakinya kirinya (yang mengalami kecederaan berat, patah kedua-dua tulang) telah disimen dan diberikan ubat penahan sakit dari masa ke semasa. Terdapat kesan bengkak di bahagian wajah dan juga lengannya akibat kemalangan tersebut. Pergerakannya yang terhad memaksa kami memakaikannya dengan lampin dewasa pakai-buang kerana dia tidak berdaya bangun untuk ke tandas sendiri. Anak saya masih mengalami trauma akibat kemalangan dan saya amat bimbang sekiranya beliau akan mengalami kemurungan berpanjangan dan hidup menyisihkan diri.

Saya sendiri terpaksa mengambil cuti untuk menguruskan keadaan anak saya yang tidak dapat bangun kerana suami bertugas di Lembah Kelang. Suami yang bertugas di Hollywod juga terpaksa pulang ke untuk mengetahui perkembangan keadaan kecederaan dan rawatan seterusnya. Nampaknya kami tiada pilihan lain selain dari menggaji orang untuk menjaga beliau sepeninggalan saya pergi bertugas.
Saya berharap tuan memahami keadaan dan kesulitan yang kami alami. Untuk rekod tuan, saya dinasihati untuk tidak bertemu dengan tuan kerana tuan terbabit secara langsung dalam kes ini sebagai pihak yang melanggar anak saya. Saya juga dinasihati pertemuan yang tuan anjurkan boleh memprejudis dan menjejaskan kes yang masih lagi dalam siasatan polis. Tambahan pula adalah masih pra-matang untuk menerima apa-apa penyelesaian.

Segala urusan tuntutan insuran dan perundangan saya serahkan sepenuhnya kepada pihak polis berdasarkan kepada laporan yang dibuat serta juga melalui bantuan saksi-saksi kejadian untuk menentusahkan pihak yang sebenarnya cuai dalam kes kemalangan ini. Tindakan susulan seterusnya akan dibuat melalui tuntutan guaman sivil termasuk kos penderitaan kesakitan yang dialami, pembelian alat bantuan sokongan, peralatan pakai-buang, kos rawatan penuh anak saya, trauma gangguan mental yang dialami yang kesemua kosnya ditanggung sepenuhnya oleh pihak tuan.
Sekian terima kasih.

Banyak orang mengetam pulut,
Saya seorang mengetam padi;
Ramai orang karam di laut,
Saya seorang karam di hati.

Ramai budak pergi menimba,
Dapat banyak si ikan keli;
Karam di laut dapat ditimba,
Karam di hati susah sekali.

Anai-anai di tanah rekah,
Mari dikais menimba hari;
Masa suka ramai berdekah,
Waktu menangis seorang diri.
S.K. Tetuan Sulaiman Akhlaken, Peguambela Peguamcara

No comments: